
Surah An-Nas
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 114 |
| Juzuk: | 30 |
| Jumlah Ayat: | 6 |
| Maksud Surah: | Manusia |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan An-Nas kerana diambil daripada perkataan ٱلنَّاسِ yang berulang kali disebut dalam surah ini yang bererti manusia.
Surah ini mengajar manusia agar sentiasa memohon perlindungan hanya kepada Allah Swt daripada segala bentuk kejahatan, bisikan halus dan hasutan syaitan serta manusia.
Isi Kandungan Utama
Pengakuan Sifat Allah Swt: Menegaskan bahawa Allah Swt adalah Pemelihara (Rabb), Pemilik/Penguasa (Malik) dan Tuhan (Ilah) sekalian manusia.
Tempat Perlindungan Sebenar: Tempat berlindung yang paling agung daripada bahaya hanyalah kepada Allah, bukan kepada mahkluk.
Musuh yang Meniupkan Was-was: Waspada terhadap bisikan jahat yang membisikkan keraguan dan kejahatan di dalam hati manusia.
Sumber Godaan: Godaan dan hasutan jahat boleh datang daripada dua golongan iaitu bangsa jin dan manusia.
Ayat 1
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ
Katakanlah, “Aku berlindung kepada Rabb (yang memelihara dan menguasai) manusia.
Ayat 2
مَلِكِ ٱلنَّاسِ
Raja (yang menguasai) manusia.
Ayat 3
إِلَـٰهِ ٱلنَّاسِ
Sembahan manusia.
Ayat 1-3 ini mengandungi tiga sifat daripada sifat-sifat Allah Swt, iaitu Allah sebagai Rabb (sifat Rububiyah), Allah sebagai Raja (Al-Malik) dan Allah sebagai sembahan yang berhak diibadahi dengan benar (sifat Ilahiyah/Uluhiyyah). Dengan kata lain, Dia-lah Rabb, Raja dan Sembahan bagi segala sesuatu. Segala sesuatu adalah ciptaan-Nya, milik-Nya dan hamba-Nya.
Ayat 4
مِن شَرِّ ٱلْوَسْوَاسِ ٱلْخَنَّاسِ
Daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang bersembunyi (timbul tenggelam),
Ayat 5
ٱلَّذِى يُوَسْوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ
Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia,
Setelah menjelaskan ketiga-tiga sifat yang dimiliki oleh Rabb sekalian manusia dalam ayat 1-3 di atas, dalam ayat-ayat ini pula Allah Ta’ala memerintahkan hamba-hamba-Nya agar memohon perlindungan kepada Pemilik ketiga-tiga sifat tersebut.
Mereka diperintahkan agar memohon perlindungan daripada kejahatan bisikan syaitan yang tersembunyi iaitu syaitan yang selalu mendampingi manusia. Ini kerana setiap orang mempunyai qarin (pendamping)nya daripada kalangan syaitan yang ditugaskan untuk mengganggunya.
Qarin inilah yang menghiasi perbuatan-perbuatan keji (fahisyah) hingga kelihatan baik oleh seseorang. Syaitan itu juga tidak mengenal lelah mencurahkan segala kemampuannya untuk menyesatkannya melalui bisikan dan godaannya. Orang yang terhindar daripada bisikannya hanyalah orang yang dipelihara oleh Allah Swt.
Dalam Sahih Muslim disebutkan bahawa Rasulullah saw telah bersabda:
“Tidak ada seorang pun daripada kamu melainkan telah diutus kepadanya pendampingnya (qarin daripada kalangan syaitan).” Para sahabat bertanya, “Termasuk engkau, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Ya, hanya sahaja Allah membantuku dalam menghadapinya sehingga qarin tersebut masuk Islam, maka ia hanya memerintahkan kepadaku kebajikan.”
(HR. Muslim)
Apabila manusia lalai dan lupa, maka syaitan akan membisikkan di hatinya kejahatan dan bila manusia mengingati Allah Swt maka ia bersembunyi.
Anas ra memberitahu tentang kunjungan Ummul Mukminin Safiyyah ra kepada Rasulullah saw yang sedang iktikaf. Kemudian baginda keluar bersama dengannya pada malam hari untuk menghantarnya pulang ke rumah. Lalu baginda bertemu dengan dua orang daripada kaum Ansar. Ketika mereka melihat baginda dan Safiyyah, mereka bergegas pergi. Lalu baginda bersabda:
“Tunggu dahulu (jangan berganjak). Sesungguhnya dia ini ialah Safiyyah binti Huyay.” Lalu mereka berkata, “Maha Suci Allah, wahai Rasulullah.” Baginda lalu bersabda, “Sesungguhnya syaitan itu mengalir dalam tubuh manusia seperti aliran darah. Dan sesungguhnya aku khuatir ia membisikkan sesuatu di hati kalian.”
(HR. Bukhari dan Muslim)
Ayat 6
مِنَ ٱلْجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ
Daripada (golongan) jin dan manusia.”
Sesungguhnya yang membisikkan ke dalam dada manusia bukan hanya syaitan daripada kalangan jin, tetapi daripada kalangan manusia juga. Ini kerana syaitan itu menggunakan manusia untuk menghasut manusia yang lain agar berbuat maksiat.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan demikianlah untuk setiap nabi itu musuh, Kami jadikan musuh (iaitu) syaitan-syaitan manusia dan jin, yang sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan yang indah sebagai penipuan……….”
Al-An’am 6:112
“Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu daripada kejahatan seluruh makhluk yang memiliki sifat jahat, daripada kejahatan jin dan manusia. Ya Allah, lindungilah kami kerana tiada yang mampu melindungi kami kecuali hanya Engkau wahai Rabb kami. Hanya kepada-Mu-lah kami memuji dan bersyukur. Allahumma aamiin!”