Muqaddimah-Al-Furqan

Surah Al-Furqan

Surah Al-Furqan


Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:25
Juzuk:18 (1 – 20)
19 (21 – 77)
Jumlah Ayat:77
Maksud Surah:Pembeza (antara kebenaran dan kebatilan)

Intisari Surah

Surah ini dinamakan Al-Furqan yang bererti pembeza, diambil daripada kata Al-Furqan yang terdapat pada ayat pertama surah ini. Maksud Al-Furqan dalam ayat ini ialah Al-Quran (iaitu nama lain Al-Quran).

Al-Quran dinamakan Al-Furqan kerana ia membezakan antara yang hak dengan yang batil. Oleh itu, dalam surah ini pun terdapat ayat-ayat yang membezakan antara kebenaran keesaan Allah Ta’ala dengan kebatilan kepercayaan syirik.

Isi Kandungan Utama

Kedudukan Al-Quran: Menjelaskan Al-Quran sebagai pembeza kebenaran dan menolak segala tuduhan serta keraguan orang kafir terhadap Nabi Muhammad saw dan wahyu.

Keesaan Allah (Tauhid): Menegaskan kekuasaan Allah Swt serta menolak kepercayaan syirik dan dakwaan bahawa Allah mempunyai anak atau sekutu.

Hari Kiamat: Membawa dalil tentang hari kebangkitan, balasan syurga bagi yang patuh, dan azab neraka bagi yang mendustakan kebenaran.

Kisah Umat Terdahulu: Memuatkan pengajaran daripada kisah Nabi Musa as, Nabi Nuh as, kaum A’ad, kaum Tsamud dan penduduk Rass yang mengingkari para rasul.

Bukti Kekuasaan Allah Swt: Menunjukkan tanda-tanda kebesaran Allah melalui kejadian alam seperti pergantian malam dan siang serta proses hujan.

Sifat Hamba Allah (Ibadurrahman): Ditutup pada ayat-ayat akhir (ayat 63–77) dengan menggariskan ciri-ciri peribadi Muslim sejati yang tawaduk, sabar, solat malam, dan berakhlak mulia.

Kaitan dengan surah sebelumnya (Surah An-Nur):

Surah An-Nur berakhir dengan kekuasaan Allah Swt pada langit dan bumi serta kedudukan Rasulullah saw yang tinggi. Maka surah Al-Furqan bermula dengan kekuasaan Allah Swt pada langit dan bumi serta kemuliaan Rasulullah saw kerana Al-Furqan yang diturunkan kepada baginda.

Tema surah:

Turun ketika Quraisy menimbulkan pelbagai keraguan dan bantahan mereka kepada kitab Allah Swt “Al-Furqan” dan kerasulan Rasulullah saw, maka surah ini menjawab satu-persatu dakwaan biadab Quraisy dan menyatakan kesan yang akan mereka terima akibat daripada kekufuran mereka.

Segmentasi Surah

Segmentasi Surah Al-Furqan

Rujukan dari blog Kita Hamba: https://kitahamba.wordpress.com/category/25-al-furqan/