
Surah Ad-Dukhan
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 44 |
| Juzuk: | 25 |
| Jumlah Ayat: | 59 |
| Maksud Surah: | Asap Tebal |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan Ad-Dukhan yang bererti asap tebal diambil daripada perkataan Ad-Dukhan yang terdapat pada ayat 10 dalam surah ini.
Menurut riwayat Bukhari, orang-orang kafir Quraisy sering menghalang agama Islam dan menentang Nabi Muhammad saw. Oleh itu, baginda berdoa kepada Allah agar menurunkan azab sebagaimana yang telah diturunkan semasa zaman Nabi Yusuf as, iaitu musim kemarau yang panjang. Allah mengabulkan doa Nabi Muhammad saw sehingga orang-orang kafir itu memakan tulang dan bangkai kerana kelaparan. Mereka sentiasa mendongak ke langit berharap pertolongan Tuhan. Namun, mereka tidak melihat apa-apa kecuali kabus yang menutupi penglihatan mereka.
Akhirnya mereka datang kepada Nabi Muhammad saw sehingga baginda meminta Allah agar menurunkan hujan. Setelah Allah mengabulkan doa baginda dan hujan pun turun, mereka kembali kepada kekafiran seperti sebelumnya. Oleh kerana itu, Allah menyatakan bahawa kelak mereka akan diazab dengan azab yang pedih.
Isi Kandungan Utama
Penurunan Al-Quran: Menjelaskan bahawa Al-Quran diturunkan pada malam yang berkat (Lailatul Qadar pada bulan Ramadan) sebagai rahmat dan peringatan kepada manusia.
Amaran Azab: Mengandungi amaran Allah Swt kepada kaum kafir Quraisy yang menentang Nabi Muhammad saw dengan azab kesusahan, kemarau panjang dan kebuluran dahsyat sehinggakan pandangan mereka kelihatan kabur seperti berjerubu/berasap.
Kisah Nabi Musa as dan Firaun: Mengimbas kembali kisah ketegasan Nabi Musa as bersama Bani Israil serta pembinasaan Firaun dan kaumnya yang sombong menolak kebenaran.
Keesaan Allah Swt: Menegaskan kekuasaan Allah Swt yang Maha Esa, pencipta langit dan bumi, serta yang menghidupkan dan mematikan.
Hari Kiamat dan Balasan: Menggambarkan dahsyatnya Hari Pembalasan, azab neraka (seperti pokok Zaqqum dan air yang mendidih) bagi golongan yang derhaka, serta nikmat keamanan dan balasan syurga bagi orang yang bertakwa.
Ringkasan Surah
Pada awal surah ini, Allah Swt menegaskan bahawa al-Quran diturunkan pada “Malam Yang Berkat” (Lailatul Qadar) kerana pada malam tersebut dijelaskan (kepada malaikat) setiap perkara mengandungi hikmah serta tetap berlaku.
Setelah menerangkan tujuan diutuskan Rasul-Nya untuk menyampaikan dan diperintahkan supaya apa yang disampaikan itu diterima dengan sebaik-baiknya, maka Allah Swt menerangkan sifat-sifat-Nya Yang Maha Esa dan Yang Maha Kuasa, yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya; dan bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia; Dia-lah Yang Menghidupkan dan Mematikan, dan Dia-lah Tuhan sekalian makhluk.
Setelah itu, Allah Swt menyatakan bahawa hikmatnya Dia menciptakan seluruh alam ialah untuk menzahirkan perkara-perkara yang benar. Di antaranya ialah kepercayaan seseorang; kepatuhannya kepada hukum-hukum dan peraturan Allah yang menetapkan kebahagian seseorang itu; suratan amal yang ditulis oleh malaikat; dan perbezaan-perbezaan di antara orang yang berhak mendapat nikmat yang kekal dengan orang-orang yang berhak mendapat sebaliknya.