Keadaan yang Dikecualikan untuk Berjihad
Surah 9: At-Taubah (91 – 93)
Ayat 91
لَّيْسَ عَلَى ٱلضُّعَفَآءِ وَلَا عَلَى ٱلْمَرْضَىٰ وَلَا عَلَى ٱلَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُوا۟ لِلَّهِ وَرَسُولِهِۦ ۚ مَا عَلَى ٱلْمُحْسِنِينَ مِن سَبِيلٍ ۚ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Orang-orang yang lemah dan orang-orang yang sakit, dan juga orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya; dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Allah Swt menyebutkan bahawa ada tiga golongan yang diterima keuzuran mereka untuk tidak ikut berperang:
- Orang-orang yang lemah – Orang-orang yang sihat tubuh badan tetapi tidak berdaya untuk berperang, tidak sanggup menghadapi kesukaran dalam perjalanan dan dalam peperangan itu sendiri. Mereka ini adalah seperti orang yang sudah tua, wanita dan kanak-kanak.
- Orang-orang yang sakit – Ini termasuklah orang-orang buta, tempang dan seumpama dengannya. Begitu juga dengan orang-orang yang ditimpa sakit yang menyebabkan mereka tidak dapat ikut berperang.
- Orang-orang fakir – Mereka tidak memiliki sebarang kelengkapan perang seperti bekalan makanan, kenderaan, senjata dan juga perbelanjaan untuk perjalanan ke medan perang.
Seterusnya Allah Ta’ala menyatakan bahawa tidak berdosa orang-orang seperti di atas tidak ikut berperang dengan syarat mereka ikhlas kepada Allah Swt dan Rasul-Nya. Dalam hati mereka ada keinginan bahawa mereka akan berjihad sekiranya berkemampuan melakukannya. Mereka juga berbuat baik seperti memberikan dorongan kepada yang lain untuk berjihad, tidak melemahkan semangat orang-orang yang berjihad dan tetap patuh kepada perintah Rasulullah saw.
Allah Ta’ala Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Dia memaafkan orang-orang yang tidak berkemampuan dan membalas mereka dengan balasan yang sama seperti orang yang mampu melakukannya.
Ayat 92
وَلَا عَلَى ٱلَّذِينَ إِذَا مَآ أَتَوْكَ لِتَحْمِلَهُمْ قُلْتَ لَآ أَجِدُ مَآ أَحْمِلُكُمْ عَلَيْهِ تَوَلَّوا۟ وَّأَعْيُنُهُمْ تَفِيضُ مِنَ ٱلدَّمْعِ حَزَنًا أَلَّا يَجِدُوا۟ مَا يُنفِقُونَ
Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: “Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu”, mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan airmata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah).
Al-‘Aufi menceritakan daripada Ibnu ‘Abbas ra tentang ayat 91 hingga ayat 93, dia mengatakan bahawa ketika Rasulullah saw memerintahkan para sahabat berangkat untuk berjihad bersama-sama Baginda, beberapa orang sahabat datang menemui Baginda yang di antara mereka adalah ‘Abdullah bin Ma’qil bin Muqarrin Al-Muzani. Mereka berkata, “Wahai Rasulullah, ajaklah kami berangkat.” Maka Rasulullah saw berkata kepada mereka:
“Demi Allah, aku tidak mendapatkan kenderaan yang dapat membawa kamu.” Maka mereka kembali sambil menangis. Mereka berasa berat untuk tidak ikut berjihad sedangkan mereka tidak mempunyai perbelanjaan dan juga kenderaan. Ketika Allah Swt mengetahui kesungguhan mereka untuk mencintai-Nya dan mencintai Rasul-Nya, Dia menurunkan ayat-ayat At-Taubah 91-93 ini.
(HR. At-Tabari)
Diriwayatkan daripada Anas, bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya di Madinah ini ada orang-orang yang tidaklah kamu melintasi lembah dan tidak juga menempuh suatu perjalanan melainkan mereka itu bersama kamu.” Para sahabat bertanya, “Padahal mereka itu tetap berada di Madinah?” Baginda menjawab, “Benar, uzur (alasan) telah menahan mereka.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 93
إِنَّمَا ٱلسَّبِيلُ عَلَى ٱلَّذِينَ يَسْتَـْٔذِنُونَكَ وَهُمْ أَغْنِيَآءُ ۚ رَضُوا۟ بِأَن يَكُونُوا۟ مَعَ ٱلْخَوَالِفِ وَطَبَعَ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan dan mengenakan seksa) hanyalah terhadap orang-orang yang meminta izin kepadamu sedang mereka kaya dan mampu. Mereka suka tinggal bersama-sama orang yang ditinggalkan (kerana uzur) dan (dengan sebab itu) Allah meteraikan atas hati mereka, sehingga mereka tidak dapat mengetahui (perkara yang baik).
Sesungguhnya alasan untuk menyalahkan hanyalah terhadap orang-orang yang meminta izin kepada Rasulullah saw untuk tidak ikut berperang padahal mereka adalah orang kaya yang dapat menyediakan kenderaan untuk berperang dan dirinya juga bukan termasuk golongan yang boleh tidak ikut berperang. Namun mereka rela atau lebih senang berada bersama dengan orang-orang yang tidak ikut berperang kerana mereka sangka adanya uzur yang dibenarkan buat diri mereka.
Akibat daripada perbuatan mereka ini, Allah Ta’ala telah menutup pintu hati mereka sehingga mereka tidak lagi nampak hikmah dan kelebihan berjihad di jalan-Nya serta tidak mengetahui akibatnya kelak iaitu di dunia ini mereka dihina, dicerca dan di akhirat akan dihumbankan ke dalam api neraka.