Surah Al-Ikhlas

Surah Al-Ikhlas

Surah Al-Ikhlas

Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:112
Juzuk:30
Jumlah Ayat:4
Maksud Surah:Memurnikan Keesaan Allah
Nama Lain:Al-Tauhid

Intisari Surah

Surah ini dinamakan Al-Ikhlas kerana pembahasan utama dalam surah ini adalah berkaitan dengan tauhid. Surah ini menegaskan konsep keesaan mutlak Allah Swt dan penyucian akidah daripada sebarang unsur syirik.

Ringkasan Surah

Surah ini memberi penegasan tentang ketauhidan yang bermaksud Allah itu satu-satunya Tuhan Yang Maha Esa. Surah ini menegaskan bahawa Allah tidak bergantung kepada apa-apa atau sesiapa pun, dan juga tidak beranak atau beranakkan sesiapa. Allah adalah satu entiti yang unik dan tiada siapa yangh menyerupai-Nya. Ini menafikan sebarang bentuk syirik atau pengaitan Allah dengan makhluk.


Ayat 1

قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ

Katakanlah (Muhammad), “Dia-lah Allah, Yang Maha Esa.

Allah Swt memulai surah ini dengan menegaskan bahawa Dia-lah Allah Yang Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya dalam sifat ketuhanan-Nya.

‘Ikrimah mengatakan bahawa ketika orang-orang Yahudi berkata, “Kami menyembah ‘Uzair anak Allah,” dan orang-orang Nasrani mengatakan, “Kami menyembah Al-Masih (‘Isa anak Maryam) anak Allah,” dan orang-orang Majusi mengatakan, “Kami menyembah matahari dan bulan,” dan orang-orang musyrik mengatakan, “Kami menyembah berhala,” maka Allah Swt menurunkan ayat 1 ini. Ini bermaksud, Dia-lah Allah Yang Maha Esa, tidak ada yang menyamai-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan tidak ada yang setara dengan-Nya. Lafaz ini tidak boleh diterapkan kepada seseorang pun kecuali kepada Allah. Ini kerana Dia Maha Sempurna dalam segala sifat dan perbuatan-Nya.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Ubay bin Ka’ab ra bahawa orang-orang musyrik berkata kepada Rasulullah saw, “Wahai Muhammad! Katakan pada kami nasab (salasilah keturunan) Rabb-mu!” Lalu Allah menurunkan ayat 1-4 surah Al-Ikhlas ini.

Ayat 2

ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ

Allah adalah Rabb tempat bergantung kepada-Nya segala sesuatu.

‘Ikrimah telah meriwayatkan daripada lbnu ‘Abbas ra, bahawa maksud ayat ini ialah seluruh makhluk bergantung kepada Allah Swt dalam semua keperluan dan permasalahan mereka.

‘Ali bin Abi Talhah telah meriwayatkan daripada lbnu ‘Abbas ra, bahawa maksud ayat ini ialah, “Dia-lah Yang Maha Sempurna dalam Kepemimpinan-Nya, Yang Maha Mulia Yang Maha Sempurna dalam Kemuliaan-Nya, Maha Agung Yang Maha Sempurna dalam Keagungan-Nya, Maha Penyantun Yang Maha Sempurna dalam sifat Penyantun-Nya, Maha Mengetahui Yang Maha Sempurna dalam Pengetahuan-Nya dan Maha Bijaksana Yang Maha Sempurna dalam Kebijaksanaan-Nya. Dia-lah Allah Yang Maha Sempurna dalam segala Kemuliaan. Hanya Dia-lah Allah Swt yang berhak memiliki sifat-sifat ini yang tidak layak bagi selain-Nya. Tidak ada yang dapat menyamai-Nya dan tidak ada yang setara dengan-Nya, Maha Suci Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.”

Ayat 3

لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ

Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan.

Ayat 4

وَلَمْ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدٌۢ

Dan tidak ada sesuatu pun yang setara dengan-Nya.”

Allah Swt tidak beranak, tidak diperanakkan dan tidak mempunyai isteri. Dia-lah Pemilik dan Pencipta segala sesuatu. Oleh itu, bagaimana mungkin makhluk-Nya menyamai atau setara dengan-Nya. Maha Suci Allah daripada hal tersebut.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dia (Allah) Pencipta langit dan bumi. Bagaimana (mungkin) Dia mempunyai anak padahal Dia tidak mempunyai isteri. Dia menciptakan segala sesuatu, dan Dia mengetahui segala  sesuatu.”

Al-An’am 6:101

“Dan mereka berkata, “Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak.” Sesungguhnya, kamu telah membawa sesuatu yang sangat mungkar. Hampir sahaja langit pecah, dan bumi terbelah, dan gunung-ganang runtuh kerana ucapan itu. Kerana mereka menganggap Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak. Dan tidak mungkin bagi Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak. Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi, melainkan akan datang kepada Allah Yang Maha Pemurah sebagai seorang hamba. Dia (Allah) benar-benar telah menentukan jumlah mereka dan menghitung mereka dengan hitungan yang teliti. Dan setiap orang daripada mereka akan datang kepada Allah bersendirian pada Hari Kiamat.”

Maryam 19:88-95

“Dan mereka berkata, “Rabb Yang Maha Pemurah telah menjadikan (malaikat) sebagai anak.” Maha Suci Dia. Sebenarnya mereka (para malaikat itu) adalah hamba-hamba yang dimuliakan. Mereka tidak berkata-kata mendahului-Nya dan mereka melakukan segala perintah-perintah-Nya.”

Al-Anbiya’ 21:26-27

“Dan mereka mengadakan (hubungan) nasab (keluarga) antara Dia (Allah) dan jin. Sesungguhnya, jin telah mengetahui bahawa mereka pasti akan diheret (ke neraka). Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan.”

As-Saffat 37:158-159

Dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan, “Tidak ada seorang pun yang lebih sabar daripada Allah Swt terhadap penghinaan yang didengar-Nya. Mereka telah mengadakan bagi-Nya anak, padahal Dia-lah yang memberi mereka rezeki dan kesihatan.”

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:

“Allah Swt berfirman, ‘Anak keturunan Adam telah mendustakan Aku, padahal tidak layak baginya melakukan seperti itu. Adapun pendustaannya terhadap-Ku ialah ucapannya, ‘Dia tidak akan menghidupkan aku kembali sebagaimana Dia menciptakanku pertama kali.’ Padahal menciptakannya pada kali pertama itu tidaklah lebih mudah bagi-Ku daripada menghidupkannya kembali. Dan adapun caci makinya kepada-Ku ialah ucapannya, ‘Allah mempunyai anak.’ Padahal Aku Maha Esa, tempat meminta segala sesuatu, Aku tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tidak ada sesuatu yang setara dengan-Ku.”

(HR. Al-Bukhari)

Keutamaan surah ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis daripada Abu Sa’id Al-Khudri ra, Rasulullah saw bersabda kepada para sahabat:

“Apakah salah seorang di antara kalian tidak mampu membaca sepertiga Al-Quran pada satu malam?” Maka hal itu mereka anggap berat sehingga ada yang berkata, “Siapakah antara kami yang mampu melakukannya wahai Rasulullah?” Maka baginda bersabda: “Allahul Wahidus Samad (Surah Al-Ikhlas) itu sepertiga Al-Quran.”

(HR. Al-Bukhari)

Daripada ‘Aisyah ra bahawa Rasulullah saw mengutus seseorang dalam suatu perang. Ketika itu dia mengimamkan solat teman-temannya dan menutup solatnya dengan membaca surah Al-Ikhlas. Ketika mereka pulang, mereka memberitahu hal ini kepada baginda. Baginda bersabda, “Tanyakan kepadanya mengapa beliau membacanya.” Maka mereka bertanya kepadanya. Dia menjawab, “Kerana di dalam surah Al-Ikhlas ada sifat Ar-Rahman dan saya suka  membacanya.” Maka Rasulullah saw bersabda, “Khabarkanlah kepadanya bahawa Allah mencintainya.”

(HR Muslim)