Larangan Disolatkan Jenazah Orang Munafik
Surah 9: At-Taubah (84)
Ayat 84
وَلَا تُصَلِّ عَلَىٰٓ أَحَدٍ مِّنْهُم مَّاتَ أَبَدًا وَلَا تَقُمْ عَلَىٰ قَبْرِهِۦٓ ۖ إِنَّهُمْ كَفَرُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَمَاتُوا۟ وَهُمْ فَـٰسِقُونَ
Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan Rasul-Nya, dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik (derhaka).
Allah Ta ‘ala memerintahkan Nabi Muhammad saw berlepas diri daripada orang-orang munafik, tidak melaksanakan solat jenazah mereka, berdiri di kubur mereka untuk mendoakan dan memohon keampunan buat mereka. Ini kerana mereka kufur terhadap Allah Swt.
Ayat ini turun ketika Nabi Muhammad saw melaksanakan solat jenazah ‘Abdullah bin Ubay bin Salul, ketua kaum munafik.
Imam Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar ra, ketika ‘Abdullah bin Ubay meninggal dunia, anaknya datang kepada Nabi saw dan berkata,
“Wahai Rasulullah, berikanlah pakaianmu agar aku kafankan dia (ayahku) dengannya. Solatkanlah dia dan mintalah ampun untuknya.” Maka Nabi saw memberikan bajunya dan bersabda, “Beritahu kepadaku (jika sudah selesai dikafankan), agar aku solatkan jenazahnya.” Maka diberitahukanlah kepada Baginda. Ketika Baginda hendak melaksanakan solat jenazahnya, maka ‘Umar ra menarik Baginda dan berkata, “Bukankah Allah melarang engkau wahai Rasulullah untuk laksanakan solat jenazah orang-orang munafik?” Baginda bersabda, “Allah telah memberiku pilihan. Allah berfirman, ‘Kamu memohon keampunan bagi mereka atau tidak kamu mohonkan keampunan bagi mereka (adalah sama sahaja). Adapun kamu mohonkan keampunan bagi mereka tujuh puluh kali, namun Allah sesekali tidak akan memberi keampunan kepada mereka.’” (At-Taubah ayat 80). “Dan aku akan melebihkannya lebih daripada tujuh puluh kali.” ‘Umar berkata, “Tetapi dia adalah seorang munafik.” (Ibnu ‘Umar) berkata, “Tetapi Rasulullah saw tetap laksanakan solat jenazahnya.” Kemudian turunlah ayat ini kepada Baginda, “Dan janganlah kamu sekali-kali melaksanakan solat (jenazah) seseorang yang mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya.” (At-Taubah ayat 84)
(HR. Al-Bukhari)
Imam Al-Bukhari juga telah meriwayatkan hadis ‘Umar bin Al-Khattab ra yang sama dengan riwayat di atas. Pada hadis tersebut dinyatakan:
“Kemudian Baginda laksanakan solat jenazahnya, menghantar ke kubur, dan berdiri di atas kubur sehingga selesai pengkebumiannya.” ‘Umar berkata, “Aku pun hairan di atas keberanianku terhadap Rasulullah saw. Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui perkara ini.” Dia berkata, “Demi Allah, tidak lama kemudian turunlah dua ayat ini, “Dan janganlah kamu melaksanakan solat (jenazah) seseorang yang mati di antara mereka (orang-orang munafik)……..” (Hingga akhir ayat). Setelah itu Rasulullah saw tidak lagi melaksanakan solat jenazah orang-orang munafik dan tidak pula berdiri di atas kubur-kubur mereka sehingga Baginda wafat.”
(HR. Al-Bukhari)