Sumpah Allah Swt dengan Ciptaan-Nya yang Berlawanan dan Usaha Manusia Berbeza-beza
Surah 92: Al-Lail (1 – 11)
Ayat 1
وَٱلَّيْلِ إِذَا يَغْشَىٰ
Demi malam apabila menutupi (cahaya siang).
Ayat 2
وَٱلنَّهَارِ إِذَا تَجَلَّىٰ
Demi siang apabila terang benderang.
Ayat 3
وَمَا خَلَقَ ٱلذَّكَرَ وَٱلْأُنثَىٰٓ
Demi penciptaan lelaki dan perempuan.
Dalam rangkaian ayat-ayat di atas, Allah Swt bersumpah dengan sesuatu yang berlawanan untuk menunjukkan keagungan-Nya.
Allah Swt bersumpah dengan malam yang menyelimuti seluruh makhluk-Nya dengan kegelapannya, dan siang dengan keadaannya yang terang benderang, juga dengan penciptaan lelaki dan perempuan. Selain itu segala sesuatu diciptakan-Nya adalah berpasang-pasangan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati kebesaran Allah.”
Az-Zariyat 51:49
Ayat 4
إِنَّ سَعْيَكُمْ لَشَتَّىٰ
Sesungguhnya usaha kamu memang berbeza-beza.
Ini adalah jawapan kepada sumpah-sumpah di atas. Ketika Allah Swt bersumpah dengan sesuatu yang berlawanan maka jawapan kepada sumpah-sumpah di atas juga berlawanan iaitu amal perbuatan manusia itu juga berlawanan dan beraneka ragam.
Amal perbuatan manusia itu, ada yang baik sehingga menyebabkan seseorang itu akan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Ada juga amalan yang buruk sehingga dia akan mendapat kecelakaan di dunia dan di akhirat.
Ayat 5
فَأَمَّا مَنْ أَعْطَىٰ وَٱتَّقَىٰ
Adapun orang yang memberikan (hartanya pada jalan Allah) dan bertakwa.
Ayat 6
وَصَدَّقَ بِٱلْحُسْنَىٰ
Dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga).
Ayat 7
فَسَنُيَسِّرُهُۥ لِلْيُسْرَىٰ
Maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah.
Kemudian Allah Swt menjelaskan tentang balasan-Nya kepada orang yang membelanjakan hartanya pada jalan-Nya dan bertakwa dengan beramal mengikut yang diperintahkan-Nya, meninggalkan apa yang dilarang-Nya serta membenarkan pahala yang terbaik iaitu syurga yang disediakan kepadanya.
Allah Swt menyiapkan jalan yang mudah iaitu mudah baginya mentaati-Nya dan mudah meninggalkan perkara yang diharamkan-Nya.
Ayat 8
وَأَمَّا مَنۢ بَخِلَ وَٱسْتَغْنَىٰ
Dan adapun orang yang bakhil dan berasa dirinya cukup.
Ayat 9
وَكَذَّبَ بِٱلْحُسْنَىٰ
Serta mendustakan pahala yang terbaik.
Ayat 10
فَسَنُيَسِّرُهُۥ لِلْعُسْرَىٰ
Maka kelak Kami akan menyiapkan baginya (jalan) yang sukar.
Ayat 11
وَمَا يُغْنِى عَنْهُ مَالُهُۥٓ إِذَا تَرَدَّىٰٓ
Dan hartanya tidak bermanfaat kepadanya apabila dia telah binasa.
Dalam ayat 8-11 ini, Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang yang bakhil dalam membelanjakan hartanya pada jalan-Nya kerana berasa tidak memerlukan pertolongan-Nya dan tidak meyakini adanya pahala yang terbaik, maka Dia akan memudahkan mereka menuju kesengsaraan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan (begitu pula) Kami memalingkan hati dan penglihatan mereka seperti mereka belum pernah beriman kepadanya (Al-Quran) pada permulaannya, dan Kami biarkan mereka bergelimang dalam kesesatannya yang sangat.”
Al-An’am 6:110
Daripada ‘Ali bin Abi Talib ra, dia berkata, “Kami pernah bersama dengan Rasulullah saw di perkuburan Baqi’ Al-Gharqad semasa menghantar jenazah, baginda bersabda:
‘Tidak ada seorang pun di antara kalian melainkan telah ditetapkan tempat duduknya di syurga dan tempatnya di neraka.’ Lalu seorang lelaki bertanya, ‘Wahai Rasulullah, mengapa kita tidak pasrah sahaja?’ Baginda menjawab:
‘Beramallah kalian, kerana masing-masing akan diberikan kemudahan menuju kepada apa yang diciptakan untuknya.’ Setelah itu baginda membaca ayat 5 hingga ayat 10 surah ini iaitu, “Adapun orang yang membelajakan hartanya pada jalan Allah dan bertakwa. Dan membenarkan adanya pahala yang terbaik. Maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah sehingga pada ayat, “baginya (jalan) yang sukar.”
(HR. Al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, An-Nasa’i, At-Tirmizi dan Ibnu Majah)