Surah 90: Al-Balad (11 – 20)

Hidup Manusia Penuh dengan Perjuangan

Surah 90: Al-Balad (11 – 20)


Ayat 11

فَلَا ٱقْتَحَمَ ٱلْعَقَبَةَ

Tetapi dia tidak menempuh jalan yang mendaki lagi sukar.

Setiap jalan sama ada ke arah kebaikan atau keburukan sama sahaja sukarnya namun kesukaran pada jalan kebaikan apabila ditempuh, akan terselamatlah jiwa, masyarakat dan diredhai oleh Allah.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan sesiapa menghendaki kehidupan akhirat serta berusaha ke arah itu dengan bersungguh-sungguh, dalam keadaan beriman, maka usahanya itu akan dibalas dengan baik.”

Al-Isra’ 17:19

Ayat 12

وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا ٱلْعَقَبَةُ

Dan tahukah kamu apakah jalan yang mendaki lagi sukar itu?

Ayat 13

فَكُّ رَقَبَةٍ

(Iaitu) melepaskan hamba daripada perhambaan.

Ayat 14

أَوْ إِطْعَـٰمٌ فِى يَوْمٍ ذِى مَسْغَبَةٍ

Atau memberi makan pada hari kelaparan.

Ayat 15

يَتِيمًا ذَا مَقْرَبَةٍ

(Kepada) anak yatim yang ada hubungan kerabat.

Ayat 16

أَوْ مِسْكِينًا ذَا مَتْرَبَةٍ

Atau orang miskin yang sangat fakir.

Dalam ayat 13-16 ini, Allah Swt menjelaskan kepada manusia bahawa menempuh jalan mendaki ialah membelanjakan harta mereka kepada perkara-perkara berikut:

▪️  Memerdekakan hamba sahaya.

▪️  Memberi makan kepada orang-orang yang sangat memerlukan.

▪️  Menolong anak-anak yatim namun yang lebih utama untuk ditolong adalah anak-anak yatim yang ada hubungan kekeluargaan.

Daripada Salman bin Amir, bahawa dia mendengar Rasulullah saw bersabda:

“Bersedekah kepada orang miskin mendapat satu pahala sedekah. Dan bersedekah kepada sanak saudara mendapat dua pahala, iaitu pahala sedekah dan pahala menyambung tali silaturrahim.”

(HR. Ahmad)

▪️  Menolong fakir miskin.

Ini dilakukan hanya untuk mengharapkan balasan daripada Allah Swt semata-mata dan semuanya dilalui dengan hati yang lapang.

Menurut Ibnu ‘Abbas ra, orang yang sangat fakir ialah orang yang terbuang (gelandangan), tidak memiliki rumah dan tidak ada sesuatu pun melindunginya daripada debu.

Amalan-amalan yang disebutkan di atas boleh menyebabkan pemiliknya terselamat daripada api neraka.

Ayat 17

ثُمَّ كَانَ مِنَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْمَرْحَمَةِ

Kemudian dia termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang.

Di samping amalan-amalan di atas, mereka juga saling berpesan-pesan dengan kesabaran, saling berkasih sayang dan bantu membantu, yang kuat mengasihi yang lemah dan yang kaya menolong yang miskin.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“……….Dan barang siapa mengerjakan kebajikan, baik lelaki mahupun perempuan, sedangkan dia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa hisab.”

Ghafir 40:40

Rasulullah saw bersabda:

“Orang-orang penyayang akan dikasihi oleh Yang Maha Penyayang. Sayangilah makhluk di muka bumi, maka Allah yang di langit akan menyayangi kalian.”

(HR. Abu Daud)

Ayat 18

أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلْمَيْمَنَةِ

Mereka (orang-orang yang beriman dan saling berpesan itu) adalah golongan kanan.

Orang-orang yang memiliki sifat-sifat tersebut di atas adalah golongan yang menerima buku catatan dari sebelah kanan. Mereka adalah penghuni syurga.

Ayat 19

وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا هُمْ أَصْحَـٰبُ ٱلْمَشْـَٔمَةِ

Dan orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, mereka itu adalah golongan kiri.

Ayat 20

عَلَيْهِمْ نَارٌ مُّؤْصَدَةٌۢ

Mereka berada dalam neraka yang ditutup rapat.

Manakala orang-orang yang ingkar kepada Allah adalah golongan yang akan menerima buku catatan dari sebelah kiri. Mereka dimasukkan ke dalam neraka, lalu ditutup rapat-rapat sehingga tidak ada jalan untuk mereka lari menyelamatkan diri dan tidak pula ada jalan keluar darinya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan golongan kiri, siapakah golongan kiri itu? Dalam (siksaan) angin yang amat panas, dan air panas yang mendidih, dan dalam naungan asap yang hitam. Tidak sejuk dan tidak menyenangkan.”

Al-Waqi’ah 56:41-44