
Surah Quraisy
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 106 |
| Juzuk: | 30 |
| Jumlah Ayat: | 4 |
| Maksud Surah: | Kaum Quraisy |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan Quraisy “Kaum Quraisy” kerana diambil daripada perkataan قُرَيش pada ayat pertama surah ini.
Surah ini menerangkan kehidupan orang Quraisy dan kewajipan yang seharusnya mereka penuhi.
Isi Kandungan Utama
Perjalanan Perdagangan: Menceritakan kebiasaan kaum Quraisy yang aman tenteram melakukan perjalanan perdagangan pada musim sejuk (ke Yaman) dan musim panas (ke Syam).
Nikmat Rezeki dan Keselamatan: Mengingatkan bagaimana Allah Swt mengurniakan rezeki makanan yang cukup dan keamanan di tanah suci Mekah walaupun kawasan itu tandus.
Perintah Beribadah: Menyeru kaum Quraisy agar bersyukur dan menyembah Allah Swt yang telah memelihara Kaabah dan menyelamatkan mereka daripada kelaparan dan ketakutan.
Ayat 1
لِإِيلَـٰفِ قُرَيْشٍ
Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy.
Ayat 2
إِۦلَـٰفِهِمْ رِحْلَةَ ٱلشِّتَآءِ وَٱلصَّيْفِ
Iaitu kebiasaan mereka berpergian pada musim sejuk dan musim panas.
Dalam ayat 1-2 ini, Allah Swt menjelaskan bahawa telah menjadi kebiasaan suku Quraisy sering mengadakan dua perjalanan utama iaitu berdagang mencari rezeki ke negeri Syam pada musim panas dan ke Yaman pada musim sejuk.
Hasil perdagangan akan dibawa balik ke negeri mereka yang tidak ada tumbuh-tumbuhan dan sumber ekonomi kerana pada masa itu minyak belum dijumpai lagi.
Dalam perjalanan itu mereka mendapat jaminan keselamatan penguasa negeri-negeri yang dilalui daripada diganggu oleh perompak. Ini adalah satu nikmat yang sangat besar daripada Allah Swt kepada mereka.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan apakah mereka tidak perhatikan, bahawa Kami telah menjadikan (negeri mereka) tanah suci yang aman, padahal manusia di sekeliling mereka saling merompak………….”
Al-‘Ankabut 29:67
Ayat 3
فَلْيَعْبُدُوا۟ رَبَّ هَـٰذَا ٱلْبَيْتِ
Maka hendaklah mereka menyembah Rabb (Pemilik) rumah ini (Kaabah).
Oleh itu, Allah Swt menyeru orang-orang Quraisy ini agar bersyukur terhadap nikmat yang telah dikurniakan kepada mereka dan mengesakan-Nya dengan beribadah semata-mata kepada-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Aku (Muhammad) hanya diperintahkan untuk menyembah Rabb negeri ini (Mekah) yang telah disucikan dan segala sesuatu adalah milik-Nya, dan aku diperintahkan agar aku masuk dalam kalangan orang-orang yang berserah diri.”
An-Naml 27:91
Ayat 4
ٱلَّذِىٓ أَطْعَمَهُم مِّن جُوعٍ وَءَامَنَهُم مِّنْ خَوْفٍۭ
Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka daripada ketakutan.
Bahkan Allah-lah yang telah memberi mereka makan sehingga terhindar daripada kelaparan. Dia juga memberikan kedamaian dan ketenangan kepada mereka agar mereka berasa aman daripada ketakutan.
Allah Swt berfirman dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan ingatlah ketika Ibrahim berdoa, ‘Wahai Rabb kami, jadikanlah (negeri Mekah) ini negeri yang aman dan berilah rezeki berupa buah-buahan kepada penduduknya……….’”
Al-Baqarah 2:126
“Wahai Rabb kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tumbuh-tumbuhan dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, wahai Rabb kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki daripada buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.”
Ibrahim 14:37
“……….(Allah berfirman), ‘Bukankah Kami telah meneguhkan kedudukan mereka di tanah haram (tanah suci) yang aman, yang didatangkan ke tempat itu buah-buahan daripada segala jenis (tumbuh-tumbuhan) sebagai rezeki (bagimu) dari sisi Kami?……….”
Al-Qasas 28:57
Oleh itu, mereka diingatkan agar mengesakan Allah Swt dengan beribadah kepada-Nya tanpa menyekutukan-Nya. Barangsiapa yang memenuhi semua kewajipan ini, maka Dia akan mengurniakan kedamaian di dunia dan di akhirat untuk dirinya, dan barangsiapa yang menderhakai-Nya, maka Dia akan mencabut keamanan dan kedamaian itu daripadanya.