Muqaddimah-Fatir

Surah Fatir

Surah Fatir


Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:35
Juzuk:22
Jumlah Ayat:45
Maksud Surah:Pencipta

Intisari Surah

Fatir ertinya Pencipta diambil daripada ayat pertama surah ini. Fatir menerangkan bahawa Allah Swt adalah pencipta langit dan bumi, manusia dan makhluk lainnya.

Isi Kandungan Utama

Kekuasaan dan Penciptaan: Surah ini bermula dengan pujian kepada Allah Swt sebagai Pencipta langit, bumi dan para malaikat yang mempunyai sayap. Dia juga mengatur rezeki, pergantian malam dan siang, serta peredaran matahari dan bulan.

Rahmat Allah Swt: Ditegaskan bahawa tiada sesiapa pun yang dapat menahan rahmat Allah jika Dia ingin memberikannya, dan tiada siapa yang dapat memberikannya jika Dia menahannya.

Amaran Terhadap Syaitan: Manusia diingatkan agar tidak terpedaya dengan kemewahan hidup di dunia serta tipu daya syaitan yang menjadi musuh nyata.

Golongan Pewaris Al-Quran: Allah menerangkan tentang manusia yang mewarisi Al-Quran terbahagi kepada tiga golongan: yang zalim kepada diri sendiri, bersikap sederhana dan yang mendahului dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah.

Penutup dan Keadilan Allah Swt: Surah diakhiri dengan peringatan bahawa jika Allah langsung menyiksa manusia atas dosa-dosa mereka, nescaya tiada satu pun makhluk yang tinggal di muka bumi, namun Allah memberi tempoh hingga masa yang ditentukan.

Ringkasan Surah

Surah ini bermula dengan menegaskan kekuasaan Allah Swt menciptakan sekalian makhluk-Nya, dan menegaskan bahawa apa jua jenis rahmat yang diberikan-Nya kepada umat manusia maka tidak sesuatu pun yang dapat menahannya (terhadap rahmat itu), demikian juga sebaliknya.

Kemudian diperingatkan umat manusia supaya janganlah mereka terpedaya terhadap kemewahan hidup di dunia dan janganlah pula mereka diperdayai oleh syaitan yang menjadi musuh dan mesti dijauhi akan tipu dayanya.

Kemudian Allah Taala menerangkan bahawa Dia menjadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang dipilih-Nya dari kalangan hamba-hamba-Nya, maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri yakni dengan tidak mempedulikan ajaran Al-Quran dan ada yang bersikap sederhana serta ada pula yang mendahului orang lain dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah.

Setelah itu, dikemukakan Allah Swt satu lagi pertanyaan yang berupa amaran kepada golongan yang masih berdegil (meneruskan) dalam keingkaran dan kekufuran mereka terhadap Allah, “Bukankah mereka pernah mengembara di muka bumi dan menyaksikan bagaimana kesudahan kaum-kaum kafir yang telah lalu zamannya?”

Surah ini diakhiri dengan menegaskan bahawa kalaulah Allah Swt mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang telah mereka kerjakan, tentulah Dia tidak akan membiarkan mereka tinggal di atas muka bumi ini untuk sesuatu makhluk pun, akan tetapi Allah tidak berbuat demikian, bahkan Dia memberi tempoh kepada mereka tinggal di atas muka bumi ini hingga suatu masa tertentu (tujuannya supaya orang-orang yang ingkar dapat kembali insaf dan bertaubat dan orang-orang yang berdegil akan ditambah azabnya). Kemudian apabila sampai tempoh mereka, maka Allah Swt akan membalas masing-masing dengan seadilnya, kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaan sekalian hamba-Nya.