
Surah Al-Jumu’ah
| Klasifikasi Surah: | Madaniyyah |
| Surah: | 62 |
| Juzuk: | 28 |
| Jumlah Ayat: | 11 |
| Maksud Surah: | Hari Jumaat |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan Al-Jumu’ah yang bererti Hari Jumaat, tetapi secara bahasa bermakna Hari Perkumpulan, diambil daripada perkataan Al-Jumu’ah (Jama`) yang terdapat pada ayat ke-9 dalam surah ini.
Surah ini memfokuskan kepada pengutusan Nabi Muhammad saw untuk menyucikan dan mendidik umat. Ia menekankan kepentingan menunaikan solat Jumaat dan teguran terhadap sikap mementingkan urusan dunia.
Isi Kandungan Utama
Pengutusan Rasul (ayat 1-4): Surah ini dimulai dengan tasbih kepada Allah Swt, diikuti dengan pengutusan Nabi Muhammad saw dari kalangan umat yang buta huruf untuk membacakan ayat-ayat-Nya, menyucikan jiwa manusia dan mengajarkan ilmu dan hikmah.
Sikap Orang Yahudi (ayat 5-8): Allah Swt membuat perumpamaan orang Yahudi yang memikul Taurat tetapi tidak mengamalkannya disamakan dengan keldai yang membawa kitab. Mereka diingatkan bahawa kematian pasti akan menemui mereka.
Tuntutan Solat Jumaat dan Adab (ayat 9-11): Umat Islam diperintahkan untuk bersegera menunaikan solat Jumaat apabila diseru dan meninggalkan urusan perniagaan buat sementara waktu. Surah ini ditutup dengan teguran terhadap sebahagian sahabat yang meninggalkan Rasulullah saw ketika sedang berkhutbah demi mengejar barangan dagangan yang tiba dan menegaskan bahawa ganjaran di sisi Allah adalah lebih baik.