Muqaddimah-At-Takwir

Surah At-Takwir

Surah At-Takwir


Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:81
Juzuk:30
Jumlah Ayat:29
Maksud Surah:Menggulung

Intisari Surah

Surah ini dinamakan At-Takwir yang bererti “Menggulung” adalah daripada perkataan dasar “kuwwirat – كُوِّرَتْ’’ yang terdapat pada ayat pertama surah ini. Perkataan ini menggambarkan keadaan matahari digulung dan hilang cahayanya pada Hari Kiamat.

Surah ini menceritakan tentang kedahsyatan Hari Kiamat dan kesahihan wahyu Al-Quran.

Isi Kandungan Utama

Kedahsyatan Hari Kiamat: Menceritakan tanda-tanda kiamat yang dahsyat. Matahari digulung, bintang berjatuhan, gunung-ganang dihancurkan, unta bunting ditinggalkan, binatang liar dikumpulkan dan lautan meluap atau dinyalakan.

Penyaksian Amal: Pada hari itu setiap jiwa akan tahu dan sedar tentang apa yang telah dibawa atau dikerjakannya semasa hidup di dunia.

Kesahihan Al-Quran: Menegaskan bahawa Al-Quran adalah kalam Allah Swt yang benar. Ia disampaikan oleh utusan yang mulia iaitu Malaikat Jibril as yang mempunyai kekuatan dan kedudukan tinggi di sisi Allah.

Pembelaan terhadap Nabi Muhammad saw: Menolak dakwaan kaum musyrikin Mekah bahawa Nabi Muhammad saw adalah gila. Surah ini mengesahkan baginda melihat Malaikat Jibril as dengan jelas di ufuk yang terang.

Peringatan kepada Manusia: Menutup surah dengan penegasan bahawa Al-Quran ialah peringatan dan petunjuk bagi sekalian alam, terutamanya bagi sesiapa yang mahu menempuh jalan yang lurus.