
Surah Al-Muddaththir
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 74 |
| Juzuk: | 29 |
| Jumlah Ayat: | 56 |
| Maksud Surah: | Orang yang Berselubung |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan Al-Muddaththir (Orang yang berselubung) kerana diambil daripada perkataan المُدَّثِّرُ yang terdapat pada ayat pertama surah ini. Orang yang berselubung yang dimaksudkan itu adalah panggilan Allah Swt kepada Nabi Muhammad saw untuk memulakan tugas berat menyampaikan dakwah kepada manusia.
Surah ini memuatkan perintah penting agar Nabi Muhammad saw bangkit memulakan dakwah, mengagungkan Allah Swt, menyucikan diri dan ancaman azab neraka Saqar kepada golongan yang menentang kebenaran.
Isi Kandungan Utama
Perintah Berdakwah: Seruan awal kepada Nabi Muhammad saw supaya bangun dan memberi amaran kepada manusia, mengagungkan Allah Swt, menyucikan diri dan menjauhi segala perbuatan kotor dan syirik.
Kisah Al-Walid bin Al-Mughirah: Peringatan tentang sikap penentang dakwah yang sombong dan mencemuh Al-Quran lalu Allah membalasnya dengan azab neraka.
Neraka Saqar: Penjelasan mengenai kedahsyatan neraka Saqar dan empat punca utama ahli neraka diseksa (meninggalkan solat, tidak mengeluarkan zakat, lalai bersama pendusta dan mendustakan Hari Pembalasan).
Tanggungjawab Manusia: Penegasan bahawa setiap jiwa terikat dengan amal perbuatannya sendiri di akhirat kelak.
Kepentingan Peringatan: Surah ini ditutup dengan penegasan bahawa Al-Quran adalah satu peringatan penting dan sesiapa yang mahu akan mengambil pengajaran daripadanya.