
Surah Al-Jathiyah
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 45 |
| Juzuk: | 25 |
| Jumlah Ayat: | 37 |
| Maksud Surah: | Yang Berlutut |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan dengan Al-Jathiyah yang bererti yang berlutut diambil daripada perkataan Jathiyah yang terdapat pada ayat 28 dalam surah ini. Ayat tersebut menerangkan keadaan manusia pada Hari Kiamat, iaitu semua manusia dikumpulkan ke hadapan mahkamah Allah Yang Maha Tinggi yang memberikan keputusan terhadap perbuatan yang telah mereka lakukan di dunia. Pada hari itu semua manusia berlutut kerana dahsyatnya huru hara yang disaksikan mereka ketika menanti proses penghisaban.
Surah ini menekankan keesaan Allah Swt, kebenaran Al-Quran dan kepastian Hari Kebangkitan. Ia mengandungi bukti kekuasaan Allah di langit dan bumi, peringatan keras terhadap orang kafir serta menggambarkan keadaan umat manusia berlutut cemas menunggu pengadilan Allah semasa Hari Kiamat.
Surah ini ditutup dengan menegaskan bahawa segala keagungan dan pemerintahan langit dan bumi adalah hak mutlak Allah Swt semata-mata.
Isi Kandungan Utama
Tanda Kekuasaan Allah Swt: Allah Swt menegaskan tanda-tanda kebesaran-Nya dalam penciptaan langit, bumi, manusia dan rezeki yang diturunkan khusus bagi mereka yang yakin dan berakal.
Peringatan kepada yang Sombong: Kecaman terhadap golongan yang mendustakan ayat-ayat Allah, sombong dan menjadikan agama sebagai bahan ejekan. Mereka diancam dengan azab yang menghinakan.
Keadilan di Hari Kiamat: Gambaran huru-hara Hari Kiamat di mana setiap umat berlutut (jathiyah) untuk menerima kitab suratan amal. Orang kafir akan menanggung kerugian manakala orang beriman akan menerima rahmat.
Kepastian Balasan: Manusia dibalas berdasarkan amal perbuatan mereka di dunia. Tiada siapa dapat menyelamatkan mereka daripada azab Allah walaupun mereka bertuhankan selain Allah Swt.