Surah 9: At-Taubah (73 – 74)

Perintah untuk Berjihad Melawan Orang Kafir dan Munafik

Surah 9: At-Taubah (73 – 74)


Ayat 73

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ جَـٰهِدِ ٱلْكُفَّارَ وَٱلْمُنَـٰفِقِينَ وَٱغْلُظْ عَلَيْهِمْ ۚ وَمَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ

Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw berjihad menentang orang-orang kafir dan munafik serta bersikap keras dan bertegas terhadap mereka setelah mereka menampakkan kekafiran dengan ucapan dan keinginan untuk membunuh Baginda, melecehkan ayat-ayatNya dan orang-orang mukmin.

Ketahuilah bahawa tempat tinggal mereka adalah neraka Jahannam dan itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Ayat 74

يَحْلِفُونَ بِٱللَّهِ مَا قَالُوا۟ وَلَقَدْ قَالُوا۟ كَلِمَةَ ٱلْكُفْرِ وَكَفَرُوا۟ بَعْدَ إِسْلَـٰمِهِمْ وَهَمُّوا۟ بِمَا لَمْ يَنَالُوا۟ ۚ وَمَا نَقَمُوٓا۟ إِلَّآ أَنْ أَغْنَىٰهُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ مِن فَضْلِهِۦ ۚ فَإِن يَتُوبُوا۟ يَكُ خَيْرًا لَّهُمْ ۖ وَإِن يَتَوَلَّوْا۟ يُعَذِّبْهُمُ ٱللَّهُ عَذَابًا أَلِيمًا فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ ۚ وَمَا لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ مِن وَلِىٍّۢ وَلَا نَصِيرٍ

Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu), padahal sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan kufur, dan mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu membunuhmu). Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan; dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong.

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang munafik akan melakukan apa sahaja demi menutup keburukan perilaku dan ucapan mereka. Bahkan, mereka berani bersumpah dengan nama Allah swt di hadapan Rasulullah saw bahawa mereka tidak pernah mengatakan sesuatu yang menyakiti Baginda, padahal sumpah itu bohong belaka.

Sesungguhnya mereka telah mengucapkan perkataan kekafiran iaitu mencela Nabi Muhammad saw dan agama Islam serta telah menjadi kafir dengan terserlah kebusukan hati mereka setelah sebelumnya mereka menutupinya dengan berpura-pura mengikuti ajaran Islam. Mereka juga sangat menginginkan agar Rasulullah saw terbunuh.

Maksud ayat, “Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya” ialah orang-orang munafik ini sebenarnya mencela orang-orang Islam kerana Allah Ta’ala telah memberikan kemewahan hidup kepada mereka dan Nabi saw juga telah memberikan kemudahan kepada mereka. Hidup mereka senang dan kedudukan mereka tinggi kerana apa yang mereka minta kepada Nabi telah pun diberi. Oleh itu, mereka menjadi sombong untuk menerima kebenaran.

Namun sekiranya mereka bertaubat daripada sikap kemunafikan dan menyesalinya, sehingga taubat mereka diterima, itu adalah lebih baik bagi mereka. Jika mereka berpaling daripada keimanan serta tetap dalam kemunafikan, nescaya Allah swt akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dengan pelbagai bentuk musibah seperti pembunuhan dan kesusahan yang lain. Di akhirat kelak mereka dtimpakan kehinaan dan seksaan di neraka Jahannam. Mereka tidak akan mendapati seorang pun yang boleh menolong dan menyelamatkan mereka, dapat memberikan kebaikan, serta dapat menghindarkan mereka daripada bahaya dan keburukan yang menimpa mereka.