Muqaddimah-Al-Mulk

Surah Al-Mulk

Surah Al-Mulk


Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:67
Juzuk:29
Jumlah Ayat: 30
Maksud Surah:Kerajaan
Nama Lain:At-Tabaarak (Maha Berkat)
Al-Mani’ah (Penghalang)

Intisari Surah

Surah ini dinamakan dengan Al-Mulk yang bererti “Kerajaan” diambil daripada perkataan Al-Mulk yang terdapat pada ayat pertama surah ini.

Surah ini menfokuskan kekuasaan mutlak Allah Swt mentadbir alam, kehidupan dan kematian adalah ujian untuk menilai amalan manusia, peringatan tentang balasan azab neraka dan menggalakkan manusia memerhatikan bukti-bukti kebesaran Allah Swt.

Surah ini juga dikenali sebagai Al-Mani’ah (penghalang) yang diyakini dapat memberikan syafaat dan menghalang pembacanya daripada azab kubur, berdasarkan hadis-hadis berikut:

Rasulullah saw bersabda:

“Ada satu surah dalam Al-Quran yang berjumlah tiga puluh ayat di mana surah tersebut akan memintakan syafaat bagi pembacanya hingga dia diampuni. Surah itu adalah ‘tabarakallazi biyadihil mulk'”

(HR Tirmidzi, hadis ini hasan)

Abdullah bin Mas’ud berkata: “Barangsiapa membaca surah Al-Mulk setiap malam, Allah akan menghindarkannya dari seksa kubur dengan surah tersebut. Kami di masa Rasulullah saw menamakannya dengan Al-Mani’ah (penghalang). Ia adalah surah dalam Al-Quran yang jika dibaca setiap malam, maka pembacanya akan mendapat banyak kebaikan.”

(HR Nasa’ie, dengan sanad yang baik)

Isi Kandungan Utama

Kekuasaan dan Kebesaran Allah Swt (ayat 1-5):

▪️  Menjelaskan bahawa Allah Swt adalah pemilik mutlak dan pentadbir segala kerajaan di langit dan bumi.

▪️   Kehidupan dan kematian dijadikan sebagai ujian untuk menentukan siapakah antara hamba-Nya yang melakukan amalan yang terbaik.

▪️  Allah menciptakan alam semesta termasuk tujuh lapisan langit dengan penuh keseimbangan dan kesempurnaan tanpa sebarang kecacatan.

Azab Neraka (ayat 6-11):

▪️   Menceritakan tentang azab neraka yang pedih bagi mereka yang kufur dan mendustakan perintah Allah Swt.

▪️   Golongan yang ingkar akan menyesal dan mengakui kesilapan mereka ketika dicampakkan ke dalam neraka.

Keimanan dan Pemerhatian terhadap Ciptaan Allah Swt (ayat 12-24):

▪️   Mengingatkan manusia bahawa ilmu Allah meliputi segala-galanya, termasuk perkara terssembunyi di dalam hati.

▪️   Mendorong manusia untuk sentiasa berfikir dan memerhatikan nikmat serta rezeki yang dikurniakan Allah di bumi.

Kepastian Hari Kiamat (ayat 25-30):

▪️   Menolak dakwaan oarng kafir yang sering mencabar dan bertanya bilakah berlakunya Hari Kiamat.

▪️   Menegaskan bahawa Hari Kebangkitan adalah rahsia Allah dan pasti berlaku.