
Surah Saba’
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 34 |
| Juz: | 22 |
| Jumlah Ayat: | 54 |
| Maksud Surah: | Kaum Saba’ |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan Saba’ kerana dalam surah ini terdapat kisah kaum Saba’ pada ayat 15 sehingga 19.
Saba’ adalah nama suatu kabilah dari kabilah-kabilah Arab yang tinggal di daerah Yaman. Mereka mendirikan kerajaan yang terkenal dengan nama kerajaan Saba’. Ibu kotanya adalah Ma’rib. Mereka telah dapat membina suatu empangan besar yang bernama Empangan Ma’rib sehingga negeri Saba’ menjadi subur dan makmur. Kemewahan dan kemakmuran ini menyebabkan kaum Saba’ lupa dan ingkar kepada Allah Swt yang telah melimpahkan nikmat-Nya kepada mereka. Mereka juga mengingkari pula seruan para Rasul. Oleh itu mereka ditimpakan azab oleh Allah Swt berupa banjir besar kerana musnahnya empangan Ma’rib. Setelah empangan Ma’rib musnah negeri Saba’ menjadi kering dan kerajaan mereka hancur.
Pada awal surah ini, Allah Swt telah menegaskan bahawa segala puji tertentu adalah bagi-Nya kerana Dia-lah Yang Menciptakan dan Menguasai seluruh alam dan Dia-lah Yang Maha Melimpah Nikmat-Nya dan Rahmat-Nya kepada sekalian makhluk-Nya dalam alam kehidupan ini serta Yang Maha Melimpah Nikmat-Nya dan Rahmat-Nya kepada orang-orang yang beriman dan taat pada Hari Akhirat.
Setelah menolak fahaman kaum kafir musyrik yang menentang Nabi Muhammad saw dan yang tidak percayakan kedatangan Hari Kiamat serta setelah menerangkan keistimewaan-keistimewaan yang telah diberikan kepada Nabi-Nabi terdahulu. Maka Allah Taala memberi amaran kepada golongan musyrik itu, sekiranya mereka masih berdegil dengan kekufurannya, maka mereka akan dibinasakan sebagaimana penduduk negeri Saba’ yang telah dibinasakan kerana mereka kufur ingkar.
Kemudian Allah Swt menunjukkan firman-Nya kepada Nabi Muhammad saw dan menerangkan bahawa baginda adalah diutus kepada umat manusia seluruhnya sebagai Rasul pembawa berita gembira kepada orang-orang yang beriman dan pemberi peringatan kepada orang-orang yang ingkar.
Sebagai penutup di akhir surah ini, Allah Swt menggambarkan keadaan orang-orang yang bersalah pada Hari Kiamat. Mereka kelihatan cemas takut dan gerun gementar apabila menyaksikan azab sengsara yang disediakan oleh Allah untuk mereka. Semasa mereka diseret untuk menerima balasan dari Allah (atas perbuatan jahat mereka), mereka berkata “Kami sekarang beriman….” tetapi pengakuan mereka demikian tidak ada gunanya, kerana tempat beriman ialah di dunia, sedang (pada waktu itu) mereka telah terpisah dari dunia yang fana (tidak terus berkekalan) dan tidak mungkin mereka dapat kembali lagi.