
Surah Al-Ahqaf
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 46 |
| Juzuk: | 26 |
| Jumlah Ayat: | 35 |
| Maksud Surah: | Bukit Pasir |
Intisari Surah
Surah ini dikenali dengan nama Al-Ahqaf ertinya “Bukit Pasir” yang diambil daripada perkataan Al-Ahqaf iaitu nama tempat tinggal kaum ‘Aad yang terdapat pada ayat 21 surah ini. Dalam ayat 21 tersebut dan ayat-ayat sesudahnya diterangkan bahawa Nabi Hud as telah menyampaikan risalahnya kepada kaumnya iaitu kaum ‘Aad di Al-Ahqaf, tetapi kaumnya tetap ingkar. Hingga akhirnya Allah Swt menghancurkan mereka dengan tiupan angin kencang.
Surah ini menegaskan kebenaran Al-Quran, tauhid dan Hari Kebangkitan. Ia memberi amaran kepada kaum musyrikin Quraisy melalui kisah kehancuran kaum ‘Aad akibat keingkaran mereka, serta menekankan kewajipan berbuat baik kepada orang tua. Surah ini juga mengisahkan golongan jin yang mendengar dan beriman kepada Al-Quran.
Surah ini ditutup dengan perintah supaya bersabar sebagaimana sabarnya Rasul-rasul terdahulu.
Isi Kandungan Utama
Kebenaran Wahyu: Langit dan bumi diciptakan-Nya dengan tujuan yang benar, bukan sia-sia.
Amaran Kisah Kaum ‘Aad: Kisah Nabi Hud as memberi peringatan kepada kaumnya di Lembah Al-Ahqaf yang akhirnya dihancurkan dengan angin kencang kerana ingkar.
Tauhid & Larangan Syirik: Menegaskan bahawa berhala yang disembah selain Allah Swt tidak mampu mencipta apa-apa pun dan tidak mampu memberi pertolongan.
Adab & Doa (ayat 15): Perintah berbuat baik kepada ibu bapa dan doa khusus ketika umur mencapai umur 40 tahun untuk mensyukuri nikmat serta memohon kebaikan zuriat.
Kisah Jin Beriman: Sekumpulan jin mendengar bacaan Al-Quran dan menyebarkan dakwah kepada kaumnya.