
Surah Al-Lail
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 92 |
| Juzuk: | 30 |
| Jumlah Ayat: | 21 |
| Maksud Surah: | Malam |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan Al-Lail “Malam” kerana diambil daripada perkataan Al-Lail (ٱلَّيْلِ) yang terdapat pada ayat pertama surah ini.
Surah ini menerangkan bahawa usaha dan amalan manusia adalah pelbagai dan setiap amal perbuatan ikhlas kerana Allah Swt akan membawa kebahagiaan dan kemudahan hidup di dunia dan akhirat.
Isi Kandungan Utama
Sumpah Allah Swt: Allah bersumpah demi malam apabila ia menyelubungi kegelapan, demi siang apabila ia terang-benderang dan penciptaan lelaki dan perempuan bahawa usaha amal manusia adalah berbeza-beza.
Golongan yang Bertakwa dan Pemurah: Orang yang bertakwa yang mendermakan hartanya pada jalan Allah dan membenarkan perkara yang baik, Allah Swt akan memudahkan jalan kebaikan bagi mereka menuju syurga.
Golongan yang Kufur dan Bakhil: Orang yang bakhil yang merasa dirinya serba cukup (tidak berhajat kepada Allah) dan mendustakan perkara yang baik, Allah Swt akan memudahkan jalan kesukaran bagi mereka dan akhirnya diheret ke neraka.
Peringatan tentang Harta: Harta kekayaan tidak akan mampu menyelamatkan seseorang di akhirat jika ia tidak didermakan dengan ikhlas, kerana petunjuk dan balasan itu sepenuhnya dalam kekuasaan Allah Swt.