Surah Al-Kafirun

Surah Al-Kafirun

Surah Al-Kafirun


Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:109
Juzuk:30
Jumlah Ayat:6
Maksud Surah:Orang-orang Kafir

Intisari Surah

Surah ini dinamakan Al-Kafirun, “Orang-orang Kafir” kerana diambil daripada perkataan الكافِرُون yang terdapat pada ayat pertama surah ini.

Surah ini menegaskan bahawa tiada kompromi atau percampuran antara ajaran Islam dengan kepercayaan syirik.

Isi Kandungan Utama

Penolakan Kompromi Akidah: Menolak sebarang usaha atau tawaran daripada kaum musyrik Quraisy untuk mencampur-adukkan cara penyembahan atau bertukar-tukar sembahan antara Islam dan ajaran kafir.

Perbezaan Nyata: Menegaskan bahawa Tuhan yang disembah oleh umat Islam ialah Allah Swt Yang Maha Esa, manakala orang kafir menyembah selain daripada Allah.

Prinsip “Bagi Kamu Agama Kamu”: Ayat terakhir bermaksud pengisytiharan pemisahan mutlak dalam urusan akidah di mana umat Islam tetap teguh dalam Islam dan tidak mengiktiraf kesesatan.


Ayat 1

قُلْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْكَـٰفِرُونَ

Katakanlah (Muhammad), “Wahai orang-orang kafir!

Surah yang mulia ini diturunkan sebagai bantahan terhadap cadangan sebahagian orang-orang musyrik iaitu Al-Walid bin Al-Mughirah, Al-Ash bin Wail As-Sahmi, Al-Aswad bin Al-Mutalib dan Umayyah bin Khalaf agar Rasulullah saw menyembah berhala bersama mereka secara bergilir-gilir selama setahun dan mereka pun menyembah Allah selama setahun. Tujuannya adalah untuk mengakhiri permusuhan antara mereka dan ini hanyalah menurut sangkaan dan keinginan nafsu mereka semata-mata. Baginda tidak menjawab ajakan mereka sehinggalah turun surah ini yang memerintahkan baginda agar berlepas diri daripada agama mereka secara keseluruhan.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“……….Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan-sangkaan, dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka dan sesungguhnya telah datang petunjuk kepada mereka daripada Rabb mereka.”

An-Najm 53:23

Ayat 2

لَآ أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ

Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.

Ayat 3

وَلَآ أَنتُمْ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعْبُدُ

Dan kamu bukan penyembah apa yang aku sembah.

Lalu Rasulullah saw diperintahkan mengatakan bahawa baginda tidak akan sekali-kali menyembah apa yang mereka sembah iaitu berhala-berhala dan sekutu-sekutu yang mereka ada-adakan. Mereka juga bukanlah penyembah Allah Yang Maha Esa.

Ayat 4

وَلَآ أَنَا۠ عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ

Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah.

Ayat 5

وَلَآ أَنتُمْ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعْبُدُ

Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah apa yang aku sembah.

Pengulangan ayat ini adalah sebagai penegasan kepada orang-orang musyrik agar mereka berputus asa menghadapi Rasulullah saw kerana baginda tidak akan sekali-kali menyembah Allah Swt mengikut cara yang mereka kehendaki.

Rasulullah saw juga diperintahkan supaya mengatakan bahawa baginda hanya menyembah Allah Swt mengikut cara yang dicintai dan diredhai-Nya.

Ayat 6

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِىَ دِينِ

Untukmu agamamu dan untukku agamaku.”

Ayat ini merupakan ancaman dan bukan keredhaan terhadap agama-agama lain. Ayat ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah saw tidak lagi mengharapkan keimanan orang-orang kafir sedangkan sebelum ini baginda terlalu mengharapkan agar mereka masuk Islam.

Ada pendapat yang mengatakan ayat ini diturunkan sebelum Nabi Muhammad saw diperintahkan untuk memerangi mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan jika mereka (tetap) mendustakanmu (Muhammad) maka katakanlah, ‘Bagiku amalku dan bagimu amalmu. Kamu tidak bertanggungjawab terhadap apa yang aku lakukan dan aku pun tidak bertanggungjawab terhadap apa yang kamu lakukan.’”

Yunus 10:41

“……….Bagi kami amalan kami, bagi kamu amalan kamu……….”

Al-Baqarah 2:139