Surah 90: Al-Balad (1 – 10)

Allah Swt Bersumpah bahawa Hidup Manusia Sentiasa dalam Keadaan Serba Susah

Surah 90: Al-Balad (1 – 10)


Ayat 1

لَآ أُقْسِمُ بِهَـٰذَا ٱلْبَلَدِ

Aku benar-benar bersumpah dengan kota ini (Mekah).

Ayat 2

وَأَنتَ حِلٌّۢ بِهَـٰذَا ٱلْبَلَدِ

Dan engkau (Muhammad) adalah penduduk kota Mekah ini.

Allah Swt telah bersumpah dengan nama kota Mekah yang sangat aman dan Rasulullah saw yang tinggal di kota tersebut. Ini untuk mengingatkan para penduduknya bahawa kedudukan Mekah itu sangat agung.

Ayat 3

وَوَالِدٍ وَمَا وَلَدَ

Dan demi bapa dan anaknya.

Allah Swt juga bersumpah dengan nama Nabi Adam as dan anak cucunya serta seluruh keturunan baginda.

Ada juga pendapat yang mengatakan Nabi Ibrahim as dan zuriatnya Nabi Ismail as serta termasuklah Rasulullah saw.

Ayat 4

لَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ فِى كَبَدٍ

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah.

Allah Swt juga bersumpah dengan nama-nama yang disebutkan itu untuk menguatkan pernyataan-Nya bahawa manusia telah diciptakan-Nya untuk menghadapi kehidupan yang serba sukar, perlu bersusah payah dan bukan untuk bersenang-lenang.

Ini berlaku sejak awal penciptaan sehingga akhir hayat mereka. Keadaan seperti itu telah ditetapkan oleh Allah Swt kepada mereka sebagai ujian. Selagi mereka hidup di dunia, mereka akan berhadapan dengan kesusahan hidup kerana dunia ini adalah pentas ujian. Hidup yang tidak ada kesusahan dan hanya menerima kenikmatan, hanyalah di syurga.

Ayat ini juga secara tidak langsung merupakan hiburan kepada kaum mukminin di kota Mekah. Mereka selalu berasa kekurangan kerana mendapat tekanan dan seksaan oleh pembesar Quraisy yang zalim. Apabila mengetahui bahawa hakikat kehidupan dunia adalah ujian, maka penderitaan dan kesengsaraan yang mereka rasakan sedikit berkurangan.

Ayat 5

أَيَحْسَبُ أَن لَّن يَقْدِرَ عَلَيْهِ أَحَدٌ

Apakah manusia itu menyangka bahawa sekali-kali tidak ada seorang pun yang berkuasa atasnya?

Pertanyaan Allah Swt ini ditujukan kepada orang-orang yang sombong kerana tidak mempercayai adanya Hari Kebangkitan. Apakah mereka menyangka bahawa Allah Swt tidak melihat dan memerhatikan setiap perlakuan mereka dan menyangka Dia tidak berkuasa untuk menghukum mereka.

Mereka juga menyangka bahawa Allah Swt tidak bertanya tentang harta dari mana mereka peroleh dan ke mana mereka belanjakan serta Dia akan membiarkan mereka begitu sahaja?

Ayat 6

يَقُولُ أَهْلَكْتُ مَالًا لُّبَدًا

Dan mengatakan, “Aku telah menghabiskan harta yang banyak.”

Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa ada di kalangan manusia yang telah bersusah payah menghabiskan tenaga dan harta bendanya untuk perkara yang tidak berfaedah dan berbangga pula dengannya.

Ada pula yang pada zahirnya berbuat kebaikan seperti bersedekah dan membantu orang lain sedangkan tujuannya adalah untuk dipuji oleh orang ramai.

Musyrikin Mekah ada yang menghabiskan wang mereka untuk menentang Nabi Muhammad saw. Mereka berbangga kerana mengeluarkan harta untuk melawan baginda dan orang-orang mukmin. Mereka mencari pujian daripada kalangan manusia.

Ayat 7

أَيَحْسَبُ أَن لَّمْ يَرَهُۥٓ أَحَدٌ

Apakah dia menyangka bahawa tidak ada seorang pun yang melihatnya?

Sesungguhnya Allah Swt Maha Melihat dan Dia akan menghitung dan membalasnya di akhirat nanti dengan balasan yang setimpal berdasarkan niat dan amalan mereka.

Ayat 8

أَلَمْ نَجْعَل لَّهُۥ عَيْنَيْنِ

Bukankah Kami telah memberikan kepadanya dua biji mata.

Ayat 9

وَلِسَانًا وَشَفَتَيْنِ

Dan lidah dan sepasang bibir?

Ayat 10

وَهَدَيْنَـٰهُ ٱلنَّجْدَيْنِ

Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan.

Dalam ayat 8 hingga 10 ini, Allah Swt mejelaskan bahawa Dia mengurniakan nikmat-Nya kepada manusia berupa anggota badan yang sempurna dan memberikan mereka petunjuk dalam membuat pertimbangan mana yang baik dan mana yang buruk.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia daripada setitis air mani yang bercampur, yang Kami mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat. Sesungguhnya, Kami telah menunjukkan kepadanya jalan yang lurus, ada yang bersyukur dan ada pula yang kufur.”

Al-Insan 76:2-3