
Surah An-Naml
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 27 |
| Juzuk: | 19 (1 – 55) 20 (56 – 93) |
| Jumlah Ayat: | 93 |
| Maksud Surah: | Semut |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan An-Naml yang bererti semut, kerana pada ayat 18 dan 19 terdapat perkataan An-Naml (semut), yang menyebutkan ratu semut mengarahkan anak-anak buahnya masuk ke sarang masing-masing supaya tidak terpijak oleh Nabi Sulaiman as dan tenteranya yang akan melalui tempat tersebut.
Menurut Ibnu Abbas ra, kronologi penurunan surah sangat berdekatan iaitu Surah Asy-Syu’ara’ terlebih dahulu, An-Naml dan kemudian Al-Qasas. Ketiga-tiga surah ini mempunyai satu persamaan iaitu memberi gambaran sirah perjuangan Nabi Musa as.
Isi Kandungan Utama
Kisah Nabi Musa as: Memaparkan permulaan kisah Nabi Musa as melihat api di gunung, menerima mukjizat (tongkat menjadi ular) dan diutuskan berdakwah kepada Firaun.
Kisah Nabi Sulaiman as & Ratu Balqis: Mengisahkan kebesaran kerajaan Nabi Sulaiman as yang menguasai jin, manusia dan burung, perkhabaran burung Hud-hud mengenai Ratu Balqis yang menyembah matahari di negeri Saba’, penolakan hadiah oleh Nabi Sulaiman as, serta pemindahan singgahsana Ratu Balqis dalam sekelip mata yang akhirnya membawa kepada keislaman ratu tersebut.
Kisah Nabi-Nabi Lain: Menyebut kisah kesudahan kaum yang mendustakan rasul seperti kaum Nabi Saleh as dan Nabi Lut as.
Bukti Kekuasaan Allah Swt & Hari Kiamat: Menegaskan keesaan Allah Swt melalui tanda-tanda alam semesta, kebatilan syirik serta amaran tentang Hari Kebangkitan dan ditiupnya sangkakala.
Kaitan dengan surah sebelumnya (Surah Asy-Syu’ara’):
Surah ini penyambung Asy-Syu’ara’ melalui kisah-kisah para anbiya’ untuk memotivasikan Rasulullah saw.
Tema surah:
Turun ketika Rasulullah saw sedih kerana Quraisy terus-menerus menolak dakwah Rasulullah saw, mereka menuduh baginda tidak membawa sebarang mukjizat dan pengikut baginda lemah dan bodoh.
Segmentasi Surah

Rujukan dari blog Kita Hamba: https://kitahamba.wordpress.com/category/27-an-naml/