Muqaddimah-Nuh

Surah Nuh

Surah Nuh


Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:71
Juzuk:29
Jumlah Ayat:28
Maksud Surah:Nabi Nuh as

Intisari Surah

Surah ini dinamakan surah Nuh kerana surah ini keseluruhannya menyebutkan kisah Nabi Nuh as berdakwah kepada kaumnya.

Ia merakamkan kesabaran Nabi Nuh as berdakwah selama 950 tahun mengajak kaumnya kembali menyembah Allah Swt, keengganan dan keangkuhan kaumnya yang tetap kufur serta doa Nabi Nuh as agar Allah membinasakan mereka menerusi banjir besar.

Isi Kandungan Utama

Dakwah Berterusan (ayat 1-9):

▪️  Nabi Nuh as menyeru kaumnya siang dan malam, secara terang-terangan dan sembunyi.

▪️  Baginda menjanjikan keampunan dosa, penurunan hujan lebat yang berkat dan penambahan harta dan zuriat jika mereka mahu bertaubat.

▪️  Kaumnya malah menolak, menutup telinga dan sombong.

Bukti Kekuasaan Allah Swt (ayat 10-20):

▪️  Nabi Nuh as mengingatkan kaumnya tentang kebesaran ciptaan Allah pada kejadian manusia dalam beberapa fasa, tujuh petala langit, bulan dan matahari.

▪️  Allah membentangkan bumi sebagai tempat tinggal dan laluan rezeki.

Penolakan Pemimpin dan Azab (ayat 21-25):

▪️  Golongan pembesar kaum Nuh as menipu pengikut mereka dengan mempertahankan berhala (Wadd, Suwa’, Yaghuth, Ya’uq dan Nasr).

▪️  Akibat kekufuran yang berterusan, mereka ditenggelamkan dengan banjir besar dan dimasukkan ke dalam neraka.

Doa Nabi Nuh as (ayat 26-28):

▪️  Nabi Nuh as berdoa agar tiada seorang pun orang kafir dibiarkan hidup di atas bumi kerana mereka hanya melahirkan keturunan yang derhaka.

▪️  Baginda memohon keampunan untuk dirinya, ibu bapanya dan orang mukmin.