
SINOPSIS
30 JUZUK
Juzuk 1
| ▪️ Surah Al-Fatihah ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah pertama ▪️ 7 ayat |
| Surah ini dinamakan Al-Fatihah (Pembukaan) kerana ia dijadikan sebagai pembuka dan permulaan Al-Quran. Ia adalah teras kepada 113 surah selepasnya. |
| Surah ini juga dikenali sebagai ibu kepada Al-Quran (Ummul Quran) kerana ia merangkumi intipati seluruh ajaran Islam. |
| Surah ini diturunkan di Mekah pada tahun-tahun awal kenabian Nabi Muhammad saw. |
| Tema: Keesaan Allah, pujian kepada-Nya dan keperluan manusia terhadap hidayah (petunjuk). |
| Permohonan dan Jawapan: Surah Al-Fatihah ditutup dengan doa memohon jalan yang lurus, “Tunjuklah kami jalan yang lurus…” (Al-Fatihah, 6). Surah Al-Baqarah membuka dan menjawabnya dengan menyatakan bahawa Al-Qur’an adalah kitab petunjuk bagi orang yang bertakwa, “Itulah Al-Kitab…” (Al-Baqarah, 2). |
| Golongan yang Dimurkai: Ayat terakhir Surah Al-Fatihah menyebut “Al-Maghdhub” (golongan yang dimurkai). Surah Al-Baqarah memperincikan sikap tersebut (sikap orang Yahudi). |
| ▪️ Surah Al-Baqarah ▪️ Madaniyyah ▪️ 286 ayat ▪️ Juzuk 1 (Ayat 1 – 141) |
| Surah ini dinamakan Al-Baqarah (lembu betina) kerana disebut kisah Al-Baqarah (ayat 67-73) yang memerintah Nabi Musa as agar menyembelih lembu betina tersebut untuk mencari pembunuh seorang lelaki yang tidak diketahui pembunuhnya. |
| Surah ini mula diturunkan selepas hijrah Rasullullah saw iaitu seawal tahun pertama hijrah dan berakhir beberapa ketika sebelum baginda wafat pada 10 Hijrah. Kesemua 286 ayat dalam surah ini tidak turun sekaligus, sebaliknya diturunkan sedikit demi sedikit sepanjang tempoh sekitar 9 hingga 10 tahun mengikut keperluan hukum dan peristiwa yang berlaku di Madinah. |
| Surah ini adalah Surah Madaniyyah di mana majoriti ayat turun dalam tempoh 2 tahun pertama Rasulullah saw di Madinah dan selepas hampir 75% Al-Quran (surah-surah Makkiyyah) telah diturunkan sebelum hijrah. |
| Tema: Merangkumi pembahagian golongan manusia dan pengajaran daripada sejarah umat terdahulu. |
| Tiga Golongan Manusia: Membahaskan sifat orang beriman (taat), orang kafir (menolak kebenaran) dan orang munafik (berpura-pura). |
| Kisah Nabi Adam as: Penciptaan Nabi Adam as sebagai khalifah di bumi serta pengajaran tentang ketaatan kepada Allah. |
| Sejarah dan Sikap Bani Israil: Menceritakan kisah kaum Bani Israil pada zaman Nabi Musa as, pengingkaran mereka terhadap perintah Allah dan ujian kisah sembelihan lembu betina (Al-Baqarah) yang mengajar tentang patuh kepada Allah tanpa banyak bersoal. Sikap negatif mereka inilah yang menyebabkan mereka digugurkan daripada kelebihan sebagai “umat terbaik”. Kisah mereka adalah dakwah Rasulullah saw kepada golongan Ahli Kitab yang telah berada lama di Madinah sebelum hijrah. Namun mereka memilih untuk tidak beriman kepada baginda sebagai rasul terakhir sedangkan Rasulullah saw dan Nabi Musa as adalah daripada zuriat keturunan Nabi Ibrahim as dan ketiga-tiganya membawa risalah tauhid yang sama. |
Juzuk 2
| ▪️ Surah Al-Baqarah ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-2 ▪️ 286 ayat ▪️ Juzuk 2 (Ayat 142 – 252) |
| Tema: Memfokuskan kepada peralihan kepimpinan daripada Bani Israil kepada umat Nabi Muhammad saw dan pembinaan jati diri umat Islam. |
| Peralihan Arah Kiblat (ayat 142–147): Arah kiblat ditukar dari Baitul Maqdis ke Kaabah di Mekah. Peristiwa ini menguji ketaatan dan membezakan antara orang yang benar-benar beriman dengan yang ragu-ragu. Peristiwa ini juga melambangkan pertukaran kepimpinan daripada Bani Israil kepada umat Islam. |
| Pensyariatan Hukum dan Ibadah: Merangkumi hukum berkaitan solat, puasa, ibadah haji, munakahat, muamalah, jenayah, jihad, arah tuju hidup, persoalan nafkah dan ekonomi Islam. Bagi mengelakkan umat Islam di bawah kepimpinan Rasulullah saw mengulangi skrip kegagalan Bani Israil memimpin dunia, maka perincian kepada syariat Islam menjadi fokus Juzuk 2. |
| Kisah Thalut dan Jalut (Penutup Juzuk): Kisah tentera Thalut yang sedikit tetapi beriman berjaya menewaskan tentera Jalut. Ini mengajar bahawa kemenangan datang daripada keimanan, bukan semata-mata jumlah yang ramai. Dengan perincian segala prinsip kepimpinan Islam dalam juzuk ini, jati diri yang lebih baik dapat dibina agar umat Islam di Madinah terpelihara dari sebarang anasir kehancuran dan jahiliyyah Bani Israil sejak dari zaman Thalut yang terdahulu. |
Juzuk 3
| ▪️ Surah Al-Baqarah ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-2 ▪️ 286 ayat ▪️ Juzuk 3 (Ayat 253 – 286) |
| Tema: Pengukuhan akidah tauhid, kekuasaan Allah menghidupkan semula yang mati serta peraturan sosial dan ekonomi Islam seperti sedekah, hukum riba dan urusan hutang. |
| Ayat Kursi: Memuatkan Ayat Kursi (ayat 255) yang menerangkan kebesaran, kekuasaan Allah Swt dan sifat Al-Hayyul Qayyum. |
| Kisah Kebangkitan & Kekuasaan Menghidupkan Semula: Kisah-kisah yang menegaskan kebenaran wujudnya hidup selepas mati yang merangkumi kisah Nabi Ibrahim as berdebat dengan Raja Namrud, Nabi Uzair yang dimatikan selama 100 tahun dan Nabi Ibrahim as dengan 4 ekor burung. |
| Adab dan Hukum Berkaitan Harta: Panduan tentang adab bersedekah, larangan riba dan ayat terpanjang dalam Al-Quran mengenai urusan hutang-piutang (ayat 282). |
| Surah ini berakhir dengan rumusan dan penegasan Allah kepada kepentingan iman di sebalik tindak tanduk kepimpinan Islam di Madinah serta motivasi dari Allah di sebalik pelbagai bebanan syariat yang telah dinyatakan sepanjang surah ini (ayat 284-286). |
| Surah Al-Baqarah banyak menyentuh sikap “Al-Maghdhub” (golongan yang dimurkai) manakala Surah Ali ‘Imran banyak menyentuh sikap “Ad-Dhalin” (golongan yang sesat) yang dinyatakan dalam Surah Al-Fatihah. |
| Al-Baqarah (Dasar Hukum dan Dalil): Surah ini banyak meletakkan dasar-dasar akidah, hukum syariat secara umum (seperti pensyariatan haji) dan kisah Bani Israil. Ali ‘Imran (Jawapan dan Perincian): Surah ini menyempurnakan hukum tersebut (seperti mewajibkan haji secara terperinci) serta menjawab pelbagai keraguan atau argumentasi Ahli Kitab (khususnya kaum Nasrani Najran). |
| Kandungan Doa dan Pertolongan: Surah Al-Baqarah banyak memuat doa permohonan hamba kepada Allah, sedangkan Surah Ali ‘Imran melengkapinya dengan penjelasan kondisi nyata serta bentuk-bentuk pertolongan Allah bagi orang beriman dalam menghadapi cabaran hidup dan penentang Islam. |
| ▪️ Surah Ali ‘Imran ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-3 ▪️ 200 ayat ▪️ Juzuk 3 (Ayat 1 – 91) |
| Surah ini dinamakan dengan Ali ’Imran (Keluarga ‘Imran) kerana terdapat kisah keluarga ini yang bermula dengan ayat 33. |
| Surah ini diturunkan di Madinah secara berperingkat, kebanyakannya sekitar tahun ke-3 hingga tahun ke-9 atau ke-10 Hijrah. |
| Tema: Akidah tauhid, penjelasan mengenai kitab-kitab Allah serta dialog dan ketegasan hukum terhadap Ahli Kitab (khususnya kaum Nasrani). |
| Keesaan Allah & Al-Quran sebagai Petunjuk: Menjelaskan bahawa Al-Quran diturunkan dengan benar dan membenarkan kitab-kitab sebelumnya (Taurat dan Injil). |
| Kisah Keluarga ‘Imran & Kelahiran Mukjizat: Menceritakan kisah nazar ibu Maryam, pengasuhan Maryam oleh Nabi Zakaria as, kelahiran Nabi Yahya as dan kelahiran Nabi Isa as tanpa bapa sebagai tanda kekuasaan Allah Swt. |
| Penjelasan Kedudukan Nabi Isa as: Membetulkan kekeliruan Ahli Kitab mengenai status Nabi Isa as, di mana perumpamaan kejadian Nabi Isa as di sisi Allah adalah seperti kejadian Nabi Adam as, yang diciptakan dari tanah tanpa ibu dan bapa. |
| Ayat-ayat tentang kisah keluarga ‘Imran dan kedudukan Nabi Isa as di atas diturunkan semasa Rasulullah saw menerima kunjungan dari Nasrani Najran (Yaman) pada tahun 9H. Ia merupakan medan dialog dan perdebatan dengan mereka tentang kisah-kisah tersebut yang juga wujud dalam kitab mereka. |
| Peringatan kepada Golongan Kafir & Ahli Kitab: Menyeru kepada kalimah yang sama (titik pertemuan) antara orang Islam dan Ahli Kitab, iaitu beribadah kepada Allah semata-mata dan tidak menyekutukan-Nya, serta penegasan bahawa agama yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam. |
Juzuk 4
| ▪️ Surah Ali ‘Imran ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-3 ▪️ 200 ayat ▪️ Juzuk 4 (Ayat 92 – 200) |
| Tema: Pengukuhan perpaduan umat Islam, kepentingan amar makruf nahi mungkar, pengajaran daripada Perang Uhud serta keteguhan iman dan sifat orang yang bertakwa. |
| Kemuliaan Nabi Ibrahim as & Pensyariatan Haji: Penegasan mengenai agama Nabi Ibrahim as yang lurus. Di dalamnya juga ditekankan kemuliaan Baitullah (Kaabah) sebagai rumah ibadat pertama yang dibina untuk manusia serta kewajipan menunaikan ibadat haji bagi yang mampu. |
| Kesatuan dan Perpaduan Umat: Menyeru umat Islam agar berpegang teguh kepada tali Allah dan tidak berpecah-belah. Ini adalah penerusan amaran kepada Yahudi Ahli Kitab di Madinah yang bersimpati dengan kekalahan Quraisy di Badar. |
| Umat Terbaik (Khaira Ummah): Penjelasan tentang peranan umat Islam sebagai sebaik-baik umat yang menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran (ayat 110). Ini menegaskan kaum muslimin supaya berjaga-jaga dari perancangan Ahli Kitab dan menjaga ketaatan dan kesatuan mereka. |
| Pengajaran Perang Uhud: Mengisahkan iktibar daripada Perang Uhud, di mana ketaatan kepada pemimpin dan Rasul serta menjauhi sifat cinta dunia atau khianat adalah penentu kepada kemenangan. |
| Golongan Munafik dan Persatuan Umat: Membincangkan peranan golongan munafik di Madinah serta menyeru umat Islam agar terus bersatu padu di bawah kalimah tauhid. Penegasan semula Allah kepada kaum muslimin mengenai kepentingan iman dan sabar sebagai senjata menghadapi syaitan, konspirasi Yahudi Ahli Kitab dan para Munafik. |
| Ciri-ciri Orang Bertakwa: Pesanan kepada orang bertakwa untuk mencapai kejayaan: sabar, bersiap sedia mempertahankan sempadan umat Islam dan bertakwa kepada Allah. |
| Surah Ali ‘Imran menjaga agama (Hifz ad-Din) melalui ketauhidan dan pertahanan luaran manakala Surah An-Nisa’ menjaga jiwa dan harta (Hifz an-Nafs & al-Mal) melalui keadilan sosial. |
| Surah Ali ‘Imran mengangkat darjat wanita secara konseptual (ibu Maryam & Maryam) manakala Surah An-Nisa’ mengatur hak undang-undang, perkahwinan dan domestik wanita. |
| Surah Ali ‘Imran mengandungi kisah perjuangan dan ujian fizikal di medan Perang Uhud manakala Surah An-Nisa’ menguruskan kebajikan anak yatim dan balu kesan daripada Perang Uhud. |
| ▪️ Surah An-Nisa’ ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-4 ▪️ 176 ayat ▪️ Juzuk 4 (Ayat 1 – 23) |
| Surah ini dinamakan An-Nisa’ kerana surah ini banyak membicarakan hak, hukum dan hal ehwal berkaitan wanita serta pengurusan sistem kekeluargaan dan masyarakat. |
| Surah yang melengkapkan asas Daulah Madinah yang telah dimulakan dari surah Al-Baqarah, membuktikan kerajaan Madinah sebuah peradaban yang menjaga rapi hubungan sesama manusia tanpa mengira darjat mereka. Umat Islam dibawa kepada identiti yang berbeza sepenuhnya dengan cara hidup mereka di zaman Jahiliyyah di Mekah dahulu. |
| Surah ini diturunkan di Madinah secara berperingkat, terutamanya selepas Perang Uhud pada tahun ke-3 hingga tahun ke-5 Hijrah, apabila timbul persoalan pembahagian harta pusaka kepada isteri-isteri dan anak-anak kepada 70 orang para syuhada di Uhud. Surah ini menyerlahkan keadilan dan kelembutan Allah Swt kepada mereka yang lemah, samada wanita dan kanak-kanak yang kehilangan suami dan bapa mereka di Uhud. |
| Tema: Menegakkan keadilan, kasih sayang dan pembelaan hak terhadap golongan yang lemah, terutamanya wanita dan anak yatim, serta pembentukan sistem sosioekonomi kemasyarakatan Islam yang baharu. |
| Asal-usul Kemanusiaan: Surah ini dibuka dengan peringatan tentang asal-usul manusia yang satu (Nabi Adam as dan Hawa) sebagai asas kesetaraan kemanusiaan. |
| Hak Wanita, Anak Yatim dan Pembahagian Harta Pusaka (Faraid): Melindungi hak ekonomi wanita, pengurusan harta anak yatim dan pembahagian harta pusaka secara adil akibat ramainya para syuhada yang gugur dalam Perang Uhud. |
Juzuk 5
| ▪️ Surah An-Nisa’ ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-4 ▪️ 176 ayat ▪️ Juzuk 5 (Ayat 24 – 147) |
| Tema: Memfokuskan kepada pembentukan sistem sosial, perundangan keluarga, ketaatan kepimpinan, panduan menghadapi peperangan dan pendedahan sifat golongan munafik. |
| Perkahwinan & Kekeluargaan: Menjelaskan tentang golongan wanita yang haram dinikahi dan menegaskan peranan suami sebagai pemimpin rumah tangga yang bertanggungjawab memberikan nafkah dan perlindungan. |
| Pengurusan Harta & Keadilan Sosial: Mengharamkan perbuatan mengambil atau memakan harta orang lain secara salah, rasuah atau menipu serta galakan untuk berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat anak yatim dan jiran tetangga, serta kecaman terhadap sifat bakhil. |
| Kepimpinan & Ketaatan: Allah Swt menetapkan asas ketaatan mutlak kepada Allah, Rasulullah saw dan Ulil Amri (pemimpin) serta kaedah menyelesaikan perselisihan faham dengan kembali kepada Al-Quran dan Sunnah. Ini adalah sebagai teras membina benteng dari serangan Quraisy, Yahudi dan Munafik. |
| Pertahanan Negara & Hijrah: Arahan untuk bersiap sedia menghadapi musuh dan mempertahankan golongan yang lemah (lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tertindas) dan tuntutan berhijrah demi mempertahankan akidah. Bahagian ini juga menegaskan kepentingan keadilan kepada musuh di medan peperangan dan mereka yang mengkhianati Rasulullah saw. |
| Sifat Golongan Munafik: Pendedahan sifat munafik (seperti malas mendirikan solat, menunjuk-nunjuk dan berpaling daripada hukum Islam) serta amaran keras tentang kedudukan mereka di lapisan neraka yang paling bawah jika tidak bertaubat. |
▪️ Al-Fatihah membawa ke Mekah.
▪️ Al-Baqarah membawa ke awal Madinah.
▪️ Ali ‘Imran membawa kepada Perang Badar dan Perang Uhud.
▪️ An-Nisa’ menguatkan semula apa berlaku selepas Perang Uhud.
▪️ Kemudian muncullah Al-Maidah yang membawa ke ambang kemenangan – Perjanjian Hudaibiyyah.
Juzuk 6
| ▪️ Surah An-Nisa’ ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-4 ▪️ 176 ayat ▪️ Juzuk 6 (Ayat 148 – 176) |
| Tema: Memfokuskan kepada pendedahan sifat Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani), larangan sikap melampau dalam agama (ghuluw) serta penutup hukum faraid. |
| Pendedahan Helah Ahli Kitab: Bahagian ini membongkar sikap kaum Yahudi dan Nasrani (Ahli Kitab) yang melanggar perjanjian dengan Allah, membunuh para nabi dan menolak ayat-ayat-Nya. Ia juga menyangkal dakwaan palsu mereka tentang penyaliban Nabi Isa as, di mana Allah menegaskan bahawa baginda tidak dibunuh mahupun disalib, sebaliknya diangkat ke langit. |
| Larangan Ghuluw (Melampau dalam Agama): Peringatan keras kepada golongan Nasrani agar tidak melampaui batas dalam mengagungkan Nabi Isa as sehingga mengangkat baginda sebagai anak Allah atau sebahagian daripada konsep triniti. |
| Hukum Faraid bagi Golongan Kalalah: Ayat terakhir surah ini (ayat 176) diturunkan khusus bagi menjelaskan pembahagian harta pusaka untuk golongan Kalalah (si mati yang tiada anak dan ibu bapa). |
| Surah An-Nisa’ membincangkan sikap Yahudi Ahli Kitab yang tidak menepati janji mereka dengan ajaran Taurat dalam banyak perkara (ayat 155). Maka dalam Surah Al-Maidah, para Mukminin mesti menepati janji mereka dengan Allah dan Rasul-Nya melalui perintah-perintah dalam Al-Quran. |
| Surah An-Nisa’banyak membongkar sifat, tipu daya dan bahaya golongan Munafik yang merosakkan masyarakat Islam dari dalam. Surah Al-Maidah pula lebih banyak menegur penyelewengan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) yang melanggar perjanjian-perjanjian mereka dengan Allah dan mengubah suai syariat-Nya. |
| Surah An-Nisa’ mendidik umat Islam tentang bagaimana menjaga keadilan dan keharmonian di dalam institusi keluarga, manakala Surah Al-Maidah datang memperkukuhkannya dengan undang-undang ketatanegaraan, makanan dan perjanjian dalam bermasyarakat. |
| ▪️ Surah Al-Maidah ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-5 ▪️ 120 ayat ▪️ Juzuk 6 (Ayat 1 – 82) |
| Surah ini dinamakan Al-Maidah kerana memuatkan kisah pengikut-pengikut setia Nabi Isa as (Hawariyyun) meminta kepada baginda agar Allah Swt menurunkan untuk mereka Al-Maidah (hidangan makanan) dari langit (ayat 112). |
| Surah ini merupakan surah Madaniyyah yang diturunkan selepas peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah pada 6 Hijrah. Majoriti ayat-ayatnya dikatakan turun secara sekaligus kepada Rasulullah saw pada satu waktu antara penghujung tahun 6 Hijrah dan permulaan tahun 7 Hijrah. |
| Tema: Berpusat kepada kewajipan mematuhi janji, memelihara syariat Islam dan tidak berlaku khianat. |
| Tuntutan Memenuhi Janji (Al-Uqud): Surah ini dimulakan dengan seruan kepada orang beriman untuk menyempurnakan segala janji dan ketetapan yang telah dibuat. |
| Hukum Pemakanan dan Kedaulatan Syariat: Penjelasan terperinci mengenai makanan yang dihalalkan dan diharamkan, binatang buruan ketika ihram serta keharusan mengahwini wanita Ahli Kitab. Ini melambangkan bahawa Islam mengambil berat tentang kesucian aspek fizikal dan rohani umatnya. |
| Kesucian dan Bersuci (Thaharah): Merangkumi pensyariatan dan panduan tata-cara berwuduk, mandi wajib serta kelonggaran bertayamum bagi memudahkan umat Islam mendirikan solat. |
| Keadilan Sosial dan Sumpah Setia: Perintah untuk menegakkan keadilan dan menjadi saksi yang telus, sekalipun terhadap musuh. Allah juga mengingatkan kembali tentang perjanjian (mikaq) yang diikat oleh umat terdahulu agar tidak dikhianati. |
| Teguran Terhadap Ahli Kitab (Yahudi & Nasrani): Mengkritik tindakan mereka yang melanggar janji dengan Allah, mengubah kandungan kitab suci dan membetulkan salah faham akidah yang melampau, seperti mempertuhankan Nabi Isa as. |
| Hukum Jenayah dan Kemanusiaan: Menyentuh kisah Habil dan Qabil (anak Nabi Adam as) sebagai pengajaran tentang bahaya sifat dengki, diikuti dengan penetapan hukum qisas serta hukuman bagi mereka yang merosakkan keamanan awam. |
▪️ Selepas Juzuk 6, dari penghujung surah An-Nisa’ dan separuh dari surah Al-Maidah – memberi gambaran transisi kerajaan Islam Madinah dari sebuah negeri yang dikepung oleh pelbagai musuh kepada negeri yang digeruni oleh Quraisy, Yahudi dan Munafik.
▪️ Juzuk 7 muncul dengan penerusan tema surah Al-Maidah iaitu “menepati janji dan jangan khianat sebagaimana Yahudi” dan kemunculan surah Al-An’am yang memfokuskan kepada penegasan tauhid, kebangkitan semula dan kenabian Rasulullah saw yang wujud pada surah-surah Makkiyyah berbanding dengan surah-surah Madaniyyah.
▪️ Selepas surah-surah Al-Baqarah, Ali ‘Imran, An-Nisa’ dan Al-Maidah penuh dengan pembongkaran apa dalam hati Ahli Kitab dan Munafik dengan latar belakang Madinah, dengan surah Al-An’am bermulanya pembongkaran demi pembongkaran apa dalam hati Musyrikin Mekah.
Juzuk 7
| ▪️ Surah Al-Maidah ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-5 ▪️ 120 ayat ▪️ Juzuk 7 (Ayat 83 – 120) |
| Tema: Memfokuskan kepada aspek akidah, hubungan sosial antara penganut agama, hukum-hakam syariat dan kisah mukjizat Nabi Isa as. |
| Hubungan antara Agama: Menjelaskan perbezaan sikap orang Yahudi dan Musyrikin yang sangat memusuhi orang Islam, berbanding kaum Nasrani (Kristian) yang lebih dekat dan berkasih sayang dengan orang beriman kerana sifat rendah diri para pendeta mereka. |
| Syariat Halal & Haram: Perincian hukum-hakam dari ayat-ayat dalam Juzuk 6 dinyatakan sebagai penegasan kewajipan menunaikan janji kepada Allah Swt untuk mentaati syariat-Nya. |
| Kisah Mukjizat Al-Maidah: Kisah Al-Maidah (Hidangan dari Langit) antara Nabi Isa as dan Hawariyyun menutup tirai surah ini dalam menegaskan kepentingan menunaikan janji untuk beriman dan taat kepada Rasul yang diutuskan. |
| Peralihan daripada Syariat kepada Akidah: Surah Al-Maidah (Madaniyyah): Membincangkan cabang-cabang agama (Furu’ al-Din) seperti hukum hudud, kontrak perjanjian, perkahwinan dan makanan. Surah Al–An’am (Makkiyyah): Kembali menekankan akar tunjang agama (Usul al-Din) iaitu tauhid, kerasulan dan Hari Akhirat. Ini mengajar manusia bahawa syariat tidak akan tegak tanpa akidah yang kukuh. |
| Hubungan Awal Surah Al-An’am dengan Akhir Surah Al-Maidah: Akhir Surah Al-Maidah (Ayat 120): Allah menutup surah dengan menegaskan kekuasaan-Nya mutlak atas langit dan bumi. Awal Surah Al–An’am (Ayat 1): Allah memulakan surah dengan memuji diri-Nya sebagai pencipta kepada apa yang dinyatakan di akhir Al-Ma’idah tadi. Akhir Surah Al-Maidah mengisytiharkan pemilikan-Nya (Kerajaan langit dan bumi), manakala awal Surah Al–An’am membuktikan penciptaan-Nya (Yang menciptakan langit dan bumi). |
| Kesinambungan Hukum Makanan dan Binatang Ternak (Al-An’am): Hubungan paling ketara antara kedua-dua surah ini adalah mengenai topik makanan yang halal dan haram, khususnya daging binatang ternak. Surah Al-Maidah menetapkan praktikal hukum (apa yang halal/haram), manakala Surah Al–An’am membongkar rosaknya akidah golongan yang mengubah hukum tersebut. |
| ▪️ Surah Al-An’am ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-6 ▪️ 165 ayat ▪️ Juzuk 7 (Ayat 1 – 110) |
| Surah ini dinamakan Al-An’am kerana di dalamnya disebut An’am (binatang ternak) dalam hubungan dengan adat-istiadat kaum musyrikin yang menggunakan binatang-binatang ternak untuk mendekatkan diri kepada tuhan mereka. |
| Antara surah terakhir diturunkan di Mekah iaitu selepas hampir 12 tahun Rasulullah saw di Mekah tanpa Saidatina Khadijah dan Abu Talib yang selama ini menyokong perjuangan baginda serta majoriti para Sahabat masih berada di Habsyah. Yang beriman dan baru masuk Islam termasuk dalam sasaran Quraisy untuk diseksa dan diboikot. |
| Tema: Memfokuskan kepada pemantapan akidah Tauhid, pembuktian kekuasaan Allah Swt sebagai pencipta serta hujah-hujah dalam menghadapi golongan musyrik. |
| Kedegilan Kaum Kafir: Allah membongkar kedegilan kaum musyrikin Quraisy yang tetap menolak kebenaran walaupun dibawa mukjizat mahupun kitab. Allah turut memujuk hati Nabi Muhammad saw agar tidak bersedih kerana para rasul terdahulu juga menghadapi pendustaan yang sama. |
| Kunci Keghaiban & Pentadbiran Alam: Penegasan bahawa hanya Allah yang memegang kunci perkara ghaib. Tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan dalam pengetahuan-Nya. |
| Kisah Nabi Ibrahim as Mencari Kebenaran: Kisah dialog Nabi Ibrahim as yang membuktikan kebatilan menyembah bintang, bulan dan matahari kerana objek-objek tersebut tenggelam dan berubah. Baginda kemudian mengisytiharkan tauhid mutlak kepada Pencipta alam. |
| Dalil Kebesaran pada Alam & Adab Dakwah: Allah menunjukkan tanda kekuasaan-Nya menumbuhkan tanaman, membelah waktu subuh dan mengatur orbit matahari serta bulan. Di celah-celah ini, Allah memberi pedoman agar umat Islam tidak mencaci sembahan (berhala) kaum lain bagi mengelakkan mereka mencaci Allah semula tanpa ilmu. |
Mengikut sistematik susunan surah dalam Al-Quran, Allah memperincikan kerosakan golongan yang menyeleweng daripada kebenaran secara tersusun:
▪️ Surah Al-Baqarah: Menceritakan tentang kerosakan golongan Yahudi.
▪️ Surah Ali ‘Imran: Menceritakan tentang penyelewengan golongan Nasrani (Kristian).
▪️ Surah An-Nisa’: Membongkar sifat-sifat golongan Munafik.
▪️ Surah Al-Maidah: Merupakan kesimpulan dan gabungan isu-isu melibatkan ketiga-tiga golongan di atas (Yahudi, Nasrani dan Munafik)
▪️ Surah Al-An’am: Membongkar sifat-sifat golongan Musyrikin.
Juzuk 8
| ▪️ Surah Al-An’am ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-6 ▪️ 165 ayat ▪️ Juzuk 8 (Ayat 111 – 165) |
| Tema: Memfokuskan kepada penegasan tauhid, ketaatan mutlak kepada Allah serta hukum makanan halal dan haram. |
| Hakikat Orang Kafir: Allah menjelaskan bahawa orang yang keras hati tetap tidak akan beriman kerana mereka menutup diri daripada hakikat kebenaran. Ini adalah amaran kepada Quraisy yang terus-menerus menafikan Rasulullah saw. |
| Hukum Makanan & Sembelihan: Menggariskan garis panduan mengenai makanan, termasuk larangan memakan daging haiwan yang disembelih tanpa menyebut nama Allah, serta kritikan keras terhadap khurafat Musyrikin Mekah yang mengharamkan sesetengah binatang ternak secara rekaan sendiri. |
| Prinsip Keadilan & Moral (10 Wasiat): Larangan syirik, kewajipan berbuat baik kepada ibu bapa, larangan membunuh anak kerana takut miskin, menjauhi perbuatan keji (zina/maksiat), larangan membunuh tanpa hak, serta amanah dalam timbangan atau sukatan perdagangan. |
| Keikhlasan Ibadah: Allah memerintahkan Rasulullah saw untuk menegaskan bahawa solat, ibadat, kehidupan dan kematian hanyalah untuk Allah semata-mata tanpa sebarang sekutu (Ayat 162-163). |
| Surah Al-An’am sebagai Asas Akidah (Teori): Fokus utama surah ini adalah menetapkan prinsip-prinsip akidah, tauhid, membongkar kesyirikan dan membawa hujah-hujah logik akal. Surah Al-A’raf sebagai Bukti Sejarah (Rincian Praktikal): Surah Al-A’raf bertindak sebagai rincian praktikal kepada isu-isu yang dibawa oleh Al-An’am di mana ia membuktikan kebenaran tauhid melalui rentetan kisah sejarah nabi-nabi terdahulu. |
| ▪️ Surah Al-A’raf ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-7 ▪️ 206 ayat ▪️ Juzuk 8 (Ayat 1 – 87) |
| Surah ini yang dinamakan “Al-A’raf” yang bermaksud “Tempat Tertinggi”, iaitu sempadan di antara syurga dan neraka bagi golongan yang seimbang amalan baik dan buruknya. |
| Surah ini diturunkan di Mekah sebelum Nabi Muhammad saw berhijrah ke Madinah, sebelum turunnya Surah Al-An’am, ketika penentangan kaum musyrikin Quraisy terhadap dakwah Rasulullah saw semakin memuncak, lalu kisah-kisah para nabi terdahulu diturunkan sebagai pengajaran serta penguat semangat buat baginda dan para sahabat. |
| Tema: Menceritakan tentang sejarah penciptaan manusia dan peringatan terhadap tipu daya syaitan serta kisah perjuangan para Rasul. |
| Kisah Nabi Adam as dan Iblis: Mengisahkan keengganan Iblis untuk bersujud menghormati Nabi Adam as kerana sifat sombong dan takbur. Bahagian ini menjadi peringatan besar kepada manusia agar berwaspada dengan tipu daya Syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan anak cucu Adam. |
| Suasana Hari Kiamat & Al-A’raf: Menjelaskan tentang penimbangan amal dan memaparkan perbualan dan keadaan ahli syurga yang mengecap nikmat, ahli neraka yang menderita, serta ahli Al-A’raf yang berada di persimpangan menunggu keputusan rahmat Allah. |
| Kisah Perjuangan Para Nabi: Mengimbau kembali sejarah kaum-kaum terdahulu yang ingkar seperti kisah Nabi Nuh as, Nabi Hud as (kaum ‘Aad), Nabi Saleh as (kaum Thamud), Nabi Lut as dan Nabi Syuaib as. Kesemua kaum ini akhirnya dibinasakan dengan azab yang dahsyat kerana kesombongan dan keengganan mereka menerima dakwah tauhid. Kisah-kisah ini diturunkan kepada Nabi Muhammad saw untuk mententeramkan hati baginda serta memberi amaran keras kepada Quraisy agar tidak mengulangi kesilapan umat terdahulu yang mendustakan rasul. |
Juzuk 9
| ▪️ Surah Al-A’raf ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-7 ▪️ 206 ayat ▪️ Juzuk 9 (Ayat 88 – 206) |
| Tema: Memfokuskan kepada sejarah panjang perjuangan Nabi Musa as menentang Firaun dan pembongkaran sikap Bani Israil. |
| Kisah Nabi Musa as & Firaun: Kisah ini dipaparkan dengan panjang lebar, bermula daripada penentangan Firaun, mukjizat Nabi Musa as menewaskan para ahli sihir, sehinggalah peristiwa Firaun ditenggelamkan di Laut Merah. |
| Sikap Bani Israil: Allah menceritakan bagaimana kaum ini mudah lupa akan nikmat-Nya. Sebaik sahaja diselamatkan dari Firaun, mereka membuat pelbagai kerenah termasuk menyembah patung anak lembu semasa ketiadaan Nabi Musa as. |
| Perjanjian Alam Roh (Ayat 172): Ayat penting yang menceritakan tentang persaksian seluruh anak Adam di alam roh bahawa Allah adalah satu-satunya Tuhan, yang menjadi asas kepada fitrah manusia yang bertauhid sejak lahir. |
| Kewajipan Mentauhidkan Allah dan Menjauhi Syirik: Memberi amaran keras terhadap perbuatan syirik dan penyembahan berhala. Sikap Quraisy terus dipaparkan dan rumusan daripada Allah mengapa mereka masih degil menolak ajaran Rasulullah saw dan akibat yang bakal mereka terima di akhirat nanti. |
| Surah Al-A’raf membentangkan sejarah perjuangan dan penentangan kaum terdahulu terhadap para nabi, manakala Surah Al-Anfal menceritakan secara khusus perjuangan Nabi Muhammad saw bersama para sahabat, terutamanya peristiwa kemuncak dalam Perang Badar. |
| Surah Al-A’raf memberi amaran tentang bagaimana Allah membinasakan negeri yang menolak dakwah rasul, manakala Surah Al-Anfal menunjukkan pembuktian secara realiti bagaimana janji pertolongan Allah benar-benar berlaku kepada umat Islam di medan perang. |
| ▪️ Surah Al-Anfal ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-8 ▪️ 75 ayat ▪️ Juzuk 9 (Ayat 1 – 40) |
| Surah ini dinamakan Al-Anfal dikaitkan dengan perkataan Al-Anfal yang bermaksud harta rampasan perang (ghanimah) yang terdapat pada permulaan surah ini. |
| Surah ini diturunkan sebaik sahaja selepas Perang Badar pada 2H. Muqaddimah Perang Badar dalam surah Ali ‘Imran, namun ulasan terperinci mengenai perang tersebut dalam surah ini. |
| Tema: Berkisar tentang pengurusan harta rampasan perang, serta ketenangan jiwa dan bantuan ketenteraan daripada Allah Swt. |
| Pembahagian Harta Rampasan Perang (Ghanimah): Menjelaskan ketetapan dan undang-undang berkaitan pengurusan harta rampasan perang supaya tidak menjadi punca pertelingkahan dalam kalangan tentera Islam. |
| Ciri-ciri Orang Beriman: Allah menggariskan sifat mukmin sejati, iaitu mereka yang bergetar hatinya apabila disebut nama Allah, bertambah iman apabila mendengar ayat-ayat-Nya, mendirikan solat dan menginfakkan rezeki. |
| Pertolongan Luar Biasa daripada Allah Swt: Allah menceritakan bagaimana Dia menurunkan bantuan tentera malaikat, rasa mengantuk sebagai ketenteraman, serta hujan untuk menyucikan tentera Islam, sekaligus membuang gangguan syaitan semasa perang berkecamuk. |
Juzuk 10
| ▪️ Surah Al-Anfal ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-8 ▪️ 75 ayat ▪️ Juzuk 10 (Ayat 41 – 75) |
| Tema: Berkisar tentang pembahagian harta rampasan perang, etika ketenteraan serta pengukuhan ukhuwah (persaudaraan) Islamiah. |
| Pembahagian Harta Rampasan Perang (Ghanimah): Diperjelaskan hukum bahawa satu perdua lima (1/5) daripada harta rampasan adalah hak Allah, Rasul-Nya, kaum kerabat Rasulullah, anak yatim, orang miskin dan musafir. |
| Sorotan Perang Badar: Mengimbau kembali bagaimana Allah membantu tentera Islam dalam Perang Badar serta kedahsyatan malaikat ketika mencabut nyawa orang kafir di medan perang. |
| Syarat Kemenangan & Kekuatan Negara: Umat Islam dituntut untuk sentiasa mengingati Allah (zikir), taat kepada Allah dan Rasul, mengelakkan perbalahan sesama sendiri serta sentiasa membuat persiapan ketenteraan yang rapi bagi mempertahankan negara. |
| Ikatan Persaudaraan Umat Islam: Surah ini diakhiri dengan penegasan tentang hubungan erat dan saling melindungi antara golongan Muhajirin dan Ansar dalam berjuang di jalan Allah. |
| Kesamaan Tema: Kedua-dua surah Al-Anfal dan At-Taubah merupakan surah Madaniyah yang memfokuskan kepada perjuangan menegakkan Islam dan hukum peperangan. |
| Surah Al-Anfal diturunkan pada awal fasa ketenteraan Islam, iaitu sejurus selepas Perang Badar pada 2H, yang membincangkan tentang pembahagian harta rampasan perang dan strategi menghadapi musuh. Surah At-Taubah pula diturunkan pada fasa akhir kerasulan, iaitu sekitar Perang Tabuk pada 9H, yang menyentuh tentang ketegasan akhir terhadap kaum musyrikin dan golongan munafik. |
| Melengkapkan hukum-hakam dalam peperangan dan perdamaian yang telah dimulakan dalam Perang Badar (perang pertama kerasulan) dalam Surah Al-Anfal sehingga Perang Tabuk (perang terakhir kerasulan) dalam Surah At-Taubah. Kedua-dua surah memposisikan Rasulullah saw sebagai komander perang yang terbaik dunia. |
| ▪️ Surah At-Taubah ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-9 ▪️ 129 ayat ▪️ Juzuk 10 (Ayat 1 – 93) |
| Surah ini dinamakan At-Taubah yang bermaksud pengampunan berhubung perkataan itu yang disebut sebanyak 17 kali dalam surah ini. |
| Surah ini diturunkan pada fasa akhir kerasulan Nabi Muhammad saw, iaitu sekitar Perang Tabuk pada 9H. Surah ini juga merupakan antara surah terakhir yang diturunkan di Madinah. |
| Surah ini merupakan satu-satunya surah dalam Al-Quran yang tidak dimulakan dengan Basmallah, disebabkan kandungannya yang tegas mengenai pemutusan hubungan perdamaian dengan kaum musyrikin yang mencabuli perjanjian. |
| Tema: Berpusat kepada ketegasan terhadap golongan musyrik dan munafik, serta pembersihan saf umat Islam. |
| Ketegasan terhadap Pengkhianatan: Pengisytiharan pembatalan perjanjian (Bara’ah) secara rasmi oleh Allah dan Rasul-Nya terhadap kaum musyrikin Mekah yang berulang kali melanggar perjanjian damai, memberikan mereka tempoh 4 bulan untuk bertaubat atau menghadapi tindakan. |
| Perang Tabuk: Memaparkan latar belakang peperangan terakhir yang disertai oleh Nabi Muhammad saw menentang ancaman Rom, yang berlaku pada musim panas dan penuh mencabar. |
| Membongkar Tembelang Orang Munafik: Allah mendedahkan helah orang munafik yang memberikan pelbagai alasan palsu untuk mengelak daripada menyertai Perang Tabuk. |
| ▪️ Surah At-Taubah ▪️ Madaniyyah ▪️ 129 ayat ▪️ Juzuk 10 (Ayat 1 – 93) |
| Surah ini dinamakan At-Taubah yang bermaksud pengampunan berhubung perkataan itu yang disebut sebanyak 17 kali dalam surah ini. |
| Surah ini diturunkan pada fasa akhir kerasulan Nabi Muhammad saw, iaitu sekitar Perang Tabuk pada 9H. Surah ini juga merupakan antara surah terakhir yang diturunkan di Madinah. |
| Surah ini merupakan satu-satunya surah dalam Al-Quran yang tidak dimulakan dengan Basmallah, disebabkan kandungannya yang tegas mengenai pemutusan hubungan perdamaian dengan kaum musyrikin yang mencabuli perjanjian. |
| Tema: Berpusat kepada ketegasan terhadap golongan musyrik dan munafik, serta pembersihan saf umat Islam. |
| Ketegasan terhadap Pengkhianatan: Pengisytiharan pembatalan perjanjian (Bara’ah) secara rasmi oleh Allah dan Rasul-Nya terhadap kaum musyrikin Mekah yang berulang kali melanggar perjanjian damai, memberikan mereka tempoh 4 bulan untuk bertaubat atau menghadapi tindakan. |
| Perang Tabuk: Memaparkan latar belakang peperangan terakhir yang disertai oleh Nabi Muhammad saw menentang ancaman Rom, yang berlaku pada musim panas dan penuh mencabar. |
| Membongkar Tembelang Orang Munafik: Allah mendedahkan helah orang munafik yang memberikan pelbagai alasan palsu untuk mengelak daripada menyertai Perang Tabuk. |
Juzuk 11
| ▪️ Surah At-Taubah ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-9 ▪️ 129 ayat ▪️ Juzuk 11 (Ayat 94 – 129) |
| Tema: Membongkar sepenuhnya kesan pasca-Perang Tabuk dan membezakan antara keimanan yang jujur dengan kepura-puraan. |
| Helah Kaum Munafik: Pendedahan tentang alasan-alasan palsu orang munafik yang tidak menyertai peperangan serta penegasan bahawa Allah dan Rasul-Nya mengetahui isi hati mereka. |
| Peristiwa Masjid Dhirar: Kisah sebuah “masjid” yang dibina oleh golongan munafik bukan untuk ibadah, melainkan sebagai pangkalan rahsia untuk memecahbelahkan umat Islam. Rasulullah saw dilarang bersolat di situ dan diarahkan untuk meruntuhkannya. |
| Tiga Sahabat yang Menyesal: Kisah Ka’ab bin Malik, Murarah bin Ar-Rabi’ dan Hilal bin Umayyah—tiga orang beriman yang jujur mengaku salah kerana tidak menyertai perang tanpa alasan. Mereka dipulaukan selama 50 hari sehingga taubat mereka diterima oleh Allah. |
| Sifat Keperibadian Rasulullah saw: Penutup surah yang mengandungi ayat yang memuji keperibadian Nabi Muhammad saw yang sangat prihatin, pengasih dan penyayang terhadap keselamatan serta kebajikan umatnya. |
| Surah At-Taubah (surah Madaniyyah) membincangkan fasa pemutusan perjanjian dan hukum peperangan, manakala Surah Yunus (surah Makkiyyah) menelusuri asas-asas akidah, tauhid, pengaturan alam semesta oleh Allah, serta kisah para nabi terdahulu sebagai pengajaran (ibrah). |
| Surah At-Taubah mendedahkan perbuatan dan helah kaum munafik di Madinah, manakala Surah Yunus memfokuskan kepada hujah dan penentangan kaum musyrikin Mekah. |
| ▪️ Surah Yunus ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-10 ▪️ 109 ayat ▪️ Juzuk 11 (Ayat 1 – 109) |
| Nama surah ini diabadikan bersempena kisah kaum Nabi Yunus as yang mencatatkan sejarah unik dalam Al-Quran. |
| Surah ini merupakan surah Makkiyyah yang diturunkan selepas Peristiwa Isra’ dan Mi’raj, ketika umat Islam menghadapi tekanan hebat daripada kaum musyrikin Mekah. |
| Tema: Meneguhkan akidah Islam melalui pembuktian tauhid, kebenaran wahyu Al-Quran, serta sunnatullah (ketetapan Allah) terhadap umat terdahulu yang mendustakan para rasul. |
| Tanda Kekuasaan Allah di Alam Semesta: Ajakan untuk merenung penciptaan langit, bumi, matahari yang bersinar dan bulan yang bercahaya sebagai bukti kebesaran Pencipta. |
| Penolakan terhadap Al-Quran: Sanggahan terhadap kaum musyrikin yang menuduh Al-Quran sebagai rekaan atau sihir, serta cabaran Allah kepada mereka untuk membawa satu surah yang menyamai Al-Quran. |
| Pengajaran Kisah Para Nabi: ▪️ Kisah Nabi Nuh as: Ringkasan tentang ketegasan baginda berdakwah dan penolakan kaumnya yang membawa kepada bencana banjir besar. ▪️ Kisah Nabi Musa as: Memaparkan penolakan Firaun terhadap mukjizat Nabi Musa as. Klimaks kisah ini adalah penyesalan Firaun di saat-saat akhir ketika hampir tenggelam di Laut Merah, namun taubatnya ditolak kerana sudah terlambat. ▪️ Keunikan Kaum Nabi Yunus as (Ayat 98): Satu-satunya kaum dalam sejarah yang terselamat daripada azab Allah kerana seluruh penduduknya segera beriman dan bertaubat sebelum azab menimpa mereka. |
| Surah Hud bertindak sebagai penghuraian lanjut kepada kisah-kisah para nabi yang telah disentuh secara ringkas di dalam Surah Yunus. |
| Surah Yunus memaparkan satu pengecualian yang indah melalui kaum Nabi Yunus as; mereka adalah satu-satunya kaum yang terselamat daripada azab kerana bersegera bertaubat sebaik sahaja melihat tanda amaran. Surah Hud pula memaparkan implikasi berbeza yang lebih tegas, iaitu bagaimana kaum-kaum lain (seperti kaum ‘Aad, Thamud dan kaum Nabi Lut as) dibinasakan secara total akibat degil dan menolak dakwah nabi mereka. Ini memberikan keseimbangan mesej antara rahmat (harapan) dalam Surah Yunus dan amaran (ketakutan) dalam Surah Hud. |
| ▪️ Surah Hud ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-11 ▪️ 123 ayat ▪️ Juzuk 11 (Ayat 1 – 5) |
| Surah ini dinamakan Hud kerana di dalam surah ini terdapat kisah Nabi Hud as yang diutuskan kepada kaumnya, Kaum ‘Aad pada ayat 50-60. |
| Surah ini diturunkan di Mekah pada “Tahun Kesedihan”, iaitu waktu Rasulullah saw kehilangan isteri baginda, Saidatina Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib. Surah ini berfungsi sebagai sumber motivasi, penenteram jiwa serta penguat semangat baginda terutama ketika menghadapi tekanan hebat daripada kaum kafir Quraisy. |
| Walaupun surah ini terkenal sebagai surah yang membuatkan “rambut Nabi Muhammad saw beruban” kerana tanggungjawabnya yang berat, intipatinya dipenuhi elemen yang menaikkan moral dakwah baginda. |
| Tema: Penegasan semula asas agama. |
| Kesempurnaan Al-Quran & Seruan Tauhid: Menjelaskan kesempurnaan susunan ayat al-Quran daripada Allah serta seruan agar manusia memurnikan ibadah kepada Allah dan memperbanyakkan istighfar demi memperoleh keredaan serta kenikmatan hidup. |
Juzuk 12
| ▪️ Surah Hud ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-11 ▪️ 123 ayat ▪️ Juzuk 12 (Ayat 6 – 123) |
| Tema: Berkisar tentang jaminan rezeki oleh Allah, pengajaran daripada kisah para nabi terdahulu serta perintah untuk sentiasa istiqamah. |
| Jaminan Rezeki & Kekuasaan Allah: Dimulakan dengan penegasan bahawa Allah Swt menjamin rezeki setiap makhluk yang melata di bumi dan Maha Mengetahui segala urusan mereka. |
| Kisah Para Nabi Sebagai Iktibar: Memuatkan kisah perjuangan Nabi Nuh as (termasuk kisah anaknya yang derhaka dan ditenggelamkan banjir), Nabi Hud as, Nabi Saleh as, Nabi Lut as, Nabi Syuaib as dan Nabi Musa as. Kisah-kisah ini menunjukkan bagaimana kaum yang zalim dan menolak kebenaran akhirnya dibinasakan. Ia merupakan ancaman azab kepada Quraisy dan motivasi buat Rasulullah saw kerana kemenangan akhir sentiasa berpihak kepada kebenaran. |
| Perintah Istiqamah: Ditutup dengan seruan kepada Nabi Muhammad saw dan umat Islam agar bersabar dan istiqamah di jalan Allah Swt. |
| Peralihan Bentuk “Tarbiyah” (Pendidikan Jiwa): Surah Hud (Aksi Kemasyarakatan): Memaparkan siri perjuangan para nabi berhadapan dengan tentangan daripada masyarakat mereka. Fokusnya adalah keteguhan iman berhadapan dengan kehancuran kaum yang ingkar. Surah Yusuf (Aksi Kekeluargaan): Bertindak sebagai kebersamaan emosi dengan membawa tema tarbiyah kekeluargaan. Ujian di dalam surah ini kebanyakan datang daripada ahli keluarga sendiri. |
| Pengukuh Hati Rasulullah saw: Surah Hud: Allah memujuk baginda dengan menunjukkan bahawa semua nabi terdahulu juga ditolak dan diejek oleh kaum mereka. Surah Yusuf: Allah memberikan sinar harapan bahawa selepas segala penderitaan dan pengkhianatan, Allah pasti akan mengangkat darjat orang yang bertakwa dan sabar, seumpama kisah Nabi Yusuf as yang akhirnya menjadi menteri di Mesir. |
| ▪️ Surah Yusuf ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-12 ▪️ 111 ayat ▪️ Juzuk 12 (Ayat 1 – 52) |
| Nama surah ini diabadikan bersempena kisah Nabi Yusuf as yang diiktiraf sebagai antara kisah terbaik di dalam Al-Quran kerana jalan ceritanya yang tersusun indah dan dipenuhi emosi serta pengajaran. |
| Surah ini diturunkan di Mekah sebelum peristiwa Hijrah Rasulullah saw ke Madinah, pada fasa akhir zaman dakwah baginda di Mekah. |
| Tema: Merangkumi perjalanan hidup Nabi Yusuf as bermula daripada kisah mimpi baginda, dikhianati oleh adik-beradik, digoda oleh isteri pembesar, sehinggalah baginda dipenjarakan. |
| Mimpi Nabi Yusuf as: Kisah bermula apabila Nabi Yusuf as bermimpi melihat 11 bintang, matahari dan bulan sujud kepada baginda. |
| Konspirasi Saudara Kandung: Disebabkan perasaan cemburu, abang-abang Nabi Yusuf as merancang untuk membuangnya ke dalam perigi buta dan menipu bapa mereka (Nabi Yaakub as) dengan mengatakan Yusuf telah dimakan serigala. |
| Ujian di Mesir: Nabi Yusuf as diselamatkan oleh kafilah dagang dan dijual sebagai hamba di Mesir kepada seorang pembesar (Al-Aziz). Di sana, baginda membesar menjadi pemuda yang sangat tampan dan berilmu. |
| Ujian Fitnah & Godaan Wanita: Ketabahan Nabi Yusuf as menempuh ujian fitnah dan godaan daripada isteri Al-Aziz. Baginda memilih untuk dipenjarakan demi menjaga maruah dan ketaatan kepada Allah. |
| Tafsiran Mimpi di Penjara: Kelebihan yang Allah kurniakan kepada Nabi Yusuf as dalam mentakwil mimpi rakan sepenjara, yang menjadi titik mula kepada pembebasan baginda kelak. |
Juzuk 13
| ▪️ Surah Yusuf ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-12 ▪️ 111 ayat ▪️ Juzuk 13 (Ayat 53 – 111) |
| Tema: Memaparkan fasa kemenangan, penyatuan semula keluarga dan berakhirnya penderitaan Nabi Yusuf as. |
| Perlantikan Jawatan: Nabi Yusuf as mentakwil mimpi Raja Mesir, dibebaskan dari penjara dan dilantik menjadi menteri yang menguruskan perbendaharaan serta krisis kemarau di Mesir. |
| Pertemuan dengan Saudara-saudaranya: Ketika musim kemarau, saudara-saudara Nabi Yusuf as datang ke Mesir untuk mendapatkan bekalan makanan tanpa menyedari identiti baginda. |
| Penyatuan Keluarga: Selepas beberapa siri ujian, Nabi Yusuf as akhirnya mendedahkan identitinya dan memaafkan kesemua kesalahan saudaranya tanpa menyimpan dendam. Kisah ini berakhir dengan penyatuan semula seluruh keluarga baginda termasuk bapanya, Nabi Yaakub as. |
| Surah Yusuf mengajar kita memerah konsep tawakkal, sabar dan melihat aturan ghaib Allah melalui kisah kehidupan. Surah Ar-Ra’d pula memperkukuh minda kita untuk melihat kebesaran Allah melalui penciptaan alam semesta dan memberikan ketenteraman hakiki kepada jiwa yang diuji. |
| ▪️ Surah Ar-Ra’d ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-13 ▪️ 43 ayat ▪️ Juzuk 13 (Ayat 1 – 43) |
| Surah ini dinamakan “Ar-Ra’d” (guruh) sebagai simbolik kepada kehebatan ciptaan Allah Swt yang bertasbih memuji-Nya, sekaligus menjadi amaran bagi golongan yang ingkar. |
| Menurut beberapa riwayat, ayat-ayat dalam surah ini (terutamanya ayat ke-13 tentang guruh/ar-ra’d dan halilintar) diturunkan di Madinah ketika dua orang ketua musyrikin yang angkuh, datang bertemu Rasulullah saw dengan niat jahat untuk membunuh baginda, lalu Allah membinasakan salah seorang daripada mereka dengan panahan petir. |
| Kaum Quraisy mendesak Rasulullah saw menunjukkan bukti kerasulan baginda melalui mukjizat namun surah ini memaparkan jawapan Allah mengapa ianya bukan pilihan buat Rasul-Nya. |
| Tema: Kekuasaan, kebenaran (al-haq) dan ketetapan wahyu Allah Swt dalam mengatur alam semesta serta kehidupan manusia. |
| Bukti Alam (Ayat Qauniyyah): Allah Swt mempamerkan tanda kekuasaan-Nya melalui penciptaan langit, bumi, matahari, bulan, guruh dan kilat. Malah, guruh itu sendiri digambarkan bertasbih memuji-Nya. |
| Tuntutan Mukjizat: Kaum Quraisy sering memberi alasan untuk tidak beriman dengan menuntut mukjizat. Tugas Rasulullah saw hanyalah pemberi peringatan, manakala urusan mendatangkan mukjizat sepenuhnya di bawah kehendak dan hak mutlak Allah. |
| Perubahan Nasib Kaum: Ayat 11 menegaskan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri yang berusaha mengubah apa yang ada pada diri mereka. |
| Ketenangan Hati: Mengandungi ayat yang sangat masyhur (Ayat 28), iaitu penegasan bahawa hanya dengan mengingati Allah (zikrullah), hati manusia akan menjadi tenang. |
| Surah Ar-Ra’d menekankan hakikat kebenaran (al-haq) dan kekuasaan Allah yang mengawal alam (seperti guruh). Surah Ibrahim pula menekankan hidayah (panduan) untuk membawa manusia keluar daripada kegelapan kepada cahaya. |
| Surah Ar-Ra’d mengajar ketenangan hati melalui zikrullah (mengingati Allah). Surah Ibrahim pula mengajar sifat syukur atas nikmat Allah dan kesan buruk jika kufur. |
| ▪️ Surah Ibrahim ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-14 ▪️ 52 ayat ▪️ Juzuk 13 (Ayat 1 – 52) |
| Surah ini dinamakan Ibrahim kerana di dalam surah ini terdapat doa Nabi Ibrahim as yang dimulai ayat 35-41. |
| Surah ini diturunkan pada zaman akhir fasa Mekah (sekitar tahun ke-11 hingga ke-13 kerasulan). Waktu ini merupakan fasa kritikal di mana penentangan moral dan fizikal daripada kaum musyrikin Quraisy berada pada tahap kemuncak sebelum Nabi Muhammad saw berhijrah. |
| Tema: Membawa manusia keluar daripada kegelapan syirik dan kekufuran menuju ke jalan cahaya tauhid serta sentiasa bersyukur atas segala nikmat Allah. |
| Peranan Al-Quran: Ditegaskan pada ayat terawal bahawa Al-Quran diturunkan sebagai mukjizat untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya yang terang-benderang (iman). |
| Syukur Ditambah Nikmat: Melalui ayat 7, Allah menjanjikan bahawa sesiapa yang bersyukur akan ditambah lagi nikmat-Nya, manakala kufur nikmat akan mengundang azab yang pedih. |
| Pendustaan Kaum Terdahulu: Menceritakan dialog antara para rasul terdahulu dengan kaum mereka yang menentang dan mendustakan ajaran rasul-rasul mereka. |
| Doa Nabi Ibrahim as: Diakhiri dengan doa-doa mustajab Nabi Ibrahim as, termasuk memohon agar baginda dan zuriat keturunannya sentiasa istiqamah mendirikan solat serta memohon keamanan untuk kota Mekah. |
| Surah Ibrahim menekankan kepentingan syukur melalui ayat 7. Surah Al-Hijr pula membongkar punca utama manusia gagal bersyukur dan menjadi kufur, iaitu melalui kisah kesombongan Iblis (Ayat 31-39), yang enggan sujud kepada Nabi Adam as. |
| Surah Ibrahim: Menceritakan secara umum dialog antara para rasul terdahulu dengan kaum mereka yang degil, serta bagaimana orang zalim akan menerima balasan di akhirat. Surah Al-Hijr: Memberikan contoh-contoh spesifik tentang kaum yang ingkar tersebut, seperti penduduk Al-Hijr (kaum Tsamud), kaum Nabi Lut as dan penduduk Al-Aikah, sebagai bukti sejarah bahawa ancaman Allah dalam Surah Ibrahim adalah benar-benar berlaku. |
Juzuk 14
| ▪️ Surah Al-Hijr ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-15 ▪️ 99 ayat ▪️ Juzuk 11 (Ayat 1 – 99) |
| Nama surah ini merujuk kepada “Al-Hijr” iaitu kawasan berbatu yang pernah menjadi penempatan kaum Thamud (kaum Nabi Saleh as). |
| Surah ini diturunkan pada zaman akhir fasa Mekah (sekitar tahun ke-11 hingga ke-13 kerasulan), ketika dakwah Nabi Muhammad saw ditentang hebat di Mekah. Allah memberikan amaran kepada kaum musyrikin mengenai nasib buruk umat terdahulu yang membinasakan diri kerana mendustakan para rasul. |
| Tema: Perlindungan, penjagaan dan ketetapan Allah Swt terhadap agama-Nya, di samping menegaskan kebenaran wahyu (Al-Quran) serta ancaman azab kepada golongan yang mendustakan para nabi. |
| Jaminan Pemeliharaan Al-Quran: Allah Swt memberikan jaminan mutlak bahawa Al-Quran akan sentiasa dipelihara daripada sebarang perubahan atau penyelewengan melalui Ayat 9. |
| Kisah Penciptaan Manusia & Iblis: Mengisahkan keengganan Iblis bersujud kepada Nabi Adam as kerana sombong, yang menyebabkannya diusir dari syurga. Iblis bersumpah akan menyesatkan manusia, kecuali hamba-hamba Allah yang ikhlas dan soleh. |
| Kisah Para Nabi: Menyebut tentang kedatangan malaikat membawa khabar gembira kelahiran anak Nabi Ibrahim as (Nabi Ishak as), diikuti dengan kisah azab yang menimpa kaum Nabi Lut as serta kemusnahan penduduk Al-Hijr kerana mendustakan para rasul. |
| Pujian dan Pesanan buat Rasulullah saw: Di penghujung surah, Allah memujuk hati Nabi Muhammad saw agar bersabar menghadapi ejekan kaum kafir dengan cara memperbanyakkan tasbih, memuji Allah dan mendirikan solat bagi membina kekuatan jiwa. |
| Di awal Surah Al-Hijr, Allah Swt memberikan jaminan mutlak untuk memelihara kesucian Al-Quran daripada sebarang penyelewengan. Surah An-Nahl pula bertindak sebagai pelengkap dengan membawakan ancaman dan hujah-hujah yang mematahkan dakyah kaum musyrikin yang cuba mendustakan kebenaran wahyu Allah tersebut. |
| ▪️ Surah An-Nahl ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-16 ▪️ 128 ayat ▪️ Juzuk 14 (Ayat 1 – 128) |
| Surah ini dinamakan “An-Nahl” yang bermaksud lebah, dan ia juga dikenali sebagai Surah Al-Ni’am (Surah Nikmat) kerana banyaknya nikmat Allah yang diceritakan di dalamnya. |
| Surah ini diturunkan pada fasa akhir kehidupan Rasulullah saw di Mekah, sebelum berlakunya Hijrah ke Madinah. |
| Tema: Berkisar mengenai ketauhidan, pembuktian nikmat Allah serta garis panduan hukum dan dakwah. |
| Keajaiban Penciptaan Lebah: Ayat 68-69 mengangkat kisah lebah yang membina sarang dan menghasilkan madu sebagai ubat penawar bagi manusia, menjadi simbol keteraturan dan kepatuhan makhluk kepada perintah Pencipta. |
| Hamparan Nikmat Allah: Surah ini memperincikan nikmat-nikmat yang dekat dengan pancaindera manusia—seperti binatang ternakan, hujan, tumbuh-tumbuhan, laut, pakaian, dan kenderaan—supaya manusia bersyukur dan tidak bersikap kufur. |
| Teguran Terhadap Syirik & Amalan Jahiliah: Allah membidas hujah kaum musyrikin yang menyembut sekutu lain. Surah ini turut mengecam adat jahiliah Arab yang berasa malu dan dukacita apabila dikurniakan anak perempuan, malah ada yang sanggup menanam mereka hidup-hidup. |
| Garis Panduan Hidup & Dakwah: Allah memerintahkan umat Islam menegakkan keadilan, melakukan kebaikan, serta menyeru ke jalan Allah (berdakwah) dengan penuh hikmah, nasihat yang baik dan kesabaran yang tinggi. |
| Peristiwa Isra’ Mikraj merupakan bentuk tasliyah (hiburan dan kemuliaan) daripada Allah Swt kepada Nabi Muhammad saw setelah baginda menunjukkan kesabaran yang tinggi dalam berdakwah. Perintah sabar di akhir Surah An-Nahl dijawab langsung dengan anugerah perjalanan agung di awal Surah Al-Isra’. |
Juzuk 15
| ▪️ Surah Al-Isra’ ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-17 ▪️ 111 ayat ▪️ Juzuk 15 (Ayat 1 – 111) |
| Surah ini dinamakan sempena peristiwa Isra’ dan Mikraj, iaitu perjalanan malam Rasulullah saw dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan kemudiannya baginda diangkat ke langit menghadap Allah Swt. |
| Surah ini diturunkan pada fasa akhir tempoh kenabian di Mekah, iaitu sejurus selepas berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj. Ketika ini Rasulullah saw menghadapi kemuncak tekanan emosi dan fizikal daripada musyrikin Quraisy. |
| Tema: Berpusat kepada pengukuhan akidah tauhid, pembinaan syariat serta akhlak komuniti Muslim dan iktibar daripada sejarah kejatuhan kaum terdahulu. |
| Peristiwa Isra’: Ayat pertama membuka surah dengan kisah perjalanan malam Rasulullah saw. Selepas baginda menyampaikan perihal perjalanan malam tersebut, kaum Quraisy bertindak mengejek dan menuduh baginda menipu. Mereka menganggap perjalanan dalam satu malam tersebut adalah mustahil mengikut logik akal. Surah ini diturunkan untuk membidas kedegilan mereka dan menegaskan peranan mukjizat sebagai ujian keimanan bagi manusia. |
| Kisah Bani Israil: Menceritakan tentang sejarah dua kali kerosakan besar dan sikap sombong angkuh yang dilakukan oleh Bani Israil di muka bumi sebagai amaran kepada umat manusia. |
| Panduan Akhlak dan Sosial: Menggariskan prinsip tingkah laku individu dan masyarakat, termasuk larangan berzina, larangan membunuh tanpa hak, kewajipan menjaga anak yatim, larangan bersikap sombong serta perintah berbakti kepada ibu bapa. |
| Keagungan Al-Quran: Menegaskan bahawa Al-Quran adalah penawar dan rahmat, serta mencabar kaum musyrikin untuk mendatangkan kitab yang serupa dengannya. |
| Menurut Imam As-Suyuti, keserasian kedua-dua surah ini berakar daripada tiga soalan yang dikemukakan oleh kaum musyrikin Mekah atas arahan pendeta Yahudi Madinah untuk menguji kenabian Nabi Muhammad saw: ▪️ Mereka disuruh bertanya tentang Ruh, Ashabul Kahfi (pemuda gua) dan Zulkarnain. ▪️ Jawapan bagi soalan pertama iaitu tentang Ruh diturunkan di dalam Surah Al-Isra’ (Ayat 85). ▪️ Manakala baki dua lagi jawapan iaitu tentang Ashabul Kahfi dan Zulkarnain dimuatkan di dalam Surah Al-Kahfi. |
| ▪️ Surah Al-Kahfi ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-18 ▪️ 110 ayat ▪️ Juzuk 15 (Ayat 1 – 74) |
| Penamaan surah ini yang bermaksud gua diambil secara khusus daripada kisah Ashabul Kahfi (Penghuni Gua) yang diceritakan pada awal surah (ayat 9–26). |
| Surah ini diturunkan pada tahun kelima kenabian, iaitu tidak lama sebelum peristiwa penghijrahan pertama kaum Muslimin ke Habsyah (Abyssinia). Ia turun ketika fasa penindasan kaum musyrikin Quraisy terhadap para sahabat Nabi semakin meningkat. |
| Surah ini diturunkan sebagai jawapan kepada soalan-soalan yang dikemukakan oleh kaum Musyrikin Mekah (atas arahan pendeta Yahudi Madinah) untuk menguji kenabian Nabi Muhammad saw. |
| Tema: Perlindungan akidah dan panduan menghadapi fitnah dunia. |
| Kisah Ashabul Kahfi (Ujian Keimanan): Kisah sekumpulan pemuda mukmin yang melarikan diri ke dalam gua demi mempertahankan akidah mereka daripada raja yang zalim. Allah menidurkan mereka selama 309 tahun sebagai tanda kekuasaan-Nya dan bukti hari kebangkitan. |
| Kisah Pemilik Dua Kebun (Ujian Harta): Kisah pengajaran tentang dua orang sahabat; seorang kaya raya tetapi kufur dan sombong dengan hartanya, manakala seorang lagi miskin tetapi teguh beriman kepada Allah. Akhirnya, harta kekayaan tersebut dimusnahkan akibat kekufurannya. |
| Kisah Nabi Musa as dan Nabi Khidir as (Ujian Ilmu): Permulaan kisah pengembaraan Nabi Musa as menuntut ilmu dengan Nabi Khidir as yang mengajar erti kesabaran, adab menuntut ilmu dan hakikat bahawa setiap ketetapan Allah mempunyai hikmah yang tersirat. |
Juzuk 16
| ▪️ Surah Al-Kahfi ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-18 ▪️ 110 ayat ▪️ Juzuk 16 (Ayat 75 – 110) |
| Pengakhiran Kisah Nabi Musa as dan Nabi Khidir as: Menjelaskan hikmah di sebalik tindakan pelik Nabi Khidir as (merosakkan perahu, membunuh seorang anak dan mendirikan dinding yang runtuh). Pengajaran utamanya adalah kepentingan sifat sabar dan berlapang dada dalam menuntut ilmu. |
| Kisah Zulkarnain (Ujian Kuasa): Kisah seorang pemerintah berkuasa yang adil. Beliau membina benteng besi yang kukuh untuk menyekat Yakjuj dan Makjuj daripada melakukan kerosakan di bumi sehinggalah tiba waktu yang ditetapkan menjelang Hari Kiamat. |
| Peringatan Hari Kiamat: Surah ini diakhiri dengan penegasan bahawa amalan orang-orang kafir akan sia-sia pada Hari Kiamat, manakala balasan Syurga Firdaus menanti orang yang beriman dan beramal soleh. |
| Surah Al-Kahfi: Menceritakan kisah sekumpulan pemuda (Ashabul Kahfi) yang ditidurkan selama 309 tahun tanpa mengalami perubahan biologi pada tubuh mereka. Surah Maryam: Datang dengan hukum alam yang lebih mustahil bagi akal manusia, iaitu kelahiran Nabi Yahya as daripada ibu bapa yang sangat tua dan mandul, serta kelahiran Nabi Isa as daripada seorang perawan (Maryam) tanpa sentuhan lelaki (tanpa bapa). |
| ▪️ Surah Maryam ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-19 ▪️ 98 ayat ▪️ Juzuk 16 (Ayat 1 – 98) |
| Surah ini dinamakan Maryam kerana terdapat kisah Maryam, ibu kepada Nabi Isa as dalam ayat 16 hingga ayat 35, dan untuk mengangkat kemuliaan beliau sebagai sebaik-baik wanita di muka bumi. |
| Surah ini diturunkan pada peringkat awal kenabian, sebelum peristiwa hijrah pertama para sahabat ke negeri Habsyah (Ethiopia). Menurut riwayat Ibnu Mas’ud, Ja’far bin Abi Thalib ra telah membacakan ayat-ayat awal daripada Surah Maryam ini di hadapan Raja Najasyi ketika mereka berada di Habsyah untuk menjelaskan pandangan Islam tentang Nabi Isa as dan Maryam. Hijrah ke Habsyah ini berlaku sekitar tahun kelima kenabian (sekitar 615 Masihi). |
| Tema: Menekankan konsep Tauhid (Keesaan Allah) dan menolak dakwaan karut bahawa Allah mempunyai anak. |
| Keajaiban Doa Nabi Zakaria as: Dimulai dengan kisah Nabi Zakaria as yang dikurniakan anak (Nabi Yahya as) pada usia yang sangat tua atas berkat doa dan keyakinannya yang tinggi kepada Allah. |
| Kelahiran Nabi Isa as: Mengisahkan ketakwaan Maryam yang melahirkan Nabi Isa as tanpa bapa melalui tiupan roh daripada Malaikat Jibril. Mukjizat pertama Nabi Isa as berlaku apabila baginda boleh bercakap ketika masih bayi untuk membersihkan nama ibunya. |
| Surah Maryam: Menjadi benteng emosi dan hujah yang melembutkan hati Raja Najasyi di Habsyah (Ethiopia) apabila dibacakan oleh Ja’far bin Abi Talib, sehingga raja Nasrani itu menangis dan melindungi umat Islam. Surah Ta Ha: Menjadi asbab utama yang melembutkan hati Saidina Umar al-Khattab untuk memeluk Islam apabila beliau terdengar alunan awal surah ini di rumah adiknya. |
| ▪️ Surah Ta Ha ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-20 ▪️ 135 ayat ▪️ Juzuk 16 (Ayat 1 – 135) |
| Penamaan surah inidiambil secara langsung daripada dua huruf muqatta’ah iaitu Ta-Ha (طه) yang terletak pada ayat pertama surah ini. |
| Surah ini diturunkan sejurus selepas penurunan Surah Maryam, iaitu sekitar tahun kelima atau keenam kenabian (sekitar 615–616 Masihi). Ia diturunkan pada fasa awal dakwah di Mekah ketika umat Islam sedang menghadapi tekanan dan penentangan yang sangat hebat daripada kaum kafir Quraisy. |
| Surah ini menjadi asbab terbukanya hati Saidina Umar al-Khattab untuk memeluk Islam. |
| Tema: Berpusat kepada penegasan bahawa Al-Quran membawa rahmat dan kemudahan, pengukuhan tauhid, serta kisah perjuangan Nabi Musa as sebagai penghibur hati Nabi Muhammad saw dalam menghadapi tentangan kaum musyrikin Mekah. |
| Al-Quran Sebagai Peringatan: Surah ini dimulakan dengan penegasan bahawa Al-Quran diturunkan bukan untuk menyusahkan manusia, tetapi sebagai peringatan dan rahmat. |
| Kisah Nabi Musa as dan Firaun: Fokus utama surah ini tertumpu kepada kronologi dakwah Nabi Musa as, bermula daripada detik baginda menerima wahyu pertama di Lembah Tuwa, sehinggalah perintah Allah untuk menghadapi Firaun secara bersemuka. |
| Kisah Ahli Sihir Firaun: Pertembungan mukjizat tongkat Nabi Musa as dengan silap mata para penyihir. Menyaksikan kebenaran tersebut, pintu hati para ahli sihir terbuka untuk menerima hidayah Allah lalu mereka sujud beriman tanpa menghiraukan ancaman bunuh daripada Firaun. |
| Kisah Samiri dan Anak Lembu Emas: Pengkhianatan Samiri yang menyesatkan Bani Israil menyembah patung anak lembu emas sewaktu ketiadaan Nabi Musa as. |
| Kisah Nabi Adam as: Mengimbas kembali kisah penyesalan Nabi Adam as selepas terpedaya dengan hasutan iblis di syurga sebagai pengajaran agar manusia sentiasa berwaspada dengan tipu daya syaitan. |
| Kedua-dua Surah Ta Ha dan Al-Anbiya’ berfungsi sebagai penawar dan pengubat hati Nabi Muhammad saw yang menghadapi tentangan hebat daripada kafir Quraisy. Surah Ta Ha memujuk baginda dengan menunjukkan bahawa Nabi Musa as juga pernah berasa takut dan cemas tetapi tetap dibantu Allah. Surah Al-Anbiya’ pula datang menguatkan lagi jiwa baginda dengan mesej bahawa semua nabi terdahulu menempuh ujian yang berat, ditentang, diejek, namun kesudahannya kemenangan tetap berpihak kepada para nabi. |
Juzuk 17
| ▪️ Surah Al-Anbiya’ ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-21 ▪️ 112 ayat ▪️ Juzuk 17 (Ayat 1 – 112) |
| Surah ini yang bermaksud “Para Nabi” membentangkan kisah-kisah serta perjuangan para nabi di mana 16 nabi disebutkan di dalam surah ini. |
| Surah ini diturunkan pada fasa akhir dakwah Nabi Muhammad saw di Mekah, iaitu dianggarkan sekitar 2 hingga 3 tahun sebelum peristiwa Hijrah (sekitar tahun 619–621 Masihi). |
| Tema: Menekankan bahawa semua nabi diutus dengan satu mesej yang sama, iaitu mentauhidkan Allah Swt. |
| Peringatan Hari Kiamat: Surah dimulakan dengan amaran bahawa Hari Kiamat manusia sudah semakin hampir, namun majoriti manusia masih lalai dan berpaling daripada kebenaran. |
| Kisah Perjuangan 16 Orang Nabi: Memaparkan kisah perjuangan nabi-nabi terdahulu sebagai pengajaran, termasuk kisah Nabi Ibrahim as memecahkan berhala dan diselamatkan daripada api yang membakar, kebijaksanaan Nabi Daud as dan Nabi Sulaiman as mengadili kes tanaman yang dirosakkan oleh kambing, serta kisah dan doa Nabi Ayub as, Nabi Yunus as dan Nabi Zakaria as. |
| Rahmat Sekalian Alam: Menegaskan peranan Nabi Muhammad saw yang diutus membawa rahmat kepada seluruh alam. |
| Surah Al-Anbiya’: Kisah perjuangan dan kesabaran 16 orang Nabi dalam menegakkan tauhid. Surah Al-Hajj: Syiar Islam, pengukuhan syariat, ibadat haji dan keizinan untuk berjihad. |
| Surah Al-Anbiya’: Memberi amaran bahawa Hari Kiamat semakin dekat tetapi manusia lalai. Surah Al-Hajj: Menggambarkan kedahsyatan huru-hara Kiamat (gempa bumi yang besar). |
| Surah Al-Anbiya’: Kisah Nabi Ibrahim as – Fokus kepada hujah ketauhidan dan penolakan penyembahan berhala. Surah Al-Hajj: Kisah Nabi Ibrahim as -Fokus kepada pembinaan Kaabah dan syiar ibadat haji sebagai simbol kesatuan umat. |
| ▪️ Surah Al-Hajj ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-22 ▪️ 78 ayat ▪️ Juzuk 17 (Ayat 1 – 78) |
| Surah ini yang bermaksud “Haji” menyebutkan perintah, syariat, hukum-hakam serta amalan ibadah haji dan ibadah korban. Ia turut merangkumi seruan Nabi Ibrahim as kepada seluruh umat manusia untuk datang mengerjakan haji di Kaabah setelah ia selesai dibina. |
| Surah ini mempunyai keunikan kerana mengandungi ciri surah Makkiyyah (menyentuh soal kiamat) dan Madaniyyah (menyentuh soal hukum-hakam dan perjuangan), namun majoriti ulama menyatakan bahawa surah ini lebih cenderung kepada surah Madaniyyah. |
| Surah ini diturunkan secara berperingkat yang merangkumi dua fasa utama, iaitu fasa sebelum Hijrah (Mekah) dan fasa selepas Hijrah (Madinah). |
| Tema: Berpaksikan kepada penegasan tauhid (keesaan Allah), pembuktian Hari Kiamat serta manifestasi ketaatan umat Islam melalui pengorbanan dan ibadah. |
| Kedahsyatan Hari Kiamat: Dimulakan dengan seruan takwa dan gambaran gempa bumi yang amat dahsyat pada Hari Kiamat. |
| Bukti Hari Kebangkitan: Allah memberikan dalil logik tentang kewujudan Hari Kebangkitan melalui proses kejadian manusia dan bagaimana air hujan menghidupkan tanah yang mati. |
| Pensyariatan Ibadah Haji: Menceritakan perintah pembinaan Kaabah kepada Nabi Ibrahim as dan pensyariatan ibadah haji sebagai simbol ketauhidan, penyatuan umat serta pengorbanan. |
| Keizinan untuk Berperang: Surah ini mengandungi ayat penting yang memberi keizinan pertama kali kepada umat Islam untuk berperang demi mempertahankan diri dan agama daripada kezaliman musuh. |
| Kedua-dua Surah Ta Ha dan Al-Anbiya’ berfungsi sebagai penawar dan pengubat hati Nabi Muhammad saw yang menghadapi tentangan hebat daripada kafir Quraisy. Surah Ta Ha memujuk baginda dengan menunjukkan bahawa Nabi Musa as juga pernah berasa takut dan cemas tetapi tetap dibantu Allah. Surah Al-Anbiya’ pula datang menguatkan lagi jiwa baginda dengan mesej bahawa semua nabi terdahulu menempuh ujian yang berat, ditentang, diejek, namun kesudahannya kemenangan tetap berpihak kepada para nabi. |
Juzuk 18
| ▪️ Surah Al-Mu’minun ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-23 ▪️ 118 ayat ▪️ Juzuk 18 (Ayat 1 – 118) |
| Surah ini bermaksud “Orang-orang Beriman” yang diambil sempena ayat pertama surah ini yang menegaskan tentang kemenangan mereka. |
| Surah ini diturunkan pada fasa akhir tempoh kenabian, ketika tekanan dan ejekan kaum musyrikin Quraisy terhadap golongan beriman di Makkah berada pada tahap yang sangat tinggi. |
| Tema: Memfokuskan kepada pembentukan jati diri individu Muslim yang bertakwa. |
| Ciri-ciri Mukmin yang Berjaya: Dibuka dengan penjelasan sifat orang beriman yang akan mewarisi Syurga Firdaus, antaranya khusyuk dalam solat, menjauhi perkara sia-sia, menunaikan zakat dan menjaga kehormatan diri. |
| Kejadian Manusia: Menjelaskan fasa penciptaan manusia di dalam rahim ibu sehinggalah ditiupkan roh, serta peringatan tentang Hari Kebangkitan semula. |
| Kisah Para Nabi: Mengimbas sejarah perjuangan Nabi Nuh as membina bahtera, kisah Nabi Hud as, serta sebutan ringkas mengenai Nabi Musa as, Nabi Harun as dan Nabi Isa as sebagai pengajaran bagi kaum yang mendustakan rasul. |
| Dunia dan Akhirat: Penegasan bahawa kehidupan dunia ini hanyalah sementara. Allah menolak rayuan orang kafir yang telah mati yang memohon untuk kembali ke dunia bagi melakukan amalan soleh, kerana tempoh mereka di alam barzakh sudah bermula. |
| Surah Al-Mu’minun menetapkan standard kualiti watak seorang mukmin, manakala Surah An-Nur menyediakan sistem perundangan dan sosial untuk melindungi kualiti tersebut. |
| Perjalanan daripada Surah Al-Mu’minun ke Surah An-Nur adalah transisi daripada pembentukan jiwa (internal) ke pembentukan sistem sosial (external). Seseorang tidak akan dapat mencapai “Cahaya” (Nur) hidayah masyarakat yang harmoni tanpa terlebih dahulu memiliki sifat-sifat “Al-Mu’minun” dalam dirinya. |
| ▪️ Surah An-Nur ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-24 ▪️ 64 ayat ▪️ Juzuk 18 (Ayat 1 – 64) |
| Surah ini membawa maksud “Cahaya” dan dinamakan sedemikian rupa kerana ia memuatkan perkataan “An-Nur” yang sangat masyhur pada ayat 35 yang menerangkan tentang Nur Ilahi (cahaya petunjuk Allah Swt). |
| Surah ini diturunkan bagi membela Saidatina Aisyah ra dari peristiwa fitnah Al-Ifk yang dilancarkan oleh para munafik yang berlaku ketika Rasullullah saw dalam perjalanan pulang dari Perang Mustaliq pada tahun 6H. |
| Tema: Memfokuskan kepada undang-undang kemasyarakatan, adab dan pemeliharaan maruah bagi melahirkan komuniti yang harmoni. |
| Undang-undang Sosial dan Hukum Syarak: Surah ini mengandungi panduan ketat dan tegas mengenai hukum penzina (sebat), hukuman bagi penuduh zina tanpa bukti (qazaf) dan tatacara Lian bagi suami isteri. |
| Peristiwa Al-Ifk (Fitnah): Mengajar umat Islam cara mengendalikan berita palsu atau fitnah, merujuk kepada kisah tuduhan jahat terhadap Saidatina Aisyah ra. |
| Adab Kehidupan Bermasyarakat: Menetapkan garis panduan sosial seperti kewajipan meminta izin sebelum memasuki rumah orang lain, menundukkan pandangan serta kewajipan menjaga hijab dan batas aurat bagi wanita muslimah demi memelihara kesucian komuniti. |
| Perumpamaan Cahaya Allah: Ayat An-Nur (ayat 35) yang menggambarkan hidayah Allah dalam hati orang beriman. |
| Surah An-Nur menyediakan Cahaya (Nur) panduan untuk membersihkan moral masyarakat – petunjuk Ilahi yang menerangi jalan hidup. Surah Al-Furqan menyediakan Pembeza (Al-Furqan) untuk memisahkan kebenaran daripada syirik dan syak wasangka – memisahkan antara laluan cahaya tersebut dengan kegelapan. |
| ▪️ Surah Al-Furqan ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-25 ▪️ 77 ayat ▪️ Juzuk 18 (Ayat 1 – 20) |
| Surah ini membawa maksud “Pembeza” dan dinamakan sedemikian kerana perkataan “Al-Furqan” disebut pada ayat pertamanya, merujuk kepada fungsi Al-Quran itu sendiri yang membezakan antara perkara yang hak (benar) dan yang batil (salah). |
| Surah ini diturunkan pada fasa 3, selepas tamatnya boikot menyeluruh kaum Quraisy terhadap Bani Hashim dan sejurus selepas Nabi Muhammad saw pulang dari peristiwa yang mendukacitakan di Ta’if. |
| Surah ini diturunkan ketika Quraisy menimbulkan pelbagai keraguan dan bantahan mereka kepada kitab Allah “Al-Furqan” dan kenabian Rasullullah saw, maka surah ini menjawab dakwaan biadap Quraisy dan menyatakan kesan yang akan mereka terima pada kekufuran mereka. |
| Tema: Menegaskan peranan Al-Quran sebagai pembeza antara yang hak (benar) dan yang batil (salah). |
| Kemuliaan Al-Quran: Membawa tema utama Al-Quran sebagai Al-Furqan, iaitu kitab yang memisahkan antara kebenaran Islam dan kebatilan syirik. |
| Menolak Dakwaan Kafir Quraisy: Menjawab kritikan kaum musyrikin yang mempertikaikan mengapa Nabi Muhammad saw hanyalah manusia biasa yang makan dan berjalan di pasar. Allah menegaskan bahawa semua rasul terdahulu juga merupakan manusia biasa. |
Juzuk 19
| ▪️ Surah Al-Furqan ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-25 ▪️ 77 ayat ▪️ Juzuk 19 (Ayat 21 – 77) |
| Tentangan Kaum Musyrik: Mendedahkan alasan-alasan orang kafir yang enggan beriman, termasuk tuntutan mereka untuk melihat malaikat atau melihat Allah secara langsung. Allah menenangkan Rasulullah saw agar tidak berdukacita dengan penentangan tersebut. |
| Penyesalan di Akhirat: Memaparkan kisah penyesalan yang mendalam oleh mereka yang tersalah memilih teman rapat di dunia sehingga menyesatkan mereka daripada kebenaran. |
| Sifat Ibadurrahman: Bahagian akhir surah ini mendedahkan ciri-ciri hamba Allah yang terpuji (Ibadurrahman), antaranya berjalan dengan rendah hati, tidak melayan perbalahan orang jahil, khusyuk beribadah, tidak boros mahupun kedekut, serta sentiasa menjauhi syirik, pembunuhan dan zina. |
| Surah Al-Furqan: Kaum kafir Quraisy menuduh bahawa Al-Quran hanyalah rekaan atau cerita dongeng zaman dahulu. Surah Asy-Syu’ara’: Allah Swt menjawab tuduhan tersebut pada akhir surah dengan menegaskan bahawa Al-Quran tidak dibawa turun oleh syaitan dan bukanlah syair rekaan penyair. |
| Surah Al-Furqan: Orang kafir mempersoalkan status kerasulan Nabi Muhammad saw kerana baginda menjalani kehidupan seperti manusia biasa – makan dan berjalan di pasar-pasar. Surah Asy-Syu’ara: Tema ini diperluaskan secara praktikal. Allah membawakan kisah-kisah para rasul terdahulu yang membuktikan bahawa para utusan Allah memang dipilih di dalam kalangan manusia yang hidup bermasyarakat dan makan. |
| ▪️ Surah Asy-Syu’ara’ ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-26 ▪️ 227 ayat ▪️ Juzuk 19 (Ayat 1 – 227) |
| Surah ini bermaksud “Para Penyair” kerana perihal mereka disebut pada ayat 227, di mana Allah Swt membezakan antara peranan para Rasul dan para penyair. |
| Surah ini diturunkan pada peringkat ketiga fasa Mekah, iaitu di antara tahun ke-6 hingga tahun ke-10 Kenabian. Tempoh ini merupakan waktu di mana dakwah Islam mula menghadapi tentangan, tekanan dan tuduhan yang hebat daripada kaum musyrikin Quraisy. |
| Tema: Siri perjuangan para rasul serta akibat buruk yang menimpa kaum yang ingkar. |
| Kisah Nabi Musa as & Firaun: Mengisahkan mukjizat Nabi Musa as menentang ahli sihir Firaun, peristiwa pembelahan laut serta tenggelamnya Firaun dan tenteranya. |
| Kisah Nabi Ibrahim as: Dialog baginda bersama ayahnya dan kaumnya mengenai penyembahan berhala yang tidak memberi sebarang manfaat. |
| Kaum-kaum yang Dibinasakan: Memaparkan kisah Nabi Nuh as, Nabi Hud as (Kaum ‘Aad), Nabi Saleh as (Kaum Thamud), Nabi Lut as dan Nabi Syuaib as (Kaum Aikah). Setiap kisah menunjukkan bagaimana golongan yang mendustakan kebenaran akhirnya dibinasakan. |
| Perihal Para Penyair: Surah ini menafikan tuduhan kafir Quraisy bahawa Al-Quran ialah syair rekaan penyair. Allah menegaskan bahawa para penyair sering merayau dalam khayalan kosong, berbeza dengan wahyu yang membawa kebenaran nyata. |
| Surah Asy-Syu’ara’: Kisah para nabi berakhir dengan kemusnahan dan azab yang menimpa kaum mereka akibat mendustakan rasul. Surah An-Naml: Allah Swt memperkenalkan kisah Nabi Sulaiman as yang diberikan ilmu, kemuliaan serta sebuah kerajaan yang agung. Ini memberikan mesej optimis bahawa penyerahan diri kepada Allah bukan sahaja menyelamatkan manusia daripada azab, malah boleh membawa kepada kejayaan di atas muka bumi. |
| ▪️ Surah An-Naml ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-27 ▪️ 93 ayat ▪️ Juzuk 19 (Ayat 1 – 55) |
| Surah ini yang bermaksud “Semut”, diambil daripada kisah dialog semut yang dirakamkan dalam ayat 18 dan 19 di dalam surah ini. Penamaan surah ini menjadi simbolik penting tentang kekuasaan Allah yang memberikan hikmah serta pemahaman yang agung kepada utusan-Nya, bahkan perkara yang sekecil urusan semut juga tidak terlepas daripada perhatian Allah. |
| Surah ini diturunkan pada peringkat pertengahan fasa Mekah, iaitu di sekeliling tahun ke-5 hingga tahun ke-9 Kenabian. Semasa tempoh ini, penentangan daripada kaum musyrikin Quraish semakin meningkat, dan kisah-kisah kehebatan mukjizat para nabi terdahulu di dalam surah ini diturunkan sebagai penguat semangat dan penawar hati buat Rasulullah saw serta para sahabat. |
| Tema: Memfokuskan kepada kisah-kisah nabi dan umat terdahulu. |
| Kisah Nabi Musa as: Fokus utama bertumpu kepada detik permulaan Nabi Musa as menerima wahyu di Lembah Tuwa (Bukit Tursina) serta pengurniaan dua mukjizat utama untuk menghadapi Firaun. |
| Kisah Nabi Sulaiman as: Memaparkan kisah Nabi Sulaiman as yang mendengar amaran ratu semut agar kawanannya menyelamatkan diri. Bahagian ini menonjolkan kebijaksanaan, mukjizat memahami bahasa haiwan serta kesyukuran baginda atas nikmat yang Allah kurniakan kepada baginda. |
| Burung Hud-hud & Ratu Balqis: Kisah burung Hud-hud yang membawa berita tentang Kerajaan Saba’ yang menyembah matahari. Kehebatan mukjizat Nabi Sulaiman as akhirnya membawa Ratu Balqis tunduk dan memeluk Islam. |
| Kisah Nabi Saleh as & Nabi Lut as: Menceritakan tentang komplot jahat kaum Thamud (9 perancang jahat) yang mahu membunuh Nabi Saleh as, serta penegasan Nabi Lut as menentang kemungkaran moral kaumnya yang melakukan hubungan songsang. |
Menurut Ibnu Abbas ra dan Jabir bin Zaid, kronologi penurunan surah sangat berdekatan iaitu Surah Asy-Syu’ara’ terlebih dahulu, kemudian An-Naml dan akhirnya Al-Qasas. Ketiga-tiga surah ini mempunyai satu persamaan iaitu memberi gambaran lengkap sirah perjuangan Nabi Musa as.
Juzuk 20
| ▪️ Surah An-Naml ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-27 ▪️ 93 ayat ▪️ Juzuk 20 (Ayat 56 – 93) |
| Tema: Memfokuskan kepada bukti-bukti keesaan Allah dan Hari Kebangkitan. |
| Kekuasaan Allah dalam Penciptaan: Allah mencabar kaum musyrikin dengan mengemukakan soalan-soalan retorik tentang penciptaan langit, bumi, penurunan hujan, pengaliran sungai, pergunungan dan pemberian rezeki. |
| Hari Kebangkitan & Keilmuan Ghaib: Menjawab keingkaran orang kafir mengenai hari berbangkit semula selepas mati. Allah menegaskan bahawa hanya Dia yang mengetahui perkara ghaib dan Hari Kiamat pasti akan berlaku apabila “Dabbah” (binatang melata dari bumi) dikeluarkan sebagai tanda akhir zaman. |
| Kesinambungan Kisah Nabi Musa as: Surah An-Naml: Kisah Nabi Musa as diceritakan secara ringkas dan bermula dari detik baginda menerima wahyu pertama di Lembah Tuwa (melihat api, didekati Allah dan diberikan mukjizat tongkat serta tangan yang putih). Surah Al-Qasas: Surah ini mengundur masa ke belakang untuk menceritakan latar belakang dan fasa awal kehidupan Nabi Musa as sebelum menjadi nabi. |
| Perbezaan antara Kerajaan Nabi Sulaiman as dan Firaun: Surah An-Naml memaparkan watak Nabi Sulaiman as sebagai raja yang paling kaya dan berkuasa, namun menggunakan kekuasaannya dengan penuh rasa syukur. Surah Al-Qasas pula memaparkan watak Firaun sebagai pemerintah yang zalim. Melalui perbandingan ini, Allah menunjukkan bahawa kekuasaan yang hakiki dan diredhai adalah kekuasaan yang tunduk pada tauhid (Nabi Sulaiman as), manakala kekuasaan yang berasaskan kezaliman dan syirik (Firaun) pasti akan dihancurkan. |
| ▪️ Surah Al-Qasas ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-28 ▪️ 88 ayat ▪️ Juzuk 20 (Ayat 1 – 88) |
| Surah ini membawa maksud “Kisah-kisah” dan hampir keseluruhannya menceritakan dengan terperinci mengenai sirah Nabi Musaas dari garis masa kelahiran sehinggalah baginda berhadapan dengan Firaun. |
| Surah ini diturunkan pada peringkat pertengahan fasa Mekah, iaitu di sekeliling tahun ke-5 hingga tahun ke-9 Kenabian, selepas penurunan Surah An-Naml. Status penurunan surah ini adalah ketika umat Islam masih berada dalam keadaan lemah dan ditindas oleh golongan musyrikin Mekah. |
| Perjalanan Hidup Nabi Musa as: Surah ini memfokuskan secara terperinci sejarah hidup Nabi Musa as. Ini termasuk kisah kelahiran baginda yang dihanyutkan di Sungai Nil, pembesarannya di istana Firaun, kisah perpindahan baginda ke Madyan selepas peristiwa tidak sengaja membunuh seorang Qibti. |
| Perkahwinan dan Kerasulan: Kisah Nabi Musa as membantu dua gadis di Madyan, bekerja dengan bapa mereka, berkahwin dan akhirnya menerima wahyu di Bukit Tursina untuk kembali berdakwah kepada Firaun. |
| Kisah Qarun: Kisah tentang seorang yang sangat kaya-raya pada zaman Nabi Musa as tetapi bersifat sombong, tamak dan enggan bersyukur. Akhirnya, Allah menenggelamkan Qarun beserta seluruh harta kekayaannya ke dalam bumi, menjadi pengajaran tentang bahaya fitnah harta. |
| Kedua-dua surah menggunakan perumpamaan visual yang sangat kuat untuk menggambarkan betapa rapuhnya perlindungan selain daripada Allah: Surah Al-Qasas menunjukkan betapa rapuhnya kubu Firaun. Walaupun Firaun membina bangunan yang tinggi (melalui arahan kepada Haman) dan mempunyai tentera yang besar, semuanya runtuh dan tenggelam di laut dalam sekelip mata. Surah Al-Ankabut memberikan analogi kepada situasi tersebut melalui nama surah itu sendiri (Al-Ankabut bermaksud Labah-labah). Allah mengumpamakan golongan kafir yang bersandarkan kepada kuasa material, harta atau berhala seperti labah-labah yang berlindung di sarangnya (Ayat 41). Sarang itu kelihatan berselirat dan siap sedia, tetapi ia adalah rumah yang paling rapuh apabila ditiup angin atau ditimpa air. |
| ▪️ Surah Al-Ankabut ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-29 ▪️ 69 ayat ▪️ Juzuk 20 (Ayat 1 – 45) |
| Nama surah ini bermaksud “Labah-labah” dan diambil daripada perumpamaan (ayat 41) tentang orang-orang musyrik yang mengambil pelindung selain Allah. |
| Surah ini diturunkan pada permulaan fasa ke-3 Mekah, menjelang penghijrahan para Sahabat ke Habsyah. |
| Tema: Membincangkan tentang hakikat keimanan dan ujian hidup. |
| Hakikat Ujian Keimanan: Surah ini dimulakan dengan penegasan bahawa manusia tidak akan dibiarkan begitu sahaja dengan hanya berkata “Kami telah beriman”, sebaliknya mereka pasti akan diuji untuk membuktikan kebenaran iman mereka. |
| Kisah Para Nabi: Memaparkan ringkasan perjuangan dan kesabaran para nabi (Nabi Nuh as, Nabi Ibrahim as dan Nabi Lut as) menghadapi penentangan kaum masing-masing yang akhirnya dibinasakan oleh azab Allah akibat keengganan mereka untuk beriman. |
| Perumpamaan Rumah Labah-labah: Allah mengumpamakan golongan yang mengambil pelindung atau menyembah sesuatu selain daripada Allah seperti labah-labah yang membuat sarang. Sarang labah-labah adalah rumah yang paling rapuh dan tidak dapat memberikan sebarang perlindungan. |
Juzuk 21
| ▪️ Surah Al-Ankabut ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-29 ▪️ 69 ayat ▪️ Juzuk 21 (Ayat 46 – 69) |
| Tema: Memfokuskan kepada tuntutan memantapkan penyerahan diri kepada Allah, kaedah berdakwah dan kewajipan berjihad melawan hawa nafsu serta ancaman orang kafir. |
| Surah ini diturunkan pada permulaan fasa ke-3 Mekah, menjelang penghijrahan para Sahabat ke Habsyah. |
| Tema: Membincangkan tentang hakikat keimanan dan ujian hidup. |
| Ketetapan Amalan Islam: Allah memerintahkan umat Islam agar sentiasa membaca Al-Quran dan mendirikan solat untuk mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. |
| Adab Berdakwah & Bukti Kenabian: Allah memerintahkan umat Islam berinteraksi dan berdebat dengan Ahli Kitab menggunakan cara yang terbaik dan penuh hikmah. Ayat ini juga menegaskan status Nabi Muhammad saw yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis) sebagai bukti muktamad bahawa Al-Quran adalah wahyu Allah, bukan ciptaan manusia. |
| Hakikat Ujian Dunia: Menekankan bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara dan ujian keimanan pasti akan berlaku, manakala negeri akhirat itulah kehidupan yang kekal abadi. Surah ini diakhiri dengan jaminan bahawa mereka yang berjihad dan berusaha bersungguh-sungguh di jalan Allah pasti akan dipimpin menuju jalan hidayah-Nya. |
| Surah Al-Ankabut (akhir): Surah ini ditutup dengan ayat ke-69 yang memberikan motivasi tinggi dan janji Allah kepada orang yang berjihad di jalan-Nya. Surah Ar-Rum (awal): Hubungan ini disempurnakan serta-merta pada awal surah ini yang membawa berita gembira bahawa bangsa Rom yang berkitab akan mengalahkan bangsa Parsi (musyrik) dalam masa beberapa tahun sahaja, dan pada hari itu orang mukmin akan bergembira dengan pertolongan Allah. |
| ▪️ Surah Ar-Rum ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-30 ▪️ 60 ayat ▪️ Juzuk 21 (Ayat 1 – 60) |
| Surah ini dinamakan “Ar-Rum” (Bangsa Rom) sempena mukjizat ramalan al-Quran mengenai kemenangan empayar Rom ke atas empayar Parsi dalam tempoh beberapa tahun selepas mereka dikalahkan. |
| Surah ini diturunkan pada fasa akhir tempoh kenabian. |
| Tema: Berkisar tentang janji Allah Swt yang pasti benar dan pembuktian kekuasaan-Nya melalui tanda-tanda alam. |
| Mukjizat Ramalan Al-Quran: Kekalahan Empayar Rom yang beragama Kristian di tangan Empayar Parsi yang beragama Majusi pada awalnya membuatkan golongan musyrikin Mekah gembira, namun Allah menegaskan bahawa dalam tempoh beberapa tahun sahaja, Rom akan kembali menang. Ramalan al-Quran ini terbukti benar dan menjadi tanda kebesaran Allah bagi orang beriman. |
| Tanda Kebesaran Penciptaan: Memaparkan kekuasaan Allah pada alam semesta dan penciptaan manusia, termasuk kepelbagaian bahasa, bangsa dan warna kulit sebagai tanda kebesaran-Nya. |
| Surah Ar-Rum dipenuhi dengan pembuktian tauhid melalui tanda-tanda kebesaran Allah di alam raya (Ayat Kauniyah). Contohnya, penciptaan langit dan bumi, kejadian kilat dan hujan, serta putaran malam dan siang. Surah Luqman pula menukar fokus kepada tanda-tanda kebijaksanaan pada diri manusia (Ayat Nafsiyah), yang disimbolkan melalui susuk tubuh Luqman Al-Hakim. Allah menganugerahkan al-hikmah (kebijaksanaan) kepada Luqman, menunjukkan bahawa manusia yang memerhatikan alam (dalam Surah Ar-Rum) sepatutnya melahirkan jiwa yang penuh hikmah dan bersyukur (dalam Surah Luqman). |
| ▪️ Surah Luqman ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-31 ▪️ 34 ayat ▪️ Juzuk 21 (Ayat 1 – 34) |
| Surah ini dinamakan “Luqman” sempena kisah seorang hamba Allah yang soleh dan bijaksana (Luqman al-Hakim), yang kisahnya diabadikan sebagai model terbaik dalam mendidik anak. |
| Surah ini diturunkan pada fasa pertengahan hingga akhir zaman Mekah (sebelum Hijrah), sekitar tahun ke-10 atau ke-11 kenabian (sekitar 620–621 Masihi). |
| Tema: Pemantapan akidah tauhid, kesyukuran kepada Allah, serta pembentukan akhlak mulia melalui sistem pendidikan kekeluargaan yang ideal. |
| Wasiat Agung Luqman al-Hakim: Mengisahkan perihal kearifan Luqman (seorang hamba yang soleh dan bijaksana) yang memberikan nasihat moral yang mendalam kepada anaknya. |
| Teras Tauhid dan Akhlak: Nasihat beliau merangkumi larangan menyekutukan Allah (syirik), kewajipan berbakti kepada kedua ibu bapa, menjaga solat, serta tuntutan menjaga adab seperti bersikap tawaduk (rendah diri) dan larangan bersifat sombong. |
| Surah Luqman memaparkan watak orang beriman melalui kepatuhan menerima nasihat dan didikan tauhid daripada orang tua (Luqman kepada anaknya) serta cara berinteraksi dengan masyarakat secara harmoni (tidak sombong dan memperlahankan suara). Surah As-Sajdah pula memaparkan watak orang beriman pada kemuncak ibadah peribadi mereka dengan Allah. Apabila dibacakan ayat Allah, mereka rebah bersujud, bertasbih dan bangun solat malam/tahajjud) dalam keadaan takut dan penuh harapan (Ayat 15-16). |
| ▪️ Surah As-Sajdah ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-32 ▪️ 30 ayat ▪️ Juzuk 21 (Ayat 1 – 30) |
| Surah ini dinamakan “As-Sajdah” kerana terdapat ayat Sajdah (ayat 15) di dalamnya, yang menceritakan perihal orang-orang mukmin yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat Allah, mereka segera merebahkan diri sujud, bertasbih dan memuji Tuhan mereka tanpa menyombong diri. |
| Surah ini diturunkan pada fasa pertengahan zaman Mekah (sebelum Hijrah), iaitu sekitar fasa dakwah ketiga (antara tahun ke-6 hingga ke-10 kenabian / sekitar 616–620 Masihi). |
| Surah ini diturunkan ketika umat Islam berada dalam tempoh yang sangat sukar, iaitu semasa Nabi Muhammad saw dan para sahabat menghadapi pemboikotan ekonomi serta penentangan fizikal dan mental yang hebat daripada kafir Quraisy. |
| Tema: Pengukuhan keyakinan terhadap kebenaran Al-Quran, hakikat penciptaan dan Hari Kebangkitan, serta perbezaan antara nasib orang beriman (yang tunduk sujud) dengan orang fasik. |
| Hakikat Penciptaan & Kebangkitan: Menegaskan kebenaran Al-Quran dan proses penciptaan manusia serta alam semesta. Surah ini mencela golongan kuffar yang meragui Hari Kebangkitan selepas kematian. |
| Sifat Orang Beriman: Memuji perihal orang beriman yang segera sujud apabila mendengar ayat-ayat Allah, bangun malam untuk beribadah (solat tahajud) dalam keadaan takut dan berharap, serta rajin bersedekah. |
| Surah As-Sajdah memfokuskan kepada pembinaan kekuatan dalaman (rohani). Ciri utama orang beriman yang digariskan di sini adalah mereka yang sujud, bertasbih dan bangun melakukan solat malam (tahajjud) (Ayat 15-16). Surah Al-Ahzab pula menguji kekuatan rohani tersebut dalam medan realiti (fizikal). Umat Islam yang dididik dengan sujud malam dalam Surah As-Sajdah kini diuji dengan ketakutan, kepungan musuh dan ancaman nyawa dalam Perang Ahzab (Ayat 10). |
| ▪️ Surah Al-Ahzab ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-33 ▪️ 73 ayat ▪️ Juzuk 21 (Ayat 1 – 30) |
| Nama surah ini “Al-Ahzab” (Golongan yang Bersekutu) merujuk kepada Perang Ahzab (Khandak), di mana gabungan pelbagai kabilah mengepung kota Madinah. |
| Surah ini diturunkan pada zaman Madinah (selepas Hijrah), sekitar tahun ke-5 Hijriah (627 Masihi). |
| Tema: Pembinaan disiplin komuniti Muslim yang baru di Madinah, baik dari sudut ketenteraan mahupun kekeluargaan. |
| Penyusunan Sosial: Dimulai dengan peraturan sosial penting seperti pengharaman tradisi jahiliyah ‘Zihar’ (menyamakan isteri dengan ibu dan pembatalan adat anak angkat yang menyamai nasab anak kandung. |
| Kepatuhan kepada Syariat: Menekankan kepentingan mentaati ketetapan Allah dan Rasul-Nya melebihi kehendak peribadi serta kedudukan isteri-isteri Nabi sebagai Ummahatul Mukminin (Ibu orang-orang beriman). |
| Peristiwa Perang Ahzab (Khandak): Menceritakan detik-detik genting apabila tentera Islam di Madinah dikepung oleh pasukan bersekutu musyrikin Quraisy dan pengkhianatan dalaman daripada pihak Yahudi (Bani Quraizah) dan golongan munafik. Allah menurunkan bantuan-Nya melalui angin kencang dan tentera malaikat. |
Juzuk 22
| ▪️ Surah Al-Ahzab ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-33 ▪️ 73 ayat ▪️ Juzuk 22 (Ayat 31 – 73) |
| Tema: Memfokuskan kepada pensyariatan undang-undang sosial Islam, pemantapan adab dan etika rumah tangga Nabi Muhammad saw, penjagaan maruah wanita (hijab) serta amanah besar manusia sebagai hamba Allah. |
| Adab dan Kedudukan Isteri Nabi: Menjelaskan kedudukan istimewa isteri-isteri Nabi Muhammad saw yang diberikan ganjaran berganda jika taat, serta panduan adab seperti tuntutan menjaga tutur kata dan berhijab (menutup aurat dengan sempurna). |
| Kisah Perkahwinan Zaid dan Zainab: Pengesahan pembatalan adat jahiliah mengenai anak angkat melalui perkahwinan Nabi Muhammad saw dengan Zainab binti Jahsy setelah diceraikan oleh Zaid bin Harithah. |
| Keistimewaan dan Selawat kepada Nabi Muhammad saw: Penegasan tentang status Nabi Muhammad saw sebagai Khatamun Nabiyyin (Penutup segala Nabi). Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi, dan umat Islam diperintahkan untuk turut berselawat serta memberi salam penghormatan kepada baginda. |
| Amanah Kehidupan: Surah ini diakhiri dengan peringatan tentang beratnya “amanah” ketaatan yang pernah ditolak oleh langit, bumi dan gunung-ganang, tetapi sanggup dipikul oleh manusia. |
| Penutup Surah Al-Ahzab (Ayat 72): Menyebut tentang amanah besar yang enggan dipikul oleh langit, bumi dan gunung-ganang kerana takut mendurhakainya, tetapi manusia dengan berani sanggup memikulnya. Permulaan Surah Saba’ (Ayat 1): Mengajarkan manusia bagaimana untuk menunaikan amanah tersebut, iaitu dengan memuji dan bersyukur kepada Allah selaku Pemilik mutlak alam semesta (langit dan bumi yang disebut dalam ayat amanah tadi). Manusia yang telah memikul amanah di bumi diingatkan pada awal Surah Saba’ bahawa seluruh alam ini adalah kepunyaan Allah, dan cara terbaik melaksanakan amanah tersebut adalah dengan bertauhid serta mengabdikan diri kepada-Nya. |
| ▪️ Surah Saba’ ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-34 ▪️ 54 ayat ▪️ Juzuk 22 (Ayat 1 – 54) |
| Surah ini dinamakan sempena kisah kaum Saba’ yang diabadikan dalam surah ini pada ayat 15-21. |
| Surah ini diturunkan pada tempoh pertengahan fasa Mekah sebagai teguran kepada kaum musyrikin Mekah yang mengingkari serta mempersendakan Hari Kebangkitan dan kehidupan selepas mati. |
| Tema: Pembuktian akidah tauhid, Hari Kebangkitan serta pengurusan nikmat Allah melalui sikap syukur dan sabar. |
| Kisah Nabi Daud as dan Nabi Sulaiman as (Model Kesyukuran): Surah ini memaparkan contoh dua nabi yang dikurniakan kekuasaan dan kekayaan luar biasa, namun tetap menjadi hamba yang sangat bersyukur. Nabi Daud as dikurniakan mukjizat melembutkan besi, manakala Nabi Sulaiman as diberikan mukjizat mengawal angin, jin dan memahami bahasa haiwan. |
| Kisah Kaum Saba’ (Model Kekufuran): Mengisahkan tentang kemakmuran Kerajaan Saba’ yang akhirnya musnah akibat kufur nikmat dan berpaling daripada ajaran Allah Swt selepas era Nabi Sulaiman as. Kisah ini menekankan bagaimana sikap manusia terhadap kurniaan Allah menentukan kelangsungan atau kemusnahan sesebuah tamadun. |
| Teguran tentang Hari Kebangkitan: Menjawab keraguan golongan musyrikin tentang Hari Kebangkitan dan menegaskan bahawa ilmu Allah meliputi segala-galanya. |
| Surah Saba’ menekankan sifat Allah sebagai Pemilik (Milik): Allah memiliki segala-galanya. Fokus surah ini adalah tentang bagaimana kekayaan dan kerajaan (seperti Nabi Sulaiman as, Nabi Daud as dan Kaum Saba’) semuanya di bawah pemilik mutlak iaitu Allah. Surah Fatir pula menekankan sifat Allah sebagai Pencipta (Khaliq/Fatir): Allah yang menciptakan langit dan bumi daripada tiada kepada ada. Zat yang memiliki alam semesta (Surah Saba’) sudah pasti Dia-lah juga yang menciptakan alam tersebut dari awal (Surah Fatir). |
| Dalam Surah Saba’: Allah membawakan contoh dua golongan. Pertama, keluarga Nabi Daud as dan Nabi Sulaiman as yang diberikan nikmat kerajaan lalu mereka bersyukur. Kedua, Kaum Saba’ yang diberikan nikmat kemakmuran (Empangan Ma’rib) tetapi mereka kufur dan berpaling, lalu Allah hancurkan mereka. Dalam Surah Fatir: Allah menyambung tema ini dengan memberikan amaran langsung tentang tipu daya dunia dan syaitan agar manusia tidak menjadi kufur seperti kaum terdahulu. |
| ▪️ Surah Fatir ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-35 ▪️ 45 ayat ▪️ Juzuk 22 (Ayat 1 – 45) |
| Surah ini dinamakan sempena perkataan “Fatir” (Pencipta) yang terdapat pada ayat pertama surah ini. Nama “Fatir” merujuk secara khusus kepada sifat Allah Swt sebagai Pencipta mutlak alam semesta daripada tiada kepada ada. |
| Surah ini diturunkanpada tempoh pertengahan fasa Mekah ketika tentangan dan permusuhan kaum kafir Quraisy terhadap dakwah Islam sudah menjadi semakin memuncak. |
| Tema: Penegasan akidah tauhid, pengenalan jati diri Allah sebagai Pencipta Yang Maha Kuasa (Al-Fatir), serta peringatan tentang hakikat tipu daya dunia dan syaitan. |
| Kemuliaan Penciptaan Allah: Membuka kesedaran manusia tentang keagungan Allah yang mencipta malaikat bersayap dan menundukkan alam semesta demi kelangsungan hidup manusia. |
| Tiga Golongan Manusia: Membahagikan hamba Allah yang menerima Al-Quran kepada tiga darjat: golongan yang menzalimi diri sendiri (banyak dosa), golongan pertengahan (sederhana amalan) dan golongan yang segera berbuat kebaikan (berlumba-lumba dalam kebajikan). |
| Peringatan Tipu Daya Dunia dan Syaitan: Memberi peringatan tegas kepada umat manusia agar tidak terpedaya dengan kehidupan duniawi dan hasutan syaitan yang merupakan musuh yang nyata. |
| Akhir Surah Fatir menyebut tentang penolakan kaum kafir terhadap konsep kerasulan, manakala awal Surah Yasin dimulakan dengan sumpah Allah bagi menguatkan kedudukan Nabi Muhammad saw sebagai rasul yang sah. |
| Ayat Terakhir Surah Fatir (Ayat 45): Allah menyatakan bahawa jika Dia menghukum manusia serta-merta atas setiap dosa yang mereka lakukan, nescaya tidak akan ditinggalkan satu pun makhluk yang bernyawa di muka bumi. Walau bagaimanapun, Allah menangguhkan hukuman tersebut sehingga ke suatu tempoh yang ditentukan (Hari Akhirat). Awal Surah Yasin: Surah Yasin membawa kisah penduduk sebuah negeri yang mendustakan tiga orang rasul yang diutus kepada mereka. Kerana kedegilan mereka, Allah tidak lagi menangguhkan azab, sebaliknya menghancurkan mereka serta-merta dengan satu pekikan yang dahsyat, lalu mereka semua mati terkelu. |
| ▪️ Surah Ya Sin ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-36 ▪️ 83 ayat ▪️ Juzuk 22 (Ayat 1 – 27) |
| Surah ini dinamakan sempena dua huruf abjad Arab iaitu “Ya” (ي) dan “Sin” (س) yang menjadi ayat pertama surah ini. |
| Surah ini diturunkan pada fasa pertengahan hingga ke penghujung tempoh dakwah Nabi Muhammad saw di Mekah. Waktu ini merupakan zaman di mana penentangan, boikot dan cubaan menyakiti fizikal baginda oleh golongan kafir Quraisy berada di kemuncak. |
| Surah ini bertindak sebagai perisai ketuhanan yang membela maruah kerasulan Nabi Muhammad saw. Ia menegaskan bahawa keengganan Quraisy menerima Islam bukan kerana ajaran baginda salah, tetapi kerana kesombongan dan kebebalan hati mereka sendiri yang telah dikunci mati daripada menerima hidayah. |
| Tema: Memfokuskan kepada aspek pembuktian bahawa Nabi Muhammad saw ialah utusan Allah yang benar dan contoh sejarah tentang perjuangan menegakkan tauhid. |
| Kebenaran Al-Quran dan Kerasulan: Menegaskan kebenaran al-Quran dan kerasulan Nabi Muhammad saw sebagai utusan Allah yang membawa petunjuk yang lurus. Tugas dakwah baginda mesti diteruskan kerana akan ada yang beriman ketika majoriti Quraisy mendustakan baginda. |
| Kisah Penduduk Negeri: Memaparkan kisah 3 orang rasul yang dihantar ke sebuah negeri untuk menyampaikan dakwah, namun ditolak dengan kasar oleh penduduknya. |
| Keimanan Habib an-Najjar: Kisah seorang lelaki dari hujung kota yang datang mempertahankan para utusan tersebut sehinggalah dia dibunuh dan syahid, lalu terus dimasukkan ke dalam syurga sebagai ganjaran keimanannya. |
Juzuk 23
| ▪️ Surah Ya Sin ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-36 ▪️ 83 ayat ▪️ Juzuk 23 (Ayat 28 – 83) |
| Pemusnahan Penduduk Derhaka: Mengisahkan kesudahan penduduk negeri yang memusuhi 3 orang rasul, lalu dibinasakan melalui satu jeritan kuat oleh Malaikat Jibril. |
| Bukti Kekuasaan Allah: Menyeru manusia melihat tanda-tanda kebesaran-Nya melalui bumi yang subur, tumbuh-tumbuhan dan kapal yang berlayar di lautan. |
| Peristiwa Hari Kebangkitan: Menceritakan peristiwa tiupan sangkakala di mana manusia akan bangkit dari kubur dengan terkejut untuk menghadapi hisab yang adil. Allah menegaskan kekuasaan-Nya untuk menghidupkan semula tulang-belulang yang telah reput melalui kalimat “Kun Fayakun”. |
| Dalam Surah Yasin: Allah Swt menceritakan tentang utusan-utusan (rasul) yang dihantar kepada penduduk suatu negeri, namun dakwah mereka ditolak mentah-mentah oleh majoriti penduduk. Dalam Surah As-Saffat: Allah Swt memperincikan kisah sejarah para nabidan rasul. Surah ini menyebutkan rentetan perjuangan Nabi Nuh as, Nabi Ibrahim as, Nabi Ismail as, Nabi Musa as, Nabi Harun as, Nabi Ilyas as, Nabi Lut as sehinggalah Nabi Yunus as. Ia menunjukkan bahawa penolakan yang dihadapi oleh Nabi Muhammad saw (seperti yang digambarkan dalam Surah Ya Sin) juga dilalui oleh para rasul terdahulu. |
| ▪️ Surah As-Saffat ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-37 ▪️ 182 ayat ▪️ Juzuk 23 (Ayat 1 – 182) |
| Penamaan surah “As-Saffat” (Yang Berbaris Rapi) ini diambil daripada perkataan pertama pada ayat pertama surah ini. |
| Surah ini diturunkan pada fasa pertengahan hingga akhir tempoh Makkiyyah, iaitu sekitar tahun 615 hingga 619 Masihi, sebelum Nabi Muhammad saw berhijrah ke Madinah. |
| Surah ini diturunkan ketika dakwah Islam di Mekah menghadapi kemuncak tentangan dan ejekan yang sangat hebat daripada kaum musyrikin Quraisy. Surah ini juga menepis dakwaan karut pembesar Mekah yang menuduh malaikat sebagai anak perempuan Allah. |
| Tema: Pengukuhan akidah tauhid (keesaan Allah Swt) dan membantah dakwaan syirik kaum musyrikin. |
| Kemurnian Tauhid: Surah ini dimulakan dengan sumpah para malaikat yang berbaris rapi, menegaskan bahawa Allah Maha Esa dan menolak dakwaan syirik orang musyrikin. |
| Kisah Para Nabi: Memaparkan kisah Nabi Nuh as, Nabi Musa as, Nabi Harun as, Nabi Ilyas as, Nabi Lut as dan Nabi Yunus as. Kisah-kisah ini menjadi lambang ketabahan iman dan bagaimana Allah menyelamatkan hamba-Nya yang mukmin. |
| Ujian Pengorbanan Agung: Menyoroti kisah Nabi Ibrahim as yang diuji untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail as, yang memaparkan lambang ketaatan mutlak kepada perintah Allah. |
| Surah As-Saffat bermula dengan penegasan mutlak bahawa Allah itu Maha Esa. Surah Sad pula menyambung tema ini dengan menunjukkan respon sombong pemuka Quraisy terhadap dakwaan tauhid tersebut (Ayat 5). |
| Kedua-dua Surah As-Saffat dan Surah Sad menceritakan rentetan kisah para anbiya’ yang mengalami tekanan hebat dalam berdakwah, bertujuan untuk mententeramkan hati Nabi Muhammad saw yang sedang ditentang hebat di Mekah. |
| ▪️ Surah Sad ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-38 ▪️ 88 ayat ▪️ Juzuk 23 (Ayat 1 – 88) |
| Surah ini dinamakan sempena nama salah satu huruf Hijaiyyah, iaitu huruf “ص” (Sad) yang menjadi ayat pertama surah ini. |
| Surah ini diturunkan ketika bapa saudara Nabi Muhammad saw, Abu Talib, sedang sakit tenat menjelang wafatnya (sekitar tahun 619–620 Masihi). Pada waktu itu, pembesar Quraisy datang menemui Abu Talib untuk membuat rundingan terakhir dan meminta Rasulullah saw menghentikan dakwahnya, namun ditolak oleh baginda sehingga turunnya surah ini sebagai respons kepada kesombongan mereka. |
| Tema: Penegasan tentang kepentingan sifat sabar serta tawaduk dan peringatan keras bahawa sifat sombong (takabbur) membawa kepada kebinasaan. |
| Penentangan Kaum Kafir: Kaum kafir Quraisy menolak dakwaan kenabian Nabi Muhammad saw kerana rasa ego dan takabbur. Mereka menganggap ajaran tauhid sebagai sesuatu yang pelik dan menuduh baginda sebagai ahli sihir serta pendusta. |
| Kisah Nabi Daud as & Nabi Sulaiman as: Memaparkan kisah dua raja yang agung namun kekal tunduk, bertaubat dan merendah diri kepada Allah Swt sewaktu diuji dengan takhta dan kekayaan. |
| Kisah Nabi Ayub as: Teladan kesabaran yang tinggi sewaktu baginda diuji dengan penyakit berat sebelum disembuhkan semula oleh Allah. |
| Asal-usul Permusuhan Iblis: Mengisahkan kembali detik keengganan Iblis sujud kepada Nabi Adam as, yang menjadi punca utama Iblis menyesatkan manusia hingga Hari Kiamat. |
| Surah Sad banyak memaparkan kemuncak sifat sombong dan penentangan. Ini ditunjukkan melalui keengganan Iblis sujud kepada Nabi Adam as kerana takabbur, serta kesombongan pembesar Quraish yang menolak dakwah. Surah Az-Zumar pula menunjukkan pembalasan akhirat di mana manusia dibahagikan mengikut rombongan (Zumar). Di akhir Surah Az-Zumar, Allah menggambarkan bagaimana golongan yang sombong (kafir) dihalau ke neraka secara berombongan, manakala golongan yang bertakwa dan tunduk akur dibawa ke syurga juga secara berombongan. |
| ▪️ Surah Az-Zumar ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-39 ▪️ 75 ayat ▪️ Juzuk 23 (Ayat 1 – 31) |
| Surah ini membawa maksud “Rombongan” dan dinamakan sedemikian berdasarkan peristiwa besar yang digambarkan pada akhir surah ini (iaitu pada ayat 71 dan 73), di mana manusia di akhirat kelak akan dibahagikan dan diiring ke destinasi akhir mereka secara berombongan. |
| Surah ini diturunkan di Mekah pada fasa awal hingga pertengahan kenabian (iaitu sekitar tahun ke-5 Kenabian), atau sekitar tahun 615 Masihi. |
| Tema: Memurnikan tauhid kepada Allah Swt dan menjauhi segala bentuk syirik. |
| Keikhlasan dalam Beribadah: Menekankan kewajipan manusia untuk memurnikan tauhid dan menyembah Allah SWT dengan penuh ikhlas tanpa sebarang syirik. |
| Perumpamaan Al-Quran: Menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan sebagai panduan muktamad bagi manusia serta membawakan perumpamaan tentang perbezaan antara orang yang bertauhid (mempunyai satu tuan yang adil) dengan orang musyrik (mempunyai ramai tuan yang saling bertelingkah). |
Juzuk 24
| ▪️ Surah Az-Zumar ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-39 ▪️ 75 ayat ▪️ Juzuk 24 (Ayat 32 – 75) |
| Tema: Penegasan tentang kebenaran Hari Pembalasan (Kiamat) serta pembahagian manusia kepada dua rombongan di akhirat kelak. |
| Harapan dan Rahmat Allah: Mengandungi ayat yang sangat masyhur (ayat 53) yang menyeru hamba-hamba Allah yang melampaui batas agar tidak berputus asa daripada rahmat-Nya, kerana pintu taubat sentiasa terbuka luas. |
| Dua Rombongan di Hari Kiamat: Menggambarkan suasana Hari Pembalasan di mana manusia dibahagikan kepada dua kumpulan: rombongan orang beriman yang disambut mulia oleh malaikat menuju syurga dan rombongan orang kafir yang dihalau ke neraka. |
| Surah Az-Zumar: Menegaskan bahawa Allah mengampunkan semua jenis dosa bagi orang yang bertaubat (Ayat 53). Surah Ghafir: Mengisytiharkan gelaran-Nya sebagai Yang Maha Pengampun di awal surah (Ayat 3). |
| ▪️ Surah Ghafir ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-40 ▪️ 85 ayat ▪️ Juzuk 24 (Ayat 1 – 85) |
| Surah ini dinamakan Ghafir yang bermaksud “Yang Maha Pengampun” (merujuk kepada sifat Allah di awal surah) dan juga dinamakan Al-Mu’min kerana ia memuatkan kisah seorang lelaki beriman dari kalangan keluarga Firaun yang menyembunyikan imannya demi membela Nabi Musa as. |
| Surah ini diturunkan dalam fasa pertengahan hingga akhir tempoh Mekah, sejurus selepas penurunan Surah Az-Zumar dan sebelum Surah Fussilat. |
| Tema: Keampunan Allah Swt, tauhid dalam berdoa serta penolakan terhadap kesombongan manusia. |
| Sifat Pengampun Allah: Surah ini dibuka dengan penegasan kekuasaan Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui, serta Maha Pengampun bagi hamba-hamba yang bertaubat. |
| Doa Para Malaikat Pemikul Arasy: Menyebutkan bahawa malaikat yang memikul Arasy sentiasa bertasbih dan memohon keampunan serta perlindungan daripada azab neraka untuk orang-orang yang bertaubat di bumi. |
| Kisah Orang Beriman di Istana Firaun: Membawakan kisah seorang lelaki mukmin daripada keluarga Firaun yang menyembunyikan imannya dan berani tampil mempertahankan Nabi Musa as daripada ancaman bunuh Firaun. |
| Surah Ghafir: Allah mencela tindakan orang-orang kafir yang suka berdebat dan membantah ayat-ayat Allah secara batil (Ayat 4). Surah Fussilat: Allah menjawab perdebatan tersebut dengan menegaskan bahawa Al-Quran telah dijelaskan secara terperinci agar tiada ruang berdebat (Ayat 3). Namun orang-orang kafir sengaja menutup telinga dan hati mereka daripada mendengar kebenaran wahyu. |
| ▪️ Surah Fussilat ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-41 ▪️ 54 ayat ▪️ Juzuk 24 (Ayat 1 – 46) |
| Nama “Fussilat” bermaksud “Yang Dijelaskan”, di mana surah ini menegaskan Al-Quran sebagai kitab yang diturunkan dalam bahasa Arab yang jelas untuk difahami. |
| Surah ini diturunkan dalam fasa pertengahan hingga akhir tempoh Mekah, sejurus selepas penurunan Surah Ghafir dan sebelum Surah Asy-Syura. Surah ini diturunkan sebagai jawapan kepada tentangan dan kebiadaban kaum Quraisy yang enggan mendengar ayat-ayat Al-Quran. |
| Tema: Keagungan Al-Quran serta sikap manusia terhadapnya, pembinaan akidah dan amaran kepada mereka yang berpaling. |
| Keagungan Al-Quran dan Sikap Penentang: Surah ini menegaskan bahawa Al-Quran menurunkan rahmat serta penjelasan yang mendalam dalam bahasa Arab. Ia juga menceritakan sikap kaum musyrikin yang sengaja menutup telinga dan hati mereka daripada mendengar kebenaran wahyu. |
| Pengajaran daripada Kaum ‘Aad dan Thamud: Mengimbas kembali kisah penentangan kaum ‘Aad dan Thamud yang dibinasakan dengan azab petir dan angin kerana kesombongan mereka menolak kebenaran. |
| Kesaksian Anggota Badan: Allah memberi amaran tentang Hari Kiamat di mana musuh-musuh Allah akan dikumpulkan, dan kulit, pendengaran serta penglihatan mereka sendiri akan menjadi saksi di atas segala dosa yang telah mereka lakukan di dunia. |
| Keteguhan Iman (Istiqamah): Menyeru manusia untuk tetap istiqamah. Bagi mereka yang berkata “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka tetap teguh, malaikat akan turun untuk memberikan khabar gembira berupa syurga dan menghilangkan rasa takut mereka. |
Kumpulan Surah Ha Mim (Hawamim) – 7 surah berturut-turut dalam Al-Quran yang bermula dengan huruf muqatta’ah “Ha-Mim” (حم). Semua surah ini terletak di dalam Juzuk 24, 25 dan 26. Kesemua surah Hawamim merupakan surah Makkiyah yang tema utamanya memfokuskan kepada pembinaan akidah, pembuktian keesaan Allah, wahyu dan Hari Akhirat.
| No. Surah | Nama Surah | Tema |
|---|---|---|
| 40 | Ghafir | Keampunan Allah, tauhid dalam berdoa dan kisah mukmin keluarga Firaun. |
| 41 | Fussilat | Penegasan tentang kebenaran Al-Quran dan penolakan kaum musyrikin terhadapnya. |
| 42 | Asy-Syura | Konsep wahyu, musyawarah (syura) dan kesatuan agama para Nabi. |
| 43 | Az-Zukhruf | Tempelak terhadap perhiasan dunia yang melalaikan dan kesucian wahyu. |
| 44 | Ad-Dukhan | Amaran tentang azab asap dan penurunan Al-Quran pada malam berkat. |
| 45 | Al-Jathiyah | Tanda-tanda kebesaran Allah di alam semesta dan keadaan manusia melutut di Mahsyar. |
| 46 | Al-Ahqaf | Balasan kepada kaum ‘Aad, tanggungjawab kepada ibu bapa dan keimanan golongan jin. |
Juzuk 25
| ▪️ Surah Fussilat ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-41 ▪️ 54 ayat ▪️ Juzuk 25 (Ayat 47 – 54) |
| Ilmu Allah yang Maha Luas: Menegaskan bahawa segala pengetahuan tentang Hari Kiamat dan rahsia alam semesta berada di bawah ilmu-Nya. |
| Sifat Manusia: Surah diakhiri dengan gambaran sifat manusia yang sering lupa diri: apabila diberikan nikmat mereka berpaling, tetapi apabila ditimpa kesusahan, mereka berdoa dengan panjang lebar. |
| Surah Fussilat: Membongkar sifat manusia yang sombong, berpaling ketika senang, namun hanya mencari Allah apabila ditimpa musibah. Surah Asy-Syura: Menggariskan bahawa perpecahan manusia dalam menerima kebenaran adalah atas pilihan mereka, manakala musibah yang menimpa adalah akibat dosa mereka sendiri. |
| ▪️ Surah Asy-Syura ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-42 ▪️ 53 ayat ▪️ Juzuk 25 (Ayat 1 – 53) |
| Surah ini dinamakan Asy-Syura (Mesyuarat) kerana Allah memuji orang beriman yang menyelesaikan urusan kehidupan mereka melalui perbincangan atau mesyuarat (ayat 38). |
| Surah ini diturunkan dalam fasa pertengahan hingga akhir tempoh Mekah, sejurus selepas penurunan Surah Asy-Syura dan sebelum Surah Az-Zukhruf. Surah ini diturunkan ketika dakwah Islam di Mekah menghadapi tentangan yang sangat sengit dan tekanan berat daripada kaum musyrikin Quraisy. |
| Tema: Menegaskan bahawa semua nabi membawa mesej akidah yang sama daripada Allah Swt, serta membimbing umat Islam tentang cara menguruskan masyarakat melalui keadilan dan syura (perbincangan/musyawarah). |
| Keesaan Wahyu: Menegaskan bahawa semua nabi dan rasul membawa intipati agama yang sama, iaitu mentauhidkan Allah dan menegakkan agama-Nya. |
| Prinsip Syura (Musyawarah): Menekankan kepentingan amalan bermesyuarat dalam menguruskan hal ehwal masyarakat dan pemerintahan Islam. |
| Balasan dan Keampunan: Mengingatkan bahawa musibah yang menimpa manusia adalah akibat perbuatan dosa mereka sendiri, namun Allah Maha Pengampun dan memaafkan banyak kesalahan. |
| Surah Asy-Syura: Menetapkan bahawa Allah adalah satu-satunya penggubal syariat agama yang sama bagi semua nabi. Surah Az-Zukhruf: Membidas golongan kafir yang membuat syariat sendiri secara taklid (mengikut membuta tuli) atas alasan mengikut jejak langkah nenek moyang mereka. |
| Surah Asy-Syura: Menekankan kepentingan Musyawarah (Syura) dan keadilan dalam menguruskan urusan kehidupan manusia di dunia. Surah Az-Zukhruf: Mengingatkan bahawa kemewahan material (kesenangan duniawi) bukanlah ukuran kemuliaan di sisi Allah, sebaliknya ketakwaan adalah yang utama. |
| Surah Asy-Syura membina sistem nilai yang betul dengan meletakkan wahyu dan syuruk (syura) sebagai panduan hidup, manakala Surah Az-Zukhruf meruntuhkan sistem nilai yang salah yang berpaksikan harta, pangkat dan tradisi nenek moyang yang sesat. |
| ▪️ Surah Az-Zukhruf ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-43 ▪️ 89 ayat ▪️ Juzuk 25 (Ayat 1 – 89) |
| Nama Az-Zukhruf bermaksud “Perhiasan Emas” (diambil daripada ayat 35). Surah ini diturunkan untuk membidas mentaliti kebendaan kaum Quraisy yang mengukur kebenaran, kemuliaan dan kenabian seseorang berdasarkan kekayaan harta dan perhiasan emas, bukannya pada kebenaran wahyu. |
| Surah ini diturunkan pada pertengahan hingga akhir tempoh Mekah, sejurus selepas penurunan Surah Asy-Syura dan sebelum Surah Ad-Dukhan. Surah ini diturunkan pada fasa di mana dakwah Islam menerima tentangan hebat dari segi ideologi dan sosioekonomi oleh kaum Musyrikin Quraisy. |
| Tema: Bantahan terhadap keangkuhan manusia yang terpedaya dengan kemewahan duniawi serta membongkar kepalsuan sekutu yang disembah selain Allah. |
| Sindiran Terhadap Kemewahan Emas (Zukhruf): Surah ini membidas pemikiran kaum musyrikin yang mengukur kemuliaan seseorang berdasarkan harta benda dan perhiasan emas. Allah menegaskan bahawa kesenangan dunia adalah sementara, manakala akhirat adalah bagi orang yang bertakwa. |
| Tolak Kebatilan Tradisi Nenek Moyang: Mengkritik sikap taklid buta masyarakat Arab Jahiliyyah yang enggan menerima kebenaran semata-mata mahu mengikut adat resam warisan nenek moyang mereka. |
| Kisah Nabi Musa as dan Firaun: Menceritakan kesombongan Firaun yang berasa dirinya lebih baik daripada Nabi Musa as hanya kerana dia memiliki kekayaan dan kerajaan Mesir, yang akhirnya membawa kepada kemusnahannya di dalam laut. |
| Dalam Surah Az-Zukhruf, Firaun dipaparkan sebagai simbol kesombongan materialis. Dia merasa megah dengan kerajaan Mesir dan sungai-sungai yang mengalir di bawah kekuasaannya. Dalam Surah Ad-Dukhan, Allah Swt menunjukkan pengakhiran kepada kesombongan tersebut. Allah menceritakan bagaimana Firaun dan tenteranya ditenggelamkan, lalu segala taman, mata air, tanaman dan tempat-tempat mewah yang mereka banggakan dalam Surah Az-Zukhruf dahulu ditinggalkan begitu sahaja untuk diwarisi oleh kaum yang lain. |
| ▪️ Surah Ad-Dukhan ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-44 ▪️ 59 ayat ▪️ Juzuk 25 (Ayat 1 – 59) |
| Nama surah ini yang bermaksud “Asap” diambil daripada perkataan Ad-Dukhan yang disebut pada ayat ke-10 dalam surah ini. |
| Surah ini diturunkan pada pertengahan hingga akhir tempoh Mekah, sejurus selepas penurunan Surah Az-Zukhruf dan sebelum Surah Al-Jathiyah. Konteks penurunan surah ini sangat berkait rapat dengan peristiwa kemarau panjang dan kebuluran yang melanda kota Mekah. |
| Tema: Amaran keras tentang azab Allah terhadap golongan yang ingkar, pembuktian kebenaran Al-Quran dan kepastian Hari Pembalasan. |
| Malam Keberkatan (Lailatul Qadar): Surah ini dimulakan dengan penegasan bahawa Al-Quran diturunkan pada malam yang penuh keberkatan (Lailatul Qadar) sebagai rahmat kepada manusia. |
| Azab Asap (Ad-Dukhan): Allah memberi amaran tentang kedatangan azab berupa asap yang tebal yang akan meliputi manusia akibat kedegilan mereka menerima dakwah Islam. |
| Nasib Kaum Tubba’ dan Firaun: Mengambil pengajaran daripada kemusnahan tamadun-tamadun besar terdahulu yang runtuh akibat keangkuhan mereka terhadap para utusan Allah. |
| Kontras Nasib di Akhirat: Menggambarkan dengan jelas seksaan ahli neraka yang diberi makan buah Zaqqum (seperti cairan tembaga yang mendidih), berbanding nikmat ahli syurga yang ditempatkan di tempat yang aman, memakai pakaian sutera dan dikurniakan pasangan yang suci. |
| Surah Ad-Dukhan: Allah Swt memberikan amaran awal kepada kaum musyrikin Mekah tentang kedatangan azab berupa “asap” (Ad-Dukhan) serta gambaran awal huru-hara Hari Pembalasan bagi mereka yang ingkar. Surah Al-Jathiyah: Gambaran tersebut diperincikan dengan lebih dahsyat lagi. Surah ini dinamakan Al-Jathiyah kerana ia menceritakan keadaan manusia yang berlutut(jathiyah) ketakutan menanti pengadilan di padang mahsyar. Ini menunjukkan susunan kronologi impak: Ad-Dukhan membawa amaran ketakutan, manakala Al-Jathiyah menunjukkan kemuncak ketakutan fizikal manusia di hadapan Allah. |
| Surah Ad-Dukhan memfokuskan kepada penyelesaian masalah kegelapan hati dan keraguan golongan kafir terhadap Hari Kebangkitan. Allah membentangkan kisah Firaun dan kaum Tubba’ sebagai contoh sejarah. Surah Al-Jathiyah pula mematahkan hujah pemikiran atheisme atau materialisme (golongan Dahriyyah) yang dipetik dalam ayat 24: “Tiadalah hidup kita melainkan di dunia ini sahaja… dan tiada yang membinasakan kita melainkan peredaran zaman.”. Surah Al-Jathiyah menyambung hujah Ad-Dukhan dengan membentangkan dalil-dalil penciptaan alam (ayat kauniyah) pada langit, bumi, diri manusia dan haiwan sebagai bukti kewujudan Hari Pembalasan. |
| ▪️ Surah Al-Jathiyah ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-45 ▪️ 37 ayat ▪️ Juzuk 25 (Ayat 1 – 37) |
| Nama surah ini, Al-Jathiyah, bermaksud “Yang Berlutut” (diambil daripada ayat 28), yang menggambarkan keadaan setiap umat manusia pada Hari Kiamat yang melutut dalam ketakutan dan kehinaan menanti perbicaraan di hadapan Allah Swt. |
| Surah ini diturunkan pada pertengahan hingga akhir tempoh Mekah, sejurus selepas penurunan Surah Ad-Dukhan dan sebelum Surah Al-Ahqaf. |
| Surah ini diturunkan pada fasa di mana kaum musyrikin Quraisy semakin keras menentang mesej tauhid. |
| Tema: Pembuktian tauhid melalui tanda-tanda kebesaran Allah di alam semesta dan amaran kepada golongan sombong yang menolak kebenaran. |
| Tanda-Tanda Kebesaran Allah (Ayat Kauniyah): Mengajak manusia merenung penciptaan langit, bumi, manusia dan haiwan sebagai bukti keagungan Pencipta. |
| Tempelak terhadap Golongan Sombong: Mengecam golongan yang mendengar ayat-ayat Allah dibacakan tetapi tetap angkuh dan berpaling seolah-olah mereka tidak mendengarnya, serta mereka yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan. |
| Bantahan kepada Golongan Dahriyyah (Atheis): Membidas pegangan golongan yang menafikan Hari Kebangkitan dan menganggap kehidupan ini hanya berakhir dengan kematian semula jadi (faktor masa). |
| Gambaran Hari Kiamat: Menekankan tentang Hari Pembalasan di mana setiap umat akan dikumpulkan dalam keadaan berlutut (Jathiyah) ketakutan menanti lembaran amal mereka. |
| Surah Al-Jathiyah menggambarkan keadaan umat manusia yang berlutut ketakutan menunggu hisab pada Hari Kiamat. Surah Al-Ahqaf pula memaparkan contoh sejarah sebenar kaum ‘Aad yang sombong lalu dibinasakan di dunia lagi sebelum mereka berlutut di akhirat, sebagai amaran kepada Musyrikin Mekah. |
Juzuk 26
| ▪️ Surah Al-Ahqaf ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-46 ▪️ 35 ayat ▪️ Juzuk 26 (Ayat 1 – 35) |
| Surah ini dinamakan sempena perkataan “Al-Ahqaf” yang disebut dalam ayat ke-21 surah ini, merujuk kepada “Bukit-Bukit Pasir” yang merupakan tempat tinggal kaum ‘Aad, iaitu kaum Nabi Hud as. |
| Surah ini diturunkan pada fasa akhir zaman Mekah iaitu sekitar tahun 620 Masihi. |
| Surah ini diturunkan sejurus selepas peristiwa di Taif, iaitu ketika Nabi Muhammad saw keluar berdakwah ke Taif namun ditolak, dipulaukan dan dilukai oleh penduduk di sana. |
| Tema: Ketauhidan, balasan kepada kaum ‘Aad, tanggungjawab kepada ibu bapa dan keimanan golongan jin. |
| Kisah Kaum ‘Aad: Surah ini memaparkan kisah kaum ‘Aad (kaum Nabi Hud as) yang dibinasakan di wilayah Al-Ahqaf akibat kesombongan mereka menolak kebenaran, agar menjadi pengajaran kepada kaum musyrikin Mekah. Jika kaum ‘Aad yang jauh lebih gagah fizikalnya berbanding kaum Quraisy boleh lenyap ditelan bumi Al-Ahqaf, maka tiada apa yang mustahil bagi Allah untuk membinasakan sesiapa sahaja yang menentang kebenaran. |
| Tanggungjawab Anak terhadap Ibu Bapa: Menekankan kewajipan berbuat baik dan mendoakan ibu bapa yang telah bersusah-payah membesarkan kita. |
| Kisah Jin Mendengar Al-Quran: Menceritakan sekumpulan jin yang masuk Islam selepas mendengar bacaan Al-Quran daripada Nabi Muhammad saw. Ketika itu, baginda dalam perjalanan pulang dari Taif. |
| Surah Al-Ahqaf menjadi penutup kepada siri ketujuh-tujuh surah Hawamim (Makkiyyah) yang menekankan sabar menghadapi penolakan, manakala Surah Muhammad memulakan fasa Madaniyyah yang memerintahkan tindakan tegas dan perjuangan (jihad) mempertahankan kebenaran. |
| ▪️ Surah Muhammad ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-47 ▪️ 38 ayat ▪️ Juzuk 26 (Ayat 1 – 38) |
| Surah ini dinamakan sempena nama Nabi Muhammad saw yang disebut pada ayat ke-2 surah ini. Penamaan ini merupakan satu bentuk penghormatan tertinggi yang Allah berikan kepada baginda, sekaligus menegaskan peranan baginda sebagai utusan-Nya. |
| Surah ini diturunkan pada awal fasa Madaniyah, iaitu sekitar tahun 1 Hijrah (622 Masihi) hingga 2 Hijrah (624 Masihi) ketika Nabi Muhammad saw berhijrah ke Madinah dan sebelum meletusnya Perang Badar. |
| Tema: Tuntutan perjuangan (jihad) dan perbezaan sifat orang beriman dengan orang munafik. |
| Perjuangan dan Ketabahan: Membincangkan tentang kesetiaan kepada agama, jihad dan janji pertolongan Allah kepada orang yang menegakkan agama-Nya. |
| Sifat Orang Beriman vs Munafik: Menjelaskan perbezaan antara ganjaran syurga bagi orang bertakwa dengan amaran keras serta pembongkaran sifat buruk kaum munafik |
| Surah Muhammad membicarakan tentang perintah, persediaan dan ujian dalam berjuang (jihad), manakala Surah Al-Fath membawa berita gembira tentang hasil daripada perjuangan tersebut, iaitu kemenangan yang nyata. |
| Surah Muhammad: Allah mendedahkan penyakit hati orang munafik yang gentar apabila turunnya ayat perintah berperang dan mereka berharap agar umat Islam tewas (Ayat 20). Surah Al-Fath: Allah menunjukkan penyesalan dan kekecewaan orang munafik apabila melihat umat Islam pulang membawa kemenangan dan harta rampasan perang tanpa sebarang kekalahan yang mereka harapkan (Ayat 11 & 15). |
| ▪️ Surah Al-Fath ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-48 ▪️ 29 ayat ▪️ Juzuk 26 (Ayat 1 – 29) |
| Surah ini dinamakan sempena perkataan “Al-Fath” yang disebut pada ayat pertama surah ini, yang bermaksud “Kemenangan”. Surah ini diturunkan selepas termeterainya Perjanjian Hudaibiyah dan penamaan surah ini menegaskan bahawa perjanjian damai tersebut sebenarnya adalah sebuah kemenangan besar yang nyata dari sudut strategi dakwah, politik dan ketenteraan jangka masa panjang. |
| Surah ini diturunkan pada tahun 6 Hijrah (628 Masihi), ketika Nabi Muhammad saw bersama para sahabat dalam perjalanan pulang ke Madinah selepas termeterainya Perjanjian Hudaibiyah. |
| Tema: Kemenangan yang nyata dan ketetapan hati. |
| Kemenangan yang Nyata: Menceritakan tentang Perjanjian Hudaibiyah yang disifatkan oleh Allah sebagai sebuah kemenangan besar bagi umat Islam dan menjadi titik tolak kepada pembukaan kota Mekah. |
| Bai’atur Ridhwan: Merakamkan keredhaan Allah ke atas para sahabat yang melakukan ikrar taat setia (bai’ah) di bawah pohon bersama Rasulullah saw. |
| Surah Al-Fath (Kekuatan Ketenteraan & Politik): Surah ini memfokuskan kepada kemenangan besar (Perjanjian Hudaibiyah), kepatuhan para sahabat kepada Nabi Muhammad saw dalam bai’ah (sumpah setia) dan ketegasan terhadap musuh luar. Surah Al-Hujurat (Kekuatan Akhlak & Sosial): Apabila Islam sudah menang dan ramai orang mula masuk Islam, timbul keperluan untuk mendidik komuniti ini. Surah ini turun sebagai “Surah Akhlak” untuk menyusun etika pergaulan agar kemenangan politik tersebut dihiasi dengan kemuliaan akhlak. |
| Surah Al-Fath (Ketenangan Hati): Allah menyebut tentang menurunkan sakinah (ketenangan) ke dalam hati orang beriman semasa menghadapi situasi kritikal di Hudaibiyah (Ayat 4 & 18). Surah Al-Hujurat (Penyucian Hati daripada Penyakit Sosial): Bagi mengekalkan ketenangan tersebut, surah ini melarang keras penyakit hati yang boleh merosakkan masyarakat seperti prasangka buruk (su’uzhan), mencari-cari keaiban orang (tajassus), mengumpat (ghibah) dan memperlekehkan kaum lain (Ayat 11-12). |
| ▪️ Surah Al-Hujurat ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-49 ▪️ 18 ayat ▪️ Juzuk 26 (Ayat 1 – 18) |
| Surah ini dinamakan sempena perkataan “Al-Hujurat” yang terdapat dalam ayat ke-4 surah ini, yang bermaksud “Bilik-Bilik”. Penamaan ini berkait rapat dengan adab sopan dalam bermasyarakat serta penghormatan tinggi yang wajib diberikan kepada institusi keluarga Nabi Muhammad saw. |
| Surah ini diturunkan pada tahun 9 Hijrah (sekitar 630 Masihi), iaitu dalam fasa akhir kenabian di Madinah. Selepas Pembukaan Kota Mekah (8 Hijrah) dan Perang Tabuk, kedudukan Islam di Semenanjung Arab menjadi sangat kukuh, lalu timbul keperluan mendesak untuk menyusun kod etika, undang-undang moral dan adab bermasyarakat. |
| Tema: Kod etika sosial, akhlak bersaudara dan keharmonian ummah. |
| Etika dan Akhlak Sosial: Dikenali sebagai surah akhlak. Ia mendidik cara menghormati pemimpin (Rasulullah saw), melarang perbuatan mengumpat, berprasangka buruk (su’uzhon), dan memanggil orang lain dengan gelaran yang buruk. |
| Persaudaraan Sejagat: Menegaskan bahawa manusia diciptakan berbilang bangsa dan keturunan untuk saling mengenali, dan yang paling mulia di sisi Allah adalah yang paling bertakwa. |
| Surah Al-Hujurat menjadi penutup kepada kelompok surah Madaniyyah yang menyusun syariat, undang-undang dan adab bermasyarakat, manakala Surah Qaf memulakan kelompok surah Makkiyyah yang kembali memfokuskan kepada asas akidah, terutamanya hakikat Hari Kebangkitan dan kematian. |
| Surah Al-Hujurat (Zahir/Sosial): Memfokuskan kepada aspek luaran masyarakat—bagaimana menjaga lisan, mengelakkan mengumpat, prasangka dan menjaga adab pergaulan sesama mukmin. Surah Qaf (Batin/Individu): Membawa manusia menyelami aspek dalaman dan hakikat masa depan diri sendiri. Ia menceritakan tentang bisikan hati, saat kematian (sakaratul maut), tiupan sangkakala dan detik setiap jiwa diheret ke Padang Mahsyar bersama malaikat pengiring dan saksi. Keserasian ini menarik kerana ia menghubungkan antara disiplin akhlak di dunia (Al-Hujurat) dengan pertanggungjawaban di akhirat (Qaf). |
| ▪️ Surah Qaf ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-50 ▪️ 45 ayat ▪️ Juzuk 26 (Ayat 1 – 45) |
| Surah ini dinamakan sempena huruf Hijaiyah “Qaf” (ق) yang menjadi pembuka pada ayat pertama surah ini. Allah bersumpah dengan huruf Qaf untuk membuktikan kemuliaan Al-Quran. |
| Surah ini diturunkan pada awal fasa Mekah, iaitu dianggarkan sekitar tahun ke-4 kenabian (sekitar 614–615 Masihi). |
| Surah ini turun ketika dakwah Islam mula disampaikan secara terbuka di Mekah. Pada waktu itu, penentangan kaum Quraisy baru bermula dan mereka berada dalam keadaan sangat hairan serta mengingkari konsep kebangkitan semula selepas mati. |
| Tema: Hari Kebangkitan, kematian dan bukti kekuasaan Allah pada alam semula jadi. |
| Hari Kebangkitan: Memfokuskan kepada bukti-bukti kekuasaan Allah menghidupkan semula makhluk yang telah mati. Surah ini membantah hujah orang kafir yang mengingkari Hari Kebangkitan semula selepas manusia mati dan menjadi tanah. |
| Pengawasan Malaikat: Peringatan bahawa setiap perkataan dan perbuatan kita dicatat dengan teliti oleh malaikat Raqib dan Atid. |
| Surah Qaf membuktikan hakikat Hari Kebangkitan melalui penciptaan alam dan dalil logik, manakala Surah Az-Zariyat menyusul dengan sumpah-sumpah penciptaan alam demi menegaskan bahawa Hari Pembalasan itu adalah benar dan pasti berlaku. |
| Surah Qaf menekankan bahawa manusia diciptakan dan setiap gerak-geri serta bisikan hatinya sentiasa dalam pengawasan Allah dan catatannya dijaga oleh malaikat (Ayat 16-18). Surah Az-Zariyat pula menjawab persoalan mengapa manusia (dan jin) diciptakan di dunia ini dengan pengawasan yang sebegitu rapi, iaitu menerusi ayatnya yang sangat masyhur: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Ayat 56). |
| ▪️ Surah Az-Zariyat ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-51 ▪️ 60 ayat ▪️ Juzuk 26 (Ayat 1 – 30) |
| Surah ini dinamakan sempena perkataan “Az-Zariyat” yang terdapat pada ayat pertama surah ini, yang bermaksud “Angin yang Menerbangkan”. Penamaan ini menggambarkan sumpah Allah Swt menggunakan fenomena alam yang membawa pengajaran besar tentang kekuasaan-Nya. |
| Surah ini diturunkan pada pertengahan fasa Mekah, iaitu dianggarkan sekitar tahun ke-5 hingga tahun ke-6 kenabian (sekitar 615–616 Masihi). |
| Surah ini turun ketika kaum Musyrikin Mekah mula melancarkan kempen penentangan yang keras terhadap dakwah Rasulullah saw. Mereka memperlekehkan konsep hari kebangkitan semula, syurga dan neraka. Oleh itu, ayat-ayat dalam surah ini diturunkan untuk memberikan jawapan yang tegas dan bukti-bukti logik alam (seperti peranan angin dan hujan) bagi menolak keraguan mereka. |
| Tema: Kepastian janji Allah mengenai Hari Pembalasan. |
| Kepastian Janji Allah: Surah ini dimulakan dengan sumpah Allah demi angin, awan dan kapal sebagai bukti bahawa janji Allah tentang Hari Pembalasan adalah benar. |
| Kisah Nabi Ibrahim as: Bahagian awal surah ini dalam Juzuk 26 menceritakan kisah kedatangan malaikat sebagai tetamu Nabi Ibrahim as membawa khabar gembira tentang kelahiran anak (Nabi Ishak as). |
Juzuk 27
| ▪️ Surah Az-Zariyat ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-51 ▪️ 60 ayat ▪️ Juzuk 27 (Ayat 31 – 60) |
| Tema: Memfokuskan kepada kisah sejarah dan tujuan utama penciptaan makhluk. |
| Kisah Kaum Terdahulu: Menyambung kisah Nabi Ibrahim as dan seterusnya kisah Nabi Lut as, Nabi Musa as, serta kaum ‘Aad dan Tsamud sebagai iktibar tentang akibat menentang utusan Allah. |
| Tujuan Penciptaan: Mengandungi ayat yang sangat masyhur (ayat 56) yang menegaskan bahawa matlamat utama penciptaan jin dan manusia adalah semata-mata untuk beribadah kepada Allah. |
| Jaminan Rezeki: Allah mengingatkan bahawa Dia tidak memerlukan makhluk-Nya, sebaliknya makhluklah yang memerlukan Allah kerana Dialah Maha Pemberi Rezeki. |
| Kedua-dua surah dimulakan dengan gaya bahasa yang serupa, iaitu sumpah Allah Swt menggunakan fenomena alam dan perkara suci untuk menegaskan kebenaran Hari Kiamat dan Pembalasan. |
| Tujuan daripada sumpah-sumpah di awal kedua-dua surah ini adalah untuk menjawab keraguan kaum musyrikin Mekah mengenai akhirat. Keserasian ini memperlihatkan kesinambungan mesej di mana Az-Zariyat menegaskan kepastian Hari Pembalasan, manakala At-Tur pula menekankan kepastian azab yang bakal menimpa penderhaka. |
| ▪️ Surah At-Tur ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-52 ▪️ 49 ayat ▪️ Juzuk 27 (Ayat 1 – 49) |
| Penamaan Surah At-Tur diambil daripada perkataan “At-Tur” yang terletak pada ayat pertama surah ini. Ia mengambil sempena sumpah Allah demi tempat suci di mana Nabi Musa as menerima wahyu. |
| Surah ini diturunkan pada fasa pertengahan zaman Makkiyyah, iaitu sekitar tahun ke-5 hingga ke-9 kenabian (antara tahun 615 hingga 619 Masihi). Ketika ini, dakwah Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw sudah mula tersebar secara terang-terangan dan mendapat pengikut. Keadaan ini menyebabkan para pemimpin kafir Quraisy merasa terancam. |
| Tema: Penegasan tentang kepastian Hari Kiamat, pembuktian kebenaran wahyu Al-Quran dan pembelaan terhadap kerasulan Nabi Muhammad saw. |
| Kepastian Azab dan Hari Kiamat: Dimulai dengan sumpah Allah demi Bukit Tur dan kitab yang tertulis, menegaskan bahawa azab Allah pada Hari Kiamat pasti akan berlaku dan tidak ada sesiapa pun dapat menolaknya. |
| Bantahan kepada Kaum Musyrikin: Surah ini menempelak tuduhan kaum kafir yang mendakwa Nabi Muhammad saw sebagai tukang tenung atau orang gila, serta mencabar mereka untuk mendatangkan sebuah kitab yang setanding dengan Al-Quran jika mereka benar. |
| Keadaan di Akhirat: Menggambarkan nikmat yang bakal diterima oleh orang bertakwa di dalam syurga dan tanggungjawab setiap individu atas amalan masing-masing. |
| Kedua-dua surah ini menolak tuduhan-tuduhan jahat kaum musyrikin Mekah terhadap Nabi Muhammad saw dan Al-Quran. Surah At-Tur (Ayat 29-33): Allah menafikan tuduhan kafir Quraisy dengan menegaskan bahawa Nabi Muhammad saw bukanlah seorang tukang tenung, orang gila mahupun penyair. Allah juga mencabar mereka untuk mendatangkan sebuah kitab yang serupa jika mereka benar. Surah An-Najm (Ayat 2-5): Surah ini datang bagi mengukuhkan lagi sifat ketulenan wahyu tersebut. Allah menegaskan bahawa Nabi Muhammad saw tidak sesat, tidak keliru dan tidak berkata-kata mengikut hawa nafsu. Sebaliknya, apa yang diucapkan baginda adalah wahyu yang diajarkan terus oleh Malaikat Jibril as. |
| ▪️ Surah An-Najm ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-53 ▪️ 62 ayat ▪️ Juzuk 27 (Ayat 1 – 62) |
| Penamaan surah ini yang bermaksud “Demi Bintang” diambil dari ayat pertama surah, di mana Allah Swt bersumpah menggunakan bintang yang terbenam untuk menegaskan kedudukan wahyu. |
| Surah ini diturunkan pada fasa awal zaman Makkiyyah, iaitu sekitar tahun ke-5 kenabian (sekitar tahun 615 Masihi). |
| Ayat 1 hingga 18 dalam surah ini diturunkan bagi menceritakan pengalaman rohani Nabi Muhammad saw yang melihat rupa asal Malaikat Jibril as dan kenaikan baginda ke Sidratul Muntaha (Peristiwa Mi’raj). Apabila baginda menceritakan pengalaman ini, kaum kafir Quraisy menuduh baginda menipu, sesat dan membuat-buat cerita. Maka, Allah menurunkan surah ini untuk menegaskan bahawa segala yang diucapkan dan dilihat oleh Rasulullah saw adalah benar serta merupakan wahyu mutlak daripada Allah. |
| Tema: Penegasan tentang kesucian wahyu, pembuktian kebenaran risalah kerasulan Nabi Muhammad saw, serta pembongkaran kepalsuan akidah syirik kaum musyrikin. |
| Kebenaran Wahyu: Allah bersumpah dengan bintang untuk membuktikan kebenaran wahyu dan menegaskan bahawa tidak sesat dan tidak berkata-kata mengikut hawa nafsu, melainkan semuanya adalah wahyu daripada-Nya. |
| Peristiwa Mikraj: Menceritakan pengalaman Mikraj Nabi Muhammad saw bertemu Malaikat Jibril dalam rupa asal serta melihat tanda-tanda kebesaran Allah di Sidratul Muntaha. |
| Kritikan Terhadap Berhala: Menolak kepercayaan syirik kaum Arab Quraisy yang menyembah berhala (seperti Lata, Uzza dan Manat) serta menganggap malaikat sebagai anak perempuan Allah. |
| Surah An-Najm bermaksud “Bintang”. Surah Al-Qamar bermaksud “Bulan”. Penggandingan antara bintang dan bulan merupakan satu kombinasi yang semula jadi dan indah dalam menggambarkan keindahan serta tanda-tanda kekuasaan Allah Swt di ruang angkasa. |
| Kedua-dua surah mengecam reaksi kaum musyrikin Mekah yang tetap berdegil walaupun telah dibawa bukti yang nyata. Surah An-Najm (Ayat 59-60): Allah membidas sikap mereka yang memperlekehkan Al-Quran: “Maka adakah kamu merasa hairan dengan keterangan Al-Quran ini? Dan kamu tertawa (mengejeknya) dan kamu tidak mahu menangis?” Surah Al-Qamar (Ayat 2): Allah menyatakan bahawa kedegilan mereka bertambah buruk sehinggakan mukjizat fizikal pun ditolak: “Dan kalau mereka melihat sesuatu mukjizat (seperti terbelahnya bulan), mereka berpaling sambil berkata: Ini ialah sihir yang terus menerus.” |
| ▪️ Surah Al-Qamar ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-54 ▪️ 55 ayat ▪️ Juzuk 27 (Ayat 1 – 55) |
| Penamaan surah ini diambil daripada perkataan “Al-Qamar” yang bermaksud “Bulan”, yang terletak pada ayat pertama surah ini. Penamaan surah ini berkait rapat dengan satu peristiwa luar biasa (mukjizat) yang berlaku pada zaman awal perkembangan Islam di Mekah. |
| Surah ini diturunkan pada fasa pertengahan zaman Makkiyah, iaitu sekitar tahun ke-5 kenabian (sekitar tahun 615 Masihi). Waktu penurunan surah ini adalah sebagai respon kepada peristiwa terbelahnya bulan di Mekah. |
| Tema: Kedegilan kaum musyrikin dalam mendustakan mukjizat dan amaran, serta kepastian datangnya azab Allah yang sangat cepat dan dahsyat. |
| Mukjizat Pembelahan Bulan: Dimulai dengan peringatan bahawa Hari Kiamat sudah dekat dan berlakunya mukjizat bulan terbelah sebagai bukti kenabian, namun kaum kafir tetap berpaling dan menganggapnya sihir. |
| Peringatan yang Berulang: Mengisahkan kemusnahan kaum terdahulu (kaum Nabi Nuh as, kaum ‘Aad, kaum Tsamud, kaum Nabi Lut as dan Firaun) dengan diselangi ayat peringatan yang diulang 4 kali: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan?” |
| Surah Al-Qamar (didominasi oleh unsur amaran): Surah ini menceritakan kedegilan manusia dan perincian azab ngeri yang membinasakan kaum terdahulu (kaum Nabi Nuh as, kaum ‘Aad, kaum Thamud, kaum Nabi Lut as dan Firaun). Surah Ar-Rahman (didominasi oleh unsur nikmat): Selepas digerunkan dengan azab dalam surah sebelumnya, Allah menenangkan jiwa hamba-Nya dengan membilang siri nikmat-nikmat-Nya yang tidak terhitung di dunia dan perincian syurga yang indah di akhirat. |
| Kedua-dua surah ini mempunyai struktur sastera al-Quran yang unik kerana kedua-duanya terkenal dengan pengulangan satu ayat yang sama berulang kali sebagai peringatan. Surah Al-Qamar: Allah mengulang ayat ini sebanyak 4 kali untuk menegur manusia agar mengambil pengajaran daripada sejarah kaum terdahulu: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan?” Surah Ar-Rahman: Allah mengulang ayat ini sebanyak 31 kali untuk mencabar manusia dan jin agar bersyukur: “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” |
| ▪️ Surah Ar-Rahman ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-55 ▪️ 78 ayat ▪️ Juzuk 27 (Ayat 1 – 78) |
| Penamaan surah ini diambil daripada kalimah pertama pada ayat pertama surah, iaitu “Ar-Rahman” yang bermaksud “Yang Maha Pemurah”. Penamaan ini berkait rapat dengan asbabun nuzul (sebab turunnya) ayat. Kaum musyrikin Mekah sangat angkuh dan enggan mengakui nama Ar-Rahman. Sebagai jawapan yang mematahkan keangkuhan mereka, Allah menurunkan surah ini untuk memperkenalkan sifat kasih sayang-Nya dan segala nikmat-Nya. |
| Surah ini diturunkan pada fasa pertengahan hingga akhir zaman Makkiyyah (sekitar tahun ke-5 hingga ke-6 kenabian, sekitar 615–616 Masihi). |
| Tema: Penegasan tentang keluasan rahmat, kasih sayang dan nikmat Allah Swt yang meliputi seluruh alam semesta, serta tuntutan agar manusia dan jin mengakui kesemua nikmat tersebut dengan penuh kesyukuran. |
| Rahmat & Nikmat Allah: Surah ini menghidangkan hamparan nikmat penciptaan dunia, alam semesta, tumbuhan, lautan dan nikmat syurga. |
| Teguran Khusus: Ayat ikonik yang diulang sebanyak 31 kali: “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” mencabar manusia dan jin supaya sentiasa bersyukur dan tidak bersikap kufur. |
| Keadilan Akhirat: Membezakan pengakhiran antara penghuni neraka serta tingkatan syurga bagi orang yang takut kepada Allah. |
| Gambaran Kehancuran Alam: Surah Ar-Rahman menerangkan keadaan langit yang terbelah dan menjadi merah mawar (ayat 37), manakala Surah Al-Waqi’ah melengkapkannya dengan gambaran bumi yang digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya (ayat 4). |
| Perincian Golongan Akhirat: Surah Ar-Rahman membahagikan manusia kepada golongan pendosa dan dua peringkat golongan bertakwa. Surah Al-Waqi’ah memperincikan lagi pembahagian ini kepada tiga kelompok utama, iaitu golongan terdahulu (As-Sabiqun), golongan kanan (Ashabul Yamin) dan golongan kiri (Ashabul Syimal). |
| Keseimbangan Harapan dan Ancaman: Surah Ar-Rahman banyak menekankan aspek kasih sayang, limpahan nikmat dan keindahan syurga. Surah Al-Waqi’ah pula menyeimbangkannya dengan peringatan tegas tentang kengerian Hari Kiamat serta realiti balasan amal. |
| ▪️ Surah Al-Waqi’ah ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-56 ▪️ 96 ayat ▪️ Juzuk 27 (Ayat 1 – 96) |
| Penamaan surah ini diambil daripada perkataan “Al-Waqi’ah” (Hari Kiamat) yang terletak pada ayat pertama surah ini. |
| Surah ini diturunkan pada fasa pertengahan zaman Makkiyyah, iaitu sekitar tahun ke-7 kenabian (sekitar tahun 616 hingga 617 Masihi). Ketika itu, dakwah Islam sedang berhadapan dengan penolakan yang sangat keras daripada pembesar kafir Quraisy. Mereka secara terang-terangan mengejek konsep Hari Kebangkitan. Oleh itu, surah ini diturunkan sebagai jawapan berbentuk ketukan psikologi yang sangat keras untuk meruntuhkan keangkuhan pemikiran mereka. |
| Tema: Kepastian terjadinya Hari Kiamat dan pembahagian manusia kepada tiga golongan pada Hari Akhirat berdasarkan amalan mereka di dunia. |
| Huru-hara Hari Kiamat: Menggambarkan kedatangan Hari Kiamat yang tidak boleh didustakan lagi, di mana bumi digoncang dan gunung-ganang dihancurkan menjadi debu. |
| Tiga Golongan Manusia: Manusia akan dibahagikan kepada 3 kumpulan di akhirat kelak, iaitu As-Sabiqun (orang yang paling awal beriman dan mendekatkan diri kepada Allah), Ashabul Yamin (golongan kanan yang menerima suratan amal dengan tangan kanan) dan Ashabul Syimal (golongan kiri yang derhaka dan diazab). |
| Realiti Hari Kiamat & Akhirat vs Tindakan & Amalan di Dunia: Surah Al-Waqi’ah menggambarkan kejadian kiamat serta pembahagian manusia kepada tiga golongan. Surah Al-Hadid menjelaskan cara beriman, berinfak dan berjuang untuk meraih syurga. |
| Gambaran Cahaya & Kegelapan di Hari Kiamat: Surah Al-Waqi’ah menyebut kedudukan ahli syurga di tempat penuh kemuliaan dan ahli neraka dalam siksaan. Surah Al-Hadid menceritakan bagaimana orang beriman berjalan dengan cahaya di hadapan mereka, manakala orang munafik teraba-raba dalam kegelapan. |
| Hakikat Dunia yang Sementara: Surah Al-Waqi’ah menunjukkan betapa mudahnya dunia ini hancur lebur apabila tiba waktunya. Surah Al-Hadid pula melengkapinya dengan mengingatkan bahawa kehidupan dunia hanyalah permainan, senda gurau dan perhiasan yang menipu daya jika tidak digunakan untuk mencari keredhaan Allah. |
| ▪️ Surah Al-Hadid ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-57 ▪️ 29 ayat ▪️ Juzuk 27 (Ayat 1 – 29) |
| Penamaan surah ini diambil daripada perkataan “Al-Hadid” yang bermaksud “Besi”, yang terletak pada ayat ke-25 surah ini. Ia menggambarkan kehebatan besi yang diturunkan yang mendatangkan manfaat besar kepada manusia. Walaupun surah ini dinamakan “Besi”, intipati surah ini sebenarnya banyak menyentuh tentang kelunakan hati, keimanan dan tuntutan menginfakkan harta pada jalan Allah. |
| Surah ini diturunkan pada fasa awal zaman Madaniyyah, iaitu sekitar tahun ke-4 hingga ke-5 Hijrah (sekitar tahun 625 hingga 626 Masihi). |
| Surah ini diturunkan sebelum Pembukaan Kota Mekah, ketika umat Islam di Madinah sedang membina kekuatan ketenteraan, ekonomi dan memerlukan pengorbanan harta serta jiwa yang sangat besar daripada para sahabat. |
| Tema: Tuntutan pengorbanan harta (infak) dan jiwa demi menegakkan keadilan, pembersihan jiwa daripada penyakit nifak (sifat munafik), serta pengimbangan antara kekuatan material (fizikal) dengan kekuatan iman. |
| Tuntutan Berinfak: Menggesa umat Islam untuk mengorbankan harta dan jiwa demi perjuangan Islam serta memberikan pinjaman yang baik kepada Allah. |
| Hakikat Dunia: Mengingatkan bahawa kehidupan dunia ini hanyalah permainan, tipu daya dan tempat persinggahan yang sementara. Keimanan yang sebenar menuntut keseimbangan antara rohani dan sumbangan fizikal (simbolik besi sebagai kekuatan). |
| Surah al-Hadid (Asas kekuatan material dan ketenteraan): Menekankan kepentingan infak harta dan penciptaan besi (al-hadid) sebagai simbol kekuatan fizikal untuk menegakkan kebenaran. Surah al-Mujadilah (Keadilan sosial dan adab bermasyarakat): Menyusun kestabilan dalaman masyarakat Islam melalui penghapusan kezaliman tradisi zihar terhadap wanita, penetapan adab dalam majlis ilmu serta larangan berbisik-bisik untuk melakukan dosa. |
Juzuk 28
| ▪️ Surah Al-Mujadilah ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-58 ▪️ 22 ayat ▪️ Juzuk 28 (Ayat 1 – 22) |
| Surah ini yang bermaksud “Wanita yang Berdebat”, diambil daripada perkataan “tujaadiluka” yang terdapat pada ayat pertama surah ini. Ia dinamakan sempena peristiwa seorang sahabiah bernama Khaulah binti Tha’labah yang mengadu dan bersoal jawab dengan Nabi Muhammad saw mengenai masalah zihar suaminya. |
| Surah ini diturunkan pada fasa pertengahan zaman Madinah (sekitar tahun ke-4 hingga ke-6 Hijrah) ketika masyarakat Islam sudah membentuk sebuah negara dan komuniti yang tersusun. |
| Surah ini menjelaskan hukum pengharaman zihar serta kifarahnya bagi membela hak wanita. |
| Ia turut menggariskan larangan berbisik untuk merancang kejahatan serta adab melapangkan tempat duduk ketika menghadiri majlis ilmu. |
| Ia juga mendedahkan sifat golongan munafik yang bersumpah palsu dan menjadikan musuh-musuh Allah sebagai teman rapat. |
| Surah ini ditutup dengan menegaskan bahawa orang yang beriman tidak akan berkasih sayang dengan pihak yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun mereka adalah ahli keluarga sendiri. |
| Surah Al-Mujadilah (ayat 5 dan 20): Allah menegaskan bahawa golongan yang menentang Allah dan Rasul-Nya pasti akan dihina dan tergolong dalam kalangan orang yang paling rendah. Surah Al-Hasyr (ayat 2-4): Membuktikan janji tersebut secara nyata melalui peristiwa pengusiran kaum Yahudi Bani Nadhir dari Madinah akibat pengkhianatan mereka terhadap Rasulullah saw. Allah mencampakkan rasa gerun ke dalam hati mereka sehingga mereka merobohkan rumah sendiri dan diusir keluar tanpa peperangan besar. |
| Surah al-Mujadilah (ayat 7-10): Allah mendedahkan sikap golongan munafik dan Yahudi yang sering mengadakan bisikan rahsia untuk melakukan dosa, permusuhan dan menyakiti hati orang beriman. Surah al-Hasyr (ayat 11-17): Menyambung pendedahan tersebut dengan merakamkan pakatan sulit ketua munafik, Abdullah bin Ubay, yang berjanji untuk membantu Bani Nadhir jika mereka diperangi atau diusir. Akhirnya, golongan munafik itu memungkiri janji mereka sendiri kerana perasaan takut yang amat sangat kepada Allah melebihi ketakutan kepada manusia. |
| ▪️ Surah Al-Hasyr ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-59 ▪️ 24 ayat ▪️ Juzuk 28 (Ayat 1 – 24) |
| Surah ini yang bermaksud “Pengusiran” diambil daripada perkataan “Al-Hasyr” yang disebut pada ayat ke-2 dalam surah ini. Ia dinamakan sempena peristiwa pengusiran kaum Yahudi Bani Nadhir dari kota Madinah. |
| Surah ini diturunkan pada tahun ke-4 Hijrah (sekitar 625 Masihi), beberapa bulan selepas berlakunya Perang Uhud. |
| Surah ini diturunkan sejurus selepas berakhirnya pengepungan terhadap perkampungan Yahudi Bani Nadhir di pinggir Madinah. Pengepungan tersebut berlaku selama beberapa hari selepas Bani Nadhir cuba mengkhianati dan membunuh Rasulullah saw. Setelah mereka menyerah kalah dan diusir keluar tanpa pertempuran berdarah, Allah Swt menurunkan surah ini untuk menjelaskan hikmah di sebalik kemenangan tersebut, membongkar pakatan sulit golongan munafik dan menetapkan hukum pembahagian harta rampasan (al-fai’). |
| Surah ini diakhiri dengan deretan nama-nama Allah yang mulia (Asmaul Husna) dan sifat-sifat kesempurnaan-Nya bagi menegaskan bahawa seluruh makhluk di langit dan di bumi sentiasa bertasbih kepada-Nya. |
| Surah Al-Hasyr (Pendedahan pengkhianatan musuh):Allah Swt mendedahkan pengkhianatan golongan Yahudi Bani Nadhir serta pakatan sulit mereka bersama golongan munafik yang dipimpin oleh Abdullah bin Ubay. Surah Al-Mumtahanah (Larangan menjadikan musuh sebagai teman rapat): Surah ini dimulakan dengan larangan tegas agar orang beriman tidak menjadikan musuh Allah sebagai teman rapat (wali) sehingga sanggup membocorkan rahsia umat Islam atas dasar kasih sayang atau hubungan kekeluargaan. |
| Surah Al-Hasyr menggambarkan keadaan musuh dan golongan munafik yang kelihatan bersatu pada zahirnya, tetapi hati mereka sebenarnya berpecah-belah dan diselubungi rasa takut. Surah Al-Mumtahanah pula memfokuskan kepada keadaan hati orang beriman yang diuji, termasuklah wanita-wanita yang berhijrah ke Madinah. Allah memerintahkan agar keimanan wanita-wanita ini diuji bagi memastikan penghijrahan mereka benar-benar ikhlas kerana Allah dan bukan kerana sebab duniawi. |
| ▪️ Surah Al-Mumtahanah ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-60 ▪️ 13 ayat ▪️ Juzuk 28 (Ayat 1 – 13) |
| Surah ini yang bermaksud “Perempuan yang Diuji”,diambil sempena perintah Allah Swt dalam ayat ke-10 supaya menguji keimanan wanita-wanita beriman yang berhijrah dari Mekah ke Madinah. |
| Surah ini diturunkan di Madinah antara tahun ke-6 hingga ke-8 Hijrah (sekitar tahun 628 hingga 630 Masihi). |
| Ayat (10-12) (Tahun ke-6 Hijrah / 628 Masihi): Ayat-ayat ini diturunkan sejurus selepas termeterainya Perjanjian Hudaibiyah. Ia turun sebagai panduan hukum apabila wanita-wanita beriman dari Mekah (seperti Ummu Kalsum binti Uqbah) berhijrah ke Madinah dan pihak musyrikin Mekah menuntut mereka dikembalikan. |
| Surah ini menggariskan batas kesetiaan (al-wala’ wal-bara’) dan larangan menjadikan musuh Islam sebagai teman rapat yang membocorkan rahsia. |
| Ia turut memerintahkan ujian keimanan ke atas wanita yang berhijrah serta membenarkan hubungan baik dengan golongan bukan Islam yang tidak memusuhi umat Islam. |
| Pada penghujung Surah Al-Mumtahanah (ayat 10–12), Allah Swt memerintahkan agar wanita-wanita yang berhijrah diuji kebenaran kata-kata mereka dan diminta berbai’ah untuk tidak melakukan kemungkaran serta mentaati Rasulullah saw. Pada awal Surah As-Saff (ayat 2-3), Allah Swt mengecam golongan yang mengatakan sesuatu yang tidak mereka kotakan kerana ia mengundang kemurkaan-Nya. |
| Surah Al-Mumtahanah: Pembersihan barisan umat Islam daripada pengaruh dan kesetiaan kepada musuh. Surah As-Saff: Pengukuhan barisan umat Islam melalui kesatuan dan tindakan bersepadu. |
| ▪️ Surah As-Saff ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-61 ▪️ 14 ayat ▪️ Juzuk 28 (Ayat 1 – 14) |
| Surah iniyang bermaksud “Barisan”, diambil daripada perkataan “saffan” yang terdapat dalam ayat ke-4 surah ini. |
| Surah ini diturunkan di Madinah sekitar tahun ke-3 hingga ke-4 Hijrah (sekitar tahun 625–626 Masihi), selepas berlakunya Perang Uhud. |
| Menurut sebahagian riwayat tafsir, ayat-ayat awal surah ini diturunkan sebagai teguran kepada sebahagian sahabat yang berikrar sanggup berjuang mati-matian, namun berundur ketika diasak dalam Perang Uhud. |
| Surah ini menyeru orang-orang beriman agar menunaikan janji mereka, bersatu padu dalam satu barisan yang kukuh dan menyumbang harta serta jiwa demi kemenangan Islam. |
| Surah As-Saff menekankan kepentingan umat Islam tersusun rapi seperti bangunan yang kukuh dalam memperjuangkan agama Allah dan memerangi musuh. Surah Al-Jumu’ah pula menggariskan mekanisme berkala untuk mengekalkan kesatuan tersebut, iaitu melalui kewajipan berhimpun setiap minggu pada hari Jumaat bagi mendengar khutbah dan mendirikan solat berjemaah. |
| ▪️ Surah Al-Jumu’ah ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-62 ▪️ 11 ayat ▪️ Juzuk 28 (Ayat 1 – 11) |
| Surah ini yang bermaksud “Hari Jumaat”, diambil daripada perkataan “Al-Jumu’ah” yang terdapat dalam ayat ke-9 surah ini. |
| Surah ini diturunkan di Madinah sekitar tahun ke-6 hingga ke-7 Hijrah (sekitar tahun 628 Masihi), iaitu selepas pengusiran kaum Yahudi dari Madinah. Ia diturunkan sebagai peringatan kepada umat Islam agar tidak mengulangi sikap Bani Israil yang mengabaikan kitab suci mereka. |
| Surah ini menerangkan tugas utama Rasulullah saw dalam menyucikan jiwa umat. |
| Ia turut mengecam golongan yang diberi kitab (Bani Israil) tetapi tidak mengamalkannya dengan perumpamaan seperti keldai memikul kitab-kitab tebal. |
| Ia juga mewajibkan umat Islam meninggalkan urusan jual beli apabila azan solat Jumaat dilaungkan dan kembali mencari rezeki selepas selesai solat. |
| Surah Al-Jumu’ah (ayat 9): Allah Swt menyeru orang beriman agar bersegera mengingati Allah apabila azan Jumaat dilaungkan. Surah Al-Munafiqun (ayat 5): Mendedahkan sikap berlawanan golongan munafik, di mana apabila diajak agar Rasulullah saw memohonkan keampunan untuk mereka, mereka memalingkan muka dengan penuh kesombongan. |
| Surah Al-Jumu’ah (ayat 11) menegur sebahagian sahabat yang meninggalkan khutbah Rasulullah saw kerana teruja melihat kafilah dagangan dan hiburan yang baru tiba di Madinah. Surah Al-Munafiqun (ayat 9) menyambung tema ini dengan mengingatkan orang beriman agar tidak lalai daripada mengingati Allah disebabkan harta benda dan anak pinak. |
| ▪️ Surah Al-Munafiqun ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-63 ▪️ 11 ayat ▪️ Juzuk 28 (Ayat 1 – 11) |
| Surah ini yang bermaksud “Orang-Orang Munafik”, diambil daripada perkataan “Al-Munafiqun” yang disebut pada ayat pertama surah ini. |
| Surah ini diturunkan di Madinah pada tahun ke-5 atau ke-6 Hijrah (sekitar tahun 627 Masihi), ketika perjalanan pulang tentera Islam daripada Perang Bani Mustaliq. Ketua golongan munafik, Abdullah bin Ubay, menghasut penduduk Madinah agar menghentikan bantuan kepada golongan Muhajirin serta mengugut untuk mengusir orang-orang beriman setibanya di Madinah. Apabila Zaid bin Arqam melaporkan perkara ini kepada Rasulullah saw, Abdullah bin Ubay bersumpah menafikannya, lalu Allah Swt menurunkan surah ini untuk membenarkan kata-kata Zaid dan membongkar kepura-puraan kaum munafik. |
| Surah ini mendedahkan sifat-sifat buruk golongan munafik yang berdusta, bermuka dua dan menghalang manusia daripada jalan Allah. |
| Ia turut mengingatkan orang beriman agar tidak lalai daripada mengingati Allah disebabkan harta benda dan anak pinak, serta menggalakkan sedekah sebelum datangnya kematian. |
| Surah al-Munafiqun (ayat 9) mengingatkan orang beriman agar tidak lalai daripada mengingati Allah disebabkan harta benda dan anak pinak. Surah At-Taghabun (ayat 14-15) menyambung peringatan tersebut dengan menegaskan bahawa sesungguhnya harta dan anak-anak adalah ujian (fitnah), bahkan sebahagian daripada pasangan dan anak-anak boleh menjadi musuh (penghalang kepada ketaatan) jika tidak diurus dengan berhati-hati. |
| Surah al-Munafiqun ditutup dengan amaran bahawa sesiapa yang dilalaikan oleh harta dan keluarga daripada mengingati Allah, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Surah at-Taghabun (ayat 9) menerangkan secara terperinci bilakah kerugian tersebut akan terserlah secara nyata, iaitu pada Hari Kiamat. |
| ▪️ Surah At-Taghabun ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-64 ▪️ 18 ayat ▪️ Juzuk 28 (Ayat 1 – 18) |
| Surah ini yang bermaksud “Hari Dinampakkan Kesalahan”, diambil daripada perkataan “At-Taghabun” yang terdapat dalam ayat ke-9 surah ini. |
| Surah ini diturunkan di Madinah pada fasa awal selepas peristiwa Hijrah (sekitar tahun pertama hingga ke-3 Hijrah / 622–625 Masihi). |
| Surah ini menegaskan kekuasaan mutlak Allah dan mengingatkan manusia tentang Hari Kiamat apabila segala kerugian dan keuntungan amal perbuatan akan didedahkan dengan nyata. |
| Ia juga memberi peringatan supaya berwaspada dengan ujian harta dan ahli keluarga agar tidak melalaikan ketaatan kepada Allah. |
| Surah at-Taghabun dan Surah at-Talaq terletak pada peralihan daripada peringatan umum tentang ujian kekeluargaan kepada perincian hukum syariat dalam menguruskan konflik rumah tangga. |
| Pada penghujung Surah At-Taghabun (ayat 14–15), Allah Swt mengingatkan bahawa sebahagian daripada pasangan dan anak-anak boleh menjadi musuh (penghalang ketaatan) serta ujian (fitnah) bagi orang beriman, namun mereka digalakkan untuk memaafkan dan berlapang dada. Surah at-Talaq dimulakan dengan garis panduan syariat yang terperinci mengenai perceraian (talaq), tempoh iddah, hak tempat tinggal dan nafkah sekiranya pertelingkahan rumah tangga tidak lagi dapat didamaikan dengan sifat pemaaf. |
| Surah at-Taghabun: Kejayaan dan pengampunan dosa bagi orang yang bertakwa dan berinfak. Surah at-Talaq: Jalan keluar daripada masalah dan memperolehi rezeki yang tidak disangka-sangka bagi orang yang bertakwa. |
| ▪️ Surah At-Talaq ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-65 ▪️ 12 ayat ▪️ Juzuk 28 (Ayat 1 – 12) |
| Surah ini yang bermaksud “Perceraian”, diambil daripada perkataan “tallaqtumu” yang terdapat pada ayat pertama surah ini. Sebahagian besar kandungannya membincangkan hukum-hakam berkaitan perceraian. |
| Surah ini diturunkan pada fasa pertengahan hingga akhir zaman Madinah, selepas penurunan surah yang panjang (Surah Al-Baqarah dan Surah An-Nisa’) bagi melengkapkan serta memperhalusi peraturan umum berkaitan talak dan iddah. |
| Surah ini menjelaskan hukum-hakam berkaitan perceraian, tempoh iddah, tempat tinggal serta nafkah bagi isteri yang diceraikan yang berteraskan ketakwaan kepada Allah. |
| Ia turut menjanjikan jalan keluar dan rezeki daripada sumber yang tidak disangka-sangka bagi sesiapa yang bertakwa kepada Allah. |
| Surah At-Talaq dan Surah At-Tahrim terletak pada kesinambungan tema pengurusan institusi kekeluargaan, perhubungan suami isteri, serta tanggungjawab memelihara ahli keluarga daripada kemurkaan Allah Swt. |
| Surah At-Talaq membincangkan hukum-hakam berkaitan hubungan suami isteri apabila berlaku perceraian (talaq), tempoh iddah dan usaha untuk rujuk semula dengan cara yang baik. Surah At-Tahrim dimulakan dengan menegur perbuatan Nabi Muhammad saw yang mengharamkan sesuatu yang dihalalkan oleh Allah ke atas diri baginda semata-mata untuk mencari keredhaan isteri-isteri baginda. Perbincangan kemudiannya berlanjutan kepada masalah rumahtangga dan ancaman perceraian (ayat 5) sekiranya isteri-isteri baginda tidak bertaubat. |
| Surah At-Talaq (ayat 1–7): Allah menekankan kewajipan suami memelihara hak isteri dan anak-anak daripada aspek tempat tinggal, nafkah zahir dan keadilan agar tidak melampaui batasan Allah. Surah At-Tahrim (ayat 6): Melengkapkan tanggungjawab tersebut dari aspek rohani dan akhirat. Allah memerintahkan orang beriman supaya memelihara diri sendiri dan ahli keluarga mereka daripada api neraka melalui didikan agama dan ketaatan. |
| ▪️ Surah At-Tahrim ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-66 ▪️ 12 ayat ▪️ Juzuk 28 (Ayat 1 – 12) |
| Surah ini yang bermaksud “Pengharaman”, diambil daripada perkataan “tuharrimu” yang terdapat pada ayat pertama surah ini. Surah ini dimulakan dengan teguran lembut Allah Swt kepada Nabi Muhammad saw kerana mengharamkan ke atas diri baginda sesuatu yang telah dihalalkan oleh Allah demi menjaga hati isteri-isteri baginda. |
| Menurut riwayat tafsir, baginda pernah bersumpah tidak akan meminum madu (atau mendekati hamba sahayanya, Mariyah al-Qibtiyyah) setelah berlaku rasa cemburu dalam kalangan sebahagian isteri baginda. Surah ini turun menjelaskan bahawa seorang hamba tidak berhak mengharamkan perkara yang halal, dan sumpah sedemikian hendaklah ditebus dengan kaffarah. |
| Surah ini diturunkan di Madinah pada fasa lewat zaman Madinah (sekitar tahun ke-7 hingga ke-9 Hijrah / 628–630 Masihi), selepas kedatangan Mariyah al-Qibtiyyah (hadiah daripada pembesar Mesir) ke Madinah. |
| Surah ini menegur perbuatan mengharamkan sesuatu yang telah dihalalkan oleh Allah demi menjaga hati pasangan dalam rumah tangga. |
| Ia juga memerintahkan setiap mukmin memelihara diri dan keluarga daripada api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu. |
| Surah ini diakhiri dengan menegaskan bahawa keselamatan di akhirat bergantung sepenuhnya pada amal dan keimanan individu, bukan ikatan keturunan atau perkahwinan. Ia menampilkan perbandingan contoh isteri-isteri nabi yang derhaka (isteri Nabi Nuh as dan Nabi Lut as) dan wanita solehah seperti Asiah (isteri Firaun) dan Maryam. |
| Surah At-Tahrim (Surah Madaniyyah):Tanggungjawab syariat dalam rumah tangga, taubat dan teladan iman. Surah Al-Mulk (Surah Makkiyyah): Pengukuhan akidah melalui pemerhatian alam, tujuan hidup dan Hari Akhirat. |
| Surah At-Tahrim (ayat 6), Allah Swt memerintahkan orang beriman supaya menjaga diri dan ahli keluarga mereka daripada api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu, serta dijaga oleh malaikat-malaikat yang kasar dan keras. Surah Al-Mulk (ayat 6-11) menyambung gambaran tersebut secara terperinci. Allah menggambarkan kegerunan neraka Jahannam yang hampir meletup kerana kemarahan, serta pengakuan penghuninya di hadapan para malaikat penjaga neraka tentang penyesalan mereka kerana tidak mahu mendengar atau menggunakan akal semasa di dunia. |
Juzuk 29
| ▪️ Surah Al-Mulk ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-67 ▪️ 30 ayat |
| Surah ini yang bermaksud “Kerajaan”, diambil daripada perkataan “Al-Mulku” yang terdapat pada ayat pertama surah ini. Penamaan surah ini menegaskan bahawa kekuasaan mutlak ke atas seluruh alam di dunia dan di akhirat berada di tangan Allah Swt. |
| Surah ini diturunkan pada fasa pertengahan dakwah Nabi Muhammad saw di Mekah (sekitar tahun ke-5 hingga ke-8 kenabian), ketika penentangan kaum musyrikin Quraisy terhadap dakwah tauhid semakin memuncak. |
| Surah ini diturunkan berikutan sikap orang-orang musyrik Mekah yang sering berbisik-bisik sesama sendiri untuk memperlekehkan Nabi Muhammad saw. Mereka menyangka Allah tidak mendengar rancangan rahsia mereka, lalu Allah menegaskan bahawa Dia Maha Mengetahui segala isi hati manusia. |
| Surah ini menegaskan kekuasaan mutlak Allah ke atas langit dan bumi serta penciptaan mati dan hidup untuk menguji amalan terbaik manusia. |
| Ia turut menjelaskan kesempurnaan ciptaan alam sebagai bukti kekuasaan Allah serta memberi amaran tentang azab neraka bagi golongan yang ingkar. |
| Ia juga menegaskan bahawa Allah Maha Mengetahui segala bisikan hati manusia. |
| Dalam Surah Al-Mulk, kaum musyrikin menuduh dan menantikan kebinasaan Nabi Muhammad saw serta para pengikut baginda (ayat 28). Surah Al-Qalam dibuka dengan sumpah Allah menafikan tuduhan gila terhadap baginda, serta mengiktiraf baginda memiliki akhlak yang sangat agung (ayat 2–4). |
| Kedua-dua surah memberi amaran keras kepada golongan yang mendustakan kebenaran. Surah Al-Mulk memperincikan penyesalan penghuni neraka Jahannam (ayat 6–11), manakala Surah Al-Qalam menggambarkan kehinaan golongan angkuh di dunia dan azab Hari Kiamat apabila mereka tidak mampu bersujud kepada Allah (ayat 42–43). |
| ▪️ Surah Al-Qalam ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-68 ▪️ 52 ayat |
| Surah ini yang bermaksud “Pena”, diambil daripada perkataan “Al-Qalam” yang terdapat pada ayat pertamanya. Penamaan surah ini merujuk kepada sumpah Allah Swt dengan pena dan apa yang ditulis oleh manusia sebagai simbol ilmu pengetahuan dan wahyu. |
| Surah ini diturunkan pada peringkat awal dakwah di Mekah, ketika dakwah Islam baru sahaja bermula secara sulit dan mula mendapat tentangan daripada pembesar Quraisy di Mekah. |
| Ketika Nabi Muhammad saw mula menyampaikan seruan tauhid, golongan musyrikin Mekah menuduh baginda sebagai orang gila atau ahli sihir kerana membawa ajaran yang berbeza daripada tradisi nenek moyang mereka. Allah menurunkan surah ini untuk menenangkan jiwa baginda, memuji akhlak baginda yang sangat agung (ayat 4) serta menegaskan bahawa baginda berada di atas jalan kebenaran. |
| Surah ini juga memberikan peringatan melalui kisah pemilik kebun yang dimusnahkan tanamannya akibat sifat bakhil terhadap orang miskin dan memberikan peringatan kepada golongan yang mendustakan kebenaran. |
| Surah Al-Qalam: Pembelaan akhlak Nabi Muhammad saw dan perintah bersabar dalam dakwah. Surah Al-Haqqah: Kepastian berlakunya Hari Kiamat dan kebenaran sumber wahyu Al-Quran. |
| Balasan di Dunia dan Akhirat: Surah Al-Qalam menampilkan contoh azab dunia yang menimpa pemilik kebun akibat sifat sombong dan kedekut. Surah Al-Haqqah melengkapkan gambaran tersebut dengan perincian azab dunia yang membinasakan umat-umat terdahulu serta nasib manusia ketika menerima buku catatan amalan di akhirat. |
| ▪️ Surah Al-Haqqah ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-69 ▪️ 52 ayat |
| Surah ini yang bermaksud “Hari Kiamat”, diambil daripada perkataan pembukaan pada ayat pertamanya. Penamaan surah ini menekankan hakikat kebenaran Hari Kiamat yang pasti berlaku dan tidak dapat diragui lagi oleh sesiapa pun. |
| Surah ini diturunkan pada fasa pertengahan hingga akhir dakwah di Mekah, ketika penentangan kaum musyrikin Quraisy terhadap konsep Hari Kebangkitan sedang memuncak. |
| Kaum musyrikin Mekah mengingkari serta mempersendakan berita mengenai Hari Kiamat dan kebangkitan semula. Surah ini diturunkan untuk menyedarkan penduduk Mekah tentang kedahsyatan Hari Kiamat melalui kisah kehancuran kaum terdahulu seperti kaum ‘Aad, Thamud dan Firaun. |
| Surah ini juga menggambarkan nasib manusia yang menerima buku amalan dari tangan kanan atau kiri. |
| Gambaran Huru-hara Hari Kiamat: Surah Al-Haqqah menggambarkan kehancuran alam melalui satu tiupan sangkakala, bumi dan gunung-ganang diangkat lalu dihancurkan sekali gus, serta langit yang terbelah. Surah Al-Ma’arij memperincikan lagi suasana pada hari yang tempohnya bersamaan 50,000 tahun itu, apabila langit menjadi seperti cairan tembaga dan gunung-ganang berterbangan seperti bulu yang ditiup angin. |
| ▪️ Surah Al-Ma’arij ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-70 ▪️ 44 ayat |
| Surah ini yang bermaksud “Tempat-tempat Naik”, diambil daripada perkataan “Dzil-Ma’arij” pada ayat ke-3 surah ini. Penamaan surah ini merujuk kepada ketinggian dan keagungan Allah Swt sebagai Pemilik tangga-tangga langit yang menjadi laluan naik para malaikat dan roh ke hadrat-Nya. |
| Surah ini diturunkan pada peringkat pertengahan hingga akhir dakwah di Mekah, ketika kaum musyrikin Mekah bukan sahaja menolak risalah tauhid, malah mula mempersendakan konsep Hari Kiamat serta azab kubur dan neraka. |
| Menurut riwayat Ibnu Abbas, ayat pembukaan surah ini diturunkan bersempena sikap biadab seorang pembesar Quraisy yang berdoa secara mengejek meminta agar Allah menurunkan hujan batu dari langit atau menimpakan azab yang pedih jika benar ajaran yang dibawa Nabi Muhammad saw itu datang daripada Tuhan. Allah Swt menurunkan surah ini untuk menegaskan bahawa azab yang diminta itu pasti akan menimpa orang-orang kafir pada Hari Kiamat kelak dan tiada sesiapa pun yang mampu menolaknya. |
| Surah ini turut menerangkan sifat semula jadi manusia yang sering berkeluh-kesah dan tidak sabar apabila ditimpa kesusahan serta ciri-ciri ahli syurga yang memelihara solat dan kehormatan diri. |
| Pada penghujung Surah Al-Ma’arij (ayat 40–41), Allah bersumpah bahawa Dia berkuasa membinasakan kaum Quraisy yang ingkar dan menggantikan mereka dengan kaum lain yang lebih baik. Surah Nuh dimulakan dengan kisah pengutusan Nabi Nuh as kepada kaumnya yang derhaka, sebagai bukti sejarah bagaimana Allah benar-benar membinasakan umat terdahulu apabila mereka menolak dakwah. |
| Kedua-dua surah ini berfungsi sebagai pujukan kepada Nabi Muhammad saw. Surah Al-Ma’arij mengandungi perintah kepada baginda agar bersabar (ayat 5), manakala Surah Nuh memaparkan contoh praktikal kesabaran Nabi Nuh as yang berdakwah siang dan malam, secara sembunyi dan terang-terangan selama 950 tahun (ayat 5–9). |
| ▪️ Surah Nuh ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-71 ▪️ 28 ayat |
| Surah ini bersempena nama Nabi Nuh as kerana keseluruhan ayat di dalam surah ini menceritakan perjalanan dakwah, kesabaran dan doa baginda kepada kaumnya. |
| Surah ini diturunkan pada peringkat pertengahan dakwah di Mekah, ketika penentangan dan pendustaan kaum musyrikin Quraisy terhadap seruan tauhid semakin sengit. |
| Ketika surah ini diturunkan, Nabi Muhammad saw berdakwah secara terang-terangan dan berdepan tentangan hebat daripada pembesar Quraisy yang enggan meninggalkan sembahan berhala nenek moyang mereka. Allah menurunkan kisah perjuangan Nabi Nuh as untuk menguatkan semangat Rasulullah saw. Ia menjadi peringatan bahawa penolakan kaum musyrikin terhadap kebenaran adalah sunnatullah yang turut dilalui oleh para rasul terdahulu. |
| Surah ini menceritakan kesabaran dan kegigihan dakwah Nabi Nuh as selama 950 tahun dalam menyeru kaumnya agar kembali mentauhidkan Allah dan kesudahan kaumnya yang ditenggelamkan akibat keangkuhan mereka. |
| Surah Nuh: Penolakan keras golongan manusia terhadap dakwah Nabi Nuh as. Surah Al-Jin: Penerimaan pantas golongan jin terhadap bacaan Al-Quran Nabi Muhammad saw. |
| Reaksi Terhadap Dakwah: Surah Nuh: Kaum Nabi Nuh as menyombongkan diri, menutup telinga dan berdegil dalam kesyirikan. Surah Al-Jin: Golongan jin mendengar dengan teliti, terus beriman dan berdakwah kepada kaum mereka. |
| ▪️ Surah Al-Jin ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-72 ▪️ 28 ayat |
| Surah ini yang bermaksud “Jin”, diambil daripada perkataan “Al-Jinni” pada ayat pertamanya. Penamaan surah ini merujuk kepada peristiwa sekumpulan jin mendengar bacaan al-Quran daripada Rasulullah saw. |
| Surah ini diturunkan pada fasa pertengahan hingga akhir dakwah di Mekah, selepas peristiwa penolakan hebat dan penghinaan yang diterima Nabi Muhammad saw daripada penduduk Taif pada tahun ke-10 kenabian. |
| Dalam perjalanan pulang dari Taif menuju ke Mekah, Rasulullah saw mengimamkan solat Subuh bersama para sahabat. Sekumpulan jin yang kebetulan melintasi kawasan tersebut berhenti mendengar bacaan Al-Quran baginda dengan penuh khusyuk. Mereka beriman serta-merta lalu pulang menyebarkan seruan tauhid kepada kaum mereka. |
| Peristiwa ini sekali gus menjadi teguran buat kaum musyrikin yang masih menolak kebenaran dan membuktikan bahawa risalah Islam merangkumi alam manusia dan jin. |
| Surah Al-Jin: Keimanan golongan jin terhadap Al-Quran dan ketauhidan mutlak kepada Allah. Surah Al-Muzzammil: Pembinaan kekuatan rohani Nabi Muhammad saw melalui qiamullail dan bacaan Al-Quran. |
| ▪️ Surah Al-Muzammil ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-73 ▪️ 20 ayat |
| Surah ini yang bermaksud “Orang yang Berselimut”, diambil daripada perkataan “Al-Muzzammil”pada ayat pertamanya. Penamaan surah ini merujuk kepada panggilan lembut Allah Swt kepada Nabi Muhammad saw yang sedang berselimut kerana kesejukan dan rasa takut dengan suasana awal penerimaan wahyu. |
| Surah ini diturunkan pada permulaan kerasulan Nabi Muhammad saw dan merupakan antara wahyu terawal yang diterima oleh baginda. |
| Pada peringkat awal kenabian, Rasulullah saw sering berselimut kerana berasa gementar dan berat menanggung urusan wahyu serta dakwah. Allah Swt memanggil baginda dengan gelaran penuh kasih sayang, “Wahai orang yang berselimut” (Al-Muzzammil), lalu memerintahkan baginda bangun mendirikan solat malam (qiamullail) dan membaca Al-Quran secara perlahan-lahan dan bertajwid (tartil) sebagai sumber kekuatan jiwa bagi memikul beban dakwah. |
| Keserasian antara Surah Al-Muzzammil dan Surah Al-Muddaththir terletak pada keseimbangan antara ibadah peribadi (hablum minallah) dengan tanggungjawab dakwah kepada masyarakat (hablum minannas). Kedua-dua surah Makkiyyah yang terkenal sebagai surah kembar ini melengkapkan persediaan seorang pendakwah, iaitu membina kekuatan jiwa pada waktu malam dan bergerak menyampaikan peringatan pada waktu siang. |
| ▪️ Surah Al-Muddaththir ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-74 ▪️ 56 ayat |
| Surah ini yang bermaksud “Orang yang Berselubung”, diambil daripada perkataan “Al-Muddaththir” pada ayat pertamanya. Penamaan surah ini merujuk kepada panggilan lembut Allah Swt kepada Nabi Muhammad saw yang sedang berselimut setelah terkejut melihat rupa asal Malaikat Jibril as di langit. |
| Surah ini diturunkan pada permulaan kerasulan Nabi Muhammad saw dan merupakan antara wahyu terawal yang diterima oleh baginda. |
| Nabi Muhammad saw menceritakan bahawa ketika baginda sedang berjalan, baginda terdengar satu suara dari langit. Apabila mendongak, baginda terlihat Malaikat Jibril as dalam rupa bentuknya yang asal. Rasa gerun dan takut menyelubungi diri baginda sehingga baginda pulang ke rumah dan meminta diselimutkan. Pada saat itulah Allah Swt menurunkan 7 ayat pertama surah ini yang memerintahkan baginda bangkit memulakan dakwah. |
| Surah ini menyeru Rasulullah saw agar bangkit memberi peringatan kepada manusia serta menjauhi segala bentuk kemusyrikan dan kesombongan. |
| Ia juga menggambarkan kengerian Neraka Saqar beserta punca-punca manusia terjerumus ke dalamnya. |
| Surah Al-Muddaththir: Memaparkan penyesalan ahli neraka Saqar yang mengakui bahawa mereka dahulu mendustakan Hari Pembalasan sehinggalah datang kematian kepada mereka. Surah Al-Qiyamah: Menggambarkan dengan jelas detik sakaratulmaut yang mendebarkan, apabila nyawa sudah sampai di kerongkong, kaki bertaut dengan kaki dan tiada lagi ruang untuk melarikan diri. |
| ▪️ Surah Al-Qiyamah ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-75 ▪️ 40 ayat |
| Surah ini yang bermaksud “Hari Kiamat”, diambil daripada perkataan “Biyaumil-Qiyamah”pada ayat pertamanya. Penamaan surah ini merujuk kepada sumpah Allah Swt dengan Hari Kiamat bagi menegaskan kepastian berlakunya Hari Kebangkitan dan pembalasan selepas kematian. |
| Surah ini diturunkan pada peringkat awal hingga pertengahan dakwah di Mekah. |
| Ketika dakwah Islam mula menyentuh soal Hari Akhirat, kaum musyrikin Quraisy mengingkari hakikat kebangkitan semula selepas mati. Seorang kafir pernah bertanya secara sinis kepada Nabi Muhammad saw bilakah berlakunya Hari Kiamat sambil menyatakan bahawa beliau tidak akan mempercayainya walaupun melihatnya sendiri. Surah ini turun untuk menegaskan kekuasaan Allah menghimpunkan semula tulang-belulang manusia hingga ke hujung jari mereka. |
| Surah ini turut menggambarkan keadaan cemas manusia ketika nyawa sampai di kerongkong pada saat kematian (sakaratulmaut), di mana tiada sesiapa yang mampu menjadi penyelamat selain amalan sendiri. |
| Surah Al-Qiyamah ditutup dengan peringatan tentang asal kejadian manusia daripada setitis air mani yang dipancarkan, kemudian Allah berkuasa menghidupkannya semula setelah mati (ayat 37–40). Surah Al-Insan menyambung hakikat ini dengan menjelaskan bahawa manusia diciptakan daripada setitis air mani yang bercampur untuk diuji, lalu dikurniakan pendengaran dan penglihatan (ayat 2). |
| ▪️ Surah Al-Insan ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-76 ▪️ 31 ayat |
| Surah ini yang bermaksud “Manusia”, diambil daripada perkataan “Al-Insan” yang terdapat pada ayat pertamanya. Penamaan surah ini merujuk kepada perbahasan yang menerangkan asal-usul penciptaan manusia daripada tiada, tujuan hidupnya sebagai ujian, serta pengakhiran nasibnya sama ada di syurga atau di neraka. |
| Surah ini diturunkan di Madinah selepas peristiwa Hijrah, dan penurunan surah ini mempunyai kaitan rapat dengan peristiwa pengorbanan keluarga Rasulullah saw. |
| Kisah Nazar dan Sedekah (ayat 8–9). Menurut riwayat Ibnu Abbas, ayat yang memuji golongan yang memberi makan kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan perang diturunkan bersempena kisah Saidina Ali bin Abi Talib dan Saidatina Fatimah az-Zahra. Ketika kedua-dua anak mereka (Hasan dan Husain) jatuh sakit, mereka bernazar untuk berpuasa selama 3 hari apabila anak-anak mereka sembuh. Pada setiap hari selama 3 hari berturut-turut ketika mereka hendak berbuka puasa dengan hanya sedikit roti barli, datang seorang miskin pada hari pertama, anak yatim pada hari kedua dan tawanan perang pada hari ketiga meminta makanan. Mereka terus menyedekahkan kesemua makanan tersebut dan hanya berbuka dengan air kosong, lalu Allah Swt menurunkan ayat pujian tersebut sebagai pengiktirafan keikhlasan mereka. |
| Selain memuji sifat dermawan, surah ini turut mengingatkan manusia tentang asal-usul mereka yang diciptakan daripada setitis air mani yang hina sebelum dikurniakan pendengaran dan penglihatan untuk memilih jalan syukur atau kufur. |
| Ia juga membandingkan nikmat syurga bagi orang yang berbakti dengan azab neraka bagi orang yang kufur. |
| ▪️ Surah Al-Mursalat ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-77 ▪️ 50 ayat |
| Surah ini yang bermaksud “Malaikat-malaikat yang Diutus”, diambil daripada perkataan “Wal-Mursalat” pada ayat pertamanya. Penamaan surah ini merujuk kepada sumpah Allah Swt di awal surah bagi menegaskan bahawa Hari Kiamat serta Hari Pembalasan yang dijanjikan itu pasti akan berlaku. |
| Surah ini diturunkan pada fasa awal hingga pertengahan dakwah di Mekah, ketika penentangan kaum musyrikin Quraisy terhadap ancaman Hari Kiamat sedang memuncak. |
| Kaum musyrikin Quraisy sering mempersendakan berita tentang Hari Kiamat, kebangkitan semula, serta syurga dan neraka. Surah ini diturunkan dengan nada amaran yang tegas dan pengulangan ayat “Kecelakaan besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan” sebanyak 10 kali untuk menggegarkan hati mereka yang ingkar. |
| Surah ini menutup juzuk ini dengan sumpah Allah melalui tiupan angin dan malaikat sebagai amaran keras kepada golongan yang mendustakan Hari Pembalasan. |
| Dalam Surah Al-Mursalat (ayat 12–14), Allah menyoal tentang bilakah berlakunya “Yaumul Fasl” (Hari Pemisahan/Keputusan) tanpa memberikan perincian waktunya di situ. Surah An-Naba’ menjawab persoalan tersebut bermula pada ayat ke-17 dengan menjelaskan detik dan tanda-tanda berlakunya “Yaumul Fasl”, iaitu apabila sangkakala ditiup, langit terbelah dan gunung-ganang dihancurkan. |
| Kedua-dua surah menggunakan hujah penciptaan alam dan manusia untuk membuktikan bahawa Allah berkuasa menghidupkan semula orang yang telah mati. Surah Al-Mursalat menyentuh penciptaan manusia daripada air mani yang hina serta bumi yang menampung hidup dan mati (ayat 20–27), manakala Surah An-Naba’ memperincikan kejadian bumi sebagai hamparan, gunung sebagai pasak, tidur, malam, siang dan hujan (ayat 6–16). |
Tema Utama Juzuk 30
| Hari Kiamat dan Hari Pembalasan: Banyak surah menggambarkan kedahsyatan Hari Kiamat, kebangkitan semula, timbangan amal, serta balasan syurga dan neraka, contohnya dalam Surah An-Naba’, An-Nazi’at, At-Takwir dan Al-Qari’ah. |
| Kebesaran dan Kekuasaan Allah: Surah-surah ini menyeru manusia berfikir tentang penciptaan alam semesta, langit, bumi dan kejadian manusia sebagai bukti kekuasaan Allah, seperti dalam Surah Asy-Syams, Al-Ghasyiyah dan Al-A’la. |
| Penyucian Jiwa dan Akhlak: Manusia diingatkan agar menyucikan hati, menjauhi sifat kedekut atau sombong dan tidak melampaui batas kerana mengejar kesenangan dunia, seperti dalam Surah Al-Mutaffifin, Al-Humazah dan At-Takathur. |
| Kisah Pengajaran Umat Terdahulu: Beberapa surah menyelitkan ringkasan sejarah terdahulu seperti kisah Nabi Musa as, Firaun, kaum Thamud dan Tentera Bergajah untuk memberi iktibar bahawa penentang kebenaran pasti dibinasakan, seperti dalam Surah An-Nazi’at, Al-Buruj, Al-Fajr dan Al-Fil. |
| Motivasi dan Perlindungan Diri: Surah-surah di bahagian akhir memberi ketenangan hati kepada Nabi Muhammad saw dan umat Islam, serta mengajar cara memohon perlindungan daripada kejahatan makhluk melalui Surah Ad-Dhuha, Al-Insyirah, Al-Falaq dan An-Nas. |
Juzuk 30 (Bhg. 1)
Kebangkitan dan Perhitungan Akhirat
| ▪️ Surah An-Naba’ ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-78 ▪️ 40 ayat |
| Surah ini yang bermaksud “Berita Besar” berdasarkan perkataan “An-Naba’ Al-‘Azim” pada ayat kedua surah ini. “Berita Besar” yang dimaksudkan ialah peristiwa Hari Kiamat dan Hari Kebangkitan yang disampaikan oleh Rasulullah saw kepada kaum musyrikin Mekah. |
| Penurunan surah ini berlaku pada fasa awal hingga pertengahan dakwah Rasulullah saw di Mekah apabila tentangan golongan musyrikin Quraisy semakin ketara. |
| Surah ini turun apabila kaum musyrikin Quraisy berkumpul dan saling bertanya dengan nada mengejek tentang kebenaran berita kiamat serta kenabian Rasulullah saw. Allah Swt menurunkan ayat-ayat awal surah ini untuk menjawab keraguan mereka dan memberikan amaran tegas. |
| Surah ini turut menunjukkan bukti kekuasaan Allah pada alam semesta dan membezakan balasan syurga serta neraka. |
| Surah An-Nazi’at menyambung hujah Surah An-Naba’ dengan memaparkan proses pencabutan nyawa sebagai permulaan alam akhirat, serta menempelak keraguan golongan musyrikin terhadap kebangkitan manusia daripada tulang-belulang yang telah hancur. |
| Allah menutup Surah An-Naba’ dengan amaran azab yang dekat dan rintihan orang kafir pada Hari Perhitungan (ayat 40). Surah An-Nazi’at menyambung suasana ini dengan sumpah Allah terhadap para malaikat yang mencabut nyawa dengan keras dan lembut (ayat 1–5). Kematian adalah pintu gerbang pertama yang membawa manusia menuju Hari Perhitungan yang dinyatakan di hujung Surah An-Naba’. |
| ▪️ Surah An-Nazi’at ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-79 ▪️ 46 ayat |
| Surah ini yang bermaksud “Malaikat-Malaikat yang Mencabut” berdasarkan perkataan pertama pada ayat pembukaan surah ini. Lafaz ini merujuk kepada sumpah Allah Swt dengan golongan malaikat yang ditugaskan mencabut nyawa manusia sebagai pembuka bicara bagi membuktikan kepastian berlakunya Hari Kebangkitan. |
| Penurunan surah ini berlaku pada fasa awal hingga pertengahan dakwah di Mekah apabila penentangan kaum musyrikin Quraisy terhadap konsep kehidupan selepas mati semakin memuncak. |
| Surah ini diturunkan sebagai jawapan terhadap ejekan dan persoalan kaum musyrikin yang bertanya dengan nada mempermainkan tentang bilakah berlakunya Hari Kiamat serta bagaimana mereka akan dikembalikan kepada keadaan asal selepas mati. |
| Surah ini menggambarkan tugas para malaikat mencabut nyawa orang beriman dengan lembut dan orang kafir dengan keras. |
| Ia turut menyelitkan kisah Nabi Musa as dan Firaun sebagai pengajaran bagi golongan yang melampaui batas. |
| Surah An-Nazi’at menonjolkan keingkaran golongan musyrikin yang bertanya secara sinis tentang bilakah Kiamat akan berlaku. Surah ‘Abasa pula menetapkan garis panduan dakwah dalam berdepan dengan golongan elit yang berpaling daripada peringatan tersebut. |
| ▪️ Surah ‘Abasa ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-80 ▪️ 42 ayat |
| Surah ini yang bermaksud “Dia Bermasam Muka” berdasarkan perkataan pertama pada ayat pembukaan surah ini. Penamaan surah ini merujuk kepada peristiwa teguran Allah Swt secara halus dan penuh hikmah kepada Nabi Muhammad saw yang bermasam muka dan berpaling daripada seorang sahabat buta bernama Abdullah bin Ummi Maktum ra. |
| Penurunan surah ini berlaku pada fasa awal dakwah Rasulullah saw di Mekah apabila baginda giat berusaha menarik perhatian para pemimpin Quraisy untuk memeluk Islam. |
| Ketika itu, Rasulullah saw sedang berbincang serius dengan beberapa pemuka Quraisy seperti Utbah bin Rabi’ah, Abu Jahal dan Abbas bin Abdul Muttalib. Tiba-tiba datang Abdullah bin Ummi Maktum ra (seorang sahabat yang buta) meminta diajar tentang agama, lalu baginda bermasam muka dan berpaling kerana tidak mahu perbualan penting dengan pembesar Quraisy itu terganggu. |
| Surah ini menegaskan bahawa dalam berdakwah, golongan yang ikhlas mencari kebenaran—walaupun miskin atau cacat penglihatan—lebih utama diberi perhatian berbanding golongan elit yang sombong. |
| Surah ini ditutup dengan gambaran suasana huru-hara apabila berlakunya Hari Kiamat (As-Sakhkhah), di mana manusia terbahagi kepada dua kelompok iaitu golongan yang wajahnya berseri-seri kerana beriman dan golongan yang wajahnya suram akibat kekufuran. |
| Surah ‘Abasa menamatkan penceritaannya dengan suasana panik manusia apabila mendengar suara Kiamat yang memekakkan. Surah At-Takwir pula memperincikan kejadian alam semesta yang hancur luluh pada hari tersebut sebelum mendedahkan nasib setiap individu. |
| Dalam Surah ‘Abasa, manusia dibahagikan kepada dua kelompok berdasarkan reaksi wajah mereka di akhirat, iaitu golongan beriman yang gembira dan golongan kafir yang derhaka (ayat 38–42). Surah At-Takwir merumuskan kemuncak daripada 12 peristiwa huru-hara tersebut pada ayat ke-14: “Maka tiap-tiap diri akan mengetahui apa yang telah dibawanya (dari amal yang baik dan yang jahat)”. Ayat ini menjelaskan sebab mengapa wajah-wajah manusia dalam Surah ‘Abasa menjadi berseri atau muram, iaitu hasil daripada rekod amalan mereka sendiri yang dibentangkan. |
| ▪️ Surah At-Takwir ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-81 ▪️ 29 ayat |
| Surah ini yang bermaksud “Menggulung” berdasarkan perkataan “Kuwwirat” (digulung) yang terdapat pada ayat pembukaan surah ini. Penamaan surah ini merujuk kepada salah satu peristiwa besar yang menandakan bermulanya Hari Kiamat, iaitu apabila matahari digulung dan dimalapkan cahayanya. |
| Penurunan surah ini berlaku pada fasa terawal dakwah Rasulullah saw di Mekah ketika risalah Islam baru mula diperkenalkan secara terbuka kepada masyarakat Quraisy. |
| Pada waktu ini, golongan musyrikin Quraisy mula menuduh Rasulullah saw sebagai seorang yang gila atau tukang tilik untuk menjauhkan masyarakat daripada mendengar Al-Quran. |
| Surah ini memaparkan 12 peristiwa dahsyat kehancuran alam semesta pada Hari Kiamat seperti matahari digulung dan gunung-ganang dihancurkan. |
| Ia juga menegaskan bahawa Al-Quran adalah wahyu yang benar dan bukan rekaan syaitan. |
| Surah At-Takwir dimulakan dengan 12 peristiwa besar apabila Kiamat tiba, antaranya matahari yang digulung dan gunung-ganang dihancurkan. Surah Al-Infitar menyambung rentetan kehancuran kosmik tersebut dengan 4 lagi peristiwa, iaitu langit terbelah, bintang-bintang gugur bertaburan, lautan meluap dan kubur-kubur dibongkarkan. |
| ▪️ Surah Al-Infitar ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-82 ▪️ 19 ayat |
| Surah ini yang bermaksud “Terbelah” berdasarkan perkataan “Infatarat” pada ayat pembukaan surah ini. Penamaan surah ini merujuk kepada salah satu peristiwa besar yang menandakan bermulanya Hari Kiamat, iaitu apabila langit terbelah dan pecah-belah daripada susunan asalnya. |
| Penurunan surah ini berlaku pada fasa awal dakwah di Mekah ketika kaum musyrikin Quraisy terus berdegil menolak Hari Kebangkitan dan berasa bangga dengan nikmat dunia sehingga melupakan pencipta mereka. |
| Ayat 6 turun merujuk kepada golongan kafir Quraisy yang berasa sombong dan tidak takut kepada azab Allah kerana menyangka kemuliaan hidup mereka di dunia membuktikan bahawa Tuhan meredhai perbuatan mereka. Allah Swt menurunkan surah ini untuk menyedarkan manusia tentang asal-usul kejadian mereka yang sempurna serta mengingatkan mereka tentang hari di mana tiada sesiapa pun mampu menolong orang lain. |
| Surah ini memaparkan 4 peristiwa dahsyat kehancuran alam semesta apabila tibanya Hari Kiamat iaitu langit terbelah, bintang-bintang gugur bertaburan, lautan meluap dan kubur-kubur dibongkarkan. |
| Manusia diingatkan bahawa setiap perbuatan mereka sentiasa diawasi oleh malaikat pencatat amal. |
| Surah Al-Infitar memberi amaran umum tentang punca manusia terpedaya sehingga mendustakan Hari Pembalasan. Surah Al-Mutaffifin pula membawakan contoh nyata kelakuan mereka di dunia (iaitu menipu dalam sukatan dan timbangan) yang lahir daripada sifat tidak percaya kepada Hari Kebangkitan tersebut. |
| Surah Al-Infitar memberitahu manusia bahawa setiap perbuatan mereka diawasi dan ditulis oleh para malaikat pencatat yang mulia (ayat 10–12). Surah Al-Mutaffifin menyambung maklumat ini dengan mendedahkan ke mana perginya catatan para malaikat tersebut. Catatan golongan derhaka disimpan di dalam Sijjin (buku catatan yang sempit dan terkunci rapat), manakala catatan golongan berbakti disimpan di dalam ‘Illiyyin (tempat yang tinggi lagi mulia) (ayat 7–9, 18–21). |
| ▪️ Surah Al-Mutaffifin ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-83 ▪️ 36 ayat |
| Surah ini yang bermaksud “Orang-Orang yang Curang” berdasarkan perkataan terakhir pada ayat pertama surah ini. Penamaan surah ini merujuk kepada golongan yang menipu dalam sukatan dan timbangan semasa berjual beli. |
| Menurut majoriti ulama tafsir, surah ini merupakan surah terakhir yang diturunkan di Mekah sebelum Rasulullah saw berhijrah ke Madinah. |
| Penurunan surah ini berkait rapat dengan gejala penipuan dalam urusan jual beli yang berleluasa dalam masyarakat Arab pada waktu tersebut. |
| Surah ini memberi ancaman azab yang pedih kepada peniaga yang menipu dalam timbangan dan sukatan. |
| Ia turut membezakan buku catatan amalan orang derhaka (Sijjin) dengan buku catatan orang berbakti (‘Illiyyin). |
| Surah Al-Mutaffifin memperkenalkan istilah Kitab Marqum (buku catatan yang tertulis dengan nyata) bagi dua kelompok manusia, di mana rekod orang derhaka disimpan dalam Sijjin (ayat 7–9) dan rekod orang berbakti disimpan dalam ‘Illiyyin (ayat 18–20). Surah Al-Insyiqaq menyambung naratif tersebut dengan menggambarkan bagaimana buku catatan itu diserahkan pada Hari Kiamat. Pemilik rekod ‘Illiyyin akan menerima kitabnya dengan tangan kanan lalu dihisab dengan mudah, manakala pemilik rekod Sijjin akan menerima kitabnya dari arah belakang lalu menjerit kebinasaan (ayat 7–12). |
| ▪️ Surah Al-Insyiqaq ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-84 ▪️ 25 ayat |
| Surah ini yang bermaksud “Terbelah” berdasarkan perkataan “Insyaqqat” pada ayat pertama surah ini. Penamaan surah ini merujuk kepada peristiwa dahsyat apabila langit terbelah luas dan patuh sepenuhnya kepada perintah Allah Swt pada permulaan Hari Kiamat. |
| Penurunan surah ini berlaku pada fasa dakwah di Mekah ketika kaum musyrikin Quraisy berterusan menolak dakwah Rasulullah saw dan berasa selesa dengan kesenangan dunia tanpa memikirkan Hari Pembalasan. |
| Surah ini diturunkan untuk menegur sikap orang kafir yang bersuka ria bersama keluarga mereka di dunia serta enggan sujud apabila dibacakan Al-Quran. Allah Swt mengingatkan mereka tentang hakikat perjalanan hidup manusia yang pasti akan menempuh pelbagai peringkat kesusahan dan akhirnya kembali bertemu Pencipta. |
| Surah ini juga menceritakan nasib manusia yang menerima buku catatan amalan pada Hari Akhirat. Penerima di tangan kanan akan dihisab dengan mudah, manakala penerima dari belakang akan ditimpa kecelakaan. |
| Allah menutup Surah Al-Insyiqaq dengan memerintahkan Rasulullah saw menyampaikan ancaman kepada golongan kafir yang terus mendustakan Al-Quran (ayat 24). Surah Al-Buruj terus membawakan kisah Ashabul Ukhdud (golongan yang menggali parit api untuk membakar orang-orang beriman) bagi menenangkan hati Rasulullah saw dan para sahabat (ayat 4–10). Kisah ini menjadi bukti nyata bahawa penindasan golongan kafir terhadap orang beriman bukanlah perkara baharu, dan mereka pasti akan menerima azab yang pedih seperti yang dijanjikan di penghujung Surah Al-Insyiqaq. |
Juzuk 30 (Bhg. 2)
Ujian Keimanan dan Penyucian Jiwa
| ▪️ Surah Al-Buruj ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-85 ▪️ 22 ayat |
| Surah ini yang bermaksud “Gugusan Bintang” berdasarkan perkataan terakhir pada ayat pembukaan surah ini. Penamaan surah ini merujuk kepada sumpah Allah Swt dengan langit yang mempunyai gugusan bintang yang besar sebagai pembuka bicara sebelum menceritakan kisah pengorbanan golongan beriman yang dibakar hidup-hidup dalam parit berapi (Ashabul Ukhdud). |
| Penurunan surah ini berlaku pada fasa awal hingga pertengahan dakwah di Mekah ketika umat Islam mula berdepan dengan penindasan dan penyeksaan yang berat daripada pembesar musyrikin Quraisy. |
| Surah ini turun ketika para sahabat daripada golongan lemah seperti Bilal bin Rabah dan keluarga Yasir sedang diseksa secara kejam oleh kaum Quraisy supaya meninggalkan agama Islam. Pada waktu ini, masyarakat Islam yang masih sedikit amat memerlukan suntikan semangat dan ketabahan jiwa. |
| Allah Swt menurunkan surah ini sebagai hiburan dan penguat semangat kepada Rasulullah saw serta para sahabat. Melalui kisah Ashabul Ukhdud (kaum beriman terdahulu di Najran yang dibakar hidup-hidup dalam parit berapi oleh raja yang zalim), Allah menunjukkan bahawa ujian mempertahankan iman sudah lama dilalui oleh umat terdahulu dan kemenangan hakiki sentiasa berpihak kepada orang yang sabar. |
| Surah ini juga memberi jaminan bahawa Allah sentiasa mengawasi, membalas kezaliman musuh Islam dan menegaskan bahawa azab dan pembalasan Allah amat keras serta tiada sesiapa yang mampu menghalang kehendak-Nya. |
| Surah Al-Buruj dimulakan dengan sumpah Allah terhadap langit yang mempunyai gugusan bintang-bintang besar sebagai tanda kebesaran ciptaan-Nya (ayat 1). Surah At-Tariq juga dimulakan dengan sumpah terhadap langit dan bintang yang datang pada waktu malam lagi bersinar terang menembusi kegelapan (ayat 1–3). Kedua-dua surah menggunakan keindahan cakerawala di langit untuk menarik perhatian manusia kepada hakikat kekuasaan Pencipta. |
| Dalam Surah Al-Buruj, Allah menegaskan bahawa Dia sentiasa menyaksikan segala perbuatan manusia dan mengepung golongan kafir dari belakang sehingga tiada siapa mampu terlepas (ayat 9, 20). Surah At-Tariq mengukuhkan lagi hakikat pengawasan ini pada ayat ke-4 sebagai jawapan sumpah: “Tiada suatu jiwa pun melainkan ada penjaga (malaikat yang mengawasi dan mencatat amalannya)”. Ini menjelaskan bahawa selain pengawasan langsung daripada Allah, setiap individu juga mempunyai pengawas khusus yang merekodkan segala gerak-gerinya. |
| ▪️ Surah At-Tariq ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-86 ▪️ 17 ayat |
| Surah ini yang bermaksud “Yang Datang Pada Malam Hari” berdasarkan perkataan terakhir pada ayat pertama surah tersebut. Penamaan surah ini merujuk kepada sumpah Allah Swt dengan langit dan bintang yang muncul pada waktu malam dengan cahaya yang sangat terang sebagai pembuka bicara bagi menegaskan bahawa setiap jiwa manusia sentiasa berada di bawah pengawasan malaikat penjaga. |
| Penurunan surah ini berlaku pada fasa awal dakwah di Mekah (sekitar tahun ke-6 hingga ke-10 kenabian) ketika kaum musyrikin Quraisy terus mempertikaikan kebenaran Hari Kebangkitan serta menyusun pelbagai tipu daya untuk menyekat penyebaran dakwah Rasulullah saw. |
| Ketika Rasulullah saw sedang duduk bersama bapa saudaranya, Abu Talib, lalu muncul bintang yang melintas dengan cahaya yang sangat terang sehingga mengejutkan Abu Talib. Ketika Abu Talib bertanya mengenai fenomena tersebut, Allah Swt menurunkan surah ini untuk menjelaskan bahawa ia adalah antara tanda kekuasaan-Nya serta peringatan bahawa setiap jiwa mempunyai penjaga. |
| Surah ini juga membuktikan bahawa Allah berkuasa menghidupkan semula manusia selepas mati berdasarkan asal penciptaan mereka daripada air yang terpancar. |
| Allah menutup Surah At-Tariq dengan mendedahkan tipu daya golongan kafir terhadap Rasulullah saw dan Al-Quran untuk memadamkan cahaya kebenaran (ayat 15–17). Surah Al-A’la menyambung suasana tersebut dengan memerintahkan Rasulullah saw bertasbih menyucikan nama Tuhan Yang Maha Tinggi, serta memberi jaminan mutlak bahawa baginda tidak akan melupakan wahyu yang dibacakan kepadanya kecuali apa yang dikehendaki Allah (ayat 1, 6–7). Ini membuktikan bahawa segala tipu daya musuh untuk melenyapkan dakwah tidak akan berjaya kerana Allah sendiri yang menjaga wahyu-Nya. |
| ▪️ Surah Al-A’la ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-87 ▪️ 19 ayat |
| Surah ini yang bermaksud “Yang Maha Tinggi” berdasarkan perkataan terakhir pada ayat pertama surah ini. Penamaan surah ini merujuk kepada perintah Allah Swt kepada Nabi Muhammad saw dan seluruh umat Islam supaya menyucikan nama Tuhan yang Maha Tinggi kedudukan, kekuasaan dan keagungan-Nya daripada segala sifat kekurangan. |
| Penurunan surah ini berlaku pada fasa terawal dakwah Rasulullah saw di Mekah ketika wahyu mula diturunkan secara berterusan dan baginda berusaha keras menghafal setiap ayat yang disampaikan oleh Malaikat Jibril as. Allah memberi jaminan mutlak bahawa baginda tidak akan melupakan wahyu yang dibacakan kepadanya kecuali apa yang dikehendaki-Nya. |
| Surah ini juga diturunkan untuk menetapkan asas pengagungan kepada Allah Yang Maha Tinggi, menyucikan akidah daripada penyembahan berhala, menekankan bahawa kejayaan hakiki milik orang yang menyucikan jiwa serta mengutamakan kehidupan akhirat berbanding kesenangan dunia. |
| Surah Al-A’la menyebut secara umum pembahagian manusia kepada dua kelompok berdasarkan reaksi mereka terhadap peringatan wahyu. Golongan yang celaka akan memasuki api neraka yang besar, manakala golongan yang menyucikan diri dan mengingati Tuhannya akan beroleh kejayaan (ayat 10–15). Surah Al-Ghasyiyah dimulakan dengan memperincikan keadaan kedua-dua kelompok tersebut pada Hari Kiamat (Al-Ghasyiyah). Golongan yang celaka digambarkan berwajah tunduk hina, kepenatan, dibakar api yang panas membakar, serta diberi minum air panas yang menggelegak dan makanan berduri yang tidak menggemukkan (ayat 2–7). Sebaliknya, golongan yang berjaya digambarkan berwajah berseri-seri, berpuas hati dengan usahanya, serta ditempatkan di dalam syurga yang tinggi dan penuh kenikmatan (ayat 8–16). |
| ▪️ Surah Al-Ghasyiyah ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-88 ▪️ 26 ayat |
| Surah ini yang bermaksud “Hari Pembalasan” berdasarkan perkataan terakhir pada ayat pertama surah ini. Penamaan surah ini merujuk kepada peristiwa Hari Kiamat yang kedahsyatannya akan menyelubungi, meliputi dan menggentarkan seluruh makhluk di alam semesta. |
| Penurunan surah ini berlaku pada fasa pertengahan hingga akhir dakwah di Mekah ketika kaum musyrikin Quraisy terus mempertikaikan gambaran syurga dan neraka yang disampaikan oleh Rasulullah saw. |
| Para ulama tafsir merekodkan bahawa apabila Allah Swt menurunkan ayat-ayat yang menggambarkan nikmat syurga (ayat 13-16), golongan kafir Quraisy berasa hairan dan mengejek bagaimana pelamin-pelamin di syurga itu ditinggikan. Allah Swt lalu menurunkan ayat ke-17 (“Maka tidakkah mereka memperhatikan unta bagaimana ia diciptakan?”) untuk mengajak mereka berfikir tentang makhluk terdekat di sekeliling mereka—iaitu unta yang mampu merendahkan badannya untuk dinaiki dan bangun meninggi bersama muatan—sebagai bukti kekuasaan Allah mencipta apa sahaja yang dikehendaki-Nya. |
| Surah ini membandingkan keadaan wajah ahli neraka yang tunduk hina dalam kesengsaraan dengan wajah ahli syurga yang berseri-seri menikmati ganjaran amal mereka. |
| Manusia juga disuruh memerhatikan penciptaan unta, langit, gunung dan bumi. |
| Golongan Ingkar: Surah Al-Ghasyiyah: Berwajah hina dan diazab dalam neraka panas. Surah Al-Fajr: Menyebut contoh nyata kaum ‘Aad, Thamud dan Firaun yang dibinasakan. |
| Golongan Beriman: Surah Al-Ghasyiyah: Berwajah berseri dan menikmati kesenangan syurga yang tinggi. Surah Al-Fajr: Berjiwa tenang (mutma’innah), redha dengan ketentuan Allah dan masuk syurga. |
| ▪️ Surah Al-Fajr ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-89 ▪️ 30 ayat |
| Surah ini yang bermaksud “Waktu Fajar” berdasarkan perkataan terakhir pada ayat pertama surah surah ini. Penamaan surah ini merujuk kepada sumpah Allah Swt dengan waktu terbitnya fajar menyingsing sebagai pembuka bicara bagi mengingatkan manusia tentang keagungan kekuasaan-Nya serta kepastian pembalasan terhadap golongan yang zalim dan melampaui batas. |
| Penurunan surah ini berlaku pada fasa terawal dakwah Rasulullah saw di Mekah ketika umat Islam yang baru memeluk agama ini mula berhadapan dengan keangkuhan dan penindasan pembesar Quraisy. |
| Surah ini diturunkan sebagai peringatan keras kepada pembesar Quraisy yang berasa megah dengan harta dan kedudukan sehingga menindas golongan miskin serta anak yatim. Allah Swt membawa bukti kebinasaan tiga tamadun besar terdahulu—kaum ‘Aad, kaum Thamud dan Firaun—sebagai amaran bahawa kezaliman pasti mengundang kemurkaan Tuhan. |
| Surah ini diakhiri dengan seruan kepada jiwa yang tenang (nafsul mutmainnah) untuk memasuki syurga. |
| Dalam Surah Al-Fajr, Allah mencela sikap manusia yang tamak mengumpul harta pusaka, terlalu mencintai kekayaan, serta tidak memuliakan anak yatim dan tidak menggalakkan memberi makan kepada orang miskin. Surah Al-Balad kemudiannya datang membawa penyelesaian melalui saranan menempuh “jalan yang mendaki lagi sukar” (al-aqabah), iaitu membebaskan hamba serta memberi makan pada hari kelaparan kepada anak yatim yang ada hubungan kerabat dan orang miskin yang sangat fakir. |
| ▪️ Surah Al-Balad ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-90 ▪️ 20 ayat |
| Penamaan surah ini diambil daripada perkataan “Al-Balad” yang bermaksud “Negeri” terdapat pada ayat pertama surah ini. Negeri yang dimaksudkan secara khusus dalam ayat tersebut ialah Kota Mekah. Allah Swt bersumpah dengan Kota Mekah untuk menegaskan hakikat kehidupan manusia yang sentiasa berdepan dengan ujian serta kesusahan. |
| Surah ini diturunkan sekitar fasa awal hingga pertengahan dakwah di Mekah (dianggarkan antara tahun ke-4 hingga ke-6 kenabian, atau sekitar tahun 614–616 Masihi). |
| Surah ini diturunkan ketika kaum musyrikin Quraisy mula menunjukkan penentangan keras terhadap dakwah Islam. Golongan hartawan Mekah pada waktu itu bermegah-megah membelanjakan harta untuk menghalang penyebaran agama Islam dan menindas golongan lemah. |
| Surah ini menjelaskan bahawa manusia diciptakan untuk berdepan dengan ujian dan kesusahan hidup. Jalan menuju kejayaan adalah dengan membebaskan hamba, memberi makan kepada fakir miskin, serta saling berpesan dengan kesabaran dan kasih sayang. |
| Surah Al-Balad berakhir dengan membahagikan manusia kepada dua kelompok utama, iaitu golongan kanan yang beriman serta berpesan-pesan dengan sabar dan kasih sayang dan golongan kiri yang kufur serta dimasukkan ke dalam neraka. Surah Asy-Syams menjelaskan siapa sebenarnya kedua-dua golongan ini dari sudut kejiwaan—golongan kanan ialah mereka yang berjaya menyucikan jiwanya, manakala golongan kiri ialah mereka yang rugi kerana mengotori jiwanya dengan maksiat. |
| Untuk membuktikan nasib buruk golongan kiri yang disebut pada akhir Surah Al-Balad, Surah Asy-Syams membawakan kisah kaum Thamud sebagai bukti sejarah. Kaum Thamud telah memilih jalan kefasikan dengan mendustakan Nabi Salleh as dan menyembelih unta mukjizat akibat sifat melampaui batas, lalu mereka dibinasakan oleh Allah Swt sebagai pengajaran kepada umat manusia. |
| ▪️ Surah Asy-Syams ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-91 ▪️ 15 ayat |
| Penamaan surah ini diambil daripada perkataan “Asy-Syams” yang bermaksud “Matahari” dan terdapat pada ayat pertama surah ini. Allah Swt bersumpah dengan matahari dan cahayanya pada waktu pagi untuk menarik perhatian manusia tentang kebesaran penciptaan-Nya. |
| Surah ini diturunkan pada peringkat awal dakwah Rasulullah saw di Mekah. Ia bertujuan menanamkan asas etika Islam bahawa kejayaan seseorang bergantung pada penyucian jiwa dan bukannya keturunan atau harta kekayaan yang dibanggakan oleh masyarakat Arab Quraisy. |
| Surah ini dimulai dengan sumpah Allah dengan tujuh fenomena alam untuk menegaskan bahawa kejayaan hakiki hanya dicapai oleh orang yang menyucikan jiwanya daripada dosa. |
| Ia juga memaparkan kisah kaum Thamud yang menyembelih unta mukjizat yang menjadi bukti kebinasaan orang yang mengotori jiwa. |
| Surah Asy-Syams menegaskan bahawa orang yang berjaya ialah mereka yang menyucikan jiwanya, manakala orang yang rugi ialah mereka yang mengotori jiwanya. Surah Al-Lail menyambung perbahasan ini dengan menjelaskan ciri-ciri orang yang menyucikan jiwa—iaitu mereka yang suka memberi (infak), bertakwa dan membenarkan balasan syurga—serta ciri-ciri orang yang mengotori jiwa, iaitu mereka yang bakhil, berasa diri serba cukup dan mendustakan kebaikan. |
| ▪️ Surah Al-Lail ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-92 ▪️ 21 ayat |
| Penamaan surah ini diambil daripada perkataan “Al-Lail” yang bermaksud “Malam” dan terdapat pada ayat pertama surah ini. Allah Swt bersumpah dengan waktu malam apabila ia menyelubungi dan menutupi alam dengan kegelapannya. |
| Surah ini diturunkan pada peringkat awal kenabian di Mekah ketika umat Islam mula berdepan tentangan kaum musyrikin. Surah ini memberi galakan kepada golongan beriman untuk terus berinfak dan beramal soleh meskipun ditindas. |
| Sebahagian besar ulama tafsir mengaitkan penurunan surah ini (khususnya ayat 17–21) dengan pengorbanan Saidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Beliau membelanjakan hartanya untuk membeli dan memerdekakan hamba-hamba yang diseksa (seperti Bilal bin Rabah) oleh majikan kafir di Mekah semata-mata mengharapkan keredaan Allah Swt. |
| Surah ini menerangkan dua jalan usaha manusia yang berbeza balasan. Orang yang pemurah, bertakwa dan membenarkan kebaikan akan dipermudahkan menuju syurga, manakala orang yang bakhil dan sombong akan dipermudahkan menuju neraka. |
| Surah Al-Lail: Perbezaan usaha manusia (pemurah vs bakhil) dan ganjaran bagi orang paling bertakwa. Surah Adh-Dhuha: Pujukan, jaminan kasih sayang Allah dan peringatan nikmat kepada Nabi Muhammad saw. |
| Surah Al-Lail: Janji bahawa orang paling bertakwa akan mendapat balasan yang meredhakan hatinya (yardha). Surah Adh-Dhuha: Janji bahawa Tuhan akan mengurniakan nikmat kepada Nabi Muhammad saw hingga baginda redha (fatardha). |
| ▪️ Surah Adh-Dhuha ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-93 ▪️ 11 ayat |
| Penamaan surah ini diambil daripada perkataan “Adh-Dhuha” yang bermaksud “Waktu Matahari Naik Sepenggalah” dan terdapat pada ayat pertama surah ini. Allah Swt bersumpah dengan waktu dhuha yang terang benderang sebagai simbol pencerahan dan rahmat selepas tempoh wahyu terhenti seketika. |
| Surah ini diturunkan tidak lama selepas permulaan wahyu di Mekah (sekitar tahun ke-1 hingga ke-3 kenabian). Pada waktu itu, dakwah Islam masih disampaikan secara rahsia dan kumpulan kecil. |
| Wahyu terhenti turun kepada Rasulullah saw selama beberapa hari atau minggu sehingga menyebabkan baginda berasa amat sedih. Kaum musyrikin Mekah (termasuk Ummu Jamil, isteri Abu Lahab) mula mengejek dengan mengatakan bahawa Tuhan Muhammad telah meninggalkan dan membencinya, lalu Allah Swt menurunkan surah ini sebagai pujukan dan penegasan bahawa baginda sentiasa dipelihara. |
| Surah ini menenangkan hati Nabi Muhammad saw ketika wahyu terhenti seketika dengan jaminan bahawa Allah tidak pernah meninggalkan baginda. |
| Ia juga menggalakkan umat Islam menyantuni anak yatim, membantu peminta sedekah dan mensyukuri nikmat Allah. |
| Dalam Surah Adh-Dhuha, Allah mengingatkan Rasulullah saw tentang 3 nikmat besar dalam perjalanan hidup baginda sebelum dan semasa kenabian, iaitu dilindungi ketika yatim, diberi petunjuk ketika mencari kebenaran dan dicukupkan rezeki ketika serba kekurangan. Surah Al-Insyirah pula menyambung senarai anugerah tersebut dengan 3 nikmat rohani yang lebih agung, iaitu melapangkan dada baginda, meringankan beban berat dakwah daripada bahu baginda, serta meninggikan sebutan nama baginda di seluruh alam. |
| ▪️ Surah Al-Insyirah ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-94 ▪️ 8 ayat |
| Penamaan surah ini diambil daripada perkataan “Nasyraḥ” yang bermaksud “Kelapangan” pada ayat pertama surah ini. Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah melapangkan dada Rasulullah saw dengan iman, hikmah dan ketenangan dalam memikul tugas dakwah. |
| Surah ini diturunkan pada peringkat awal dakwah di Mekah, ketika Rasulullah saw mula menerima tekanan emosi dan cemuhan daripada masyarakat Quraisy yang menolak risalah Islam. |
| Surah ini diturunkan sebagai sambungan pujukan dan penenang hati kepada Nabi Muhammad saw setelah penurunan Surah Adh-Dhuha. Allah Swt mengingatkan baginda tentang nikmat kelapangan dada, pengampunan beban tugas, serta janji bahawa setiap kesusahan dalam berdakwah pasti akan disertai dengan kemudahan. |
| Surah Al-Insyirah memaparkan bagaimana Allah memuliakan dan melapangkan dada Nabi Muhammad saw sebagai insan paling sempurna. Surah At-Tin pula menerangkan bahawa semua manusia pada asalnya diciptakan dalam bentuk yang paling baik, namun kemuliaan itu hanya kekal dengan iman dan amal soleh. |
| ▪️ Surah At-Tin ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-95 ▪️ 8 ayat |
| Penamaan surah inidiambil daripada perkataan “At-Tin” yang bermaksud “Buah Tin” dan terdapat pada ayat pertama surah ini. Allah Swt bersumpah dengan buah tin dan buah zaitun sebagai kiasan kepada tanah Syam dan Baitulmaqdis yang menjadi tempat tinggal serta dakwah Nabi Isa as. |
| Surah ini diturunkan pada peringkat awal hingga pertengahan kenabian di Mekah. Ketika itu, dakwah Islam sedang berhadapan dengan penolakan masyarakat Quraisy terhadap konsep Hari Kebangkitan dan pembalasan amal. |
| Surah ini diturunkan untuk mengingatkan manusia tentang hakikat penciptaan mereka dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Ia juga menegaskan bahawa darjat manusia boleh jatuh ke tempat yang paling rendah jika mereka ingkar terhadap perintah Allah Swt dan menolak Hari Pembalasan. |
| Surah At-Tin menyatakan secara umum bahawa manusia diciptakan dalam bentuk terbaik namun boleh jatuh ke tempat serendah-rendahnya. Surah Al-‘Alaq pula memperincikan proses kejadian manusia daripada segumpal darah (‘alaq) dan menunjukkan bagaimana sifat sombong menjadikan manusia jatuh hina. |
| Dalam Surah At-Tin, syarat untuk mengekalkan darjat kemuliaan manusia adalah melalui iman dan amal soleh. Surah Al-‘Alaq pula memperkenalkan asas utama bagi membina iman dan amal tersebut, iaitu melalui wahyu, pembacaan (iqra’) dan penguasaan ilmu. Tanpa petunjuk ilmu daripada Tuhan, akal manusia yang mulia akan tersesat dalam kejahilan dan kesombongan. |
Juzuk 30 (Bhg. 3)
Ilmu, Akhlak dan Kemurnian Tauhid
| ▪️ Surah Al-‘Alaq ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-96 ▪️ 19 ayat |
| Penamaan surah ini diambil daripada perkataan “Al-‘Alaq” yang bermaksud “Segumpal Darah” dan terdapat pada ayat kedua surah ini. Allah Swt menjelaskan bahawa Dia menciptakan manusia daripada segumpal darah yang melekat pada dinding rahim. Ayat ini menjadi bukti kekuasaan-Nya selepas memerintahkan Rasulullah saw supaya membaca atas nama Tuhan yang mencipta. |
| Ayat 1-5 diturunkan pada bulan Ramadhan (sekitar tahun 610 Masihi) ketika Nabi Muhammad saw berusia 40 tahun dan sedang beribadah di Gua Hira. Malaikat Jibril as datang menyampaikan wahyu pertama sebagai tanda pelantikan rasmi baginda sebagai rasul. |
| Baki ayat dalam surah ini (ayat 6–19) diturunkan kemudian setelah Rasulullah saw mula berdakwah secara terbuka di Mekah. Ayat-ayat ini turun sebagai teguran dan amaran keras terhadap sikap melampaui batas Abu Jahal yang cuba menghalang serta mengancam baginda daripada menunaikan solat di sisi Kaabah. |
| Surah ini merupakan wahyu pertama yang memerintahkan manusia membaca dan menuntut ilmu dengan nama Tuhan yang mencipta. |
| Ia turut mengecam sikap sombong manusia yang melampaui batas apabila merasa diri mereka kaya dan berkuasa. |
| Surah Al-‘Alaq: Kandungan wahyu pertama (Iqra’) dan pengajaran ilmu kepada manusia. Surah Al-Qadr: Masa penurunan Al-Quran (Lailatul Qadar) dan kelebihannya. |
| Surah Al-‘Alaq: Al-Quran merupakan sumber ilmu yang mengeluarkan manusia daripada kejahilan. Surah Al-Qadr: Al-Quran merupakan kitab agung yang memuliakan malam penurunannya melebihi seribu bulan. |
| ▪️ Surah Al-Qadr ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-97 ▪️ 5 ayat |
| Penamaan surah ini diambil daripada perkataan “Al-Qadr” yang bermaksud “Kemuliaan” dan terdapat pada ayat pertama surah ini. Perkataan tersebut merujuk secara khusus kepada malam penuh keberkatan dalam bulan Ramadhan, iaitu Lailatul Qadar. Allah Swt menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan pada malam Al-Qadr. Perkataan “Al-Qadr” turut diulang pada ayat kedua dan ketiga bagi menekankan keistimewaan malam tersebut yang lebih baik daripada seribu bulan. |
| Para ulama tafsir menjelaskan bahawa perkataan Al-Qadr membawa dua makna. Pertama, kemuliaan dan keagungan malam tersebut kerana padanya diturunkan kitab suci Al-Quran. Kedua, penetapan takdir tahunan oleh Allah Swt untuk seluruh makhluk yang diserahkan kepada para malaikat untuk dilaksanakan. |
| Surah ini diturunkan pada peringkat awal hingga pertengahan kenabian di Mekah. Penurunannya bertujuan memuliakan umat Nabi Muhammad saw dengan mengurniakan malam yang penuh keberkatan bagi menggantikan umur yang panjang untuk beribadah. |
| Surah Al-Qadr dimulakan dengan penegasan bahawa Allah telah menurunkan Al-Quran pada malam kemuliaan. Surah Al-Bayyinah menyambung perbahasan ini dengan memperkenalkan pembawa Al-Quran tersebut, iaitu seorang Rasul daripada Allah (Nabi Muhammad saw) yang membacakan lembaran-lembaran suci yang mengandungi ajaran yang lurus dan benar. |
| Setelah Surah Al-Qadr memaparkan keagungan malam turunnya Al-Quran yang penuh kesejahteraan, Surah Al-Bayyinah menjelaskan mengapa masih ramai manusia menolak petunjuk tersebut. Golongan Ahli Kitab dan musyrikin sebelum ini mendakwa tidak akan meninggalkan agama mereka sehingga datang bukti yang nyata (al-bayyinah), namun apabila Nabi Muhammad saw dan Al-Quran benar-benar datang membawa bukti itu, mereka berpecah-belah dan mengingkarinya kerana sifat hasad serta sombong. |
| ▪️ Surah Al-Bayyinah ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-99 ▪️ 8 ayat |
| Penamaan surah ini diambil daripada perkataan “Al-Bayyinah” yang bermaksud “Bukti yang Nyata” dan terdapat pada ayat pertama surah ini. Bukti yang nyata tersebut merujuk secara khusus kepada pengutusan Nabi Muhammad saw bersama kitab suci Al-Quran kepada umat manusia. Allah Swt menjelaskan bahawa golongan kafir tidak akan meninggalkan kepercayaan sesat mereka sehingga datang kepada mereka al-bayyinah (bukti yang nyata). Perkataan ini turut diulang pada ayat keempat surah yang sama. |
| Surah ini diturunkan pada fasa pertengahan hingga akhir tempoh dakwah Rasulullah saw di Madinah. Ketika itu, masyarakat Islam berdepan secara langsung dengan komuniti Yahudi dan Nasrani yang mempunyai pengetahuan mengenai kitab-kitab terdahulu tetapi menolak kenabian Nabi Muhammad saw. |
| Surah ini menjelaskan kedatangan Rasul yang membacakan lembaran suci sebagai bukti jelas kepada Ahli Kitab dan orang musyrik. Intipati agama adalah menyembah Allah dengan ikhlas, mendirikan solat dan menunaikan zakat. |
| Ia mendedahkan sikap berdolak-dalik golongan Ahli Kitab. Sebelum kebangkitan Nabi Muhammad saw, mereka sering berjanji akan beriman apabila rasul akhir zaman diutuskan, namun mereka berpecah-belah dan mengingkari kebenaran setelah bukti nyata itu tiba di hadapan mereka. |
| Surah Al-Bayyinah diakhiri dengan membezakan nasib akhir dua golongan manusia—iaitu golongan kafir sebagai sejahat-jahat makhluk yang kekal di neraka Jahannam, dan golongan beriman sebagai sebaik-baik makhluk yang kekal di Syurga ‘Adn. Surah Az-Zalzalah menyambung tema akhirat ini dengan memaparkan bagaimana bermulanya Hari Kiamat apabila bumi digoncangkan dengan dahsyat, lalu manusia keluar dari kubur dalam keadaan berkelompok untuk diperlihatkan segala amalan mereka. |
| Dalam Surah Al-Bayyinah (ayat 5), Allah meringkaskan tuntutan agama yang lurus iaitu menyembah Allah dengan ikhlas, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Surah Az-Zalzalah pula menegaskan bahawa tiada satu pun daripada ketaatan atau keingkaran terhadap perintah tersebut akan dipersiakan. Sekecil mana pun kebaikan yang dilakukan walaupun seberat zarah, pasti akan dilihat balasannya, dan sekecil mana pun kejahatan walaupun seberat zarah, pasti akan dipertanggungjawabkan. |
| Dalam Surah Al-Bayyinah, hujah Allah ditegakkan ke atas manusia melalui bukti nyata berupa Al-Quran dan Rasul yang membacakannya. Dalam Surah Az-Zalzalah, apabila tiba Hari Pembalasan, bumi tempat manusia berpijak dan melakukan amal perbuatan akan turut tampil sebagai saksi dengan menceritakan segala khabar dan rahsia yang pernah berlaku di atas permukaannya atas perintah Tuhan. |
| ▪️ Surah Al-Zalzalah ▪️ Madaniyyah ▪️ Surah ke-99 ▪️ 8 ayat |
| Penamaan surah ini diambil daripada perkataan “Zilzalaha” yang bermaksud “Kegoncangan” dan terdapat pada ayat pertama surah ini. Perkataan tersebut merujuk kepada peristiwa gempa bumi yang amat kuat ketika berlakunya Hari Kiamat. Allah Swt menggambarkan keadaan bumi yang digoncangkan dengan goncangan yang paling dahsyat sehingga mengeluarkan segala bebanan yang terkandung di dalamnya. |
| Surah ini diturunkan pada fasa awal hingga pertengahan tempoh Rasulullah saw berada di Madinah. Penurunannya berfungsi memantapkan keyakinan masyarakat Islam tentang keadilan mutlak Allah Swt terhadap setiap amal perbuatan, sama ada besar mahupun kecil. |
| Dalam Surah Az-Zalzalah (ayat 2), Allah menceritakan bagaimana bumi digoncangkan lalu mengeluarkan beban-beban berat yang dikandungnya, iaitu mayat-mayat dan khazanah yang terpendam. Surah Al-‘Adiyat (ayat 9) menyambung gambaran kebangkitan ini dengan persoalan yang menggentarkan jiwa—tidakkah manusia mengetahui apabila dibongkar apa yang ada di dalam kubur untuk dihadapkan ke mahkamah Tuhan? |
| Surah Az-Zalzalah menegaskan bahawa pada Hari Pembalasan, manusia akan diperlihatkan segala amalan zahir mereka walaupun sekecil zarah. Surah Al-‘Adiyat pula memperincikan bahawa pengadilan Allah bukan sekadar melihat perbuatan luaran, malah segala rahsia, niat dan keingkaran yang tersembunyi di dalam dada manusia turut akan didedahkan dan diperhitungkan. |
| Setelah Surah Az-Zalzalah memberi amaran keras tentang ketelitian hisab di akhirat, Surah Al-‘Adiyat membongkar punca mengapa manusia masih lalai dan berani melakukan kejahatan semasa di dunia. Puncanya ialah manusia bersifat sangat ingkar terhadap nikmat Tuhannya, sedangkan dia sendiri menjadi saksi atas keingkarannya, ditambah pula dengan sifat terlalu mencintai harta benda sehingga melupakan persiapan akhirat. |
| ▪️ Surah Al-‘Adiyat ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-100 ▪️ 11 ayat |
| Penamaan surah ini diambil daripada perkataan “Al-‘Adiyat” yang bermaksud “Kuda Perang yang Berlari Kencang” dan terdapat pada ayat pertama surah ini. Allah Swt bersumpah dengan kuda-kuda perang yang berlari kencang dengan nafas yang termengah-mengah ke medan pertempuran. |
| Surah ini diturunkan pada peringkat awal kenabian di Mekah. Penurunannya bertujuan menegur sifat manusia yang kufur terhadap nikmat Allah Swt dan terlalu mencintai harta benda dunia sehingga melupakan Hari Kebangkitan. |
| Surah ini memberikan perumpamaan kuda perang yang sanggup merempuh bahaya demi tuannya berbanding manusia yang sering bersikap ingkar serta tidak bersyukur kepada Penciptanya. |
| Ia juga menjelaskan bagaimana isi kubur dibongkar serta rahsia dalam dada manusia didedahkan sebagai bukti sifat tidak bersyukur mereka kepada Allah Swt. |
| Di penghujung Surah Al-‘Adiyat, Allah memberi amaran tentang hari apabila kubur dibongkar dan segala rahsia yang tersembunyi di dalam dada manusia didedahkan, kerana Tuhan Maha Mengetahui segala keadaan mereka. Surah Al-Qari’ah menyambung perbahasan ini dengan menerangkan apa yang berlaku selepas isi dada dan amalan tersebut didedahkan—iaitu seluruh amal manusia akan ditimbang di atas neraca keadilan bagi menentukan syurga atau neraka. |
| Surah Al-‘Adiyat dimulakan dengan gambaran mengejutkan tentang sekumpulan kuda perang yang berlari kencang, mencetuskan percikan api, menerbangkan debu dan menyerbu ke tengah musuh secara tiba-tiba. Suasana serangan yang menggerunkan di dunia ini menjadi mukadimah yang sangat serasi untuk Surah Al-Qari’ah, yang dimulakan dengan laungan tentang “Hari kiamat yang menggentarkan hati” (Al-Qari’ah)—di mana manusia bertempiaran seperti anai-anai yang berterbangan dan gunung-ganang hancur seperti bulu yang dihambur-hamburkan. |
| Dalam Surah Al-‘Adiyat, Allah menegur sifat buruk manusia yang sangat ingkar terhadap nikmat Tuhan dan terlalu tamak mencintai harta sehingga lalai melakukan amal kebajikan. Surah Al-Qari’ah memaparkan natijah bagi mereka yang membiarkan cinta harta menguasai diri tanpa bersedekah atau beramal soleh—iaitu timbangan kebaikan mereka menjadi ringan, lalu tempat kembali mereka adalah neraka Hawiyah yang sangat panas. |
| ▪️ Surah Al-Qari’ah ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-101 ▪️ 11 ayat |
| Penamaan surah ini diambil daripada perkataan “Al-Qari‘ah” yang bermaksud “Hari Kiamat” dan terdapat pada ayat pertama surah ini serta diulang pada ayat kedua dan ketiga. Allah Swt memulakan surah dengan menyebut salah satu nama Hari Kiamat tanpa sebarang kata hubung bagi menarik perhatian pendengar tentang kehebatan dan kegerunannya. |
| Surah ini diturunkan pada peringkat awal hingga pertengahan dakwah Rasulullah saw di Mekah. Penurunannya bertujuan memantapkan akidah umat Islam mengenai hakikat Hari Kiamat yang pasti berlaku serta pembalasan berdasarkan timbangan amal (al-mizan). |
| Surah ini diturunkan ketika kaum musyrikin Quraisy mengingkari kebangkitan semula selepas mati dan mempersendakan peringatan tentang Hari Akhirat. Allah Swt menurunkan ayat-ayat pendek yang menggentarkan jiwa untuk menggambarkan keadaan manusia yang bertempiaran seperti anai-anai serta gunung-ganang yang hancur berterbangan seperti bulu yang dihamburkan. |
| Penentuan syurga atau neraka Hawiyah bergantung kepada berat timbangan amal kebaikan seseorang itu. |
| Dalam Surah Al-Qari’ah (ayat 8–9), Allah menjelaskan nasib malang golongan yang ringan timbangan kebaikannya, lalu tempat kembali mereka adalah neraka Hawiyah. Surah At-Takathur menyambung perbahasan ini dengan menjawab persoalan mengapa ramai manusia ringan timbangannya—iaitu kerana mereka telah dilalaikan oleh persaingan mengumpul harta, anak-pinak dan kemewahan dunia sehinggalah mereka masuk ke dalam lubang kubur. |
| Kedua-dua surah menyentuh kesedaran manusia tentang hakikat api neraka yang selama ini dipandang remeh. Surah Al-Qari’ah menggunakan ungkapan “Dan tahukah kamu apakah neraka Hawiyah itu?” untuk menegaskan betapa dahsyatnya kepanasan api neraka yang tidak pernah terbayang oleh akal manusia semasa di dunia. Surah At-Takathur pula menjawab kejahilan tersebut dengan menegaskan bahawa sekiranya manusia benar-benar mengetahui dengan ilmu yang yakin (‘ilmal-yaqin), mereka pasti tidak akan lalai dengan dunia, dan kelak mereka pasti akan melihat sendiri neraka Jahim itu dengan mata kepala mereka (‘ainal-yaqin). |
| ▪️ Surah Al-Takathur ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-102 ▪️ 8 ayat |
| Penamaan surah ini diambil daripada perkataan “At-Takathur” yang bermaksud “Bermegah-megah” dan terdapat pada ayat pertama surah ini. Allah Swt menegur sikap manusia yang berlumba-lumba memperbanyakkan harta benda, anak-pinak dan pengaruh keturunan sehingga mereka menemui ajal. |
| Surah ini diturunkan pada peringkat awal kenabian di Mekah. Penurunannya bertujuan menegur masyarakat Quraisy yang terlalu bangga dengan kemewahan harta dan bilangan kabilah sehingga melupakan tanggungjawab mereka terhadap Pencipta serta Hari Pembalasan. |
| Surah At-Takathur mendedahkan punca manusia terjerumus dalam kerugian iaitu obsesi mengejar harta dan kemegahan dunia hingga mati. Surah Al-Asr pula tampil memberikan formula menyeluruh untuk menyelamatkan diri daripada kerugian tersebut melalui pengurusan masa yang berteraskan iman dan amal soleh. |
| Dalam Surah At-Takathur, manusia mensia-siakan tempoh hayat mereka untuk perkara yang sementara sehingga ajal tiba secara mengejut. Surah Al-Asr dimulakan dengan sumpah Allah menggunakan perkataan Al-Asr (masa atau waktu asar yang hampir senja) bagi menunjukkan bahawa usia manusia semakin suntuk. Penggunaan masa yang tepat menjadi penentu sama ada seseorang itu untung atau rugi di sisi Allah. |
| ▪️ Surah Al-‘Asr ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-103 ▪️ 3 ayat |
| Surah inidinamakan sedemikian kerana perkataan “Al-‘Asr” yang bermaksud “Masa” diambil daripada ayat pertamanya. Allah Swt bersumpah dengan masa sebagai peringatan tentang kepentingan menggunakannya dengan baik. |
| Surah ini diturunkan pada peringkat awal kenabian untuk merumuskan inti pati ajaran Islam dan garis panduan keselamatan manusia secara ringkas. |
| Surah ini menyatakan bahawa seluruh manusia berada dalam kerugian melainkan mereka yang menghimpunkan 4 sifat iaitu beriman, beramal soleh, saling berpesan dengan kebenaran dan saling berpesan dengan kesabaran. |
| Golongan yang beruntung dalam Surah Al-Asr sentiasa berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Mereka menggunakan lidah dan tindakan untuk saling menguatkan dan membimbing ke arah kebaikan. Surah Al-Humazah bermula dengan ancaman kecelakaanmterhadap golongan pengumpat dan pencela. Mereka menggunakan lisan dan isyarat tubuh untuk menghina, merendahkan dan menyakiti maruah orang lain. |
| Surah Al-Asr menuntut manusia mengisi masa dengan iman dan amal soleh yang memberi manfaat berpanjangan hingga ke akhirat. Surah Al-Humazah menggambarkan manusia yang menghabiskan usianya mengumpul dan menghitung-hitung harta kekayaan. Mereka menyangka harta tersebut dapat mengekalkan kuasa dan kehidupan mereka di dunia buat selama-lamanya. |
| ▪️ Surah Al-Humazah ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-104 ▪️ 9 ayat |
| Surah ini dinamakan sedemikian kerana perkataan “Al-Humazah” yang bermaksud “Pengumpat” diambil daripada ayat pertamanya. Allah Swt memberi amaran keras terhadap golongan yang suka mencela dan merendahkan orang lain. |
| Surah ini diturunkan ketika pembesar-pembesar musyrikin Quraisy yang kaya-raya mula menentang dakwah Islam secara terbuka. Mereka sering menghina dan merendahkan Rasulullah saw serta golongan mukmin yang miskin dan lemah. |
| Surah ini memberi amaran keras terhadap golongan yang suka mengumpat, mencela orang lain dan mengumpul harta kerana menyangka kekayaan dapat mengekalkan mereka. Mereka diancam dengan azab neraka Hutamah. |
| Surah Al-Humazah mendedahkan kesombongan manusia yang menyangka harta kekayaannya dapat mengekalkan kuasa dan menghindarkannya daripada kebinasaan. Surah Al-Fil pula menampilkan bukti sejarah bagaimana sebuah tentera bergajah yang besar dan kaya tetap hancur lebur apabila berhadapan dengan kekuasaan Allah. |
| Azab Akhirat dalam Surah Al-Humazah. Golongan yang mencela dan mendewakan harta akan dicampakkan ke dalam neraka Al-Hutamah yang membakar terus hingga ke dalam hati mereka. Azab Dunia dalam Surah Al-Fil. Pasukan Abrahah menerima azab segera di dunia apabila batu-batu dari tanah yang terbakar (sijjil) menghujani mereka. Tubuh badan dan kelengkapan perang mereka hancur berkecai sehingga menjadi seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat. |
| ▪️ Surah Al-Fil ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-105 ▪️ 5 ayat |
| Surah ini dinamakan sedemikian kerana perkataan “Al-Fil” yang bermaksud “Gajah” diambil daripada ayat pertamanya. Allah Swt menceritakan peristiwa kebinasaan angkatan tentera bergajah yang dipimpin oleh Abrahah ketika cuba meruntuhkan Kaabah di Mekah. |
| Surah ini diturunkan sekitar tahun ke-4 atau ke-5 kenabian (lebih kurang 44 hingga 45 tahun selepas peristiwa Tahun Gajah). |
| Surah ini diturunkan selepas Nabi Muhammad saw diperintahkan untuk menyampaikan dakwah secara terbuka. Ketika itu, kaum musyrikin Quraisy mula memikirkan cara untuk menyekat dan menentang seruan baginda. Allah Swt mengingatkan mereka tentang nikmat perlindungan Kaabah daripada tentera bergajah pimpinan Abrahah, agar mereka sedar bahawa Tuhan yang membinasakan tentera itu juga berkuasa melindungi Rasul-Nya. |
| Surah Al-Fil menceritakan bagaimana Allah memusnahkan musuh yang ingin meruntuhkan Kaabah, manakala Surah Quraisy menuntut penduduk Mekah menyembah Tuhan pemilik Kaabah tersebut sebagai tanda syukur atas nikmat keamanan dan rezeki yang mereka kecapi. |
| ▪️ Surah Quraisy ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-106 ▪️ 4 ayat |
| Surah ini dinamakan sedemikian kerana perkataan Quraisy yang merujuk kepada “Kaum Quraisy” (penduduk asal Kota Mekah) disebut pada ayat pertamanya. Keseluruhan surah ini menceritakan nikmat keamanan dan rezeki perdagangan yang Allah Swt kurniakan kepada mereka, serta seruan agar mereka menyembah-Nya sebagai tanda kesyukuran. |
| Surah ini diturunkan sekitar tahun ke-4 atau ke-5 kenabian, ketika Nabi Muhammad saw menyampaikan dakwah secara terbuka kepada penduduk Mekah. Kaum Quraisy pada waktu itu menikmati kemakmuran dan keselamatan hasil kedudukan mereka sebagai penjaga Kaabah, namun enggan mengesakan Allah Swt. |
| Surah ini turun sebagai peringatan kepada kaum Quraisy agar mensyukuri nikmat keamanan dan rezeki perdagangan (perjalanan musim sejuk ke Yaman dan musim panas ke Syam) dengan hanya menyembah Tuhan pemilik Kaabah. |
| Surah Quraisy menyeru penduduk Mekah agar menyembah Tuhan Pemilik Kaabah sebagai tanda syukur atas nikmat rezeki dan keamanan. Surah Al-Ma’un pula mendedahkan sikap buruk sebahagian golongan yang mendustakan agama, lalai dalam ibadah, serta kedekut berkongsi nikmat rezeki dengan golongan yang memerlukan. |
| Surah Quraisy memerintahkan manusia beribadah semata-mata kerana Tuhan yang menjaga dan memelihara mereka. Surah Al-Ma’un mengecam golongan yang menunaikan solat tetapi lalai daripada tujuan sebenar solat tersebut. Ibadah mereka dilakukan sekadar untuk menunjuk-nunjuk (riya’) kepada manusia. |
| ▪️ Surah Al-Ma’un ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-107 ▪️ 4 ayat |
| Surah ini dinamakan sedemikian kerana perkataan “Al-Ma‘un” yang bermaksud “Barang-barang yang Berguna” diambil daripada ayat terakhirnya (ayat ke-7). Allah Swt mencela golongan yang bersikap bakhil dan enggan menghulurkan bantuan kecil kepada orang yang memerlukan. |
| Surah ini diturunkan pada fasa awal dakwah di Mekah. |
| Para ulama tafsir meriwayatkan bahawa 3 ayat pertama turun menegur sikap pembesar musyrikin Quraisy yang berlaku zalim terhadap anak yatim dan enggan membantu orang miskin. Manakala ayat-ayat berikutnya pula turun mengecam sifat golongan yang lalai dan riak dalam solat serta bakhil daripada menghulurkan pertolongan. |
| Bakhil vs Nikmat yang Banyak. Surah Al-Ma’un mencela sifat bakhil yang menghalang manusia memberi makan orang miskin dan menindas anak yatim. Surah Al-Kautsar membalasnya dengan kurniaan nikmat yang sangat banyak (Al-Kautsar) kepada Rasulullah saw agar dikongsi kebaikannya. |
| Lalai Solat vs Menjaga Solat. Surah Al-Ma’un mengecam golongan yang lalai dan melewat-lewatkan solat. Surah Al-Kautsar memerintahkan agar solat didirikan dengan penuh kesungguhan dan ketekunan. |
| Riya’ vs Ikhlas kerana Tuhan. Surah Al-Ma’un mengkritik ibadah yang dilakukan semata-mata untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia. Surah Al-Kautsar menegaskan bahawa ibadah solat dan korban mestilah ditujukan semata-mata kerana Tuhanmu, bukan untuk meraih pujian makhluk. |
| Menahan Bantuan Kecil vs Berkorban Harta. Surah Al-Ma’un menyelar sikap kedekut yang enggan menghulurkan barang keperluan (al-ma’un). Surah Al-Kautsar menuntut tahap kedermawanan yang lebih tinggi iaitu menyembelih haiwan korban untuk diagihkan dagingnya kepada fakir miskin. |
| ▪️ Surah Al-Kauthar ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-108 ▪️ 3 ayat |
| Surah ini dinamakan sedemikian kerana perkataan “Al-Kauthar” yang bermaksud “Nikmat yang Banyak” (serta merujuk kepada nama sebuah telaga atau sungai di syurga) diambil daripada ayat pertamanya. Allah Swt mengurniakan nikmat yang melimpah-ruah kepada Nabi Muhammad saw sebagai penenang hati baginda terhadap cemuhan musuh. |
| Surah ini diturunkan pada fasa awal dakwah di Mekah. |
| Surah ini diturunkan sebagai penghibur hati Nabi Muhammad saw ketika baginda bersedih atas kematian anak lelaki baginda. Pada waktu itu, pembesar musyrikin Quraisy seperti mengejek baginda sebagai al-abtar (orang yang terputus keturunan). Allah Swt lalu menurunkan surah ini untuk mengkhabarkan kurniaan nikmat yang melimpah-ruah kepada baginda serta menegaskan bahawa musuh yang membenci bagindalah yang sebenarnya terputus daripada segala kebaikan. |
| Surah Al-Kautsar memerintahkan Rasulullah saw dan umat Islam agar menunaikan solat serta korban semata-mata kerana Allah. Surah Al-Kafirun pula mengukuhkan perintah tersebut dengan menetapkan garis pemisah yang tegas bahawa pengabdian kepada Allah tidak boleh dicampur-adukkan dengan amalan syirik golongan kafir. |
| Surah Al-Kautsar diakhiri dengan jaminan bahawa orang yang membenci Rasulullah saw akan terputus daripada segala kebaikan dan rahmat. Apabila golongan pembenci tersebut cuba mengajak Rasulullah saw berkompromi dalam urusan agama (menyembah tuhan mereka setahun dan mereka menyembah Allah setahun), Surah Al-Kafirun turun memberikan jawapan putus. Baginda diperintahkan mengisytiharkan pendirian muktamad bahawa agama Islam dan kekufuran tidak akan pernah bersatu. |
| ▪️ Surah Al-Kafirun ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-109 ▪️ 6 ayat |
| Surah ini dinamakan sedemikian kerana perkataan “Al-Kafirun” yang bermaksud “Orang-orang Kafir” diambil daripada ayat pertamanya. Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw untuk mengisytiharkan ketegasan akidah dengan menolak secara mutlak sebarang bentuk kompromi dalam penyembahan berhala. |
| Surah ini diturunkan pada fasa awal dakwah di Mekah. |
| Surah ini turun sebagai jawapan tegas apabila beberapa tokoh musyrikin Quraisy menemui Rasulullah saw untuk mengajak berkompromi dalam agama. Mereka menawarkan agar baginda menyembah berhala mereka selama setahun, dan sebagai balasan mereka pula akan menyembah Allah Swt pada tahun berikutnya. Allah Swt lalu menurunkan surah ini untuk memutuskan segala harapan golongan kafir daripada mencampuradukkan ajaran Islam dengan amalan syirik. |
| Surah Al-Kafirun mengisytiharkan pemisahan mutlak antara tauhid dan syirik tanpa sebarang kompromi walaupun ketika umat Islam masih lemah. Surah An-Nasr pula membuktikan bahawa hasil daripada prinsip yang tegas tersebut, Allah mengurniakan pertolongan serta pembukaan Kota Mekah sehingga manusia berbondong-bondong memeluk Islam. |
| Surah Al-Kafirun merakamkan sikap degil golongan kafir yang enggan menyembah Allah dan cuba menarik Nabi Muhammad saw kepada penyembahan berhala. Dalam Surah An-Nasr, golongan yang dahulunya menentang keras itu akhirnya tunduk kepada kebenaran. Mereka datang berduyun-duyun masuk ke dalam agama Allah setelah melihat bukti kebenaran Islam. |
| Surah Al-Kafirun menuntut pemurnian ibadah daripada sebarang unsur syirik. Surah An-Nasr mengajar adab ketika mencapai puncak kejayaan dengan memerintahkan umat Islam bertasbih memuji Allah dan memohon keampunan-Nya. |
| ▪️ Surah An-Nasr ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-110 ▪️ 3 ayat |
| Surah ini dinamakan sedemikian kerana perkataan “An-Nasr” yang bermaksud “Pertolongan” diambil daripada ayat pertamanya. Allah Swt mengkhabarkan janji datangnya pertolongan Allah dan kemenangan besar (pembukaan Kota Mekah) kepada Nabi Muhammad saw dan umat Islam. |
| Surah ini diturunkan di Mina pada pertengahan hari-hari Tasyrik (11 hingga 13 Zulhijjah) ketika Nabi Muhammad saw menunaikan Haji Wada’ (Haji Perpisahan) pada tahun ke-10 Hijrah. |
| Surah ini diturunkan bagi mengkhabarkan kemenangan besar umat Islam dan kemasukan kabilah-kabilah Arab ke dalam Islam secara beramai-ramai. Pada masa yang sama, ia menjadi isyarat perpisahan bahawa misi kerasulan baginda telah sempurna dan waktu kewafatan Nabi Muhammad saw (yang berlaku beberapa bulan kemudian pada Rabiulawal tahun ke-11 Hijrah) semakin hampir. |
| Surah An-Nasr meraikan pertolongan Allah dan kemasukan manusia secara beramai-ramai ke dalam Islam. Surah Al-Masad pula mendedahkan nasib malang Abu Lahab dan isterinya (Ummu Jamil) yang digelar pembawa kayu api, di mana kedua-dua pasangan ini bekerjasama menyebarkan fitnah dan menyakiti Nabi Muhammad saw sehingga akhirnya mereka dihumban ke dalam api neraka. |
| Dalam Surah An-Nasr, umat Islam mencapai kemenangan bukan semata-mata kerana bilangan yang ramai, tetapi berkat pertolongan mutlak daripada Allah Swt (nasrullah). Mereka membalas kejayaan itu dengan bertasbih dan memohon keampunan-Nya. Dalam Surah Al-Masad, Abu Lahab amat berbangga dengan kekayaan harta benda serta kedudukan sosialnya yang tinggi dalam kabilah Quraisy. Namun, segala harta dan apa yang diusahakannya sama sekali tidak dapat menyelamatkannya daripada azab neraka yang marak menyala. |
| ▪️ Surah Al-Masad ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-111 ▪️ 5 ayat |
| Surah ini dinamakan sedemikian kerana perkataan “Al-Masad” yang bermaksud “Tali Sabut” diambil daripada ayat terakhirnya (ayat ke-5). Allah Swt menggambarkan azab ke atas isteri Abu Lahab (Ummu Jamil) yang akan dikalungkan tali daripada sabut yang dipintal di lehernya di dalam neraka kelak. |
| Surah ini diturunkan pada fasa awal dakwah terbuka di Mekah, iaitu sekitar tahun ke-4 kenabian. |
| Setelah berdakwah secara rahsia selama 3 tahun pertama, Rasulullah saw diperintahkan oleh Allah Swt untuk menyampaikan seruan Islam secara terbuka. Baginda mendaki Bukit Safa lalu memanggil kabilah-kabilah Quraisy untuk memberi peringatan tentang azab Allah Swt. Bapa saudara baginda sendiri, Abu Lahab (Abdul Uzza bin Abdul Muttalib), terus mengherdik dengan berkata, “Celakalah engkau sepanjang hari, adakah hanya untuk ini engkau kumpulkan kami?”. Allah Swt lalu menurunkan surah ini bagi membalas keceluparan Abu Lahab dan mengkhabarkan kebinasaannya bersama isterinya, Ummu Jamil. |
| Surah ini mengecam penentangan keras Abu Lahab dan isterinya terhadap dakwah Islam serta menegaskan bahawa harta dan kedudukan tidak mampu menyelamatkan mereka daripada azab api neraka. |
| Ayat kedua Surah Al-Masad menegaskan bahawa harta Abu Lahab dan apa yang diusahakannya (termasuk anak-pinaknya) langsung tidak berguna untuk menyelamatkannya daripada azab. Pergantungannya terhadap duniawi berakhir dengan kehinaan. Surah Al-Ikhlas memperkenalkan sifat Allah sebagai As-Samad, iaitu tempat bergantung segala makhluk dalam semua hajat dan perlindungan. Hanya pergantungan kepada Tuhan Yang Maha Esa sahaja yang mampu memberi keselamatan hakiki di dunia dan akhirat. |
| Surah Al-Masad: Abu Lahab merupakan bapa saudara kandung Rasulullah saw daripada keturunan Bani Hasyim yang mulia, malah dia amat berbangga dengan anak-anak lelakinya. Namun, kemuliaan darah dan ramainya zuriat tidak memberi sebarang syafaat apabila dia kufur kepada Allah. Surah Al-Ikhlas menyucikan zat Allah daripada sifat makhluk melalui ayat “Lam yalid walam yulad” (Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan). Kemuliaan di sisi Allah tidak diukur melalui garis keturunan, sebaliknya melalui kemurnian tauhid. |
| ▪️ Surah Al-Ikhlas ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-112 ▪️ 4 ayat |
| Surah ini dinamakan sedemikian berdasarkan tema dan inti pati utamanya, iaitu memurnikan tauhid serta mengikhlaskan pengabdian semata-mata kepada Allah Swt. Berbeza dengan kebanyakan surah lain, perkataan “Al-Ikhlas” tidak disebut secara langsung di dalam ayat-ayatnya, sebaliknya ia diambil daripada makna menyeluruh surah yang menyucikan zat dan sifat Allah daripada sebarang unsur syirik. |
| Surah ini diturunkan pada fasa awal dakwah di Mekah. |
| Kaum musyrikin Quraisy telah mendatangi Rasulullah saw dan bertanya secara sinis, “Nyatakan kepada kami nasab (keturunan dan sifat) Tuhanmu”. Mereka mempersoalkan sama ada Tuhan yang disembah baginda diperbuat daripada emas, perak atau tembaga seperti berhala-berhala mereka. Allah Swt lalu menurunkan surah ini bagi menegaskan keesaan dan kesempurnaan zat-Nya yang mutlak. |
| Surah Al-Ikhlas memperkenalkan sifat mutlak Allah sebagai Tuhan Yang Maha Esa dan tempat bergantung segala sesuatu (As-Samad). Surah Al-Falaq pula menterjemahkan pergantungan tersebut secara praktikal dengan mengajar manusia memohon perlindungan kepada Tuhan sekalian makhluk daripada pelbagai kejahatan makhluk. |
| Surah Al-Ikhlas menyucikan Allah daripada segala kekurangan dan persamaan dengan makhluk-Nya. Dialah sumber segala kebaikan dan kekuatan. Surah Al-Falaq pula menyenaraikan 4 jenis ancaman yang datang daripada makhluk ciptaan-Nya iaitu kejahatan makhluk secara umum, kegelapan malam, sihir tukang hembus simpulan dan hasad dengki orang yang dengki. Semua kejahatan makhluk ini hanya mampu ditepis dengan kuasa Tuhan yang diperkenalkan dalam Surah Al-Ikhlas. |
| ▪️ Surah Al-Falaq ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-113 ▪️ 5 ayat |
| Surah ini dinamakan sedemikian kerana perkataan “Al-Falaq” yang bermaksud “Waktu Subuh” diambil daripada ayat pertamanya. Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw dan umat Islam supaya memohon perlindungan hanya kepada Tuhan yang menguasai waktu subuh daripada kejahatan yang berada di luar kawalan manusia seperti bahaya kegelapan malam, sihir dan kejahatan orang yang hasad dengki. |
| Pandangan Pertama (Surah Makkiyyah). Surah ini diturunkan pada fasa awal dakwah di Mekah, iaitu sejurus selepas Surah Al-Fil dan sebelum Surah An-Nas. |
| Pandangan Kedua (Surah Madaniyyah). Ramai ulama tafsir seperti Ibnu Kathir dan Imam as-Suyuti menggolongkannya sebagai surah Madaniyyah yang merujuk kepada kisah peristiwa sihir di Madinah selepas Perjanjian Hudaibiyah (sekitar tahun ke-7 Hijrah). |
| Menurut riwayat daripada Aisyah ra dan Ibnu Abbas ra, surah ini (bersama Surah An-Nas) diturunkan ketika Nabi Muhammad saw jatuh sakit akibat disihir oleh seorang lelaki Yahudi di Madinah. Sihir tersebut menggunakan rambut serta gigi sikat baginda yang diikat dengan 11 simpulan tali dan disembunyikan di bawah batu di dalam Telaga Zarwan. |
| Allah Swt mengutuskan dua malaikat untuk memberitahu kedudukan bahan sihir tersebut, lalu baginda mengutus para sahabat untuk mengeluarkannya. Malaikat Jibril kemudian menyampaikan Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas, di mana setiap kali dibacakan satu ayat (jumlah keseluruhan 11 ayat bagi kedua-dua surah), terurailah satu simpulan sihir sehingga baginda sembuh sepenuhnya. |
| Kedua-dua surah ini dikenali sebagai Al-Mu’awwidzatain (dua surah pelindung) yang diturunkan serentak. Surah Al-Falaq melindungi manusia daripada kejahatan makhluk di luar diri, manakala Surah An-Nas melindungi manusia daripada bisikan syaitan yang menyusup ke dalam jiwa. |
| Dalam Surah Al-Falaq, manusia hanya menyebut satu sifat Tuhan iaitu Rabbil Falaq (Tuhan yang menguasai waktu subuh) untuk menangkis 4 jenis ancaman luaran. Sifat cahaya waktu subuh melambangkan kuasa Allah yang mampu menyinari dan menghapuskan kegelapan malam, sihir, serta niat jahat manusia. Dalam Surah An-Nas, manusia menyebut 3 sifat agung Allah sekaligus iaitu Rabb (Pencipta dan Pemelihara), Malik (Raja yang berkuasa penuh) dan Ilah (Tuhan yang disembah). 3 gelaran ini diperlukan bagi menghadapi satu musuh yang sangat licik dan berbahaya iaitu bisikan syaitan yang sentiasa mengintai kelalaian hati manusia. |
| ▪️ Surah An-Nas ▪️ Makkiyyah ▪️ Surah ke-114 ▪️ 6 ayat |
| Surah ini dinamakan sedemikian kerana perkataan “An-Nas” yang bermaksud “Manusia” diambil daripada ayat pertamanya (serta diulang sebanyak lima kali dalam keseluruhan enam ayatnya). Allah Swt memerintahkan umat Islam supaya memohon perlindungan hanya kepada-Nya sebagai Pencipta, Raja dan Tuhan sekalian manusia daripada kejahatan bisikan syaitan yang tersembunyi dalam kalangan jin dan manusia. |
| Pandangan Pertama (Surah Makkiyyah). Surah ini diturunkan pada fasa awal dakwah di Mekah, iaitu sejurus selepas Surah Al-Falaq dan sebelum Surah Al-Ikhlas. |
| Pandangan Kedua (Surah Madaniyyah). Sebahagian ulama tafsir seperti Ibnu Kathir dan Imam as-Suyuti menggolongkannya sebagai surah Madaniyyah kerana ia diturunkan secara serentak bersama Surah Al-Falaq di Madinah selepas Perjanjian Hudaibiyah (sekitar tahun ke-7 Hijrah). |
| Sebagaimana riwayat hadis sahih mengenai Surah Al-Falaq, Surah An-Nas diturunkan sebagai penawar apabila Nabi Muhammad saw jatuh sakit akibat disihir oleh seorang lelaki Yahudi di Madinah. Bahan sihir tersebut diikat dengan 11 simpulan tali di dalam Telaga Zarwan, lalu Malaikat Jibril membacakan Surah Al-Falaq (5 ayat) dan Surah An-Nas (6 ayat) kepada baginda sehingga terlerai kesemua 11 simpulan tersebut dan baginda sembuh sepenuhnya. |