
Surah Yunus
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah Madaniyyah (40, 94, 95) |
| Surah: | 10 |
| Juzuk: | 11 |
| Jumlah Ayat: | 109 |
| Maksud Surah: | Nabi Yunus as |
Intisari Surah
Surah ini termasuk golongan surah Makkiyyah kecuali ayat 40, 94 dan 95 yang diturunkan di Madinah.
Surah ini dinamakan Yunus merupakan simbolik dan bukan bererti surah ini berkenaan kisah Nabi Yunus as. Bahkan, kisah terpanjang dalam surah ini adalah kisah Nabi Musa as dan Firaun iaitu pada ayat 75 hingga 93. Pada ayat ke-98 daripada surah inilah yang menyebut perkataan “Yunus” dan merupakan bahagian terpenting daripada surah ini.
Topik utama yang dibahaskan dalam surah ini meliputi masalah akidah iaitu beriman kepada Allah Swt, kitab-kitab dan Rasul-Nya, serta Hari Kebangkitan dan Pembalasan.
Isi Kandungan Utama
Keesaan Allah (Tauhid): Menjelaskan bukti kekuasaan Allah Swt mentadbir alam semesta, memberi rezeki dan menghidupkan makhluk.
Kebenaran Al-Quran: Menegaskan bahawa Al-Quran adalah wahyu daripada Allah Swt dan menjadi penawar serta petunjuk bagi manusia.
Hari Kiamat & Pembalasan: Menceritakan dialog dan perdebatan dengan golongan musyrikin yang menolak Hari Kebangkitan serta balasan azab dan nikmat.
Kisah Para Nabi: Memuatkan kisah pengajaran daripada Nabi Nuh as, Nabi Musa as bersama Firaun dan Nabi Yunus as.
Sikap Manusia: Menggambarkan perangai manusia yang berdoa ketika susah tetapi lupa diri apabila kembali senang.
Hukum & Kekuasaan: Penetapan masa dan tahun melalui peredaran matahari dan bulan.
Ringkasan Surah
Surah ini membincangkan pengingkaran orang-orang musyrik Mekah terhadap Al-Quran. Orang-orang musyrik mendakwa bahawa Nabi Muhammad saw adalah tukang sihir dan mendakwa bahawa baginda yang menulis Al-Quran. Mereka juga mencabar baginda untuk memohon azab Allah, jika dakwaannya benar. Mereka juga menuntut agar baginda mengubah Al-Quran agar tidak lagi mencela amalan penyembahan berhala dan penggunaan perantara ketika menyembah Allah.
Pengingkaran tersebut dibalas dalam bentuk hujjah, ancaman, janji dan celaan. Surah ini mempertahankan asal-usul Al-Quran yang suci, bukan ciptaan Nabi Muhammad saw dan mengatakan bahawa baginda tidak dapat mengubahnya walaupun baginda mahu. Mengenai cabaran untuk mendatangkan azab Allah, surah ini mendedahkan bahawa Allah boleh menangguhkan azab di dunia ini jika Dia menghendaki.
Surah ini juga menceritakan tentang azab yang menimpa orang kafir pada masa lalu, seperti kaum Nabi Nuh as dan Nabi Musa as. Ia juga mengatakan bahawa jika orang kafir menunggu azab sebelum beriman, ia dianggap sudah terlambat, seperti yang berlaku kepada Firaun. Menurut Al-Quran, Firaun hanya mahu beriman kepada Allah sebelum lemas, tetapi taubatnya pada saat sakaratul maut tidak bermanfaat kepadanya.
Surah ini juga menyebut tentang kaum Nabi Yunus as, yang pada mulanya menolak dakwah baginda, tetapi kemudiannya bertaubat dan beriman. Oleh itu, tidak seperti kaum Nabi Nuh as dan Firaun, mereka terselamat daripada azab Allah Swt. Satu-satunya sebutan tentang Nabi Yunus as adalah dalam ayat 98 surah ini.