Muqaddimah-Al-Hasyr

Surah Al-Hasyr

Surah Al-Hasyr


Klasifikasi Surah:Madaniyyah
Surah:59
Juzuk:28
Jumlah Ayat:24
Maksud Surah:Pengusiran

Intisari Surah

Surah ini dinamakan Al-Hasyr yang bererti pengusiran diambil daripada perkataan Al-Hasyr yang terdapat pada ayat ke-2 dalam surah ini.

Dalam surah ini disebutkan kisah pengusiran satu suku Yahudi yang bernama Bani Nadhir yang tinggal di sekitar kota Madinah. Selain itu, surah ini memfokuskan tentang kepentingan muhasabah diri, keagungan Al-Quran dan tauhid.

Isi Kandungan Utama

Kisah Bani Nadhir (ayat 1-17): Kisah pengusiran Yahudi Bani Nadhir dari Madinah kerana melanggar perjanjian dan cubaan membunuh Nabi Muhammad saw. Harta rampasan perang (fai’) diagihkan kepada golongan yang berhak terutamanya golongan miskin. Ia juga mendedahkan perihal golongan munafik di Madinah yang bersekongkol dan menipu kaum Yahudi dengan berjanji untuk membantu, tetapi akhirnya memungkiri janji tersebut.

Muhasabah & Takwa (ayat 18-20): Perintah tegas kepada orang beriman agar sentiasa bertakwa dan melihat kembali amalan yang disediakan untuk bekalan Hari Akhirat.

Kehebatan Al-Quran (ayat 21): Perbandingan metafora di mana jika Al-Quran diturunkan kepada sebuah gunung, nescaya gunung itu akan hancur berkecai kerana takut kepada Allah Swt.

Asmaul Husna (ayat 22-24): Penutup surah yang memuatkan pujian-pujian serta pengenalan kepada nama-nama Allah yang baik (Asmaul Husna) bagi menegaskan keagungan, kekuasaan dan sifat Sempurna-Nya sebagai Pencipta.