Sifat Orang Arab Badwi
Surah 9: At-Taubah (97 – 99)
Ayat 97
ٱلْأَعْرَابُ أَشَدُّ كُفْرًا وَنِفَاقًا وَأَجْدَرُ أَلَّا يَعْلَمُوا۟ حُدُودَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Orang-orang Arab lebih keras kufurnya dan sikap munafiknya, dan sangatlah patut mereka tidak mengetahui batas-batas (dan hukum-hukum syarak) yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa sebahagian daripada orang-orang Arab Badwi yang tinggal di pedalaman itu lebih kuat kekafiran dan kemunafikan mereka daripada para penghuni kota. Ini kerana sifat orang-orang Badwi itu kasar dan hati mereka keras, tambahan pula mereka jauh daripada majlis ilmu dan ulama.
Oleh sebab latar belakang tersebut, maka lebih besar kemungkinan mereka tidak mengetahui tentang dasar agama dan apa yang Allah Swt turunkan berupa ajaran-ajaran syariat dan hukum-hukum. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui keadaan mereka dan Dia Maha Bijaksana dalam pengaturan-Nya terhadap urusan-urusan hamba-hamba-Nya.
Ketika orang Arab Badwi memberi hadiah kepada Rasulullah saw, Baginda membalasnya dengan hadiah berlipat kali ganda, sehingga orang Badwi itu berasa senang. Baginda bersabda:
“Aku memiliki keinginan yang kuat untuk tidak menerima hadiah kecuali daripada orang Quraisy, orang Thaqif, orang Ansar atau orang Dausi. Ini kerana mereka ini tinggal di Kota Mekah, Taif, Madinah dan Yaman. Akhlak mereka lebih lembut daripada orang-orang Badwi yang bertabiat kasar.”
(HR. An-Nasai)
Ayat 98
وَمِنَ ٱلْأَعْرَابِ مَن يَتَّخِذُ مَا يُنفِقُ مَغْرَمًا وَيَتَرَبَّصُ بِكُمُ ٱلدَّوَآئِرَ ۚ عَلَيْهِمْ دَآئِرَةُ ٱلسَّوْءِ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Dan sebahagian dari orang-orang Arab (yang munafik) itu memandang apa yang mereka belanjakan (dermakan pada jalan Allah) sebagai satu bayaran yang memberatkan, sambil menunggu peredaran zaman (yang membawa bala bencana) menimpa kamu; atas merekalah (tertimpanya bala bencana yang dibawa oleh) peredaran zaman yang buruk itu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa sebahagian daripada orang-orang Arab Badwi menganggap bahawa dengan menginfakkan harta pada jalan-Nya adalah satu kerugian yang tidak mendatangkan pahala dan tidak dapat menolak seksaan kepada diri mereka.
Oleh itu, mereka selalu menanti-nanti berlaku sesuatu malapetaka menimpa Rasulullah saw dan kaum mukmin agar mereka segera dapat melepaskan diri daripada berinfak. Mereka berharap orang-orang musyrik dapat mengalahkan orang-orang mukmin. Ketika mereka berasa putus asa, mereka mengharapkan kematian Baginda kerana mereka menyangka Islam akan berakhir dengan kematian Baginda.
Namun keburukan berbalik menimpa mereka dan bukan kepada kaum mukmin. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar apa yang mereka katakan dan juga Maha Mengetahui niat-niat buruk mereka. Firman-Nya:
“Katakanlah, ‘Tidak ada yang kamu tunggu-tunggu bagi kami melainkan salah satu dari dua kebaikan dan kami menunggu-nunggu pula bagi kamu bahawa Allah akan menimpakan kamu azab (yang besar) dengan tangan kami. Oleh itu tunggulah, sesungguhnya kami juga menunggu bersama-sama kamu.’”
At-Taubah 9:52
Ayat 99
وَمِنَ ٱلْأَعْرَابِ مَن يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَيَتَّخِذُ مَا يُنفِقُ قُرُبَـٰتٍ عِندَ ٱللَّهِ وَصَلَوَٰتِ ٱلرَّسُولِ ۚ أَلَآ إِنَّهَا قُرْبَةٌ لَّهُمْ ۚ سَيُدْخِلُهُمُ ٱللَّهُ فِى رَحْمَتِهِۦٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Dan sebahagian dari orang-orang Arab itu ada yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan memandang apa yang mereka dermakan (pada jalan Allah itu) sebagai amal-amal bakti (yang mendampingkan) di sisi Allah dan sebagai (satu jalan untuk mendapat) doa dari Rasulullah (yang membawa rahmat kepada mereka) Ketahuilah, sesungguhnya apa yang mereka dermakan itu adalah menjadi amal bakti bagi mereka (yang mendampingkan mereka kepada Allah); Allah akan masukkan mereka ke dalam rahmat-Nya; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Orang-orang Arab Badwi ini ada yang kafir, munafik dan yang beriman dengan keimanan yang benar seperti Juhainah dan Muzaynah. Mereka ini daripada Bani Aslam dan Bani Ghaffar. Mereka menjadikan apa yang mereka infakkan pada jalan Allah Ta’ala sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada-Nya dan mengharapkan doa Rasulullah saw kepada mereka. Ini merupakan persaksian daripada Allah Ta’ala atas kebenaran akidah dan keyakinan mereka.
Sesungguhnya amal-amal mereka ini akan mendekatkan diri mereka kepada Allah Ta’ala. Dia akan memasukkan mereka ke syurga-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun terhadap dosa-dosa yang mereka telah lakukan dan juga Maha Penyayang terhadap mereka. Firman-Nya:
“Rabb mereka menggembirakan mereka dengan memberikan rahmat daripada-Nya, keredhaan dan syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang kekal.”
At-Taubah 9:21