Muqaddimah-Taha

Surah Ta Ha

Surah Ta Ha


Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:20
Juzuk:16
Jumlah Ayat:135
Maksud Surah:Ta Ha

Intisari Surah

Surah ini dinamakan Ta Ha dengan mengambil ayat pertamanya. Huruf abjad pada permulaan surah ini sama sebagaimana yang lazim terdapat pada surah-surah lain yang menggunakan huruf-huruf abjad pada permulaannya, huruf-huruf tersebut seakan-akan merupakan pemberitahuan Allah Swt kepada orang-orang yang membacanya, bahawa sesudah huruf itu akan dikemukakan perkara yang sangat penting untuk diketahui.

Surah ini sering diamalkan untuk melunakkan hati yang keras terutamanya ahli keluarga yang degil atau sukar menerima kebenaran. Bacaan awal ayat surah inilah yang menyentuh hati Saidina Umar Al-Khattab sehingga beliau memeluk Islam.

Isi Kandungan Utama

Pujukan dan Penenang Hati (ayat 1–8)

▪️    Allah Swt memujuk Nabi Muhammad saw bahawa Al-Quran diturunkan bukan untuk menyusahkan baginda, tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut kepada Allah.

▪️    Menyatakan keagungan Allah Swt sebagai Pencipta langit dan bumi.

Kisah Nabi Musa as (ayat 9–98)

▪️    Memuatkan kisah terperinci perjalanan Nabi Musa as bermula dari panggilan di Lembah Tuwa, mukjizat tongkat dan tangan yang putih, hingga dakwah menghadapi Firaun.

▪️    Mengisahkan bagaimana Nabi Musa as berdoa memohon kelapangan dada (Rabbishrah li sadri, ayat 25-28).

▪️    Termasuk juga kisah kaumnya yang sesat dengan patung anak lembu buatan Samiri semasa Nabi Musa di Bukit Tur.

Amaran Hari Kiamat dan Tasliyah (ayat 99–135)

▪️    Penjelasan mengenai kedatangan hari kiamat, balasan amalan manusia serta kisah Nabi Adam as dan Iblis.

▪️    Penutup sebagai dorongan dan pujukan kepada Nabi Muhammad saw dan para sahabat agar sabar dalam menghadapi penentangan kaum musyrikin.

Ringkasan Surah

Bahagian awal surah ini menyebut bahawa al-Quran diturunkan bukan untuk menyusahkan Nabi Muhammad saw tetapi merupakan peringatan Allah bagi manusia dan adalah wahyu dari Allah, Pencipta semesta alam. Ini kerana orang-orang musyrik Quraisy mengatakan Allah menurunkan ayat-ayat-Nya hanya untuk membuat baginda berasa lebih susah.

Kemudian Allah menerangkan kisah Nabi Musa as yang merupakan inti pati surah ini. Surah Ṭaha menceritakan secara terperinci tentang perdebatan antara Nabi Musa as dan Firaun, dan bagaimana Allah menguji kaum Nabi Musa as, Bani Israil. Nabi Musa as diutus kepada Firaun untuk mengajaknya kepada agama yang lurus. Dalam ayat 25–28 yang diucapkan oleh Nabi Musa as dalam surah ini, ia sering digunakan sebagai doa sebelum memulakan ucapan. Ayat ini berbunyi: “Ya Tuhanku, lapangkanlah dadaku, mudahkanlah urusanku untukku, dan hilangkanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka memahami kata-kataku.”

Perdebatan Nabi Musa as dan Firaun akhirnya dimenangi oleh baginda berkat pertolongan Allah, lalu baginda dan Bani Israil meninggalkan Mesir. Setelah Firaun lemas di Laut Merah, Nabi Musa as bertemu dengan Allah di Bukit Tur untuk menerima kitab Taurat dan meninggalkan kaumnya di bawah pengawasan saudaranya Nabi Harun as. Semasa ketiadaan baginda, kaumnya disesatkan oleh Samiri dan mereka menyembah anak lembu emas buatannya. Setelah Nabi Musa as kembali, dia menegur Nabi Harun as kerana membiarkan kaumnya menyekutukan Tuhan. Samiri telah mendapat hukuman berat dari Allah.

Allah kemudian menceritakan kisah Nabi Adam as dan Iblis. Selepas Allah menciptakan Nabi Adam as, Dia memerintahkan semua malaikat supaya sujud kepada Nabi Adam as, kecuali Iblis. Iblis akhirnya diazab oleh Allah dan akan menjadi musuh manusia sehingga Hari Kiamat. Namun, Iblis tidak berputus asa dan terus menggoda Nabi Adam as. Nabi Adam as dan Hawa terpengaruh dengan pujukan Iblis dan akhirnya Allah mengeluarkan mereka dari Syurga. Namun, Nabi Adam as bertaubat atas kesilapannya dan memohon ampun kepada Allah dengan bersungguh-sungguh dan akhirnya Allah mengampuninya.

Ayat 99–114 merujuk kepada pengajaran daripada umat-umat terdahulu dan membincangkan tentang Hari Kiamat. Bahagian ini memberikan gambaran ringkas tentang peristiwa yang akan berlaku pada Hari Kiamat. Orang yang kufur akan diazab manakala orang yang beriman tidak perlu bersusah hati. Dalam ayat penutup, perdebatan berlaku antara orang kafir dan Nabi Muhammad saw. Orang kafir mempersoalkan mengapa Rasullulah saw tidak membawa bukti bahawa baginda adalah utusan Allah dan Allah menjawab bahawa cukuplah Al-Quran menjadi mukjizat membuktikan kerasulan baginda.