
Surah Al-Bayyinah
| Klasifikasi Surah: | Madaniyyah |
| Surah: | 98 |
| Juzuk: | 30 |
| Jumlah Ayat: | 8 |
| Maksud Surah: | Bukti yang Nyata |
Intisari Surah
Surah in dinamakan Al-Bayyinah (“Bukti yang Nyata”) kerana diambil daripada perkataan ٱلْبَيِّنَةُ yang terdapat pada ayat pertama surah ini.
Surah ini menjelaskan kepentingan perutusan Nabi Muhammad saw sebagai bukti yang nyata bagi manusia.
Isi Kandungan Utama
Golongan Ahli Kitab dan Musyrik: Menjelaskan bahawa orang-orang kafir daripada kalangan ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) dan musyrik tidak akan meninggalkan kepercayaan mereka sehingga datang kepada mereka bukti yang nyata.
Bukti yang Nyata (Al-Bayyinah): Bukti yang dimaksudkan ialah Rasullullah saw yang membacakan lembaran-lembaran suci (Al-Quran) yang mengandungi hukum yang benar.
Perintah Ikhlas dalam Agama: Menekankan kewajipan menyembah Allah Swt dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya semata-mata, mendirikan solat dan menunaikan zakat, yang merupakan agama yang benar.
Balasan Amal:
▪️ Orang yang kufur (ahli kitab dan musyrik) adalah seburuk-buruk makhluk dengan balasan neraka Jahannam yang kekal di dalamnya.
▪️ Orang yang beriman dan beramal soleh adalah sebaik-baik makhluk dengan balasan syurga ‘Adn yang kekal di dalamnya.
Ayat 1
لَمْ يَكُنِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ وَٱلْمُشْرِكِينَ مُنفَكِّينَ حَتَّىٰ تَأْتِيَهُمُ ٱلْبَيِّنَةُ
Orang-orang yang kafir daripada golongan ahli kitab dan orang-orang musyrik tidak akan meninggalkan (agama mereka) sehingga datang kepada mereka bukti yang nyata.
Ayat 2
رَسُولٌ مِّنَ ٱللَّهِ يَتْلُوا۟ صُحُفًا مُّطَهَّرَةً
Iaitu seorang rasul (Muhammad) daripada Allah yang membacakan lembaran-lembaran yang suci (Al-Quran).
Ayat 3
فِيهَا كُتُبٌ قَيِّمَةٌ
Di dalamnya terdapat (isi) kitab-kitab yang lurus (benar).
Dalam ayat 1-3 ini, Allah Swt menyatakan bahawa ahli kitab (orang-orang Yahudi dan Nasrani) dan musyrikin Mekah tidak akan meninggalkan agama mereka sehingga datang bukti yang nyata iaitu keterangan daripada Nabi akhir zaman dan penutup para nabi iaitu Rasulullah saw yang akan membacakan kitab-Nya iaitu Al-Quran kepada mereka. Al-Quran itu merupakan lembaran-lembaran yang disucikan serta tertulis di tempat yang tinggi.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Di dalam kitab-kitab yang dimuliakan (di sisi Allah). Yang ditinggikan (dan) disucikan. Di tangan para utusan (malaikat) yang mulia dan berbakti.”
‘Abasa 80:13-16
Ayat 4
وَمَا تَفَرَّقَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَتْهُمُ ٱلْبَيِّنَةُ
Dan tidaklah berpecah belah orang-orang yang didatangkan kitab (kepada mereka) melainkan setelah datang kepada mereka bukti yang nyata.
Allah Swt menjelaskan bahawa setelah Rasulullah saw diutuskan kepada mereka dan memberikan dalil-dalil atau bukti-bukti yang nyata melalui Al-Quran, mereka berpecah menjadi dua golongan iaitu ada yang beriman dan ada yang ingkar.
Firman Allah Swt dalam ayat:
“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang bercerai berai dan berselisih setelah sampai kepada mereka keterangan yang jelas. Mereka itulah orang-orang yang mendapat azab yang berat.”
Ali ‘Imran 3:105
Mereka berselisih dan berpecah belah dalam memahami apa yang dikehendaki oleh Allah Swt daripada kitab-kitab-Nya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis berikut.
Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya orang-orang Yahudi itu telah terpecah belah menjadi tujuh puluh satu golongan. Kaum Nasrani terpecah belah menjadi tujuh puluh dua golongan dan umat ini akan terpecah belah menjadi tujuh puluh tiga golongan. Semua golongan tersebut akan masuk neraka kecuali hanya satu golongan.” Para sahabat bertanya, “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” Baginda menjawab:
“Iaitu golongan yang berpegang teguh kepada sunnahku dan para sahabatku.”
(HR. Al-Qurtubi)
Ayat 5
وَمَآ أُمِرُوٓا۟ إِلَّا لِيَعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ وَيُقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ ۚ وَذَٰلِكَ دِينُ ٱلْقَيِّمَةِ
Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang lurus (benar).
Sesungguhnya mereka tidak diperintahkan kecuali dengan perintah yang terdapat dalam kitab mereka dan ucapan para rasul. Demikian juga apa yang terdapat dalam Al-Quran melalui lisan rasul-Nya yang mengandungi perintah untuk beribadat kepada Allah Swt dengan ikhlas, meninggalkan seluruh agama yang batil dan menunaikan solat serta zakat untuk kemaslahatan masyarakat. Inilah agama yang lurus.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum engkau (Muhammad) melainkan Kami wahyukan kepadanya, bahawa tidak ada Ilah (yang berhak diibadahi dengan benar) selain Aku, maka sembahlah Aku.”
Al-Anbiya’ 21:25
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan seorang rasul untuk setiap umat (untuk menyerukan), ‘Beribadahlah kepada Allah, dan jauhilah Taghut’……….”
An-Nahl 16:36
Ayat 6
إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ وَٱلْمُشْرِكِينَ فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمْ شَرُّ ٱلْبَرِيَّةِ
Sesungguhnya orang-orang yang kafir daripada golongan ahli kitab dan orang-orang musyrik (akan masuk) ke Neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya. Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk.
Allah Swt menyatakan orang-orang yang memalingkan diri daripada kebenaran dan suka melakukan kebatilan, kerosakan serta kesyirikan adalah seburuk-buruk makhluk dan tempat kembali mereka adalah Neraka Jahannam. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.
Ayat 7
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمْ خَيْرُ ٱلْبَرِيَّةِ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.
Ayat 8
جَزَآؤُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ جَنَّـٰتُ عَدْنٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۖ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِىَ رَبَّهُۥ
Balasan mereka di sisi Rabb mereka ialah syurga ‘Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha kepada-Nya. Itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Rabbnya.
Manakala pada ayat-ayat di atas pula adalah tentang orang-orang beriman. Mereka kelak akan ditempatkan di dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya. Semoga kita semua termasuk dalam golongan ini. Allahumma Aamiin.
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Tidakkah kalian ingin aku khabarkan tentang sebaik-baik makhluk?” Para sahabat menjawab, “Ya, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda, “Iaitu seorang lelaki yang memegang tali pengikat kudanya pada jalan Allah, setiap kali terdengar panggilan perang, dia terus duduk di atas kudanya. Tidakkah kalian ingin aku khabarkan tentang orang yang (kedudukannya berada) di bawahnya?” Para sahabat menjawab, “Ya, Rasulullah.” Lalu baginda bersabda, “Iaitu seorang lelaki yang mengembala sekumpulan kambing miliknya, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Tidakkah kalian ingin aku khabarkan tentang seburuk-buruk makhluk?” Para sahabat menjawab, “Ya.” Maka baginda bersabda, “Seorang lelaki yang meminta kepada Allah (dengan Nama-Nya) dan tidak memberi kerana-Nya.”
(HR. Ahmad)