Muqaddimah-Al-Qamar

Surah Al-Qamar

Surah Al-Qamar


Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:54
Juzuk:27
Jumlah Ayat:55
Maksud Surah:Bulan

Intisari Surah

Surah ini dinamakan dengan Al-Qamar kerana diambil daripada perkataan Al-Qamar yang terdapat pada ayat pertama surah ini yang menerangkan tentang terbelahnya bulan sebagai mukjizat Nabi Muhammad saw.

Tema utamanya berfokus kepada kepastian dan dekatnya Hari Kiamat, amaran keras kepada golongan musyirikin yang mendustakan kebenaran melalui bukti mukjizat dan sejarah azab kaum-kaum terdahulu yang mengingkari para rasul.

Isi Kandungan Utama

Mukjizat Bulan Terbelah: Surah ini dimulakan dengan peristiwa terbelahnya bulan sebagai mukjizat Nabi Muhammad saw untuk membuktikan kebenaran kerasulan baginda dan merupakan tanda bahawa Hari Kiamat sudah dekat dan pasti berlaku. Namun golongan musyrik Mekah tetap mendustakannya dan menganggapnya sihir.

Kisah Umat Terdahulu: Surah ini menceritakan azab yang ditimpakan kepada lima kaum yang menentang utusan Allah Swt akibat kesombongan mereka:

  • Kaum Nabi Nuh as (ditenggelamkan).
  • Kaum ‘Aad (dibinasakan angin ribut yang sejuk dan kencang).
  • Kaum Thamud (dibinasakan dengan suara yang menggemparkan).
  • Kaum Nabi Lut as (dihujani batu).
  • Kaum Firaun (ditenggelamkan di laut).

Kemudahan Al-Quran: Ayat-ayat berkaitan diulang sebanyak empat kali (pada ayat 17, 22, 32 dan 40) bagi menegaskan bahawa Allah Swt telah memudahkan Al-Quran untuk difahami dan diambil pengajaran.

Amaran buat Musyirikin Mekah: Penolakan terhadap dakwaan bahawa golongan kafir tidak akan dikalahkan. Allah memberi amaran bahawa mereka pasti akan ditewaskan.

Balasan di Akhirat: Ayat-ayat penutup menerangkan perbezaan nasib antara golongan yang berdosa (dihumban ke dalam neraka) dan orang yang bertakwa (ditempatkan di dalam syurga yang penuh kenikmatan).