Surah 9: At-Taubah (75 – 78)

Balasan bagi Orang yang Memungkiri Janji

Surah 9: At-Taubah (75 – 78)


Ayat 75

وَمِنْهُم مَّنْ عَـٰهَدَ ٱللَّهَ لَئِنْ ءَاتَىٰنَا مِن فَضْلِهِۦ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: “Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh”

Allah Ta’ala menyatakan sebahagian daripada orang-orang munafik berjanji sekiranya Allah swt mengurniakan kekayaan kepada mereka pasti mereka akan bersedekah sebahagian daripada kekayaan tersebut dan menjadi hamba-hambaNya yang soleh.

Antara ciri orang-orang yang soleh ialah sentiasa bersedekah, menyambung tali silaturrahim, menjamu tetamu, membantu membela kebenaran dan sebagainya.

Ayat 76

فَلَمَّآ ءَاتَىٰهُم مِّن فَضْلِهِۦ بَخِلُوا۟ بِهِۦ وَتَوَلَّوا۟ وَّهُم مُّعْرِضُونَ

Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka dari limpah kurniaNya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya; dan sememangnya mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan).

Namun setelah Allah Ta’ala memenuhi apa yang mereka inginkan itu, mereka tidak melaksanakan apa yang telah mereka janjikan. Mereka bersikap bakhil dengan tidak menginfakkan sedikitpun sebagaimana yang mereka janjikan. Malah mereka berpaling daripada Islam.

Ayat 77

فَأَعْقَبَهُمْ نِفَاقًا فِى قُلُوبِهِمْ إِلَىٰ يَوْمِ يَلْقَوْنَهُۥ بِمَآ أَخْلَفُوا۟ ٱللَّهَ مَا وَعَدُوهُ وَبِمَا كَانُوا۟ يَكْذِبُونَ

Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta.

Maka Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia menambahkan kemunafikan di atas kemunafikan mereka, sehingga mereka tidak mampu melepaskan diri daripadanya sehinggalah tiba hari perhitungan amal. Ini kerana mereka telah mengingkari janji yang telah mereka ikrarkan kepadaNya, iaitu kesediaan untuk bersedekah jika mereka memperoleh kurniaanNya dan juga kerana mereka selalu berdusta dalam setiap ucapan-ucapan dan janji-janji mereka.

Ayat ini juga merupakan peringatan kepada orang mukmin supaya berhati-hati ketika berjanji kepada Allah swt, iaitu ketika dia inginkan sesuatu hajat dikabulkan, dia berjanji akan melakukan ini dan itu. Namun ketika hajatnya dikabulkan dia tidak pula melakukan seperti yang dijanjikan. Jika berlaku pendustaan seperti ini, Allah swt menanamkan kemunafikan dalam hatinya sebagaimana yang menimpa mereka. Nabi saw bersabda:

“Tanda orang munafik itu tiga: apabila berbicara dia berdusta, apabila berjanji dia ingkari, dan apabila diberi amanah dia khianat.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Ayat 78

أَلَمْ يَعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ سِرَّهُمْ وَنَجْوَىٰهُمْ وَأَنَّ ٱللَّهَ عَلَّـٰمُ ٱلْغُيُوبِ

Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah sentiasa mengetahui apa yang mereka rahsiakan serta apa yang mereka bisikkan, dan bahawasanya Allah Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang ghaib?

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia Maha Mengetahui rahsia dan sesuatu yang sangat tersembunyi dan Dia juga mengetahui apa yang ada dalam hati kecil mereka. Meskipun secara zahirnya mereka menampakkan bahawa jika mereka mempunyai harta benda, mereka akan menyedekahkan sebahagian daripadanya, serta mensyukurinya, namun Dia Maha Mengetahui segala yang ghaib termasuk pengkhianatan mata dan apa yang disembunyikan dalam hati. Oleh itu, Dia mengetahui tentang kemunafikan yang mereka sembunyikan dan keinginan mereka untuk melanggar apa yang dijanjikan dan pendustaan mereka terhadap sumpah mereka dengan menggunakan namaNya.