Muqaddimah-Al-Hajj

Surah Al-Hajj

Surah Al-Hajj


Klasifikasi Surah:Madaniyyah
Surah:22
Juzuk:17
Jumlah Ayat:78
Maksud Surah:Haji

Intisari Surah

Surah ini dinamakan Al-Hajj kerana mengambil perkataan Al-Hajj daripada ayat 27. Surah ini mengemukakan hal-hal yang berhubungan dengan ibadah haji, seperti ihram, tawaf, saie, wuquf di Arafah, mencukur rambut, syiar-syiar Allah, faedah-faedah dan hikmah-hikmah disyar’atkannya haji. Ditegaskan pula bahawa ibadat haji itu telah disyariatkan pada masa Nabi Ibrahim as dan Kaabah didirikan oleh Nabi Ibrahim as bersama puteranya Nabi Ismail as.

Sebahagian ayat daripada surah ini diturunkan di Mekah dan sebahagian lagi di Madinah, oleh itu para ahli tafsir berbeza pendapat mengenai klasifikasi surah ini (Makkiyyah atau Madaniyyah).

Isi Kandungan Utama

Kegoncangan Hari Kiamat: Surah bermula dengan seruan agar manusia bertakwa kerana dahsyatnya gempa dan kegoncangan Hari Kiamat, serta bukti kebangkitan semula (Hari Akhirat) menerusi fasa kejadian manusia daripada tanah, air benih, seketul daging, hingga lahir dan menjadi tua.

Syiar Ibadah Haji dan Sejarah Nabi Ibrahim as: Menjelaskan perintah menunaikan ibadah haji serta pensyariatan haji yang telah diasaskan sejak zaman Nabi Ibrahim as atas perintah Allah untuk membina semula Kaabah.

Keizinan Berperang: Keizinan kepada orang Islam untuk mempertahankan diri serta agama apabila diserang oleh pihak musuh. Penegasan tentang penjagaan kesucian Masjidil Haram dan hukum menghalang manusia daripada jalan Allah.

Penutup dan Anjuran Berjihad: Di hujung surah, Allah menganjurkan umat Islam supaya melakukan ibadah dengan tekun (rukuk, sujud, dan melakukan kebaikan) serta berjihad pada jalan Allah dengan sebenar-benar jihad. Menyeru agar menjadikan Allah sebagai pelindung kerana Dia-lah sebaik-baik pelindung dan penolong.

Kaitan dengan surah sebelumnya (Surah Al-Anbiya’):

▪️  Surah Al-Anbiya’ berakhir dengan gambaran Kiamat dan dekatnya janji Allah Swt bahawa ianya akan berlaku manakala Surah Al-Hajj bermula dengan melengkapkan gambaran Kiamat.

▪️  Surah Al-Anbiya’ mengenai umat yang terdahulu manakala Surah Al-Hajj mengenai umat sekarang.

Status surah:

▪️  Kajian mendapati surah ini mempunyai unsur Makkiyyah dan Madaniyyah.

▪️  Ayat (1 – 24): Makkiyyah, turun di hujung perjuangan Rasulullah saw di Mekah menjelang Hijrah.

▪️  Ayat (25 – 78): Madaniyyah, bulan Zulhijjah tahun pertama baginda di Madinah, turun ketika para Muhajirin terkenangkan tanah air mereka di Mekah lebih-lebih lagi pada masa musim Haji lalu mereka menyatakan kesediaan mereka berperang demi mengambil semula keluarga, tanah dan kampung halaman mereka.

▪️  Ayat 39: Ayat pertama turun mengenai jihad dan kebenaran berperang.

▪️  Ayat sajdah berada pada ayat 18 dan 77.

Tema surah:

▪️  Dalam 13 tahun perjuangan Rasulullah saw, Musyrikin Quraisy masih memilih syirik. Allah Swt akan uruskan mereka di Hari Akhirat kelak.

▪️  Bagi para Ansar Madinah yang baru beriman, iman dan jihad tidak boleh dipisahkan, jangan hanya sekadar beriman yang tidak menyebabkan keberanian untuk mempertahankan Islam.

▪️  Bagi para Muhajirin, Masjidil Haram bukan milik Musyrikin Quraisy. Oleh itu, mereka tidak boleh menghalang mereka yang beriman dari Madinah untuk berkunjung ke sana. Ingat siapa yang bina Kaabah itu, adakah tujuan pembinaan itu ada kaitan dengan berhala-berhala yang dibina di sekeliling Kaabah,

▪️  Para Muhajirin juga dibenarkan berjihad sekiranya ada halangan untuk menziarahi Masjidil Haram kerana orang Islam dan beriman yang selayaknya berkunjung ke sana.

Segmentasi Surah


Rujukan dari blog Kita Hamba: https://kitahamba.wordpress.com/category/22-al-hajj/