
Surah Adh-Dhuha
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 93 |
| Juzuk: | 30 |
| Jumlah Ayat: | 11 |
| Maksud Surah: | Waktu Matahari Naik Sepenggalah |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan Adh-Dhuha diambil daripada perkataan ٱلضُّحَىٰ, “Waktu matahari naik sepenggalah” dalam ayat pertama surah ini.
Surah ini diturunkan untuk menghiburkan hati Nabi Muhammad saw ketika penurunan wahyu terhenti sementara.
Isi Kandungan Utama
Sumpah Allah Swt: Allah Swt bersumpah demi waktu dhuha (pagi hari) dan malam apabila sunyi-sepi bahawa Dia tidak pernah meninggalkan atau membenci Nabi Muhammad saw.
Kehidupan Akhirat: Allah Swt menyatakan bahawa kehidupan akhirat jauh lebih baik bagi baginda berbanding kehidupan dunia.
Mengenang Nikmat Lama: Allah Swt mengingatkan baginda tentang kasih sayang-Nya di masa lalu – baginda seorang anak yatim yang dilindungi, seorang yang bingung lalu diberi petunjuk dan seorang yang miskin lalu dikurniakan kecukupan.
Tanggungjawab Sosial: Allah Swt melarang daripada menindas anak yatim dan mengherdik orang yang meminta-minta.
Syukur Nikmat: Di ayat terakhir, Allah Swt mengingatkan agar nikmat kurniaan-Nya diceritakan dan disyukuri sebagai tanda berterima kasih.
Ayat 1
وَٱلضُّحَىٰ
Demi waktu dhuha (ketika matahari sepenggalah naik).
Ayat 2
وَٱلَّيْلِ إِذَا سَجَىٰ
Dan demi malam apabila telah sunyi.
Ayat 3
مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَىٰ
Rabbmu tidak meninggalkan engkau (Muhammad) dan tidak (pula) membencimu.
Allah Swt bersumpah dengan dua waktu iaitu “waktu dhuha yang cahaya bersinar” dan “waktu malam yang sunyi” bahawa Dia tidak meninggalkan dan tidak pula membenci Rasulullah saw.
Ada beberapa pendapat tentang sebab turunnya surah ini, antaranya:
▪️ Imam Ahmad meriwayatkan daripada Jundub, dia menceritakan bahawa Rasulullah saw mengalami sakit selama satu atau dua malam. Lalu datang seorang wanita dan berkata, “Wahai Muhammad, aku rasa syaitanmu telah meninggalkanmu.” Maka Allah Swt telah menurunkan ayat 1-3 surah ini. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmizi, An-Nasa’i, Ibnu Abi Hatim, dan Ibnu Jarir daripada Jundub bin ‘Abdillah Al-Bajali kemudian Al-‘Alaqi.
▪️ Daripada Al-Aswad bin Qais. Beliau pernah mendengar Jundub mengatakan bahawa Jibril as terlambat datang menemui Rasulullah saw, maka orang-orang musyrik mengatakan, “Muhammad ditinggalkan oleh Rabbnya.” Maka Allah Swt menurunkan ayat 1-3 surah ini.
Ayat 4
وَلَلْـَٔاخِرَةُ خَيْرٌ لَّكَ مِنَ ٱلْأُولَىٰ
Dan sesungguhnya yang akhir itu lebih baik bagimu daripada yang permulaan.
Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa kehidupan di akhirat itu lebih baik daripada kehidupan di dunia bagi Rasulullah saw, dan baginda adalah orang yang paling zuhud di dunia.
Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud, dia mengatakan bahawa Rasulullah saw tidur di atas tikar hingga meninggalkan bekas di bahunya. Ketika baginda bangun dari tempat pembaringannya, Ibnu Mas’ud mengusap bahu baginda dan berkata kepadanya, “Wahai Rasulullah, mengapa engkau tidak memberitahu kami untuk meletakkan sesuatu di atas tikarmu.” Maka Rasulullah saw bersabda:
“Apalah ertinya dunia ini bagi diriku. Sesungguhnya perumpamaan antara aku dan dunia tiada lain bagaikan seorang musafir yang berteduh di bawah naungan sebuah pohon, kemudian dia pergi meninggalkannya.”
(HR. Ahmad)
Ayat 5
وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَىٰٓ
Dan kelak Rabbmu pasti memberikan kurniaan-Nya kepadamu, lalu (hati)mu menjadi redha (puas).
Seterusnya Allah Swt menyatakan kelak di akhirat pastilah Dia akan memberikan baginda kurniaan-Nya sehingga baginda berasa puas terhadap umatnya dan juga kemuliaan yang telah disediakan oleh-Nya untuk dirinya.
Baginda mendapat kurniaan di akhirat kerana mendapat syafaat dan kedudukan yang tinggi. Antara kurniaan tersebut adalah Sungai Al-Kauthar.
Ayat 6
أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَـَٔاوَىٰ
Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu.
Dalam ayat 6 hingga 8, Allah Swt menyebutkan nikmat-nikmat-Nya yang diberikan kepada Rasulullah saw sebelum menjadikan baginda seorang rasul, antaranya:
▪️ Melindungi Rasulullah saw.
Rasulullah saw telah kehilangan bapanya ketika baginda masih dalam dalam kandungan ibunya. Kemudian ketika baginda berusia 6 tahun, ibunya iaitu Aminah binti Wahab pula meninggal dunia.
Lalu Allah Swt melindunginya dalam asuhan datuknya Abdul Muttalib sampai berusia 8 tahun, kemudian dijaga pula oleh bapa saudaranya Abu Talib sehingga bapa saudaranya itu meninggal dunia.
Ayat 7
وَوَجَدَكَ ضَآلًّا فَهَدَىٰ
Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kebingungan, lalu Dia memberikan petunjuk.
▪️ Memberikan petunjuk dan bimbingan kepada baginda melalui wahyu.
Sebelum baginda diangkat sebagai seorang rasul, baginda berada dalam kebingungan dan belum mengetahui akidah serta hukum yang benar. Lalu Allah Swt memberikan petunjuk dan membimbing baginda melalui wahyu.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) roh (Al-Quran) dengan perintah Kami. Sebelumnya engkau tidaklah mengetahui apakah kitab (Al-Quran), dan apakah iman itu, tetapi Kami jadikan Al-Quran itu cahaya, dengan itu Kami memberi petunjuk kepada sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya kamu benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus.”
Asy-Syura 42:52
Ayat 8
وَوَجَدَكَ عَآئِلًا فَأَغْنَىٰ
Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.
▪️ Memberikan kecukupan kepada baginda.
Rasulullah saw juga berada dalam keadaan fakir, lalu Allah Swt memberinya harta dengan keuntungan perniagaan harta Khadijah kerana keberkatan yang dianugerahkan kepada baginda. Allah Swt mengumpulkan dua kedudukan untuk baginda, iaitu orang miskin yang bersabar dan kedudukan orang kaya yang bersyukur.
Daripada Abu Hurairah ra, dia mengatakan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:
“Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, tetapi kekayaan itu adalah kekayaan hati.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr, dia mengatakan bahawa Rasulullah saw telah bersabda:
“Sungguh beruntung orang yang masuk Islam dan diberi kecukupan rezeki dan Allah menjadikannya berasa puas dengan rezeki yang diberikan-Nya.”
(HR. Muslim)
Ayat 9
فَأَمَّا ٱلْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ
Adapun terhadap anak yatim, janganlah engkau perlakukan sewenang-wenangnya.
Setelah Allah Swt menyebutkan beberapa nikmat yang dikurniakan kepada Rasulullah saw, lalu dalam ayat ini Dia mengingatkan baginda agar menyantuni golongan berikut:
▪️ Anak-anak yatim.
Baginda dilarang menghina dan menzalimi anak-anak yatim dengan memperlakukan mereka sesuka hati.
Ayat 10
وَأَمَّا ٱلسَّآئِلَ فَلَا تَنْهَرْ
Dan terhadap orang yang meminta, maka janganlah engkau mengherdiknya.
▪️ Orang-orang yang meminta.
Baginda dilarang mengherdik, menghina dan merendah-rendahkan orang yang meminta. Termasuk dalam hal ini ialah meminta bimbingan.
Ayat 11
وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ
Dan terhadap nikmat Rabbmu, hendaklah engkau menyebut-nyebutnya (dengan bersyukur).
Allah Swt mengingatkan Rasulullah saw dan umat baginda bahawa segala nikmat yang mereka peroleh adalah pemberian daripada-Nya. Oleh itu, Dia mengajarkan supaya menyebut nikmat tersebut sebagai tanda syukur kepada-Nya. Mereka juga diingatkan supaya menggunakan nikmat-Nya pada jalan-Nya seperti mendermakan sebahagian daripada harta mereka, memberi makanan kepada fakir miskin dan membantu orang-orang yang memerlukan bantuan.