
Surah An-Nur
| Klasifikasi Surah: | Madaniyyah |
| Surah: | 24 |
| Juzuk: | 18 |
| Jumlah Ayat: | 64 |
| Maksud Surah: | Cahaya |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan An-Nur النّور bermaksud cahaya, diambil daripada kalimah نُورُ yang banyak terdapat pada ayat ke 35. Dalam ayat ini, Allah Ta’ala menjelaskan tentang Nur Ilahi, iaitu Al-Quran yang mengandungi petunjuk-petunjuk yang merupakan cahaya terang benderang menerangi alam semesta.
Surah ini turun secara khusus membela Saidatina ‘Aisyah ra isteri, Rasulullah saw dan mengajar para sahabat pelajaran dari peristiwa fitnah terhadap ‘Aisyah ra yang dilancarkan oleh para munafik yang berlaku ketika Rasulullah saw dalam perjalanan pulang dari Perang Bani Mustaliq pada 6 Hijrah.
Selain itu, surah ini menekankan pembinaan moral, akhlak serta panduan hidup bermasyarakat dan berumahtangga.
Isi Kandungan Utama
Hukum Zina dan Qazaf: Menetapkan hukuman sebat 100 kali bagi penzina yang belum berkahwin dan hukuman qazaf (80 kali sebat) bagi mereka yang menuduh orang baik-baik berzina tanpa mengemukakan empat orang saksi.
Peristiwa Al-Ifk (Fitnah): Pembersihan nama Saidatina ‘Aishah ra daripada fitnah keji melalui ayat-ayat al-Quran yang diturunkan Allah Swt untuk mempertahankan maruah keluarga Nabi Muhammad saw.
Adab dan Keizinan: Garis panduan meminta izin sebelum memasuki rumah orang lain, termasuk adab anak-anak dan hamba ketika berada di dalam bilik ibu bapa pada waktu-waktu tertentu.
Menjaga Maruah dan Batas Pergaulan: Perintah menjaga pandangan (menundukkan pandangan) serta menjaga kehormatan diri bagi lelaki dan wanita mukmin, termasuk pemakaian tudung dan batas aurat.
Ayat An-Nur (Cahaya): Penjelasan pada ayat 35 mengenai nur (cahaya) hidayah Allah Swt yang menerangi hati orang-orang beriman melalui petunjuk Al-Quran.
Kaitan dengan surah sebelumnya (Surah Al-Mu’minun):
Surah Al-Mu’minun menyatakan sifat penghuni syurga Firdaus di antaranya menjaga kehormatan dan maruah diri (ayat 5-7) manakala surah An-Nur memfokuskan secara khusus hukum-hukum yang membabitkan menjaga kehormatan diri seperti perzinaan, menuduh perzinaan (qazaf), menundukkan pandangan dan perkahwinan.
Tema surah:
Membina pertahanan moral dan sosial yang kuat kerajaan Madinah melalui ibrah peristiwa fitnah terhadap Saidatina ‘Aisyah ra.
Segmentasi Surah


Rujukan dari blog Kita Hamba: https://kitahamba.wordpress.com/category/24-an-nur/