
Surah An-Nazi’at
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 79 |
| Juzuk: | 30 |
| Jumlah Ayat: | 46 |
| Maksud Surah: | Malaikat-malaikat yang Mencabut |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan An-Nazi’at yang bererti “Malaikat-malaikat yang Mencabut,” diambil daripada kata An-Nazi’at (َٱلنَّزِعَٰتِ) yang terdapat pada ayat pertama surah ini.
Surah ini memfokuskan kepada kepastian Hari Kiamat, detik pencabutan nyawa oleh malaikat, kisah Nabi Musa as dan Firaun sebagai iktibar serta bukti kekuasaan Allah Swt dalam mencipta alam semesta dan membangkitkan semula manusia.
Isi Kandungan Utama
Sumpah Allah (ayat 1-14): Bermula dengan sumpahan Allah Swt demi malaikat-malaikat yang mencabut nyawa dengan pelbagai cara dan urusan alam yang lain, menegaskan bahawa Hari Kiamat pasti berlaku melalui tiupan sangkakala.
Kisah Nabi Musa as dan Firaun (ayat 15-26): Mengimbau kisah dakwah Nabi Musa as kepada Firaun yang melampaui batas, lalu Allah mengenggelamkan Firaun sebagai iktibar bagi orang yang takut kepada Allah.
Bukti Kekuasaan Penciptaan Allah Swt (ayat 27-33): Mengemukakan bukti kekuasaan Allah menciptakan langit dan bumi, gunung-ganang dan tumbuhan yang menunjukkan betapa mudah bagi-Nya untuk menghidupkan semula manusia.
Balasan Syurga dan Neraka (ayat 34-46): Menutup surah dengan gambaran balasan bagi manusia yang melampaui batas dan mengutamakan kehidupan dunia akan ditempatkan di neraka, manakala yang takut kepada kebesaran Allah akan dibalas dengan syurga.