
Surah Az-Zukhruf
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 43 |
| Juzuk: | 25 |
| Jumlah Ayat: | 89 |
| Maksud Surah: | Perhiasan |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan Az-Zukhruf yang bererti perhiasan diambil daripada perkataan Az-Zukhruf yang terdapat pada ayat 35 pada surah ini. Ayat tersebut dan ayat-ayat yang terdahulu daripadanya diterangkan perihal kaum kafir musyrik yang menentang Nabi Muhammad saw. Mereka mengatakan sepatutnya jawatan Nabi itu diberikan kepada seorang besar yang kaya raya dan berpengaruh. Bagi menolak hujah mereka, Allah Taala menerangkan bahawa kekayaan dan kemiskinan tidak boleh dijadikan ukuran bagi darjat seseorang, kerana segala kekayaan dan perhiasan dari emas dan lain-lainnya itu hanyalah merupakan kesenangan hidup di dunia sebaliknya kesenangan hari akhirat di sisi hukum Allah adalah bagi orang-orang yang bertakwa.
Isi Kandungan Utama
Membentangkan sebahagian dari pertentangan keras yang dihadapi oleh “Dakwah Islamiyah” dalam zaman Rasulullah saw dan menerangkan bagaimana pertentangan itu diberi penjelasan-penjelasan yang disertakan dengan dalil-dalilnya di dalam Al-Quran.
Kemudian Allah Taala menegaskan bahawa sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran Al-Quran maka Allah akan mengadakan baginya syaitan yang menghasut dan menyesatkannya lalu menjadilah ia temannya yang tidak renggang daripadanya.
Ditegaskan juga bahawa Al-Quran itu menjadi kemuliaan besar dan peringatan bagi Nabi Muhammad saw dan kaumnya serta umat Islam seluruhnya kerana mengandungi pelajaran dan undang-undang yang sesuai bagi segala tempat dan segala zaman.
Setelah menceritakan perihal Nabi-nabi yang telah lalu, maka Allah Taala menerangkan, bahawa Nabi Isa as menjadi tanda tentang kedatangan Hari Kiamat. Yakni salah satu di antara tanda-tanda yang menunjukkan hampirnya Hari Kiamat ialah turunnya Nabi Isa as pada akhir zaman.