Surah 92: Al-Lail (12 – 21)

Mencari Keredhaan Allah Swt Adalah Usaha yang Paling Penting

Surah 92: Al-Lail (12 – 21)


Ayat 12

إِنَّ عَلَيْنَا لَلْهُدَىٰ

Sesungguhnya kewajipan Kami-lah memberi petunjuk.

Sesungguhnya Allah Swt mewajibkan atas diri-Nya memberi petunjuk dan menerangkan kepada hamba-hamba-Nya jalan yang selamat dan jalan yang sesat walaupun Dia tidak terikat dengan kewajipan tersebut.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan katakanlah, ‘Kebenaran itu datangnya daripada Rabbmu, maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah dia beriman, dan barangsiapa yang ingin (kafir) biarlah dia kafir………………’”

Al-Kahfi 18:29

Ayat 13

وَإِنَّ لَنَا لَلْـَٔاخِرَةَ وَٱلْأُولَىٰ

Dan sesungguhnya kepunyaan Kami-lah akhirat dan dunia itu.

Kemudian Allah Swt menyatakan Dia-lah yang mengatur segala urusan dunia dan akhirat kerana dunia dan akhirat adalah milik-Nya.

Ayat 14

فَأَنذَرْتُكُمْ نَارًا تَلَظَّىٰ

Maka Aku memperingatkan kamu dengan neraka yang menyala-nyala.

Ayat 15

لَا يَصْلَىٰهَآ إِلَّا ٱلْأَشْقَى

Tidak ada yang masuk ke dalamnya kecuali orang yang paling celaka.

Dalam ayat 14-15 ini pula, Allah Swt mengingatkan orang-orang kafir tentang adanya api neraka yang panas menyala-nyala. Dia juga menyatakan bahawa neraka yang apinya mengelilingi ahli neraka dari segenap penjuru itu hanya dimasuki oleh orang yang paling celaka.

Ayat 16

ٱلَّذِى كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰ

Yang mendustakan (kebenaran) dan berpaling (daripada iman).

Orang yang paling celaka itu ialah orang yang mendustakan kebenaran dengan hatinya dan dia berpaling daripada melakukan amal soleh dengan seluruh anggotanya.

Daripada Abu Hurairah ra, dia berkata: Rasulullah saw bersabda:

“Seluruh umatku akan masuk syurga pada Hari Kiamat kelak, kecuali orang yang enggan memasukinya.” Baginda ditanya, “Siapakah yang enggan itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab:

“Barangsiapa mentaatiku maka dia masuk syurga dan barangsiapa membantah kepadaku bererti dia telah enggan (masuk syurga).”

(HR. Ahmad dan Al-Bukhari)

Ayat 17

وَسَيُجَنَّبُهَا ٱلْأَتْقَى

Dan kelak akan dijauhkan orang yang paling bertakwa dari neraka itu.

Ayat 18

ٱلَّذِى يُؤْتِى مَالَهُۥ يَتَزَكَّىٰ

Yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah) untuk membersihkannya.

Ayat 19

وَمَا لِأَحَدٍ عِندَهُۥ مِن نِّعْمَةٍ تُجْزَىٰٓ

Padahal tidak ada seorang pun di sisinya yang memberikan sesuatu nikmat kepadanya yang patut dibalasnya.

Ayat 20

إِلَّا ٱبْتِغَآءَ وَجْهِ رَبِّهِ ٱلْأَعْلَىٰ

Tetapi (dia memberi itu semata-mata) untuk mencari keredhaan Rabbnya yang Maha Tinggi.

Ayat 21

وَلَسَوْفَ يَرْضَىٰ

Dan kelak dia benar-benar mendapat kepuasan.

Seterusnya dalam ayat 17-21 ini, Allah Swt menjelaskan bahawa orang yang mengeluarkan hartanya pada jalan-Nya untuk membersihkan dirinya daripada penyakit kedekut kerana takut kepada-Nya dan hanya mengharapkan keredhaan-Nya semata-mata, maka Dia akan membalasnya dengan kenikmatan syurga yang tidak ada tolok bandingnya.

Ulama tafsir menyebutkan bahawa ayat-ayat ini turun berkaitan dengan Abu Bakar As-Siddiq ra. Beliau termasuk salah seorang yang paling berhak mendapat keumuman ayat ini kerana beliau merupakan pendahulu umat ini dalam semua sifat-sifat terpuji dan suka membelanjakan harta bendanya dalam ketaatan kepada Rabb-Nya.