
Surah As-Saff
| Klasifikasi Surah: | Madaniyyah |
| Surah: | 61 |
| Juzuk: | 28 |
| Jumlah Ayat: | 14 |
| Maksud Surah: | Barisan |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan As-Saff, kerana pada ayat 4 surah ini terdapat perkataan صفًّا yang bererti barisan yang teratur rapi, merujuk kepada perumpamaan orang beriman yang bersatu padu seperti sebuah bangunan yang kukuh ketika berdepan musuh.
Surah ini memfokuskan kepada kepentingan kesatuan, disiplin dan keikhlasan dalam perjuangan menegakkan agama Allah Swt.
Isi Kandungan Utama
Kesesuaian antara Kata dan Perbuatan: Mengecam sikap mereka yang suka mengatakan sesuatu tetapi tidak melakukannya. Ini adalah satu kemurkaan besar di sisi Allah Swt.
Perumpamaan Barisan yang Teratur: Umat Islam diseru supaya bersatu dan berjuang di jalan Allah dalam barisan yang teratur.
Kesabaran Para Nabi: Mengimbas kembali sikap Bani Israil yang menyakiti nabi mereka, selain berita gembira yang dibawa oleh Nabi Isa as tentang kedatangan Nabi Muhammad saw (yang dinamakan sebagai Ahmad).
Perniagaan yang Menguntungkan: Allah Swt menawarkan jalan keselamatan daripada azab yang pedih, iaitu beriman kepada Allah serta berjihad dengan harta dan nyawa. Ganjaran yang diberikan adalah keampunan dosa, masuk syurga dan pertolongan serta kemenangan di dunia.
Menjadi Penolong Agama Allah Swt: Umat Islam diajak mencontohi semangat golongan Hawariyyun (pengikut setia Nabi Isa as) yang komited menyokong perjuangan agama.