Surah 9: At-Taubah (86 – 87)

Allah Menutup Hati Orang Munafik untuk Berjihad

Surah 9: At-Taubah (86 – 87)


Ayat 86

وَإِذَآ أُنزِلَتْ سُورَةٌ أَنْ ءَامِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَجَـٰهِدُوا۟ مَعَ رَسُولِهِ ٱسْتَـْٔذَنَكَ أُو۟لُوا۟ ٱلطَّوْلِ مِنْهُمْ وَقَالُوا۟ ذَرْنَا نَكُن مَّعَ ٱلْقَـٰعِدِينَ

Dan apabila diturunkan satu surah Al-Quran (yang menyuruh mereka): “Berimanlah kamu kepada Allah, dan berjihadlah bersama-sama dengan RasulNya”, nescaya orang-orang yang kaya di antara mereka meminta izin kepadamu dengan berkata: “Biarkanlah kami tinggal bersama-sama orang-orang yang tinggal (tidak turut berperang)”.

Allah Ta’ala menyatakan apabila turun suatu surah yang sebahagian isi kandungannya menyeru mereka agar beriman kepadaNya dan ikut berperang bersama-sama Rasulullah saw, nescaya datanglah orang-orang munafik meminta izin untuk tidak ikut berperang serta menarik diri daripadanya padahal mereka berkemampuan iaitu memiliki harta dan fizikal yang kuat serta sihat. 

Allah swt mencela mereka yang berkata, “Biarkanlah kami berada bersama dengan orang-orang yang tinggal.” Ini kerana mereka ini rela tinggal bersama-sama dengan orang-orang yang uzur, seperti orang-orang yang lemah, orang-orang yang bertahun-tahun menanggung kesakitan termasuk wanita dan kanak-kanak.

Ayat 87

رَضُوا۟ بِأَن يَكُونُوا۟ مَعَ ٱلْخَوَالِفِ وَطُبِعَ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لَا يَفْقَهُونَ

Mereka suka tinggal bersama-sama orang-orang yang ditinggalkan (kerana uzur), dan (dengan sebab itu) hati mereka dimeteraikan atasnya, sehingga mereka tidak dapat memahami sesuatu.

Allah Ta‘ala menyatakan bahawa orang-orang munafik itu rela untuk tetap berada bersama dengan orang-orang yang tidak pergi berperang iaitu orang tua, orang sakit, kaum perempuan dan kanak-kanak. Ini merupakan celaan buat mereka kerana rela disamakan kedudukan mereka seperti orang-orang yang lemah.

Orang-orang seperti ini sebenarnya hati mereka telah dikunci mati oleh Allah Ta’ala sehingga tertutup untuk menerima hidayah disebabkan sikap kemunafikan mereka. Hal ini menjadikan mereka langsung tidak memahami hikmah dalam perintahNya. Mereka tidak memahami kebaikan dan keuntungan orang-orang yang berjihad dan keburukan yang akan diterima oleh orang-orang yang enggan berjihad.

Keuntungan bagi orang-orang yang beriman dan berjihad ini ialah mereka akan memperoleh syurga yang dipenuhi dengan kenikmatan dan mereka kekal di dalamnya.