
Surah Az-Zumar
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 39 |
| Juz: | 23 (1-31) 24 (32-75) |
| Jumlah Ayat: | 75 |
| Maksud Surah: | Rombongan |
| Nama Lain: | Al-Ghuraf (Kamar-kamar) |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan “Az-Zumar” kerana diambil daripada perkataan Az-Zumar (Kumpulan manusia yang berombong-rombongan) yang terdapat pada ayat-ayat 71 dan 73 dalam surah ini. Dalam ayat-ayat tersebut diterangkan keadaan manusia pada Hari Kiamat setelah mereka dihisab, pada waktu itu mereka terbahagi kepada dua rombongan, satu rombongan dibawa ke neraka dan satu rombongan lagi dibawa ke syurga. Masing-masing rombongan diberikan balasan daripada apa yang mereka kerjakan di dunia dahulu.
Surah ini juga dinamakan Al-Ghuraf yang bererti kamar-kamar kerana diambil daripada perkataan Ghuraf yang terdapat pada ayat 20, menerangkan keadaan kamar-kamar dalam syurga yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.
Sebahagian besar kandungan surah ini memperkatakan soal tauhid dan cara beribadah kepada Allah Swt.
Kemudian diterangkan perihal orang-orang yang beriman yang berusaha mendengar perkataan- perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan mengikuti sebaik-baiknya. Mereka itulah yang diberi hidayah oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.
Seterusnya Allah Taala menegaskan tentang Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya tentang benarnya dan indahnya, dan yang berulang-ulang keterangan-keterangannya dengan pelbagai cara. Dengan mendengar dan membacanya: kulit badan orang-orang yang takut melanggar perintah Allah menjadi seram kemudian kulit badan orang itu menjadi lembut serta tenang tenteram hatinya menerima ajarannya.
Golongan-golongan yang melampaui batas dengan perbuatan-perbuatan maksiat diseru supaya mereka jangan berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa (kecuali dosa syirik). Kemudian mereka diseru supaya segera bertaubat serta berserah bulat-bulat kepada Allah sebelum mereka ditimpa azab, kerana sesudah itu tidak akan diberikan pertolongan.
Surah ini diakhiri dengan peristiwa-peristiwa yang akan berlaku pada hari akhirat dan balasan bagi orang-orang yang beriman dan orang-orang yang ingkar.