Surah Al-Falaq

Surah Al-Falaq

Surah Al-Falaq


Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:113
Juzuk:30
Jumlah Ayat:5
Maksud Surah:Waktu Subuh

Intisari Surah

Surah ini dinamakan Al-Falaq kerana diambil daripada perkataan ٱلْفَلَق, “Waktu Subuh” yang terdapat pada ayat pertama surah ini.

Surah ini mengajar manusia supaya sentiasa bergantung kepada Allah Swt sebagai pelindung daripada pelbagai ancaman bahaya.

Isi Kandungan Utama

4 Jenis Kejahatan yang Dimohon Perlindungan:-

Kejahatan Mahkluk: Perlindungan daripada kejahatan mahkluk yang diciptakan-Nya seperti manusia, haiwan atau jin.

Kejahatan Malam: Perlindungan daripada bahaya yang datang pada waktu malam ketika kegelapan menyelubungi.

Kejahatan Sihir: Perlindungan daripada amalan sihir, dakyah atau tipu helah yang mengancam.

Kejahatan Orang yang Dengki: Perlindungan daripada sifat hasad dengki seseorang apabila mereka mengetahui nikmat yang kita perolehi.


Ayat 1

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلْفَلَقِ

Katakanlah (Muhammad), “Aku berlindung kepada Rabb yang menguasai subuh (fajar).

Kebanyakan para ahli tafsir mengatakan maksud ٱلْفَلَق dalam ayat ini ialah waktu Subuh.

Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw memohon perlindungan dan pertolongan kepada-Nya kerana Dia-lah Rabb Penguasa waktu Subuh.

Ayat 2

مِن شَرِّ مَا خَلَقَ

Daripada kejahatan (makhluk yang) Dia ciptakan.

Permohonan tersebut adalah permohonan agar dilindungi daripada kejahatan seluruh makhluk-Nya termasuk Iblis dan keturunannya serta Neraka Jahannam.

Ayat 3

وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ

Dan daripada kejahatan malam apabila telah gelap gelita.

Imam Bukhari dan Ibnu Abu Najih meriwayatkan daripada Mujahid bahawa maksud ayat ini ialah waktu malam apabila telah gelap gelita dengan terbenamnya matahari. Qatadah mentafsirkannya sebagai “malam apabila ia datang dengan kegelapannya.”

Kejahatan malam juga merangkumi perbuatan jahat yang dilakukan oleh manusia pada waktu malam. Kemungkinan juga bahaya yang datang daripada binatang-binatang berbisa seperti ular dan binatang buas yang keluar pada waktu itu.

Daripada Al-Haris bin Abu Salamah, dia berkata, ‘Aisyah ra telah mengatakan bahawa Rasulullah saw memegang tangannya, lalu menunjukkan bulan yang terbit bersinar kepadanya, kemudian baginda bersabda:

“Mohonlah perlindungan kepada Allah daripada kejahatan الْغَاسِقِ (bulan) ini apabila ia terbenam.”

(HR. Ahmad, At-Tarmizi dan An-Nasa’i)

Ayat 4

وَمِن شَرِّ ٱلنَّفَّـٰثَـٰتِ فِى ٱلْعُقَدِ

Dan daripada kejahatan wanita-wanita (tukang sihir) yang meniup simpulan-simpulan (talinya).

Mujahid, ‘Ikrimah, Al-Hasan, Qatadah dan Adh-Dhahhak telah mengatakan maksud ayat ini ialah kejahatan para penyihir. Mujahid mengatakan wanita-wanita penyihir itu membaca mantera-mantera (jampi-jampi) pada simpulan-simpulan tali.

Terdapat riwayat daripada ‘Aisyah ra daripada Imam Bukhari yang menceritakan bahawa Nabi saw pernah terkena sihir yang dilakukan oleh seorang munafik sekutu orang-orang Yahudi. Malaikat menyampaikan berita ini kepada baginda bahawa baginda disihir dengan menggunakan rambut baginda yang diletakkan di dasar perigi Dzarwan. ‘Aisyah menyatakan kemudiannya baginda mendatangi perigi tersebut dan mengeluarkannya.

Dalam sebuah hadis lain disebutkan bahawa Jibril datang kepada Rasulullah saw, lalu bertanya, “Apakah engkau sedang sakit wahai Muhammad?” Baginda menjawab, “Ya.” Lalu Jibril berkata, “Dengan menyebut nama Allah aku meruqyahmu daripada segala penyakit yang mengganggumu dan daripada segala kejahatan orang-orang yang dengki dan kejahatan pandangan mata (‘ain). Semoga Allah memberimu kesembuhan.”

(HR. Muslim)

Ayat 5

وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ

Dan daripada kejahatan orang yang dengki apabila dia dengki.”

Maksud dengki ialah menginginkan hilangnya nikmat yang sedang dirasakan oleh seseorang sama ada secara sengaja ataupun tidak yang merupakan perbuatan tercela. Oleh itu, kita disuruh supaya sentiasa memohon perlindungan kepada Allah, Rabb Pemilik waktu subuh daripada kejahatan orang yang menampakkan kedengkiannya dan menginginkan keburukan menimpa kita.

Surah ini menjelaskan bahawa sesungguhnya hanya Allah Swt sahaja yang dapat menghilangkan kegelapan daripada muka bumi ini. Dia Maha Berkuasa untuk menolak kegelapan kejahatan dan bahaya daripada hamba-Nya.

Surah ini juga adalah salah satu daripada dua surah yang dikenali sebagai Mu’awwizatain. Surah Al-Falaq dan surah An-Nas merupakan dua surah yang mengandungi permohonan perlindungan (Al-Mu’awwizatain).

Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir, dia berkata, Rasulullah saw bersabda:

“Tidakkah kamu memperhatikan ayat-ayat yang diturunkan pada malam ini yang sebelum ini tidak pernah sama sekali tidak ada ayat seperti ini iaitu, ‘Qul A’uuzu bi rabbil falaq dan Qul A’uudzu bi Rabbinnaas.’”

(HR. Muslim, Ahmad, At-Tarmizi dan An-Nasa’i)

Daripada‘Uqbah bin ‘Amir, dia berkata, “Ketika saya mengikuti Rasulullah saw dalam satu perjalanan di Naqab, tiba-tiba baginda bersabda kepadaku:

“Wahai ‘Uqbah! Tidakkah kamu menaiki kenderaan?’ Uqbah berkata, “Aku khuatir jika penolakanku adalah termasuk maksiat.” Lalu Rasulullah saw turun, dan saya menaiki kenderaan beberapa saat, kemudian baginda naik kembali, lalu bersabda:

“Wahai ‘Uqbah, mahukah kamu aku ajarkan dua surah yang lebih baik daripada dua surah yang biasa dibaca oleh manusia?” Aku berkata, “Mahu, wahai Rasulullah.” Lalu baginda membacakan kepadaku qul a’uzu birabbil falaq (قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلۡفَلَقِ) dan qul a’uzu birabbin nas (قُل أَعوذُ بِرَبِّ النّاسِ). Setelah itu iqamat dikumandangkan, solat pun didirikan, maka Rasulullah saw membaca kedua-dua surah tersebut. Kemudian baginda mendatangiku dan bersabda:

“Bagaimana menurutmu wahai ‘Uqbah, bacalah kedua-dua surah itu setiap kali kamu hendak tidur dan ketika kamu bangun dari tidur.”

(HR. Ahmad dan An-Nasai’)