
Surah As-Sajdah
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 32 |
| Juzuk: | 21 |
| Jumlah Ayat: | 30 |
| Maksud Surah: | Sujud |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan dengan As-Sajdah kerana pada ayat 15 surah ini terdapat keterangan tentang orang-orang yang beriman, apabila mereka diperingatkan dengan ayat-ayat Al-Quran, mereka tersungkur sujud dan bertasbih serta memuji Allah Swt.
Para ulama bersepakat mengatakan disunatkan sujud saat mendengar atau membaca ayat sajdah ini. Sujud tersebut disebut dengan sujud tilawah dan disunnahkan membaca bacaan sebagai berikut:
سَجَدَ وَجْهِيَ لِلَّذِيْ خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ فَتَبَارَكَ اللهُ اَحْسَنُ الْخَالِقِيْنَ
Maksudnya: “Wajahku bersujud kepada Dzat yang menciptakannya, yang membentuknya, dan yang memberi pendengaran dan penglihatan, Maha berkah Allah sebaik-baiknya pencipta.”
– (Hadis riwayat Ahmad, Tirmidzi, Abu Daud, Hakim dan An-Nasaie)
Adapun keutamaan surah As-Sajdah di antaranya adalah sebagai berikut:
Pertama
Surah yang dibaca Rasulullah saw di pagi hari Jumaat. Dari Abu Hurairah ra, beliau berkata,
“Nabi saw selalu membaca di pagi hari Jumaat Alif Lam Mim Tanzil (As-Sajdah), dan Hal ata alal insani (Al-Insan).”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Kedua
Surah yang dibaca Rasulullah saw sebelum tidur. Dari Jabir ra, beliau berkata,
“Nabi saw tidak akan tidur sampai beliau membaca Alif Lam Mim Tanzil (As-Sajdah) dan Tabarakalladzi biyadihil mulku (Al-Mulk).
(HR. Ahmad)
Isi Kandungan Utama
Keimanan & Tauhid: Menegaskan keesaan Allah Swt sebagai Pencipta langit, bumi dan apa yang di antara keduanya dalam enam masa, serta menolak dakwaan bahawa Al-Quran adalah rekaan manusia.
Kejadian Manusia: Menjelaskan asal-usul penciptaan manusia (Nabi Adam as) daripada tanah, kemudian keturunannya daripada air mani yang hina serta dikurniakan pendengaran, penglihatan dan hati (akal).
Hari Kebangkitan & Pembalasan: Membahaskan penolakan kaum kafir terhadap Hari Kebangkitan dan menegaskan kepastian Hari Kiamat beserta balasan adil—syurga bagi orang yang beriman dan azab neraka bagi yang ingkar.
Sifat Orang Beriman: Menggambarkan ketawadukan orang mukmin yang tidak sombong; apabila mendengar ayat-ayat Allah, mereka segera sujud, bertasbih, memuji Tuhan dan membiasakan diri bangun malam (qiyamullail) beribadah kepada Allah.
Sujud Tilawah: Terdapat sunat sujud tilawah pada ayat ke-15 apabila membacanya atau mendengarnya.