Surah Al-Fatihah

Surah Al-Fatihah


Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:1
Juz:1
Jumlah Ayat:7
Maksud Surah:Pembukaan
Nama Lain:Ummul Quran/Ummul Kitab, Alhamdu, As-Solah, Asy-Syifa’, As-Sab’ul Matsani, Ruqyah, Al-Quranul ‘Azhim

Intisari Surah

Surah ini merangkumi semua makna atau kandungan dalam Al-Quran dan mengandungi maksud-maksudnya yang asas secara kasar. Oleh itu, ia dinamakan Ummul Kitab yang bermaksud induk Al-Quran.

Isi Kandungan Utama

Pujian kepada Allah (ayat 1-4): Pengakuan bahawa segala puji, nikmat dan pemerintahan mutlak serta penguasa Hari Kiamat hanya milik Allah Swt yang bersifat Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Ibadah dan Pertolongan (ayat 5): Ikrar hamba bahawa hanya kepada Allah Swt tempat menyembah dan memohon pertolongan.

Permohonan Hidayah (ayat 6-7): Doa agar Allah Swt memberikan petunjuk ke jalan yang lurus iaitu jalan orang yang didampingi nikmat, bukannya jalan yang dimurkai atau sesat.


Ayat 1

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Surah ini dimulakan dengan menyebut nama Allah Swt, mengingati-Nya dan mensucikan-Nya sambil memohon pertolongan kepada-Nya sebelum melakukan sesuatu pekerjaan atau urusan. Dia-lah Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya, yang luas rahmat-Nya meliputi segala sesuatu. Dia-lah yang memberi segala kenikmatan, baik yang besar mahupun yang kecil. 

Allah Ta’ala mengajar kita agar memulakan sesuatu pekerjaan dengan Basmalah. Ini adalah untuk mengingatkan kita bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan itu adalah kerana-Nya dan semata-mata dengan keizinan-Nya. Ini juga bermaksud dengan mengucapkan Basmalah kita memohon pertolongan-Nya supaya pekerjaan itu berjaya dilaksanakan dengan baik. 

Allah ialah nama bagi Zat Yang Maha Suci, yang satu-satunya yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya disertai rasa cinta, takut dan berharap kepada-Nya, Zat yang tidak memerlukan makhluk-Nya tetapi makhluklah yang memerlukan-Nya. 

Ar-Rahman (ٱلرَّحْمَٰنِ) dan Ar-Rahim (ٱلرَّحِيمِ) merupakan nama Allah Ta’ala yang menetapkan adanya sifat rahmah (sayang) bagi Allah Ta’ala sesuai dengan kebesaran-Nya. Ar-Rahman (ٱلرَّحْمَٰنِ – Maha Pemurah), ertinya Allah Ta’ala memiliki rahmat (kasih sayang) yang luas kepada semua makhluk-Nya, manakala Ar-Rahim (ٱلرَّحِيمِ) ertinya Allah Maha Penyayang kepada orang-orang mukmin. 

Ayat 2

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam.

Kalimah ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ bererti segala puji bagi Allah. Memuji Allah Ta’ala bererti menyanjung-Nya. Dia berhak dipuji kerana perbuatan-Nya yang baik seperti melimpahkan kurniaan-Nya dengan adil, dan sifat-sifat-Nya yang sempurna serta nikmat-nikmat-Nya yang begitu banyak dilimpahkan kepada kita baik nikmat yang berkaitan dengan agama mahupun yang berkaitan dengan dunia. 

Ibnu Jarir mengatakan ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ merupakan pujian yang disampaikan oleh Allah Ta’ala untuk diri-Nya. Padanya terdapat perintah kepada hamba-hamba-Nya supaya mereka memuji-Nya dengan mengucapkan ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ. Ini menunjukkan bahawa Allah Ta’ala berhak mendapatkan pujian yang sempurna dari segala sudut. Dalam sebuah hadis, ketika mendapatkan hal yang menyenangkan, Rasulullah saw mengucapkan: 

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ  

“Alhamdulillahillazi bini’matihi tatimmus solihaat” (Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatNya amal soleh menjadi sempurna), dan ketika baginda memperoleh selain itu, baginda tetap mengucapkan, 

الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

“Alhamdulillah ‘alaa kulli haal” (segala puji bagi Allah dalam semua keadaan). 

(HR. Ibnu Majah)

“Rabb” (رَبُّ) bermaksud Pemilik, Penguasa dan Pengatur iaitu Tuhan yang ditaati, yang Mencipta, Memiliki, Mendidik, Mengurus dan Memelihara. Lafaz Rabb (رَبُّ) tidak digunakan selain untuk Allah Ta’ala, kecuali kalau ada sambungan selepasnya, seperti rabbul bait (tuan rumah). 

Kalimah ٱلْعَٰلَمِينَ (semesta alam) adalah segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah Swt di dunia yang terdiri daripada alam manusia, alam haiwan, alam tumbuh-tumbuhan, alam jin, alam malaikat, benda-benda mati baik yang kita ketahui mahupun yang tidak kita ketahui. Ini termasuk juga ciptaan-Nya di akhirat seperti alam barzakh, syurga, neraka dan sebagainya. 

Allah-lah Pencipta seluruh alam dan Dia-lah yang mengatur segala urusan makhluk-Nya dengan pemberian nikmat-nikmat-Nya serta mengurus segala ciptaan-Nya. 

Ayat 3

ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Ayat ini memberitahu bahawa Allah Ta’ala mengurus alam semesta ini tidak dengan menyeksa dan memaksa, bahkan atas dasar kasih sayang-Nya sebagaimana firman-Nya: 

“Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman.” 

Al-Ahzab 33:43

Ayat 4

مَـٰلِكِ يَوْمِ ٱلدِّينِ

Pemilik Hari Pembalasan.

Malik (مَٰلِكِ) iaitu Pemilik atau Penguasa atau Raja Hari Pembalasan. Pada hari itu tiada perbezaan antara raja-raja yang pernah memerintah di dunia dengan para rakyat mereka. Semuanya tunduk dengan keagungan-Nya menunggu pembalasan-Nya terhadap amalan baik atau buruk mereka. 

Hari Pembalasan juga dipanggil Yaumul Qiyamah, Yaumul Hisab, Yaumul Jaza’ dan sebagainya. Memahami tentang hari ini akan mendorong seseorang muslim untuk beramal soleh dan menjauhi maksiat. 

Ayat 5

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Hanya kepada Engkaulah kami menyembah (mengabdikan diri) dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.

Kalimah نَعبُدُ diambil daripada kata ibadah iaitu kepatuhan kepada Allah Ta’ala sebagai Tuhan yang wajib disembah dengan berlandaskan cinta, takut dan harap yang ditujukan semata-mata kepada-Nya.

Kalimah نَستَعينُ pula diambil daripada kata isti’aanah iaitu meminta pertolongan dan mengharapkan bantuan dalam bentuk pergantungan mutlak semata-mata kepada Allah Ta’ala. 

Ayat ini menunjukkan betapa lemahnya manusia dalam mengurus diri sehingga diperintahkan untuk meminta pertolongan hanya kepada Allah Swt. 

Sesuatu perbuatan itu hanya dikategorikan sebagai ibadah jika dilakukan dengan ikhlas kerana Allah Ta’ala dan mengikuti apa yang dicontohkan oleh Rasulullah saw.

Ayat 6

ٱهْدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ

Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.

Perkataan ٱهْدِنَا (Tunjukkanlah kami) daripada kata hidayah iaitu memohon petunjuk ke jalan yang lurus. Selepas memohon dan mengenalpasti jalan lurus barulah memohon dikurniakan taufiq iaitu mohon diberikan pertolongan menempuh jalan yang lurus. Jalan yang lurus ialah Islam. 

Ayat ini juga bermaksud memohon kepada Allah Swt agar dapat istiqamah di atas jalan yang lurus hingga ke akhir hayat. 

Maksud ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ (jalan yang lurus) itu ialah hidup mengabdikan diri hanya kepada Allah Ta’ala. Firman-Nya: 

“Dan hendaklah kamu mengabdikan diri kepada-Ku. Inilah jalan yang lurus.” 

Yasin 36:61 

Panduan menuju jalan yang lurus ialah Al-Quran dan As-Sunnah.

Daripada Abu Hurairah ra, dia berkata,

“Rasulullah saw bersabda: ‘Aku tinggalkan dua perkara yang kalian tidak akan tersesat selama kalian berpegang teguh dengan kedua-duanya iaitu Kitabullah dan Sunnahku, serta kedua-duanya tidak akan berpisah sampai kedua-duanya mendatangiku di telaga (di Syurga).’” 

(HR. Al-Hakim dan Al-Baihaqi) 

Ayat 7

صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ

Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka, bukan jalan orang-orang yang dimurkai dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat.

Orang-orang yang diberi nikmat adalah para Nabi, para siddiqin, para syuhada’ dan para solehin. Firman Allah Ta’ala: 

“Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: Nabi-nabi, para siddiqin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.” 

An-Nisa’ 4:69

Manakala orang-orang yang dimurkai ialah orang-orang yang mengetahui kebenaran tetapi meninggalkannya (kaum Yahudi). Orang-orang yang sesat pula ialah orang-orang yang meninggalkan kebenaran kerana jahil (orang Nasrani).  

Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya golongan yang dimurkai adalah Yahudi dan golongan yang sesat adalah Nasrani.” 

(HR. Ahmad)