
Surah At-Taubah
| Klasifikasi Surah: | Madaniyyah |
| Surah: | 9 |
| Juzuk: | 10 (1 – 93) 11 (94 – 129) |
| Jumlah Ayat: | 129 |
| Maksud Surah: | Pengampunan |
| Nama Lain: | Baraah bermaksud berlepas diri Al-Faadhihah yang bermaksud yang mendedahkan keburukan |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan At-Taubah yang bermaksud pengampunan berhubung perkataan itu yang disebut sebanyak 17 kali dalam surah ini. Dinamakan juga dengan Baraah yang bermaksud berlepas diri yang di sini maksudnya pernyataan pemutusan perhubungan, disebabkan kebanyakan pokok pembicaraannya tentang pernyataan pemutusan perjanjian damai dengan kaum musyrikin.
Surah ini merupakan satu-satunya surah dalam Al-Quran yang tidak dimulakan dengan Basmallah, disebabkan kandungannya yang tegas mengenai pemutusan hubungan perdamaian dengan kaum musyrikin yang mencabuli perjanjian, sedangkan Basmalah bernafaskan perdamaian dan cinta kasih Allah.
Isi Kandungan Utama
Pembatalan Perjanjian: Penjelasan tentang pemutusan hubungan damai dengan kaum musyrikin Mekah kerana mereka tidak jujur pada perjanjian.
Perang Tabuk: Kisah pengorbanan dan ujian bagi orang Islam yang keluar berjuang menentang musuh pada musim panas.
Golongan Munafik: Pendedahan sikap sebahagian penduduk Madinah yang enggan serta mencari pelbagai alasan untuk tidak menyertai jihad.
Pintu Taubat: Penekanan bahawa Allah Swt sentiasa menerima taubat hamba-Nya yang ikhlas kembali kepada-Nya.
Segmentasi Surah
Segmentasi Surah At-Taubah secara umumnya terbahagi kepada 4 bahagian utama berdasarkan tema perbincangan ayat-ayatnya, bermula daripada isu perjanjian dengan kaum musyrikin sehinggalah kepada ketegasan menghadapi golongan munafik dan tuntutan keimanan.
1. Pemutusan Perjanjian dan Ketegasan (Ayat 1 – 37)
Bahagian awal surah ini juga dikenali sebagai Bara’ah (berlepas diri). Fokus utamanya adalah tentang hubungan diplomatik dan ketenteraan dengan kaum kafir Mekah.
▪️ Ayat 1 – 15: Pengisytiharan pemutusan hubungan dan pembatalan perjanjian damai antara umat Islam dengan kaum musyrikin disebabkan pencabulan berulang kali oleh pihak musuh. Segmen ini memberikan tempoh bertenang selama 4 bulan untuk mereka bertaubat, keluar dari Mekah atau bersedia diperangi.
▪️ Ayat 16 – 28: Penegasan tentang keutamaan jihad di jalan Allah berbanding sekadar memakmurkan Masjidil Haram atau memberi minum kepada jemaah haji dalam keadaan syirik. Di penghujung segmen ini, kaum musyrikin dilarang sama sekali daripada mendekati Masjidil Haram.
▪️ Ayat 29 – 37: Garis panduan menghadapi Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) yang menyeleweng dan menetapkan peraturan tentang kewajipan membayar Jizyah. Bahagian ini juga menyentuh tentang larangan memanipulasi kalendar bulan-bulan haram.
2. Mobilisasi Perang Tabuk & Ujian Keimanan (Ayat 38 – 80)
Segmen ini memaparkan suasana dan cabaran umat Islam semasa diperintahkan oleh Rasulullah saw untuk keluar berperang menentang tentera Rom dalam Perang Tabuk.
▪️ Ayat 38 – 59: Teguran keras kepada sebahagian orang beriman yang berat hati atau lambat bertindak untuk keluar berjihad kerana faktor cuaca panas dan musim menuai. Di sinilah mula dibongkarkan helah dan alasan-alasan palsu golongan munafik untuk mengelak daripada berperang.
▪️ Ayat 60: Penjelasan khusus mengenai 8 asnaf yang berhak menerima agihan zakat, sebagai respons kepada sikap orang munafik yang mempertikaikan pembahagian harta oleh Nabi Muhammad saw.
▪️ Ayat 61 – 80: Pembongkaran secara menyeluruh terhadap rahsia, tipu daya dan ejekan golongan munafik terhadap Islam. Allah menegaskan bahawa permohonan ampun bagi mereka (walaupun sebanyak 70 kali) tidak akan diterima kerana kedegilan mereka dalam kekufuran.
3. Golongan yang Tertinggal & Nilai Taubat (Ayat 81 – 122)
Segmen ini membicarakan implikasi serta pengajaran pasca-Perang Tabuk, terutamanya status mereka yang tidak menyertai peperangan tersebut.
▪️ Ayat 81 – 99: Perbezaan nasib antara orang munafik yang gembira kerana dapat tinggal dan kaum mukmin luar bandar (Arab Badwi) yang benar-benar uzur atau ikhlas beriman.
▪️ Ayat 100 – 110: Pujian Allah kepada golongan Muhajirin dan Ansar yang terawal, kisah penerimaan taubat segelintir sahabat yang jujur mengakui kesilapan mereka (seperti dalam ayat 102), serta pendedahan konspirasi pembinaan Masjid Dhirar oleh kaum munafik untuk memecahbelahkan umat Islam.
▪️ Ayat 111 – 122: Pengesahan kontrak ‘jual beli’ jiwa dan harta orang beriman dengan syurga Allah (Ayat 111). Segmen ini turut membincangkan syarat-syarat taubat, kisah tiga orang sahabat yang ditangguhkan penerimaan taubat mereka (Kaab bin Malik dan rakan-rakannya), serta kewajipan sebahagian umat Islam untuk menuntut ilmu manakala sebahagian lagi pergi berjihad.
4. Kewajipan Berperang & Keagungan Rasulullah saw (Ayat 123 – 129)
Bahagian penutup surah ini merumuskan intipati perjuangan menegakkan tauhid.
▪️ Ayat 123 – 127: Perintah untuk terus bersikap tegas menentang kekufuran yang berada berhampiran serta gambaran bagaimana ayat Al-Quran menambah keimanan orang beriman tetapi menambah penyakit hati bagi golongan munafik.
▪️ Ayat 128 – 129: Dua ayat terakhir ini diturunkan sebagai penghormatan tertinggi kepada peribadi Nabi Muhammad saw. Ia menggambarkan betapa kasih, prihatin dan beratnya bebanan yang dirasai baginda terhadap keselamatan umatnya, serta arahan kepada baginda untuk sentiasa bertawakkal kepada Allah sekiranya manusia berpaling daripada kebenaran.
Ringkasan Surah
Surah ini diturunkan pada tahun 9 Hijrah di Madinah selepas setahun Pembukaan Mekah.
Dengan jatuhnya Mekah dan kalahnya kaum musyrikin di dalam Peperangan Hunain, pengaruh dan kekuatan musyrikin hampir-hampir tidak ada. Malah sebahagian besar kaum musyrikin telah bertaubat dan memeluk Islam. Hanya tinggal sebahagian kecil saja.
Pada tahun 9 Hijrah, Rasulullah saw telah mengutuskan Saidina Abu Bakar ra untuk memimpin kaum muslimin menunaikan haji. Setelah Saidina Abu Bakar ra berangkat ke Mekah, Rasulullah saw pula mengutuskan Saidina Ali ra menyusul Saidina Abu Bakar ra ke sana. Tugas Saidina Ali ra ialah untuk menghantarkan utusan peraturan yang telah turun dari langit mengenai hubungan dengan kaum musyrikin.
Ketika wuquf di Arafah ataupun sampainya waktu untuk bermalam di Mina, Saidina Abu Bakar ra meminta Saidina Ali ra membacakan utusan Rasulullah saw itu kepada hadirin. Saidina Ali ra telah membacakan surah At-Taubah bahawa semua perjanjian yang pernah dimeterai di antara Rasulullah saw dengan kaum musyrikin, mulai saat itu, sudah terbatal.
Ini adalah kerana sudah berkali-kali timbul kejadian, setelah perjanjian diikat, kaum musyrikin cuba memungkiri perjanjian tersebut. Sebagaimana yang berlaku setelah perjanjian Hudaibiyah dimeterai, iaitu mereka berjanji untuk tidak mengadakan peperangan selama 10 tahun, tetapi baru nak masuk dua tahun perjanjian tersebut, kaum musyrikin telah bertindak tidak jujur dengan memberi bantuan kepada kabilah yang ingin berperang dengan kabilah yang dilindungi oleh Rasulullah saw. Maka dengan sebab itu juga pada tahun ke 8 Hijrah Rasulullah saw telah bertindak dengan menyerang dan menakluk kota Mekah.
Begitu jugalah ketika berlakunya Peperangan Tabuk. Kaum munafikin telah menunjukkan sikap tidak jujur dan kaum musyrikin pula mula memungkiri janji mereka kerana melihat bahawa persiapan Peperangan Tabuk itu adalah sangat sukar. Dengan itu turunlah ayat 58 dari surah Al Anfal di mana Allah berfirman yang maksudnya:
“Dan jika kamu mengetahui pengkhianatan dari suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berkhianat.”
Dari bukti dan pengalaman-pengalaman yang telah banyak berlaku dapatlah disimpulkan bahawa kaum musyrikin, kalau masih dapat mencari dalih, mereka akan berusaha untuk melepaskan diri dari ikatan janji dengan cara yang tidak jujur.
Sekarang dengan kemenangan demi kemenangan Islam yang berturut-turut, sehingga keperibadian yang dipertahankan oleh kaum musyrikin itu telah tidak ada lagi, dan seluruh kekuasaan sudah berada di tangan Rasulullah saw, maka datanglah ketentuan yang menyatakan bahawa mulai saat itu segala perjanjian yang pernah diikat di antara kaum musyrikin dengan Rasulullah saw sudah terhapus semuanya.
Menurut As Syeikh Dr Muhammad Ali As Sobuni, surah ini mempunyai 2 tujuan utama selain daripada tujuan-tujuannya yang lain.
Tujuan pertama: Penerangan tentang undang-undang muamalat dengan orang-orang musyrikin dan ahli kitab.
▪️ Rasulullah saw sebelum ini mempunyai perjanjian-perjanjian dengan kaum musyrikin. Tetapi kaum musyrikin telah beberapa kali melanggar perjanjian dengan Rasulullah saw malah bekerjasama dengan kaum Yahudi daripada Bani Nadhir, Bani Quraizah, Bani Qainuqa’ untuk mengkhianati Rasulullah saw. Lalu turunlah surah ini untuk membatalkan perjanjian-perjanjian ini selepas beberapa kali Rasulullah saw dikhianati.
▪️ Surah ini turun pada tahun 9 Hijrah. Sebelum turunnya surah ini, orang-orang musyrikin dibenarkan melakukan ibadah mereka di Kaabah, bahkan sebahagian daripada mereka melakukan tawaf tanpa pakaian. Apabila turunnya surah ini, orang-orang musyrikin tidak lagi dibenarkan melakukan ibadah di Kaabah pada tahun-tahun yang seterusnya.
Tujuan kedua: Menyingkap keadaan umat Islam ketika Rasulullah saw memerintahkan mereka untuk memerangi Rom dalam Peperangan Tabuk.
▪️ Surah ini menceritakan tentang sebahagian daripada mereka yang tidak ikut berperang bersama dengan Rasulullah saw dalam peperangan Tabuk ketika diperintahkan kepada mereka.
▪️ Surah ini juga menceritakan tentang orang-orang munafik serta perancangan dan tipu daya jahat mereka. Sebahagian para sahabat memanggil surah ini dengan nama Surah Al-Faadhihah yang bermaksud “Surah Yang Mendedahkan Keburukan” kerana surah ini mendedahkan perancangan jahat orang-orang munafik untuk menghancurkan Islam.