Peringatan agar Tidak Tertipu dengan Harta dan Anak Pinak Orang Munafik
Surah 9: At-Taubah (85)
Ayat 85
وَلَا تُعْجِبْكَ أَمْوَٰلُهُمْ وَأَوْلَـٰدُهُمْ ۚ إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُعَذِّبَهُم بِهَا فِى ٱلدُّنْيَا وَتَزْهَقَ أَنفُسُهُمْ وَهُمْ كَـٰفِرُونَ
Dan janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengannya di dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka dalam keadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).
Isi ayat 85 ini sama seperti pada ayat 55 yang telahpun dihuraikan sebelum ini yang melarang Rasulullah saw dan orang-orang beriman berasa kagum melihat banyaknya harta orang-orang munafik dan ramainya anak-anak mereka. Faedah daripada pengulangan ini adalah untuk menguatkan lagi larangan tersebut memandangkan besarnya pengaruh harta dan anak-anak kepada manusia sehingga dapat melalaikan mereka daripada mengingati Allah Swt.
Sesungguhnya harta dan anak-anak tersebut adalah ujian bagi orang-orang munafik sehingga mereka berani menyombongkan diri dengan menolak kebenaran dan agar dalam keadaan mereka berseronok dengan harta itu juga nyawa mereka melayang, sedang mereka mati dalam keadaan kafir. Firman-Nya:
“Dan janganlah engkau tujukan pandangan kedua-dua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan daripada mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya sedang limpah kurnia Rabbmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.”
Taha 20:131
Allah Swt akan menyeksa mereka di dunia sehingga mereka terpaksa bersusah payah untuk memperoleh harta dan terlalu sibuk memenuhi kemahuan diri dan anak-anak. Mereka juga berasa takut jika apa yang diperoleh itu hilang, dan tidak terasa sedikit pun nikmat dengannya. Selain itu, mereka sentiasa mendapat kepenatan dan kesusahan. Harta dan anak-anak membuatkan mereka sibuk dan lupa untuk mengingati Allah Swt dan hal-hal akhirat, sehingga meninggal dunia dalam keadaan kafir.