
Surah Al-Fath
| Klasifikasi Surah: | Madaniyyah |
| Surah: | 48 |
| Juzuk: | 26 |
| Ayat: | 29 |
| Maksud Surah: | Kemenangan |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan Al-Fath yang bererti Kemenangan diambil daripada perkataan Fat-han (فَتْحًا) yang terdapat pada ayat pertama surah ini.
Surah ini diturunkan selepas Perjanjian Hudaibiyah dan merujuk kemenangan nyata pembukaan kota Mekah serta menonjolkan kepentingan perjanjian Hudaibiyah sebagai titik tolak kekuatan umat Islam sambil berjanji untuk memberi ganjaran kepada mereka yang setia.
Nabi Muhammad saw sangat gembira dengan turunnya ayat pertama surat ini. Kegembiraan ini dinyatakan dalam sabda baginda yang diriwayatkan Sahih Bukhari; “Sesungguhnya telah diturunkan kepadaku satu surah, yang surah itu benar-benar lebih aku cintai dari seluruh apa yang disinari matahari.” Kegembiraan baginda adalah kerana ayat-ayatnya menerangkan tentang kemenangan yang akan diperoleh baginda dalam perjuangannya dan tentang kesempurnaan nikmat Allah kepadanya.
Isi Kandungan Utama
Kemenangan Nyata: Ayat 1-3 menekankan kemenangan besar yang diberikan Allah Swt (pembukaan kota Mekah).
Perjanjian Hudaibiyah: Membahaskan kepentingan perjanjian Hudaibiyah antara Nabi Muhammad saw dan kaum Quraisy yang dianggap sebagai kemenangan moral.
Sakinah dan Kemenangan: Allah Swt menurunkan ketenangan (sakinah) ke dalam hati orang mukmin untuk menambah keimanan mereka.
Bai’atur Ridhwan: Menegaskan ganjaran bagi mereka yang berbaiat setia kepada Rasulullah saw di bawah pohon.
Ketegasan terhadap Musuh: Memberi peringatan kepada orang munafik dan mereka yang tidak beriman.