
Surah Al-Haqqah
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 69 |
| Juzuk: | 29 |
| Jumlah Ayat: | 52 |
| Maksud Surah: | Hari Kiamat |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan Al-Haqqah yang bererti “Hari Kiamat” yang diambil daripada perkataan Al-Haqqah yang terdapat pada ayat pertama surah ini.
Surah ini berfokus pada ketegasan berlakunya Hari Kiamat, balasan amalan manusia di akhirat, kisah kebinasaan kaum terdahulu yang mendustakan rasul dan Hari Kiamat serta kesucian Al-Quran.
Isi Kandungan Utama
Peristiwa Hari Kiamat dan Kedahsyatannya
▪️ Pasti Berlaku: Allah Swt menegaskan kepastian Hari Kiamat melalui pengulangan nama surah ini (Al-Haqqah, ma Al-Haqqah).
▪️ Kejadian Alam: Apabila sangkakala ditiup sekali dan bumi serta gunung-ganang diangkat lalu dihancurkan berkecai sekaligus, langit pun terbelah.
Buku Catatan Amalan dan Balasan
▪️ Golongan Kanan: Sesiapa yang menerima buku catatan amal dari sebelah kanan akan berasa amat gembira, lalu bangga menunjukkan kitabnya kepada orang lain dan ditempatkan dalam syurga yang penuh nikmat.
▪️ Golongan Kiri: Sesiapa yang menerima buku catatan amal dari sebelah kiri akan sangat menyesal dan meratapi nasibnya, lalu dicampakkan ke dalam neraka kerana ketika di dunia mereka enggan beriman kepada Allah dan tidak menganjurkan memberi makan kepada orang miskin.
Peringatan Melalui Kisah Umat Terdahulu
▪️ Kaum Thamud: Dibinasakan dengan petir yang dahsyat lagi mengerikan.
▪️ Kaum ‘Aad: Dibinasakan melalui angin taufan yang sangat sejuk dan kencang selama 7 malam 8 hari berturut-turut.
▪️ Firaun, Kaum Nabi Lut as dan Kaum Nabi Nuh as: Dibinasakan kerana mengingkari para rasul yang diutuskan kepada mereka dan mendustakan Hari Kiamat.
Status Al-Quran dan Kenabian
▪️ Allah Swt menegaskan bahawa Al-Quran adalah benar-benar kalam-Nya yang disampaikan oleh utusan yang mulia (Malaikat Jibril) dan ia bukanlah puisi ciptaan penyair atau ramalan seorang tukang tilik.