
Surah Az-Zariyat
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 51 |
| Juzuk: | 26 (Ayat 1-30) 27 (Ayat (31-60) |
| Jumlah Ayat: | 60 |
| Maksud Surah: | Angin yang Menerbangkan |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan sempena perkataan Az-Zariyat pada ayat pertama yang bererti “Angin Yang Menerbangkan”.
Fokus utama surah ini adalah menegakkan akidah, membuktikan kepastian Hari Kebangkitan serta menegakkan bahawa Allah Swt adalah satu-satunya Pemberi rezeki yang mutlak.
Isi Kandungan Utama
Kekuasaan dan Bukti Keesaan Allah Swt: Surah ini dibuka dengan sumpah Allah Swt menggunakan kejadian alam (seperti angin dan awan) untuk menegaskan bahawa janji Allah mengenai hari pembalasan adalah benar.
Jaminan Rezeki: Menyeru manusia agar tidak ragu terhadap rezeki kerana Allah Swt adalah Pencipta yang Maha Pemberi Rezeki. Matlamat utama manusia diciptakan adalah untuk beribadah kepada-Nya.
Kisah Para Rasul: Memaparkan pengajaran daripada kisah-kisah kaum terdahulu yang ingkar (seperti kaum Nabi Lut as, Firaun, kaum ‘Aad, kaum Thamud dan kaum Nabi Nuh as) sebagai amaran serta kisah kedatangan tetamu malaikat kepada Nabi Ibrahim as yang membawa khabar gembira tentang kelahiran Nabi Ishak as.
Balasan di Akhirat: Menggambarkan nikmat luar biasa yang Allah Swt sediakan untuk orang bertakwa serta ancaman azab bagi golongan yang mendustakan Rasulullah saw.