Sumpah Allah Swt dengan Ciptaan-Nya, Beruntunglah Orang yang Mensucikan Jiwanya dan Rugilah Orang yang Mengotorinya
Surah 91: Asy-Syams (1 – 10)
Ayat 1
وَٱلشَّمْسِ وَضُحَىٰهَا
Demi matahari dan sinarnya pada pagi hari.
Dalam ayat 1-8 ini, Allah Swt bersumpah dengan tujuh perkara iaitu:
▪️ Matahari dan cahayanya pada waktu dhuha.
Ayat 2
وَٱلْقَمَرِ إِذَا تَلَىٰهَا
Dan bulan apabila mengiringinya.
▪️ Bulan yang bercahaya ketika saat terbenamnya matahari.
Ayat 3
وَٱلنَّهَارِ إِذَا جَلَّىٰهَا
Dan siang apabila menampakkannya.
▪️ Waktu siang ketika disinari oleh matahari.
Ayat 4
وَٱلَّيْلِ إِذَا يَغْشَىٰهَا
Dan malam apabila menutupinya.
▪️ Waktu malam ketika tiada cahaya matahari.
Ayat 5
وَٱلسَّمَآءِ وَمَا بَنَىٰهَا
Dan langit serta pembinaannya.
▪️ Langit yang amat kukuh dan dibina tanpa tiang serta dihiasi dengan bintang-bintang.
Ayat 6
وَٱلْأَرْضِ وَمَا طَحَىٰهَا
Dan bumi serta hamparannya.
▪️ Bumi yang dihamparkan untuk dimanfaatkan oleh manusia.
Ayat 7
وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّىٰهَا
Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya).
▪️ Jiwa manusia yang disempurnakan penciptaannya.
Ayat 8
فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَىٰهَا
Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaan.
Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah menunjukkan kepada dua jalan iaitu jalan kebaikan dan keburukan.
Maksud “Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaan,” ialah Allah Swt menampakkan kepada jiwa itu jalan mana yang boleh membawa mereka menuju kepada kejahatan dan jalan mana pula yang menuju kepada ketakwaan serta memudahkan jiwa tersebut kepada apa yang telah Dia tetapkan untuknya.
Daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, apabila Rasulullah saw membaca ayat 7 dan 8, baginda berhenti dan berdoa:
“Ya Allah. Limpahkanlah ketakwaan pada jiwaku ini. Engkau-lah Pemiliknya dan Pelindungnya, dan Engkau-lah sebaik-baik Zat yang menyucikannya.”
(HR. At-Tabari)
Ayat 9
قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّىٰهَا
Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan (jiwa itu).
Ini adalah jawapan kepada beberapa sumpah sebelum ini. Sesiapa yang telah membersihkan dirinya daripada perkara syirik dan melaksanakan amalan soleh dan ketaatan, maka sesungguhnya dia telah benar-benar beruntung dan mendapat kemenangan di akhirat dengan balasan syurga.
Ayat 10
وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّىٰهَا
Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.
Namun sesiapa yang memilih untuk mensyirikkan Allah Swt dan beramal dengan perbuatan yang buruk dan melakukan maksiat, dia tidak akan diberikan petunjuk. Oleh itu, dia tidak akan beriman dan dia termasuk dalam golongan yang benar-benar rugi.