Muqaddimah-Al-Hadid

Surah Al-Hadid

Surah Al-Hadid


Klasifikasi Surah:Madaniyyah
Surah:57
Juzuk:27
Jumlah Ayat:29
Maksud Surah:Besi

Intisari Surah

Surah ini dikenali sebagai Al-Hadid yang bererti besi diambil daripada perkataan Al-Hadid yang terdapat pada ayat ke-25 dalam surah ini.

Fokus utama surah ini adalah mendidik umat Islam agar memiliki kekuatan iman, tidak terpedaya dengan harta dunia dan bersedia berkorban (infak) di jalan Allah. Surah yang bermaksud besi ini melambangkan kekuatan fizikal, keadilan dan pembelaan agama.

Isi Kandungan Utama

Keagungan Allah Swt: Dimulakan dengan tasbih sekalian mahkluk, menekankan kekuasaan, ilmu-Nya yang melipui segala sesuatu dan konsep bahawa Allah Maha Awal, Akhir, Zahir dan Batin.

Tujuan Penciptaan Besi: Allah Swt menciptakan besi yang memiliki kekuatan hebat dan manfaat besar untuk menguji siapa yang benar-benar berjuang menegakkan agama-Nya.

Galakan Berinfak: Menggesa umat Islam supaya membelanjakan harta ke jalan Allah dan amaran keras terhadap sifat bakhil.

Hakikat Kehidupan Dunia: Menggambarkan kehidupan dunia hanyalah permainan, senda gurau dan kesenangan yang memperdaya manakala akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi.

Keadaan Orang Mukmin dan Munafik: Menggambarkan keadaan pada Hari Kiamat apabila orang beriman diberikan cahaya sementara orang munafik tertipu dan terhalang daripada rahmat-Nya.

Kenabian dan Takdir: Mengesahkan matlamat pengutusan para Rasul adalah sama (tauhid) dan setiap kejadian di bumi mahupun pada diri manusia telah tertulis dalam Lauh Mahfuz sebelum ia dijadikan.